You are on page 1of 6

Artikel ke-14 kerjasama antara Majalah Sains dan Young Scientists Network (YSN)-Akademi Sains

Malaysia (ASM)

____________________________________

Oleh: Nor Afifah Basri dan Suhairul Hashim**

Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia

**Prof Madya Dr. Suhairul Hashim merupakan Ahli Bersekutu YSN-ASM

Sumber Tenaga Fosil Masa Kini

Sumber tenaga elektrik merupakan keperluan asas yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan
manusia di era serba moden pada hari ini. Majoriti peralatan dan prasarana harian dijana melalui tenaga
elektrik seperti sistem pencahayaan, telekomunikasi, pengangkutan dan industri. Penggunaan tenaga
elektrik semakin meningkat saban tahun; selari dengan perkembangan teknologi dan dan kepesatan
ekonomi di peringkat global. Di Asia, penggunaan tenaga elektrik meningkat daripada 3,369 TW j (joule)
pada tahun 2000 kepada 9,053 TW j pada tahun 2016 [1]. Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara
penggunaan tenaga elektrik dan corak ini dijangka akan terus meningkat setiap tahun.

Elektrik merupakan tenaga sekunder yang dihasilkan daripada pelbagai sumber tenaga yang dijadikan
bahan api dalam proses penjanaannya. Sumber tenaga yang digunakan untuk menghasilkan tenaga
elektrik secara komersil boleh dikategorikan kepada tiga; iaitu sumber tenaga fosil, sumber tenaga boleh
baharu dan sumber tenaga nuklear. Contoh bahan api yang digunakan untuk menghasilkan tenaga
elektrik ialah arang batu, petroleum, gas asli, tenaga suria, biojisim dan lain-lain.

Majoriti negara di dunia menggunakan sumber tenaga fosil sebagai sumber utama untuk penjanaan
elektrik termasuklah Malaysia. Hal ini kerana sumber fosil mudah didapati dalam jumlah yang besar
dengan kos penjanaan keseluruhan yang lebih murah berbanding sumber tenaga yang lain. Di
Semenanjung Malaysia, lebih 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penjanaan elektrik dihasilkan
menggunakan arang batu dan gas asli. Arang batu diimport sepenuhnya daripada negara pengeluar
seperti Indonesia, Australia dan Afrika Selatan, manakala gas asli diperolehi daripada aktiviti mencarigali
di persisiran Pantai Timur Semenanjung dan juga di Sarawak. Kedua-dua sumber ini dijangka kekal
sebagai sumber penjanaan elektrik utama di Semenanjung Malaysia sehingga 2020 kerana ia masih
mudah diperolehi dengan kos yang berpatutan.
Kelemahan utama sumber fosil adalah penghasilan gas rumah hijau yang menyebabkan pencemaran di
udara dan peningkatan suhu global. Sektor penjanaan tenaga elektrik membebaskan jumlah gas rumah
hijau terbesar berbanding sektor lain, iaitu sebanyak 37 peratus di peringkat global [2] dan 43 peratus di
Malaysia [3]. Daripada jumlah ini, majoritinya disumbangkan oleh proses pembakaran sumber tenaga
fosil seperti arang batu dan gas asli. Disebabkan kebergantungan Semenanjung Malaysia terhadap
sumber fosil ini, jumlah penghasilan gas rumah hijau dijangka terus meningkat sehingga 285.73 juta tan
pada tahun 2020 berbanding 88.97 juta tan yang direkodkan pada tahun 2000 [3].

Pergantungan terhadap sumber tenaga fosil dilihat semakin tidak relevan selepas tahun 2030. Hal ini
disebabkan oleh beberapa faktor yang menyebabkan jaminan terhadap kelangsungan bekalan elektrik
daripada dua sumber ini semakin berkurangan. Salah satu faktor ialah trend permintaan elektrik yang
semakin meningkat saban tahun. Apabila permintaan bertambah, jumlah bahan api yang diperlukan
juga perlu ditambah. Disebabkan sumber fosil merupakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui
atau dikitar semula, tidak dapat dinafikan bahawa sumber fosil ini akan kehabisan pada satu hari nanti.

Walaupun Malaysia merupakan antara negara pengeksport gas asli yang terbesar di dunia, namun
jumlah simpanan gas asli nasional dilaporkan semakin berkurangan. Tambahan, gas asli tidak hanya
digunakan untuk penjanaan tenaga elektrik, malah digunakan dalam pelbagai sektor lain seperti sektor
perindustrian, perumahan dan pengangkutan. Oleh yang demikian, tiada jaminan bahawa simpanan gas
asli sedia ada boleh menampung permintaan daripada kesemua sektor di Malaysia umumnya dan sektor
tenaga elektrik khususnya. Disebabkan kekangan ini, gas asli telah mula diimport daripada negara jiran
semenjak 2015 untuk memastikan kelangsungan bekalannya di Malaysia. Fenomena pengurangan
jumlah simpanan bahan api membawa kepada persaingan lebih sengit di antara negara pengimport
untuk mendapatkan bekalan, di samping risiko kenaikan harga pasaran disebabkan pertambahan
permintaan. Oleh yang demikian, pergantungan terhadap bahan api fosil perlu dikurangkan supaya tidak
berlaku krisis kekurangan sumber yang membawa kepada krisis tenaga elektrik pada masa hadapan.

Tenaga Terbaharu: Harapan dan Cabaran

Kerajaan Malaysia berusaha mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga fosil dengan
memperkenalkan penggunaan tenaga terbaharu selain kuasa hidro sebagai sumber tenaga alternatif.
Tenaga terbaharu yang dilihat paling berpotensi di Malaysia selain kuasa hidro ialah tenaga solar dan
biojisim. Tenaga solar menjana elektrik daripada penjanaan haba oleh cahaya matahari, manakala
biojisim menjana elektrik daripada penjanaan haba melalui proses pembakaran sisa pertanian seperti
kelapa sawit.

Pelbagai jenis program dan insentif telah dilaksanakan untuk menggalakkan penjanaan tenaga terbaharu
di Malaysia, antaranya Program Tenaga Terbaharu Kecilan (ataupun SREP – Small Renewable Energy
Power) dan mekanisme Tarif Galakan (Feed-in Tariff) yang dipertanggungjawabkan di bawah Pihak
Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA – Sustainable Energy Development Authority)
[4]. Program SREP dilaksanakan untuk menggalakkan penjanaan tenaga elektrik daripada sumber
terbaharu secara kecilan oleh syarikat persendirian. Program ini dikembangkan kepada beberapa
program lanjutan seperti projek MBIPV dan Bio-Gen. Untuk menggalakkan lagi penjanaan elektrik
daripada tenaga terbaharu, satu program insentif telah dibangunkan iaitu Tarif Galakan. Tarif Galakan
merupakan satu mekanisme pembelian tenaga elektrik daripada syarikat pembekal tenaga terbaharu
dengan tarif tertentu untuk dimasukkan ke dalam grid elektrik nasional. Mekanisme ini memastikan
bahawa sumber tenaga terbaharu dimasukkan dalam campuran tenaga nasional sebagai penyumbang
[5]. Program yang telah dijalankan sejak tahun 2001 ini semakin berkembang dan mendapat sambutan
dengan jumlah penjanaan tenaga komersil sebanyak 521.95 GW pada tahun 2015 berbanding 104.87
GW pada tahun 2002.

Di peringkat global, stesen janakuasa elektrik daripada kuasa solar dan kuasa angin yang berskala besar
dilihat mampu bersaing dengan sumber tenaga fosil dan tenaga nuklear dalam aspek kepesatan
teknologi dan jumlah penjanaan tenaga. Namun demikian, situasi berbeza berlaku di Semenanjung
Malaysia akibat beberapa kekangan yang bersifat teknikal. Kekangan utama adalah keterhadan ruang
untuk menempatkan ladang solar atau ladang kincir angin untuk penjanaan kuasa yang lebih besar.
Untuk stesen janakuasa solar, kawasan seluas 4 ekar (lebih kurang 16 km persegi) diperlukan untuk
menjana 1 MW elektrik [6]. Stesen janakuasa angin pula memerlukan kawasan seluas 50 ekar untuk
menjana jumlah kuasa elektrik yang sama. Oleh yang demikian, penjanaan kuasa solar dan angin hanya
boleh dilakukan dalam skala kecil dan kawasan yang terhad.

Langkah penambahan tenaga terbaharu dalam campuran tenaga dilihat mempunyai perkembangan
yang positif, namun jumlah sumbangannya masih terlalu kecil dalam keseluruhan campuran tenaga di
Malaysia. Pada tahun 2015, ia hanya menyumbang sebanyak lebih kurang 11 peratus sahaja, yang mana
sebahagian besarnya masih disumbang oleh janakuasa hidro. Hal ini demikian kerana penjanaan elektrik
daripada sumber ini masih belum dapat menghasilkan jumlah kuasa yang cukup besar seperti mana
kuasa hidro sedia ada. Sumbangan daripada tenaga terbaharu diramal akan terus meningkat tetapi
dalam peratusan yang kecil sahaja menjelang 2050 [7]. Walaupun jumlah kuasa yang dihasilkan kecil,
potensi untuk menghasilkan jumlah kuasa yang lebih besar boleh dicapai dengan perkembangan pesat
teknologi dalam bidang tersebut pada masa akan datang.

Potensi dan Risiko Tenaga Nuklear

Apakah alternatif lain selain sumber terbaharu yang boleh mengurangkan pergantungan Malaysia
terhadap sumber fosil? Jawapannya ialah sumber tenaga nuklear. Tenaga nuklear menjana elektrik
daripada proses pembelahan nukleus dalam reaktor yang menghasilkan tenaga haba. Haba menukar air
kepada bentuk wap dan disalurkan ke turbin untuk menjana elektrik. Tenaga nuklear merupakan satu-
satunya sumber tenaga penjana elektrik yang boleh menghasilkan kuasa yang besar dengan jumlah
bahan api yang kecil. Hal ini kerana proses pembelahan berantai dalam reaktor berlaku secara
berterusan dalam jangka masa yang lama dan membebaskan jumlah tenaga yang besar. Tenaga nuklear
juga dikategorikan sebagai tenaga hijau kerana ia membebaskan jumlah gas rumah hijau yang sedikit
sepanjang masa hidupnya. Selain itu, pembinaan stesen janakuasa nuklear tidak memerlukan kawasan
yang luas berbanding stesen janakuasa solar atau angin. Situasi ini memberi kelebihan kepada tenaga
nuklear sebagai tenaga alternatif yang berpotensi untuk dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Di negara-negara maju, stesen janakuasa nuklear sudah wujud untuk tempoh berpuluh-puluh tahun bagi
menampung peningkatan penggunaan elektrik yang begitu drastik. Namun demikian, keputusan untuk
membina stesen janakuasa nuklear tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru di Malaysia. Di sebalik
kelebihan dan potensi besar sumber tenaga ini, terdapat risiko dan mudarat yang tidak kurang besarnya
berbanding kelebihan dan manfaat yang diperolehi daripada sumber ini. Antara risiko utama ialah risiko
kesihatan akibat dedahan terhadap sinaran daripada bahan radioaktif secara tabi’i atau buatan manusia,
risiko kawalan dan keselamatan seperti penyalahgunaan bahan nuklear untuk tujuan keganasan atau
pasaran gelap, serta risiko kemalangan di stesen janakuasa nuklear.

Penjanaan tenaga nuklear menggunakan Uranium yang diperkayakan untuk membolehkan proses
pembelahan nukleus di dalam teras reaktor berlaku. Uranium merupakan bahan radioaktif yang
mempunyai keaktifan tinggi dan mempunyai jangka hayat yang sangat panjang. Uranium memancarkan
sinaran yang boleh memberi kesan kesihatan sehingga ke peringkat sel dan nukleus manusia. Dedahan
daripada sinaran boleh menyebabkan kecederaan sel dan mutasi genetik. Dalam aspek keselamatan dan
kawalan pula, disebabkan sifatnya yang berbahaya, sumber ini boleh menjadi sasaran eksploitasi atau
penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, pihak berkepentingan atau musuh negara.
Tambahan, jika berlaku kemalangan yang membebaskan bahan radioaktif ke alam sekitar, kesan buruk
akibat sebaran ini tidak dapat dibayangkan.

Adakah risiko-risiko ini boleh diselesaikan atau setidaknya diminimakan? Para saintis nuklear memahami
bahawa kesan dedahan sinaran adalah merbahaya kepada manusia dan alam sekitar. Mereka juga
memahami bahawa pelbagai risiko yang terbit daripadanya adalah lebih besar berbanding sumber
tenaga yang lain. Disebabkan risiko dan tahap bahayanya telah diketahui, para saintis bekerja keras
untuk memastikan aras risiko berada pada tahap yang selamat. Sebagai contoh, proses penjanaan
tenaga oleh reaktor nuklear berlaku dalam sistem tertutup yang berperisai. Sistem perlindungan dalam
reaktor dikukuhkan dengan pelbagai sistem keselamatan berteknologi tinggi untuk mencegah pelepasan
bahan radioaktif yang tidak terkawal disamping langkah kawalan keselamatan seperti pencegahan
kebakaran dan kecurian. Teknologi perlindungan sinaran dan keselamatan reaktor nuklear semakin
berkembang dengan penglibatan aktif oleh pelbagai negara. Oleh itu, tidak hairanlah jika sumber
nuklear diterima pakai oleh banyak negara untuk penjanaan tenaga elektrik walaupun mempunyai risiko
yang besar.

Kesimpulan
Adakah penjanaan elektrik daripada sumber tenaga nuklear boleh dilaksanakan di Semenanjung
Malaysia? Pada pendapat penulis, risiko keselamatan nuklear bukanlah isu utama yang menjadi
kekangan terhadap pelaksanaan program tenaga nuklear di negara ini. Sebaliknya, terdapat dua
kekangan utama yang perlu diatasi sebelum penjanaan daripada tenaga nuklear boleh dilaksanakan di
Malaysia iaitu kemampuan ekonomi dan keperluan sumber manusia.

Kos pembinaan stesen janakuasa elektrik nuklear menelan perbelanjaan yang sangat tinggi berbanding
stesen janakuasa yang lain. Ditambah pula dengan teknologi penjanaan dan keselamatan nuklear yang
semakin rumit, tidak dapat dinafikan bahawa kosnya akan semakin bertambah pada masa akan datang.
Pertimbangan kos bukan sahaja untuk pembinaan dan penjanaan tenaga, tetapi juga kos keselamatan,
kos rawatan sisa dan kos nyahtauliah. Kesemua pertimbangan kos ini sedikit sebanyak akan memberi
kesan kepada tarif elektrik yang bakal dikenakan kepada pengguna. Oleh itu, jika dibayangkan situasi di
mana kos keseluruhan menjadi terlalu tinggi, kesannya kepada ekonomi negara dan pengguna mungkin
mengatasi manfaat yang boleh diperolehi daripadanya. Oleh yang demikian, jika tenaga nuklear hendak
dimasukkan ke dalam campuran tenaga nasional, kerajaan haruslah mempunyai kemampuan dalam
sudut ekonomi. Kemampuan untuk mengatasi segala kos yang telah disebutkan perlu dibuktikan untuk
menjamin penghasilan tenaga elektrik yang murah dan berpatutan, di samping memastikan stesen
janakuasa nuklear yang bakal dibina memenuhi piawaian keselamatan dan operasinya tidak memberi
mudarat kepada orang awam dan alam sekitar.

Malaysia juga harus menyediakan jumlah tenaga kerja dan tenaga kepakaran yang mencukupi untuk
pelaksanaan program tenaga nuklear. Tenaga kerja mahir diperlukan untuk operasi pembinaan dan
penjanaan tenaga nuklear yang cekap, manakala sejumlah pakar diperlukan untuk memantau operasi
tersebut supaya sentiasa dalam keadaan selamat dan berjaga-jaga. Sumber manusia ini diperlukan
bermula di peringkat perancangan sehinggalah semasa operasi dan selepas jangka hayat setesen
janakuasa ini berakhir.

Berdasarkan situasi semasa dan perkembangan program tenaga nuklear nasional yang telah dimulakan
sejak 2009, penulis berpendapat bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk sasaran
pelaksanaan tenaga nuklear pasca 2030. Kerajaan Malaysia sedang berusaha menambahkan sumber
tenaga mahir dan kepakaran dalam bidang nuklear dan penjanaan elektrik. Pelbagai program latihan,
penyelidikan dan pemindahan teknologi telah dilakukan sebagai persediaan kepakaran, di samping
tawaran kursus pengajian berkaitan tenaga nuklear di pusat pengajian tinggi untuk bekalan tenaga
mahir. Jika usaha ini berterusan dan menghasilkan keputusan yang positif, tenaga nuklear boleh
dianggap berpotensi untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap sumber tenaga fosil.

Kebergantungan Malaysia terhadap sumber fosil perlu dikurangkan untuk memastikan kelestarian
tenaga di masa hadapan. Sumber alternatif seperti sumber boleh baharu dan sumber nuklear berpotensi
untuk dimasukkan ke dalam campuran tenaga negara. Walaupun terdapat kekangan untuk pelaksanaan
penjanaan daripada kedua-dua sumber ini, usaha yang telah dijalankan telah mula menampakkan hasil.
Adalah diharapkan bahawa usaha sektor penjanaan elektrik di Malaysia untuk mempelbagaikan sumber
tenaga terus dilakukan memberi pulangan yang positif untuk menjamin kelangsungan bekalan dan
kelestariannya untuk generasi akan datang.

Rujukan

https://yearbook.enerdata.net/electricity/electricity-domestic-consumption-data.html

2. http://www.world-
nuclear.org/uploadedFiles/org/WNA/Publications/Working_Group_Reports/comparison_of_lifecycle.pd
f

3. http://www.utm.my/vicechancellor-zaini-arc/files/2012/04/4.Safaai-Zainura-Projectionof-CO2-
Emission-in-Malaysia.pdf

4. http://ac.els-cdn.com/S1364032114005474/1-s2.0-S1364032114005474-main.pdf?_tid=bd40cc76-
9de2-11e7-8502-00000aab0f27&acdnat=1505898462_93f76220afb91d18fe1394f57fd4c729

5.
https://efit.seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000010100001000110&id=2
832

6. http://www.suncyclopedia.com/en/area-required-for-solar-pv-power-plants/

7. http://www.st.gov.my/index.php/en/download-page/category/116-statistics-
energy?download=626:malaysia-energy-statistics-handbook-2016

You might also like