You are on page 1of 11

CABARAN YANG DIHADAPI OLEH INDIVIDU PINTAR CERDAS

Menjadi seorang individu pintar cerdas dan berbakat ini sememangnya suatu rahmat daripada

Tuhan. Namun, walaupun mereka diberikan anugerah ini, mereka tetap berhadapan dengan

isu dan cabaran dalam kehidupan seharian mereka. Isu dan cabaran yang mereka hadapi ini

sudah pastinya akan memberi kesan terhadap perkembangan mereka secara keseluruhannya.

Cabaran yang mereka hadapi memungkinkan kita untuk kehilangan aset yang berharga buat

agama, bangsa, dan negara. Antara isu dan cabaran yang dihadapi oleh individu pintar cerdas

dan berbakat ialah cabaran dari segi sistem pendidikan sedia ada, perbelanjaan, penentuan

bidang yang sesuai dengan minat serta lain - lain lagi.

Sistem Pendidikan

Sistem pendidikan merupakan institusi yang memberikan pendidikan kepada semua individu

sehingga mereka boleh membalas kembali sumbangan terhadap negara. Pelbagai program

telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha untuk

menjaga murid pintar cerdas dan berbakat ini. Antaranya ialah Ujian Penilaian Tahap Satu

yang difokuskan kepada murid tahun tiga. Namun, program ini hanya dijalankan selama lima

tahun dan kini, negara boleh berbangga dengan program terbaru iaitu Permata Pintar

kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini telah bermula pada 17

Januari 2011 dan terdapat empat program yang telah diperkenalkan iaitu Pintar Permata

(akademik), Pintar Seni (seni), Pintar Insan (agama), dan Pintar Kurnia (autisme). Cabaran di

dalam sistem pendidikan negara ialah pihak berkepentingan yang terlibat perlulah sentiasa

memastikan setiap program yang dilaksanakan dapat dihasilkan dengan mantap dan berkesan.
Kaedah Pengajaran di Sekolah

Khadijah M.Shahid (1992) telah membuat kajian ke atas beberapa pelajar pintar cerdas

mendapati bahawa mereka mudah berasa bosan dan kecewa dengan suasana di sekolah

kerana kebanyakan guru yang mengajar menggunakan kaedah tradisional, yang umumnya

kurang memahami kehendak dan cita rasa mereka. Pelbagai aspek psikologi pelajar pintar

cerdas hendaklah diberi keutamaan dalam menyusun strategi pengajaran. Cabaran seperti ini

membuatkan pelajar pintar cerdas cenderung untuk merasa ‘jauh’ dengan proses

pembelajaran mereka lalu mengakibatkan potensi mereka tidak dapat digilapkan sepenuhnya

di dalam suasana pembelajaran di sekolah. Oleh yang demikian, kajian mengenai personaliti

dalam kalangan pelajar pintar cerdas ini harus dilaksanakan bagi membantu guru memahami

aspek personaliti pelajar tersebut, dan seterusnya mampu merancang strategi pengajaran yang

lebih segar, inovatif dan berkesan.

Perbelanjaan

Perbelanjaan merupakan salah satu cabaran yang sangat signifikan dalam sesuatu perkara.

Setiap program yang dilaksanakan akan memerlukan kos yang banyak dan faktor ini telah

menyebabkan beberapa program yang telah dijalankan sebelum ini terpaksa dimansuhkan.

Selain itu, kerajaan juga memerlukan kos yang tinggi untuk menghantar murid pintar cerdas

ke luar negara demi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Seperti di

dalam kes Sufiah Yusof, kerajaan telah menghantar beliau ke Universiti Oxford seawal usia

13 tahun. Namun, negara terpaksa berputih mata kerana permata tersebut hilang selepas

belajar beberapa tahun di negara orang. Akhirnya, beliau telah terjerumus ke dalam industri

pelacuran di sana yang membabitkan kelas atasan. Isu ini jelas telah memberi kesan yang

mendalam kepada kerajaan dan negara apatah lagi sang pelaku tersebut ialah seorang

individu pintar cerdas dan berbakat.


Guru dan Ibu Bapa

Ketiadaan strategi yang kreatif dan inovatif telah menyebabkan pendekatan yang digunakan

untuk mengajar murid pintar cerdas ini tidak berkesan. Menurut Chiam (1992), beliau

menyatakan bahawa perhatian yang kurang dan tidak sempurna terhadap aspek kognitif akan

memerangkap murid ini untuk terjatuh ke dalam kumpulan berpencapaian rendah. Hal ini

mungkin disebabkan oleh pengetahuan dan kemahiran guru yang kurang dalam

mengendalikan murid pintar cerdas dan berbakat ini. Justeru, guru seharusnya diberikan

pendedahan yang banyak untuk menangani perkara ini agar sesi pengajaran dan pembelajaran

(PdP) tidak membosankan murid pelajar pintar cerdas dan berbakat.

Penentuan Bidang yang Sesuai

Perkembangan tidak boleh dirancang dan pembelajaran boleh jadi tersembunyi. Mungkin

masanya belum tiba untuk mereka serlahkan diri di dalam bidang tertentu. Sejarah

menyaksikan banyak individu yang tidak menonjol atau disalah anggap sebagai lembab oleh

guru semasa umur kecil mereka. Hal ini dipercayai akibat daripada kadar pembelajaran

mereka yang tidak sekata dan juga sikap guru yang tidak sensitif. Pelajar pintar cerdas

menunjukkan kebolehan am yang lebih tinggi, tetapi perkara ini tidak memadai tanpa

menemui kekuatan sebenarnya yang tidak setanding orang lain. Pengkhususan dan usaha

berterusan adalah kunci kepada kejayaan dalam mana-mana juga bidang atau lapangan.

Pekerjaan dan bidang yang tidak sesuai akan menjadikan seseorang pintar cerdas itu menjadi

biasa.
Persekitaran

Faktor persekitaran seperti budaya keluarga, sumber keluarga, taraf sosio-ekonomi (SES),

pendedahan dan peluang merupakan faktor penting dalam proses mempercepatkan

perkembangan. Antara faktor penting yang lain termasuklah guru yang memahami akan tahap

mereka dan persaingan budaya sekolah. Budaya sekolah yang tidak mementingkan

persaingan secara tidak langsung akan menjejaskan perkembangan mereka. Budaya yang lain

termasuklah disiplin, keterbukaan, hubungan guru-pelajar dan budaya aktiviti ko-kurikulum.

Walaupun pelajar pintar-cerdas yang popular dan memiliki konsep kendiri yang positif juga

masih menghadapi masalah-masalah yang tertentu. Masalah-masalah ini datang akibat

keistimewaan yang ada pada mereka dan faktor persekitaran yang wujud bersama mereka

iaitu seperti kesedaran masyarakat yang rendah, guru yang tidak sensitif dan prihatin. Konflik

keluarga juga merupakan salah satu aspek yang perlu diberi perhatian di dalam cabaran

persekitaran ini.

Masalah Dalaman

i.) Kekosongan jiwa

Individu pintar cerdas dan berbakat ini mampu membaca buku pada tahap yang lebih tinggi

daripada rakan sebaya mereka dan sering diiktiraf sebagai genius oleh semua orang serta

berpengetahuan luas, berfikiran tajam, mempunyai pemahaman yang luar biasa dan

sebagainya. Di sebalik semua kepintaran mereka ini, mereka sebenarnya menghadapi krisis

mental, krisis identiti dan tidak mempunyai minat yang khusus. Mereka tidak memahami

bagaimana dan di manakah mereka patut menyalurkan kecerdasan mereka itu. Mereka

mungkin keliru dengan masa depan mereka. Jiwa mereka mungkin kosong dan cetek atau

tidak ada emosi atau seolah-olah mereka tidak pernah merasa wujud dan hidup. Jiwa dan

hidup mereka bagai kapal tanpa panduan arah, terbawa-bawa akan arus yang tidak menentu.
Secara amnya, biasanya perbincangan yang menuju kepada golongan pintar cerdas ini seolah-

olah menggambarkan golongan ini adalah sempurna dan tinggi pencapaiannya secara

keseluruhan seperti bercita-cita tinggi, bertanggungjawab dan dedikasi. Gambaran ini

sebenarnya membahayakan kerana perkembangan yang tidak seimbang adalah sesuatu yang

biasa bagi mereka. Kekosongan jiwa ini bermaksud mereka berkemungkinan untuk hilang

hala tuju. Mereka mungkin merasakan kehidupan tidak lagi bermakna dan nyawa mereka

tidak lagi bernilai. Walaupun keadaan ini berlaku kepada golongan pintar cerdas yang

menghadapi masalah kemurungan secara sementara, ia mungkin lebih kerap berlaku terhadap

individu-individu tertentu, dan ianya lebih cenderung untuk berlaku secara kronik kepada

golongan ini. Seseorang yang tinggi pencapaian matematik atau bahasa mungkin cetek dari

segi pemikirannya. Kecerdasan eksistensialisme (kewujudan), kecerdasan intrapersonal yang

rendah akan menjadikan mereka susah untuk menangani masalah sosioemosi. Mereka

mungkin cenderung untuk tidak berfikir panjang dan mensia-siakan bakat yang ada dalam

diri mereka disebabkan mereka tidak tahu atau pasti akan apa yang dikejar dalam kehidupan

mereka. Selain itu, kadar membunuh diri dalam kalangan mereka juga agak tinggi, selain

penampakan tanda-tanda masalah emosi yang lain seperti kemurungan, gaya pemakanan

yang tidak seimbang, penyalahgunaan dadah atau arak, hubungan seksual rambang serta lain-

lain lagi. Perkembangan yang menyeluruh adalah sangat penting bagi golongan ini sebagai

faktor pelindung mereka dan cabaran seperti ini mungkin timbul disebabkan oleh

perkembangan kecerdasan intrapersonal yang tidak matang yang dialami mereka.

ii.) Masalah Kesempurnaan dan Emosi yang Sensitif

Sikap kesempurnaan atau “perfectionist” boleh menyebabkan mereka takut akan kegagalan

sehingga mereka berkecenderungan untuk menjadi seorang yang cepat berputus asa. Pelajar

pintar cerdas dan berbakat memerlukan maklumat - maklumat yang lengkap sebelum

menjawab soalan-soalan yang diberikan. Mereka lebih gemar mencari jawapan sendiri kerana
sikap mereka yang tidak suka bersosial. Sikap sensitif dan perkembangan minda mereka

membuatkan mereka memikirkan perkara - perkara seperti peperangan, kebuluran,

pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan isu-isu seperti

ini, maka mereka akan mengalami masalah “introverted” dan mungkin seterusnya akan

menjurus ke arah “existential depression”.

Keyakinan Diri Murid

Segelintir individu pintar cerdas dan berbakat selalunya akan bergelut dengan isu keyakinan

disebabkan konsep kendiri mereka yang tidak menentu. Mereka mungkin sangat yakin pada

sesuatu masa dan menjadi tidak yakin pada sesuatu masa yang lain dan hal ini disifatkan

sebagai ‘sifat kompleksiti’. Cabaran ini timbul berpunca daripada sikap kesempurnaan

(perfectionsm) mereka yang tidak sihat. Mereka menjangka terlalu tinggi (high expectation)

terhadap pencapaian diri mereka sendiri. Jangkaan yang tinggi ini adalah salah satu

pendorong kuat kepada pencapaian tinggi dan cemerlang. Namun, ia juga membawa tekanan

yang besar kepada diri mereka sendiri. Jurang yang besar di antara jangkaan dan kebolehan

mereka yang nyata membuatkan mereka merasakan diri mereka tidak sempurna. Bagi

membantu mereka dalam cabaran ketidaksempurnaan ini, guru dan ibu bapa haruslah sentiasa

mengingatkan mereka bahawa mereka tidak perlu menjadi sempurna pada setiap masa.

Kesempurnaan adalah biasa dalam kalangan individu pintar cerdas, tetapi “neurotic

perfectionist” menjadi salah satu daripada masalah psikologi. Hal ini kerana ia akan

menjejaskan konsep kendiri pelajar pintar cerdas dan berbakat sekali gus memberi kesan

negatif kepada hubungan perseorangan seperti sikap cenderung untuk menyalahkan orang

lain apabila gagal, sukar bekerjasama, sering menyalahkan diri sendiri dan sebagainya.

Memang benar akan kenyataan bahawa golongan pintar cerdas dan berbakat ini memiliki

kelebihan dalam persaingan. Pun begitu, hal ini tidak bermakna mereka akan berasa yakin
diri pada setiap masa. Secara umumnya, golongan ini mendukung sistem nilai yang tersendiri

di mana mereka mungkin tidak berminat membandingkan diri mereka dengan orang lain

sama ada dari segi pencapaian akademik, kerjaya dan sebagainya. Sebaliknya, mereka seolah-

olah membuat sesuatu hasil dari dorongan dalaman sendiri. Dalam erti kata lain, mereka akan

membandingkan diri mereka sendiri dan jangkaan yang tinggi selalunya akan memberi

tekanan kepada diri mereka. Kesempurnaan diri merupakan satu motivasi yang kuat dalam

mempengaruhi tingkah laku mereka. Semua individu mempunyai keupayaan yang tersendiri

dan pelajar pintar cerdas dan berbakat juga tidak terkecuali daripada keunikan tersebut.

Sebagai contoh, seorang individu yang mencapai tahap yang tinggi dari segi kecerdasan

bahasa dan logik matematik mungkin mempunyai kelemahan dalam kemahiran fizikal seperti

kebolehan mengimbangkan badan, keupayaan koordinasi badan ataupun tidak mempunyai

bakat dalam melukis mahupun menyanyi. Jika pelajar - pelajar ini diletakkan dalam situasi di

mana mereka perlu menggunakan kecerdasan kinestetik, muzik dan visual ruang, mereka

mesti berasa malu dan janggal kerana mempunyai maruah diri yang tinggi dan bersifat

sensitif. Perkembangan yang tidak seimbang ini mungkin boleh menimbulkan pelbagai

masalah dalam kehidupan mereka. Pada masa yang sama juga, keyakinan yang terlalu tinggi

boleh menjejaskan perkembangan keseluruhan mereka. Memandangkan mereka mempunyai

kebolehan akademik dan kebolehan mental yang lain, sesetengah individu pintar cerdas dan

berbakat mungkin cenderung menjadi terlampau yakin dalam dunia yang berorientasikan

akademik. Akibatnya, mereka tidak sedar akan kelemahan diri sendiri dan hidup dalam dunia

mereka sendiri. Cabaran keyakinan atau ‘inferiority’ ini akan menjejaskan pandangan orang

lain terhadap diri mereka.


Masalah Konsep Kendiri dan Risiko Membunuh Diri

Kekurangan sokongan daripada keluarga, rakan sebaya dan guru-guru juga mungkin

menyumbang kepada permasalahan konsep-kendiri (Lovecky, 1993). Apabila salah satu atau

lebih daripada isu - isu ini berlaku, masalah akan mula timbul dan pelajar pintar cerdas dan

berbakat akan merasa tidak berupaya untuk menangani keadaan yang dihadapi.

Ketidakupayaan untuk mengawal perasaan yang bergelut dan buntu mungkin menjadi

satu sumber kerentanan (vulnerability) yang menyebabkan pelajar pintar cerdas ini

mempunyai pemikiran sehingga ke tahap untuk membunuh diri. Oleh itu, ibu bapa dan guru-

guru haruslah sentiasa cakna dan mengambil berat terhadap simptom-simptom yang mungkin

ditunjukkan oleh golongan berbakat ini khususnya mengenai tanda-tanda awal risiko

membunuh diri yang dipamerkan mereka agar kemungkinan yang tidak diingini ini dapat

dielakkan dengan kadar segera.

Mengikut Nelson and Galas (1994), terdapat beberapa tanda-tanda yang boleh menunjukkan

pelajar pintar cerdas dan berbakat ini berkemungkinan mengalami tekanan mahupun

mempunyai risiko membunuh diri. Antara tanda - tandanya adalah seperti berikut:

 Mengancam untuk membunuh diri iaitu sama ada secara langsung atau tidak langsung

memberitahu orang lain bahawa mereka merancang untuk membunuh diri. Contoh

kenyataan ialah seperti; "Saya telah membuat keputusan untuk membunuh diri,"

"Saya harap saya sudah mati," "Saya tidak boleh teruskan lagi," "Saya ingin keluar

dari semua ini," "Saya tidak larat untuk hidup lagi”.

 Perubahan mengejut dalam tingkah laku. Pencapaian mereka mula merosot, ponteng

sekolah, berhenti menjaga penampilan diri, hilang minat dalam perkara yang sebelum

ini mereka suka lakukan, tidur lebih daripada waktu biasa, berada di luar rumah tanpa

sebarang sebab yang rasional serta mengalami perubahan dalam berat badan.
 Mengelakkan kawan-kawan mereka kerana mereka mungkin lebih suka duduk dalam

bilik dan tidak bersosial dengan orang lain.

 Mula memberikan barang-barang peribadi milik mereka kepada orang lain kerana

merasakan mereka tidak memerlukan barangan itu lagi.

 Menunjukkan hasrat atau keinginan untuk membuat sesuatu seperti menjawab surat

yang sudah lama tidak berbalas atau memulangkan kembali sesuatu yang telah

dipinjam.

 Menunjukkan estim kendiri yang rendah di mana mereka merasakan diri mereka tidak

lagi dapat melaksanakan sesuatu perkara seperti kenyataan; "Saya tidak boleh buat

apa-apa dengan betul," "Saya bodoh".

 Melihat diri mereka sebagai tidak benilai dan tidak disayangi atau akan berhenti dari

melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang biasanya mereka lakukan. Tingkah laku

seperti ini berkait rapat dengan kekurangan semangat dan minat, kekurangan tenaga

serta kekurangan motivasi.

 Cepat meragam iaitu seperti menunjukkan sikap agresif, memberontak atau melawan

cakap dan juga akan mempamerkan sikap menentang terhadap ibu bapa, kawan-

kawan dan guru-guru mereka.

 Menunjukkan tingkah laku destruktif - diri (self - destruct) iaitu berkelakuan ingin

mencederakan diri dengan sengaja seperti memandu kereta atau motosikal dengan

laju, merokok dan minum arak secara berlebihan, mengalami penyakit anorexia

nervosa atau bulimia.


Jangkaan Orang Dewasa

Kesempurnaan individu pintar cerdas dan berbakat ini sering dibesar-besarkan oleh orang

dewasa yang sentiasa menggesa mereka untuk berkembang sehingga potensi maksima

mereka. Ibu bapa boleh merancang anak - anak genius mereka dengan pelajaran atau aktiviti-

aktiviti yang berfaedah, meninggalkan masa untuk mereka berangan-angan atau memberi

mereka ruang bermain dengan mainan biasa. Guru pula sering mengikuti perkembangan

individu ini di peringkat tinggi dengan memberi longgokan kerja tambahan dan tidak pernah

kelihatan berpuas hati. Kanak-kanak di sebuah sekolah menengah boleh merasa tertekan oleh

guru yang menggesa mereka di dalam peningkatan prestasi dalam setiap mata pelajaran,

tanpa mengambil kira kepentingan mereka yang lain atau tekanan yang diberikan oleh guru-

guru lain. “Bekerja lebih keras di dalam subjek matematik anda, kata seorang guru.” “Anda

mempunyai keupayaan untuk benar-benar maju ke hadapan”. “Bekerja lebih keras dalam

memperbaiki tulisan anda, kata guru lain”. “Anda benar-benar mempunyai bakat.” “Bekerja

lebih keras di dalam projek kajian sosial anda, kata seorang guru ketiga.” “Anda tidak

bermula untuk memanfaatkan keupayaan sebenar anda.” Seorang kanak-kanak berbakat

mungkin mempunyai keupayaan untuk cemerlang pada paras yang tinggi dalam setiap mata

pelajaran, tetapi realiti masa dan aspek kepentingan lain kanak-kanak itu sendiri membuatkan

perkembangan sehingga mencapai potensi maksima di dalam setiap bidang itu amat mustahil

dan inilah cabaran yang mereka terpaksa lalui apabila bakat mereka semakin dikesan oleh

orang di sekeliling.
RUJUKAN!! (letak lepas kesimpulan)

Haniff Asyraf & Khairul Anam. (2015). Alam Pendidikan Khas. Cabaran dan Pendekatan

Pengajaran dalam Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat. Dapatan 20 November,

2017 dari http://zonbayang2.blogspot.my/2015/11/cabaran-dan-pendekatan-pengajaran-

dalam.html

Ann Magaret & Mohd Zuri Ghani. Pelajar Pintar Cerdas dan Masalah yang Dihadapi

dalam Jurnal Pendidikan Khas, DP. Jilid 8, Bil. 1/2008 (1-7)

Mohd Zuri Ghani. (2011). Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat. Universiti Sains Malaysia.

Pulau Pinang.

You might also like