You are on page 1of 3

Seperti mana kebanyakan kitab akidah atau tauhid yang ditulis sezaman dengannya, Faridatul

Faraid ditulis berdasarkan fahaman Asya’irah. Syeikh Ahmad Al-Fathani seperti juga lain-
lain pengarang memilih manhaj atau metode mutakallimin dalam penulisan mereka. Hal ini
adalah rentetan perjuangan para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah ketika itu dalam
menjawab fahaman Muktazilah yang banyak mendahulukan akal dalam hujah dan penulisan
mereka.

Meskipun terdapat banyak aliran yang tersebar pada zaman tersebut, namun
pemikiran tauhid ulama Islam di Alam Melayu lebih cenderung berpegang kepada mazhab
Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpaksikan kepada ajaran Abu Al-Hasan Al-Ash’ari.
Beberapa karya akidah yang ditulis pada masa itu dengan jelas menerangkan bahawa karya
mereka adalah berdasarkan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah.1 Kitab Faridatul Faraid
menjelaskan,

“…inilah suatu risalah pada menyatakan I’tiqad bagi kaum yang kelepasan mereka itu
daripada sesat, dan mereka itulah Ahlus Sunnah Wal-Jamaah, yakni ahli yang mengikut jalan
Nabi S.A.W dan Khulafa’ Al-Rasyidin.

Fasal

Kenyataan di atas menjelaskan status sebenar aliran yang dipegang oleh beliau iaitu akidah
Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Berpegang dengan aliran ini dilihat mampu membanteras
sebarang bentuk kesesatan dan perkara bid’ah yang berleluasa dalam masyarakat.

Oleh kerana pengarangnya merupakan pendokong kepada aliran ini, maka pastinya beliau
tidak akan merujuk melainkan kepada karya yang benar-benar menjurus kepada aliran
tersebut. Justeru kita dapat melihat bagaimana, intipati ajaran yang disampaikan dalam karya
Faridatul Faraid ini banyak mengambil inspirasi daripada Kitab Umm Al-Barahin karangan
Imam al-Sanusi, kerana Al-Sanusi juga tergolong dalam kalangan pendokong fahaman Ahlus
Sunnah Wal Jamaah beraliran Asyairah. Berkenaan hal ini, dapat dilihat berdasarkan petikan
teks ini:

1
Abdul Rahma Haji Abdullah (1998), Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran, Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, h.38
“…bahawasa segala sifat yang wajib diketahui atas jalan Tafsil itudua puluh sifat dengan
ditambahlan sifat maknawiyah yang tujuh dan menjalani atasnya oleh Syeikh Sanusi dalam
akidahnya Matan Umm Al-Barahin dan ini qaul ialah yang masyhur sekarang ini…”

Pemilihan Syeikh Ahmad Al-Fathani terhadap aliran ini, bukanlah berpijak atas dasar taqlid
semata-mata atau kekaguman terhadap mana-mana tokoh, bahkan ianya berpaksikan
keyakinan terhadap kebenaran aliran ini yang sederhana dan tidak bertentangan dengan logik
akal. Hal ini juga menjadi ciri utama kitab iaitu disusun berasaskan manhaj Asya`irah yang
menggunakan metode mantik atau logik dan ilmu wahyu dalam proses pendalilan bagi
menetapkan sifat-sifat Allah.

Berikut adalah petikan teks Faridatul Faraid yang menunjukkan mengenai kedudukan akal
dalam mengenal Allah :

“...( Maka wajib ) Pada Syara’ atas tiap-tiap mukallaf mengetahuikan segala yang wajib
pada ‘aqal pada hak Tuhan kita Jallaa wa ‘Azza dan barang yang mustahil atasNya Ta‘ala
dan barang yang harus bagiNya Ta‘ala...”

Seterusnya;

“...( Dan erti ) Wajib pada ‘aqal itu barang yang tiada tashawwur pada ‘aqal ketiadaannya,
seperti mengambil lapang bagi jirim .

( Dan mustahil ) Itu barang yang tiada tashawwur pada ‘aqal adanya seperti sunyi jirim
daripada gerak dan diam .

( Dan ) Jaiz itu barang yang sah pada ‘aqal adanya dan tiadanya seperti gerak jirim dan
diamnya…”

Pengarang Kitab turut mengemukakan beberapa pandangan dari golongan yang bertentangan
dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti Muktazilah, Jabariyah, Qadariyah dan lain-lain.
Tujuan pengarang berbuat demikian adalah untuk membuat penganalisaan secara adil
terhadap aliran yang paling sesuai dan layak untuk dijadikan pegangan dan ikutan. Dalam
kebanyakan situasi apabila dibuat perbandingan dan penilaian antara aliran tersebut, maka
kebiasaannya pendapat Ahlus Sunnah dilihat paling logik dan sesuai digunapakai sebagai
iktiqad.

You might also like