You are on page 1of 3

Lelaki juga alami masalah mandul

HCTM PPUKM berjaya bantu pasangan yang inginkan anak

NURSYAMIMI SAIDI | 31 Mei 2016 4:00 PM


0 0 Google +0

Masalah kemandulan sering dikaitkan dengan wanita, namun ramai yang tidak mengetahui
bahawa puncanya turut berkemungkinan daripada lelaki. Malah kebanyakan kes utama
kemandulan, membabitkan pihak lelaki.

Ketidaksuburan atau mandul, bermaksud ketidakbolehan seorang wanita mengandung atau


kegagalan seorang lelaki memulakan penghamilan dalam tempoh setahun.

Disebabkan itu, apabila pasangan mengalami masalah mendapatkan anak, pasangan lelaki
perlu menjalani pemeriksaan dan bukan wanita sahaja.

Antara penyebab lelaki mandul adalah kerana mereka tidak dapat menghasilkan sperma di
dalam air mani yang mana keadaan ini digelar sebagai Azoosperma yang disebabkan pelbagai
faktor.

Namun, dengan segala teknik perubatan moden yang terdapat pada masa kini, mereka masih
boleh dibantu selagi ada sperma di dalam buah zakar (testis) walaupun sedikit dengan
melakukan pembedahan kecil di bahagian itu.

Bagaimanapun, terdapat segelintir lelaki yang menghadapi Azoosperma, hanya mempunyai


sperma pramatang yang digelar Spermatid di dalam tisu testis disebabkan berlaku kerencatan
ketika proses menghasilkan sperma di dalam tisu berkenaan.

Menurut Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat
Perubatan UKM (HCTM PPUKM), Prof. Datuk Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi,
apabila lelaki hanya mempunyai sperma pramatang, sperma tersebut tidak dapat bersenyawa
dengan ovum secara semula jadi.
“Terdapat lima peringkat untuk menghasilkan sperma iaitu dari spermatogonia yang primitif
sehingga terbentuk sperma yang matang dengan ekor yang panjang.

“Bagi pesakit yang hanya mempunyai Spermatid, kerencatan boleh berlaku pada peringkat
ketiga, yang mana berkemungkinan besar terdapat kekurangan satu atau beberapa enzim
penting di dalam tisu testis yang diperlukan untuk merentas ke peringkat keempat.

“Disebabkan kekurangan enzim yang masih belum lagi dikenal pasti, lelaki tersebut hanya
dapat menghasilkan Spermatid sepanjang hidupnya, namun bilangan kromosom dan
komponen genetik sudah sempurna menyerupai sperma yang matang.

“Spermatid secara semula jadi tidak mampu untuk bersenyawa, kerana sperma tersebut tidak
mempunyai ekor untuk bergerak. Oleh itu, pasangan tidak akan dapat menghasilkan bayi
secara semula jadi,” katanya.

Kendali lebih 100 lelaki yang bermasalah

Ujar Dr. ZAINUL RASHID, Pusat Rujukan Khusus untuk Kemandulan Lelaki Pusat
Reproduktif UKM kini mengendalikan lebih daripada 100 lelaki yang mempunyai masalah
tersebut dan pihaknya berusaha membantu menjalankan beberapa kajian ke atas mereka bagi
memberi peluang untuk mendapatkan bayi daripada zuriat sendiri.

Diketuai Dr. Zainul Rashid, pihaknya telah berjaya membantu pasangan Prakashrao Sinniah
dan Jaya Praba Appalanaidu, yang telah berkahwin selama enam tahun menjalani prosedur
rawatan yang dijalankan HCTM PPUKM dan berjaya mendapat bayi perempuan yang kini
berusia empat bulan bernama Sheershika.

Sebelum ini, pihaknya hanya berjaya menghasilkan embrio ke tahap lapan sel dalam
kebanyakan kes. Walaupun berjaya mencapai 30 peratus kandungan ke dalam pasangan
wanita, pihaknya tidak pernah mendapat kandungan yang melebihi 12 minggu kerana
kesemuanya mengalami keguguran atau kegagalan dalam prosedur pembenihan in-vitro
(IVF) yang sering kali berlaku untuk kes-kes seperti ini.

Katanya, usaha tersebut membuahkan hasil apabila sekumpulan pakar perubatan mula
menjalankan prosedur rawatan dengan mengambil sperma pramatang Prakashrao Sinniah
untuk disuntik ke dalam telur pasangannya yang matang bagi menghasilkan embrio melalui
proses Suntikan Sperma Intra-saitoplasmik (ICSI).

“Bagi kes ini, Prakashrao perlu mengambil suntikan hormon selama tiga bulan dan pada
bulan ketiga, kami meminta isterinya menjalani prosedur IVF. Daripada 12 biji telur yang
kami peroleh daripada isterinya yang disuntik dengan Spermatid, cuma lima sahaja yang
berjaya disenyawakan dan dua embrio yang sesuai dipindahkan ke rahimnya.

“Jaya Praba berjaya menghasilkan satu kandungan yang sihat. Dilahirkan menerusi kaedah
pembedahan dengan berat badan 3.08 kilogram. Kami sengaja menunggu sehingga bayi ini
berusia empat bulan sebelum disahkan sebagai bayi pertama Spermatid dilahirkan di
Malaysia, malah di Asia Tenggara bagi menentukan dia benar-benar sihat dari segi fizikal
dan fisiologi,” katanya.

Jelasnya, menurut laporan jurnal setakat ini, pihaknya membuat pengesahan bahawa pesakit
yang hanya menghasilkan sperma pramatang masih boleh dibantu untuk mendapatkan bayi
yang sihat namun kebarangkalian untuk mendapat bayi masih di tahap yang rendah.

HCTM PPUKM kini sedang menjalankan kajian untuk mengenal pasti enzim-enzim yang
kurang di dalam testis pesakit-pesakit dan sekiranya berjaya dikenal pasti, pihaknya boleh
menghasilkan enzim tersebut untuk disuntik ke dalam testis.

Beliau berharap dengan usaha tersebut, pesakit-pesakit ini dapat menghasilkan sperma
normal yang dapat menghasilkan kandungan dengan peratusan yang lebih tinggi.

- See more at: https://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/lelaki-juga-alami-masalah-


mandul-1.336963#sthash.Hbi0F7Gi.dpuf

You might also like