You are on page 1of 24

SUPER FEDERATION:

IMBASAN SEJARAH PENUBUHAN BERASASKAN SUMBER-SUMBER BRITISH

Oleh

Rohani Hj Ab. Ghani


(rag1162@uum.edu.my)
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Kolej Sastera dan Sains
Universiti Utara Malaysia

Abstrak

Dalam rekod-rekod rasmi British, penubuhan Malaysia juga dikenali sebagai Super
Federation, Greater Malaya, Grand Design dan beberapa nama lain lagi. Sejak awal lagi
kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 telah menjadi motivasi bagi wilayah negara jiran
untuk membebaskan diri dari cengkaman penjajah. Bagi mencapai kemerdekaan dengan lebih
cepat juga, Singapura telah mengambil pendekatan secara jalan pintas untuk mencapai
kemerdekaan dengan bergabung dengan Tanah Melayu melalui penubuhan Malaysia. Secara
perbandingannya, Singapura yang lebih menggesa pemimpin-pemimpin Tanah Melayu
menerima mereka sebagai anggota dalam Persekutuan Malaysia berbanding dengan Sabah dan
Sarawak yang telah telah dipelawa untuk menyertai Persekutuan. Perjalanan penubuhan
Malaysia dipenuhi dengan proses tawar-menawar dalam kalangan pihak yang terlibat. Bagi
Tanah Melayu, mereka perlu mengambilkira beberapa perkara penting sekiranya termasuk soal
perkongsian kuasa politik, masa depan rakyat Tanah Melayu, reaksi British dan cabaran cabaran
lain termasuk pihak yang menentang penyatuan wilayah ini. Kertas kerja ini membincangkan
tentang sejarah penubuhan Malaysia berasaskan sumber-sumber British. Kertas kerja ini
menggunakan pendekatan sejarah klasik manakala rujukan pula terdiri daripada sumber primer
iaitu rekod-rekod British iaitu rekod-rekod Foreign and Commonwealth Office (FCO),
Commonwealth Relations Office (CRO), Prime Minister Office (PREM) dan Foreign Office
(FO). Pada asasnya Super Federation merupakan gagasan yang berasaskan kepada kepentingan
wilayah-wilayah yang terlibat dan mendapat perhatian dan sokongan yang teguh dari kerajaan
British. Dasar British terhadap penubuhan Malaysia mempunyai kaitan langsung dengan
1
kepentingan geo-strategik mereka terhadap negara-negara bekas jajahan khususnya dan Asia
Tenggara amnya.

Kata kunci: Super Federation, Greater Malaya, penubuhan Malaysia, Persekutuan Tanah
Melayu, dasar British.

Pengenalan

Penubuhan Malaysia yang telah dilaksanakan pada 16 September 1963 turut dikenali sebagai
The greater Malaysia dalam versi kerajaan British.1 Ia merupakan sebahagian daripada sejarah
pembinaan negara dan bangsa kita. Gagasan penyatuan geo-politik dunia Melayu ini pernah
wujud sebagai satu impian untuk membentuk nation of intent bagi sebilangan pemimpin di
rantau ini yang bercita-cita untuk menggabungkan wilayah Nusantara ini di bawah satu payung
politik. Selanjutnya zaman pasca Perang Dunia Kedua memperlihatkan persoalan kemerdekaan
menjadi agenda utama bagi negara-negara jajahan di seluruh dunia. Sebagai sebuah negara yang
telah mencapai kemerdekaan yang lebih awal, Persekutuan Tanah Melayu telah menarik minat
negara-negara jiran yang belum mencapai kemerdekaan untuk menyertai penubuhan Malaysia
bagi mencapai kemerdekaan lebih awal. Bagi Tanah Melayu, persoalan utama adalah
bagaimanakah Tanah Melayu perlu bertindak balas terhadap beberapa perubahan yang wujud
berikutan dengan penubuhan federasi baru itu. Dalam pada itu juga gagasan ini menjadi
perhatian khusus bagi pihak British yang pada masa itu dalam proses melaksanakan dasar
dekolonialisasi mereka ke atas tanah-tanah jajahan.

Perkembangan Awal

Menjelang tahun-tahun 1949 dan 1950, Pesuruh-Jaya Jeneral British di Asia Tenggara iaitu
Malcolm MacDonald mengutarakan idea penggabungan Tanah Melayu dengan wilayah sekitar
2
melalui idea pencantuman yang dinamakan sebagai Grand Design.2 Menurut beliau
pencantuman tersebut perlu meliputi British Malayan dan wilayah Borneo. Berasaskan kepada
idea ini, Brunei turut dimasukkan dalam agenda penggabungan ini berasakan kepada sumber
ekonomi negara itu. Mac Donald juga telah menggesa London supaya bersetuju dengan idea
Grand Design yang telah dikemukakannya dan menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan
projek utama bagi British di rantau Asia Tenggara. Namun cadangan tersebut dianggap oleh
pihak Pejabat Jajahan (Colonial Office) sebagai terlalu awal kerana Tanah Melayu sedang
membuat persediaan bagi mencapai kemerdekaan manakala Sabah dan Sarawak pula
memerlukan masa yang lebih lama untuk mencapai kemajuan politik, ekonomi dan pendidikan
sebelum wilayah-wilayah tersebut bersedia untuk bergabung dengan Tanah Melayu. Walau
bagaimana kerajaan British akhirnya bersetuju dengan idea tersebut berasaskan kepada beberapa
kepentingan iaitu:

i. Rancangan ini akan menyelesaikan masalah status perlembagaan bagi wilayah


Borneo British di masa hadapan.

ii. Mampu menghindari cita-cita perluasan kuasa Indonesia dan Filipina ke atas
wilayah jajahan British itu.

iii. Menggelakkan Singapura berada di bawah pengaruh China.

iv. Kemunculan sebuah negara federasi yang stabil mampu untuk mengurangkan
komitmen keselamatan British bagi rantau ini.3

Namun begitu bagi British, rancangan ini mempunyai sedikit masalah apabila Tunku tidak
menunjukkan minat ke arah penggabungan Tanah Melayu dan Singapura. Sikap Tunku telah
digambarkan seperti berikut; By the end of 1958 he was telling the Press that merger was out of
the question and a year later there could be no merger in the foreseeable future because
Singapore had a Left-wing Government and Malaya a Right-wing one.4 Tunku begitu menaruh
kebimbangan terhadap soal imbangan kaum antara orang Melayu dan Cina sekiranya berlaku
3
penggabungan antara Tanah Melayu dan Singapura pada masa itu. Selain dari Tunku, idea
penggabungan ini turut ditentang oleh tokoh-tokoh ultras UMNO. Mereka berpandangan
bahawa kemasukan Singapura ke dalam Malaysia akan memperkukuhkan kedudukan masyarakat
Cina di Tanah Melayu. Bagi British pula, mereka tidak boleh memberikan tekanan kepada Tunku
untuk menerima Singapura kerana Tunku percaya sebarang tolak ansur mengenai penyertaan
Singapura pada masa itu akan mengancam kedudukannya dalam politik. 5 Namun begitu
pendirian Tunku telah agak berubah berikutan dengan perbincangan beliau dengan Malcolm
MacDonald pada tahun 1958. Dalam perbincangan ini, Tunku menyatakan kesediaan untuk
bergabung dengan Singapura sekiranya dalam masa yang sama tiga wilayah Borneo Utara
bergabung dengan Tanah Melayu. Menurut Tunku, walaupun idea penggabungan wilayah
Borneo merupakan satu perkara yang baru bagi namun beliau bersetuju dengan perkara tersebut.
Sementara itu MacDonald pula lebih memberikan penekanan kepada penerimaan rakyat Borneo
terhadap idea ini . Perkara ini dilaporkan dalam rekod British yang antara lain berbunyi;
MacDonald replied that any such statement in public, or even in private, would do more harm
than good. The Borneo people had scarcely begun to consider these long-term solutions and
would resent any outside suggestion that they might want eventually to joint Malaya.6

Sebagaimana yang dinyatakan bada bahagian awal, isu imbangan kaum Melayu dan Cina
merupakan perkara pokok yang difikirkan oleh Tunku, Sehubungan dengan itu, semasa
perbincangan dengan Pesuruh Jaya Tinggi British, iaitu Sir Geofroy Tory, Tunku menyatakan
rakyat peribumi Sabah dan Sarawak sangat penting bagi mengimbangi komposisi bangsa Melayu
dan Cina sekiranya berlaku penggabungan TanahMelayu Singapura. Perkara ini tercatat dalam
rekod British iaitu:

This assessment the Tunku seems to have translated, at least for the benefit of his
Malay supporters if not in his own mind, into a conviction that the Ibans, Dusuns and
other non- Chinese peoples in Borneo were virtually Malays and could be counted as
such in calculations of communal balance within a wider federation.7

Selain dari isu keserumpunan etnik wilayah-wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei yang mirip
dengan Tanah Melayu, Tunku mengemukakan kewajaran tentang penggabungan tersebut sesuai
dilaksanakan berasaskan kepada sejarah politik wilayah-wilayah tersebut yang pernah sama-

4
sama berada di bawah kekuasaan British. Oleh yang demikian, Grand Design merupakan usaha
untuk menggabungkan semula semua British Borneo Territories ke dalam satu ruang pentadbiran
yang sama.

Reaksi Singapura

Berkenaan dengan Singapura pula, negeri itu sebenarnya sejak sekian lama memainkan peranan
yang penting terhadap ekonomi Tanah Melayu. Ia merupakan saluran utama yang membawa
Tanah Melayu ke arena perdagangan dunia. Dalam masa yang sama juga, pulau itu menempatkan
pangkalan pertahanan British dan Komanwel yang utama yang mempunyai kepentingan terhadap
seluruh kawasan timur Aden.8 Sementara itu bagi Singapura, bermula pada tahun 1960, negara
itu telah mengalami peningkatan masalah ekonomi kerana peningkatan populasi penduduk yang
mendadak. Dalam masa yang sama perdagangan entrepot tradisional mereka menghadapi
penurunan apabila Indonesia dan Malaysia mula mengurangkan pergantungan urusan
perdagangan mereka dengan negara itu. Keadaan ini telah mempengaruhi minat pelabur-pelabur
ke atas Singapura. Selain dari itu, bagi pemimpin Singapura, penggabungan Singapura dengan
Malaysia dilihat akan berjaya mengalihkan perhatian perdagangan Borneo Utara yang sebelum
ini tertumpu kepada Hong Kong ke Singapura.

Reaksi Borneo

Bagi wilayah Borneo pula, tidak dapat dinafikan bahawa dalam sekitar tahun 1960-an
pencapaian ekonomi dan politik mereka masih ketinggalan. Walaupun wilayah ini mempunyai
beberapa hasil galian yang berharga namun soal kekurangan tenaga buruh menjadi masalah
utama untuk meningkatkan pengeluaran. Sementara itu kesedaran politik di wilayah Borneo juga
lebih lambat berkembang berbanding dengan wilayah-wilayah jiran. Walau bagaimanapun
beberapa pertubuhan yang bersifat politik yang telah muncul seperti Clandestine Communist
Organization (CCO) dan pada tahun 1959, Parti Bersatu Rakyat Sarawak atau Sarawak United
Peoples Party (SUPP) telah ditubuhkan dicurigai oleh British. Ini kerana pihak British
mendakwa sebahagian dari anggota SUPP mempunyai hubungan dengan CCO. Ia telah
mewujudkan satu ancaman keselamatan terhadap wilayah itu dan kawasan-kawasan sekitar

5
walaupun pada masa itu CCO masih belum berjaya menyusup ke Borneo Utara. Oleh demikian,
soal ancaman komunis ini menjadi persoalan besar bagi keselamatan Sarawak dan turut
dibimbangkan oleh pihak British.9

Walau bagaimana pun, keadaan ini bukan bermakna rakyat di wilayah boleh menerima
idea penggabungan ini dengan mudah. Perkara ini dilaporkan oleh Turnbull kepada Setiausaha
Tanah Jajahan British; Tunku has paid one short visit to Brunei where people are not dissimilar
from Malays of Federation. He has not seen North Borneo and will see very little on Friday.
People here are not kin to, and are very little interested in Federation10 Sehubungan dengan
itu Tunku dinasihatkan agar membatasi ucapan-ucapan yang menyentuh mengenai hubungan
tradisi di antara Tanah Melayu dan Borneo.11 Dalam masa yang sama Tunku menyedari
mengenai minat Filipina dan Indonesia ke atas wilayah Borneo dan Sarawak dan menjangkakan
perkara ini menimbulkan masalah kepada Tanah Melayu. Dalam perbincangannya dengan
Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, beliau menyatakan bahawa perkara tersebut bukan
merupakan sesuatu yang mudah. Tunku seterusnya menyatakan; United Kingdom Government
should be advised that question of future of Borneo territories was bound to be rise before long.
There would almost certainly be tug of war between Philipines[sic]on one hand and Indonesia
on other12

Manakala di Brunei pula pada 29 September 1959, Sultan Brunei telah menandatangani
satu perjanjian baru dengan British yang memberikan hak kepada British untuk mengawal hal
ehwal luar dan pertahanan serta perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan dalaman
negara. Selain dari itu Pesuruh Jaya Tinggi British juga diberikan kuasa dalam menentukan
sesuatu perlantikan jawatan tertinggi dalam kerajaan Brunei. Dalam masa yang sama Sultan
Brunei akan menerima nasihat dari Pesuruh Jaya Tinggi British dalam kebanyakan hal ehwal
pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat Melayu. 13
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, idea pencantuman ini telah menimbulkan rasa kurang
senang dalam kalangan penduduk tempatan. Antara kumpulan yang menentang ialah pemimpin
dan ahli Parti Raayat Brunei iaitu parti yang paling dominan di Brunei. Pada April 1957,
pemimpin parti tersebut iaitu Sheikh A.M. Azahari telah mengadakan satu kongres yang dihadiri
oleh wakil-wakil dari SUPP dan Parti Islam Se Malaysia (PAS). Perwakilan yang menghadiri
kongres ini secara dasarnya bersetuju dengan cadangan bagi penyatuan Borneo dan diikuti
6
oleh persekutuan seluruh Malaya dan PAS bersetuju supaya persekutuan tersebut turut meliputi
Indonesia.

Sementara itu pula bagi Sultan Sir Omar Ali Saifuddin yang pada awalnya sangat teruja
dengan idea percantuman ini. Kesungguhan baginda ditunjukkan dengan kekerapan datang untuk
berbincang dengan Tunku. Di samping itu juga baginda telah membina sebuah istana
persinggahan di Kuala Lumpur. Kadangkala kesungguhan baginda itu kelihatan begitu
mendesak-desak agar baginda dapat turut serta bersama Raja-Raja Melayu lain dalam
Persekutuan. Menurut Tunku minat Sultan Brunei terhadap penggabungan negara itu dengan
Tanah Melayu antara lain disebabkan oleh beberapa faktor:

Sultan felt that incorporation as a Malayan state would alone give him protection he
needed (presumably of his purely Malay way of life and religion). that another factors
weighing with Sultan was prospect which integration would offer him of eventually
becoming Yang Di-Pertuan Agong.14

Namun begitu minat dan kesungguhan pemerintah Brunei ini semakin berkurangan dan akhirnya
Brunei mengambil keputusan untuk tidak menyertai Malaysia.

Ke Arah Penubuhan Malaysia

Bagi negeri-negeri di sekitar Tanah Melayu, kejayaan negara ini mencapai kemerdekaan
telah memberikan inspirasi kepada pemimpin-pemimpin Sabah, Sarawak dan Singapura. Dalam
tahun-tahun awal kemerdekaan Tanah Melayu sebilangan pemimpin Sabah dan Sarawak telah
melawat Kuala Lumpur. Contohnya pada tahun 1958, Datu Mustapha Datu Harun bersama-sama
rombongannya telah datang menemui Tunku bagi menyampaikan hasrat untuk bergabung dengan
Persekutuan Tanah Melayu. Mereka telah datang ke Kuala Lumpur sempena dengan Persidangan
Suruhanjaya Ekonomi bagi Negara Asia dan Timur Jauh (ECAFE). Datu Mustapha begitu
bersungguh-sungguh mahukan percantuman ini menjadi Sepanjang lawatan tersebut mereka
telah ditunjukkan dan diberikan taklimat mengenai kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh
Tanah Melayu sepanjang mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1959, Tunku telah mengadakan
lawatan ke Kucing, Sarawak. Ketibaannya disambut oleh komuniti Melayu wilayah itu.
7
Ucapannya dalam satu majlis yang diadakan bagi lawatan tersebut Tunku menyatakan tentang
kepentingan pendidikan dan keperluan untuk semua bangsa bersatu bagi meningkatkan taraf
hidup bersama. Namun begitu Tunku tidak membuat sebarang ucapan mengenai masa depan
Borneo.15 Dalam masa yang sama, beberapa tokoh bumiputera yang telah menjadi pemimpin
seperti Tuanku Haji Bujang, Abdul Rahman Yaakob, Datok Bandar Abang Openg dan
Temenggung Jugah turut menyatakan hasrat bagi mengadakan perhubungan yang lebih erat
dengan Tanah Melayu.

Bagi Singapura pula, Perdana Menteri pertamanya iaitu Lim Yew Hock pula pernah
mengemukakan hasrat untuk bercantum dan merdeka bersama Tanah Melayu sejak tahun 1956
lagi. Namun idea ini ditolak oleh Tunku Abdul Rahman Putra kerana Tanah Melayu sedang
dalam proses kemerdekaan. Idea yang sama telah muncul kembali setelah Lee Kuan Yew
memimpin Singapura apabila partinya Parti Tindakan Rakyat atau PETIR (Peoples Action Party-
PAP) mencapai kejayaan dalam pilihanraya Parlimen. Bagi Lee Kuan Yew, penggabungan
dengan Tanah Melayu merupakan peluang kemerdekaan bagi Singapura. Perkara ini dinyatakan
oleh Lord Selkirk, Since P.A.P came into power in June 1959, they have consistently advocated
a policy of independence through merger 16

Sehingga akhir tahun 1960-an Tunku masih belum menunjukkan minat terhadap sebarang
rancangan penyatuan dengan Singapura. Bagi Tunku, perbezaan politik Singapura yang dikuasai
oleh pihak kiri berbanding dengan Tanah Melayu yang dikuasai oleh sayap kanan tidak
memungkinkan sebarang penyatuan dengan Singapura kerana Tanah Melayu merupakan sebuah
kerajaan yang anti-komunis kerana mempunyai pengalaman dengan Parti Komunis Malaya
(PKM) semasa tempoh Darurat 1948-1960.

Namun begitu pada Jun 1959, sebaik sahaja PAP yang diketuai oleh Lee Kuan Yew
berjaya menubuhkan kerajaan, pemimpin Singapura itu berpendapat bahawa percantuman
dengan Kuala Lumpur merupakan satu perkara yang penting bagi negara itu mencapai
kemerdekaan penuh dengan lebih cepat. Penyatuan tersebut juga akan mampu menumpulkan
pengaruh kumpulan sayap kiri dalam politik Singapura iaitu Barisan Sosialis yang menjadi
saingan utama kepada PAP. Bagi beliau, dengan kemasukan dalam Malaysia yang anti-komunis,
kerajaan Tanah Melayu akan lebih mampu melaksanakan dasar dan tindakan yang lebih tegas
8
bagi melumpuhkan fahaman komunis. Lee Kuan Yew juga mendakwa sekiranya sayap kiri
berjaya memerintah Singapura maka pangkalan tentera British yang terdapat di negara itu yang
merupakan antara penyumbang utama terhadap ekonomi negara juga akan terjejas.

Perkembangan dalam PAP sebenarnya banyak mempengaruhi minat Lee Kuan Yew untuk
bergabung dengan Malaysia. Tahun-tahun 1959 hingga 1963 memperlihatkan konflik dalam parti
itu akibat dari krisis dalaman di antara kumpulan sederhana dan kumpulan radikal yang dipimpin
dalam PAP. Ia mencetuskan perpecahan yang besar dalam parti pemerintah Singapura. Kumpulan
yang keluar dari PAP yang diketuai oleh Ong Eng Guan dan diikuti oleh ramai ahli PAP yang
lain telah bertanding di kawasan-kawasan ini. Kumpulan serpihan ini telah dibantu oleh
golongan kiri dan bertanding dalam beberapa pilihanraya kecil seperti di kawasan Anson dan
kawasan Hong Lim. Dalam kedua-dua pilihanraya, PAP telah mengalami kekalahan di tangan
Barisan Sosialis. Kekalahan ini merupakan satu tamparan hebat kepada PAP kerana kedua-dua
kawasan sebelum ini merupakan kubu kuat PAP. Bagi Tunku senario politik di Singapura pada
masa ini telah membentuk satu tekanan kepada Lee Kuan Yew untuk menyelamatkan pengaruh
PAP. Mengenai masalah keselamatan Singapura, Tunku menyifatkan pemimpin Singapura itu
memperbesarkan cerita. Sehubungan dengan sikap tidak berminat yang ditunjukkan oleh Tunku
terhadap pelawaan-pelawaan Singapura untuk bergabung dengan Tanah Melayu, Lee Kuan Yew
menggunakan menteri-menteri kanan bagi meyakinkan Tunku.

Namun begitu sikap Tunku telah mula berubah apabila perkembangan politik di
Singapura yang kian menunjukkan dominasi parti politik kiri. Bagi Tunku sekiranya Singapura
jatuh ke tangan komunis maka akan wujud Cuba 3 batu dari Malaysia. Walau
bagaimanapun, Tunku berpandangan bahawa kemasukan Singapura ke dalam persekutuan nanti
adalah sesuatu yang berbahaya jika dinilai dari sudut nisbah penduduk Melayu dan bukan
Melayu pada ketika itu (lihat Jadual 1).

Jadual 1
Jumlah Penduduk Di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak Dan Singapura
Sehingga 31 Disember 1959 17

9
Negeri
Kawasan
Cina India& Lain-lain Jumlah
Batu Melayu
Pakistan
Persegi
Tanah 50,690 3,406,000 2,520,000 767,000 122,000 6,815,000
Melayu
Singapura 225 227,300 1,230,000 137,000 38,300 1,634,000
Borneo 29,837 281,400 106,500 - 41,500 429,400
Utara
Sarawak 47,000 507,000 229,000 - 8,300 744,300
Brunei 2,226 59,200 21,800 - 2,900 83,900
129,978 4,480,000 4,108,000 904,800 213,000

Dalam masa yang sama Lee Kuan Yew memujuk Tunku dengan memberikan alasan
bahawasanya adalah lebih berbahaya sekiranya Singapura berada di luar Malaysia dan dikuasai
oleh komunis. Oleh yang demikian menurut pemimpin Singapura itu, penyatuan antara kedua-
dua negara adalah perlu bagi mengawal keselamatan Singapura dan demi kepentingan ekonomi
bersama. Dalam soal komunis, Lee Kuan Yew dan Tunku sama-sama bersetuju bahawa sekiranya
tidak ada sebarang langkah yang drastik diambil di Singapura maka ancaman komunis boleh
memberikan kesan yang buruk ke atas Malaysia. Bagi mengimbangi nisbah penduduk Melayu
dan bukan Melayu maka Sabah dan Sarawak perlu dimasukkan ke dalam penubuhan Malaysia.
Selain dari itu Malaysia berpegang kepada prinsip dasar luar yang ingin menolong negara-negara
yang sedang dijajah untuk mencapai kemerdekaan. Dalam pada itu juga Tunku berpandangan
bahawa sekiranya kedua-dua wilayah Borneo dimasukkan ke dalam penubuhan Malaysia,
penduduk-penduduk Melayu dan Bumiputera di wilayah itu akan mendapat jaminan melalui
perlembagaan sebagaimana penduduk-penduduk Melayu dan Bumiputera di Tanah Melayu yang
mendapat peruntukan dalam Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Bagi Tunku juga, percantuman
wilayah juga akan memperkukuhkan kerjasama yang telah sedia ada di antara Semenanjung
Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak yang selama ini telah menggunakan mata wang yang
sama di samping telah menjalani proses pertukaran dan latihan pegawai tadbir dan hakim. Di
samping itu pelatih-pelatih perguruan Sabah dan Sarawak turut mendapat latihan perguruan di
Semenanjung Tanah Melayu. Selain dari itu gabungan wilayah Borneo ke dalam Malaysia dilihat
10
sebagai antara usaha yang mampu memajukan wilayah tersebut yang masih mundur dan
menghadapi masalah kekurangan buruh yang serius dalam sektor pertanian dan perladangan.
Dalam pada itu, sebagai sebuah negara yang kaya, Brunei telah bermurah hati memberikan
pinjaman yang berjumlah M$100 juta kepada Malaysia. 18

Rancangan penubuhan Malaysia kemudiannya telah mendapat liputan media antarabangsa


apabila pada 27 Mei 1961 Tunku telah membuat satu ucapan semasa jamuan makan tengah hari
dengan wakil-wakil akhbar asing di Asia Tenggara yang berlangsung di Hotel Adelphi,
Singapura. Tunku dalam ucapannya telah merujuk kepada idea kerjasama Tanah Melayu dengan
wilayah-wilayah jiran seperti di bawah;

Malaya today as a nation realizes that she cannot stand alone and in isolation.
Outside of international politics the national one must be broad base. Sooner or later
she should have an understanding with Britain and the peoples of the territories of
Singapore, Borneo, Brunei and Sarawak. It is premature for me to say now how this
closer understanding can be brought about but it is inevitable that what we should look
ahead to this objective and think of a pelan whereby these territories can be brought
closer together in a political and economic co-operation. 19

Ucapan tersebut dilihat oleh banyak pihak sebagai isyarat ke arah penubuhan Malaysia.

Reaksi dan Usaha-Usaha Politik

Perkembangan seterusnya memperlihatkan reaksi awal yang berbeza dari pelbagai pihak.
Di Tanah Melayu, parti-parti pembangkang iaitu Parti Rakyat dan Parti Islam Se Malaysia (PAS)
meminta Tunku agar berunding dengan parti-parti politik dan mendapatkan sokongan dari media
massa. Di Singapura, Parti Rakyat telah menentang gagasan ini dan menuduh ia sebagai satu
projek neo-kolonialisme. Manakala di Sabah pula Donald Stephen yang pada masa itu
merupakan pengarang Borneo Times telah mengecam Tunku. Sementara itu di Sarawak, semua
parti politik telah menentang cadangan ini dan ia diketuai oleh Stephen Yong. Kebanyakan
tokoh-tokoh politik di Sarawak dan Sabah merupakan tokoh-tokoh yang baru muncul dan
memimpin barisan politik di negeri itu. Mereka antara lain seperti Donald Stephen dan Tun Datu
11
Mustapha bin Datu Harun. Di Sarawak selain daripada Stephen Yong, tokoh-tokoh lain ialah
Ong Kei Hui iaitu pengerusi (Sarawak United Peoples Party (SUPP) dan Temenggung Jugah
anak Barieng iaitu seorang pemimpin Dayak yang juga merupakan Yang Dipertua Parti Negara
Sarawak (PANAS).

Kebanyakan dari mereka turut mempunyai kesedaran politik dan ingin membebaskan
negeri masing-masing dari cengkaman penjajahan British. Apabila Tunku mengemukakan
cadangan penubuhan Malaysia, sebahagian dari mereka menyangka bahawa rancangan tersebut
lebih merupakan satu rancangan penjajahan semula bagi menggantikan kuasa British. Perkara
yang sama juga berlaku di Brunei apabila pemimpin Parti Rakyat negeri itu iatu A.M. Azahari
juga menentang penubuhan Malaysia. Sehubungan dengan itu pemimpin-pemimpin ini telah
bekerjasama bagi membentuk Barisan Bersatu atau United Front pada Julai 1961 bagi mencabar
rancangan penubuhan Malaysia. Sementara itu di Singapura pula Parti Rakyat menentang
gagasan ini dan mendakwa ianya sebagai bersifat neo-kolonialisme. Manakala beberapa parti
lain seperti PAP sendiri menyatakan sokongan terhadap perkara. Ini kerana bagi Lee Kuan Yew
(pemimpin PAP), rancangan penubuhan Malaysia akan mempercepatkan kemerdekaan
Singapura. Perkara yang sama turut mempengaruhi sokongan dari Parti Liberal dan Parti Buruh.
Kerajaan Singapura akhirnya mengeluarkan satu Kertas Putih atau White Paper iaitu Surat
Perintah No. 33, 1961 iaitu persetujuan terhadap penggabungan dalam Malaysia dan diluluskan
oleh Majlis Undangan Singapura pada Disember 1961.20

Walaupun pada peringkat awal Sabah, Sarawak dan setengah pihak di Singapura menentang
penubuhan Malaysia namun sikap tersebut agak berubah apabila wakil Tanah Melayu yang telah
hadir di Persidangan Parlimen Komanwel yang diadakan di Singapura pada Julai 1961.
Perwakilan Malaysia diketuai oleh Abdul Hamid Khan dan Zainal Abidin Sulong. Kesempatan
ini digunakan oleh mereka untuk menerangkan tujuan penubuhan Malaysia. Ia telah memberikan
pemahaman yang lebih baik di kalangan wakil-wakil dari Sabah, Sarawak dan Singapura. Selain
dari itu Ghazali Shafie juga telah turut mengadakan perbincangan dengan tokoh-tokoh dari
Singapura, Sabah dan Sarawak dan mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang akan
dikendalikan oleh Donald Stephen. Hasil daripada perbincangan di kalangan mereka, satu

12
persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan JawatanKuasa Perundingan Perpaduan Malaysia
(JPPM) atau Malaysian Solidarity Council Committee (MSCC).

Dalam pada itu juga pada Jun 1961 Tunku telah melawat Sarawak dan Borneo Utara dan diikuti
oleh satu lawatan lain ke Brunei pada awal Julai. Ia merupakan satu lawatan muhibah dan
bertujuan memberi penjelasan bahawa penubuhan Malaysia bukannya untuk membesarkan
wilayah Tanah Melayu dan menambahkan penguasaan orang Melayu terhadap Malaysia.
Langkah Tunku ini menunjukkan kesungguhannya dalam mencari jalan ke arah merealisasikan
penubuhan Malaysia. Lord Perth menyatakan; He wanted the British Government to know that
he would be prepared to face such a happening although it would give him a great number of
headaches.21 Hasil dari lawatan dan penerangan ini telah berjaya mengurangkan kekeliruan dan
kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat di Sarawak dengan Borneo Utara. Walaupun
Tunku berjaya menyakinkan rakyat Sabah dan Sarawak, beliau gagal dalam mendapatkan
kepercayaan rakyat Brunei. Malah Tunku telah dikecam oleh A.M. Azahari dan menganggapnya
sebagai cubaan untuk menjatuhkan maruah kerajaan Brunei.

JPPM telah ditubuhkan pada 23 Julai 1961 dan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Jawatan
kuasa ini berperanan untuk mendapatkan persetujuan daripada pemimpin-pemimpin Singapura,
Sabah dan Sarawak. JPPM juga berperanan memberikan penerangan yang berkesan mengenai
penubuhan Malaysia kepada para pemimpin Sabah, Sarawak dan Singapura serta Brunei.
Pembentukan jawatankuasa ini memberikan kesan yang besar kerana telah membuka jalan
kepada perundingan-perundingan seterusnya yang diadakan di bandar-bandar
Jesselton, Kuching, Kuala Lumpur dan Singapura.

Wakil Persekutuan Tanah Melayu ialah Mohamed Ismail Mohd. Yusof dan Ong Yoke Ling
manakala Singapura diwakili oleh Lee Kuan Yew. Dalam rundingan yang pertama Brunei
tidak menghantar wakil kerana kesuntukan masa. Seterusnya dalam rundingan-rundingan
berikutnya perwakilan negeri itu diketuai oleh Datuk Setia Pengiran Ali. Pada akhirnya
perwakilan Brunei menyatakan mereka tidak mempunyai minat untuk menyertai Malaysia.

Perbincangan-perbincangan yang berlangsung dalam mesyuarat JPPM lebih bertujuan


untuk memperincikan keperluan Borneo Utara dan Sarawak yang bakal terlibat dalam

13
penubuhan Malaysia.22 Dalam pada itu, sokongan daripada pemimpin-pemimpin Borneo Utara
dan Sarawak telah semakin bertambah berikutan dengan penerangan-penerangan yang diberikan
sepanjang sesi perbincangan dalam JPPM dan juga lawatan-lawatan mereka ke Semenanjung
Tanah Melayu. Mereka amat berpuas hati dengan pencapaian pembangunan negeri di
Semenanjung setelah mencapai kemerdekaan berbanding dengan pembangunan di negeri
mereka. Setelah mengadakan empat kali pertemuan, JPPM telah berjaya membentuk satu
memorandum persetujuan iaitu:

i. Satu suruhanjaya dibentuk bagi meninjau pandangan rakyat Borneo Utara


dan Sarawak terhadap cadangan penubuhan Malaysia.
ii. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dijadikan asas kepada
perlembagaan Malaysia.
iii. Mempunyai sebuah kerajaan persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam
bidang perhubungan luar, pertahanan serta keselamatan.
iv. Perwakilan dalam parlimen tidak berasaskan ramainya penduduk di
dalam sesebuah kawasan tetapi luas kawasan yang diambil kira.
v. Pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajan negeri dipersetujui
tetapi Borneo Utara dan Sarawak diberi beberapa keistimewaan termasuk
dalam bidang imigresen.
vi. Islam dijadikan agama rasmi.
vii. Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi
viii. Kedudukan istimewa bumiputera Borneo Utara dan Sarawak dikekalkan.23

Namun terdapat sesetengah pihak yang masih menentang rancangan ini dan menyebarkan
propaganda seperti di Sabah, Parti Bersatu (UP) dan Parti Liberal yang bersifat perkauman dan
berusaha menggagalkan rancangan ini. Di Sarawak pula, SUPP mengadakan penentangan
bersama-sama dengan puak pelampau Cina dari kumpulan CCO. Mereka bertindak menghasut
dan menampal poster anti Tunku (Malaysia) sewaktu JPPM mengadakan perbincangan di
Kuching.

Serentak dengan perkembangan JPPM ini, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu,


Singapura dan British terus bertindak dalam bidang dan peringkat bersama atau masing-masing.

14
Misalnya pada 23 Ogos 1961, Tunku dan Lee Kuan Yew telah bersetuju pada dasarnya untuk
mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura. Di Kuala Lumpur pula Tunku
telah membentangkan cadangan penubuhan Malaysia di Parlimen pada 16 Oktober 1961.
Cadangan ini mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan. Demikian juga dengan Sultan
Brunei yang telah bertitah dalam Majlis Mesyuarat Negeri pada 5 Disember 1961 yang
kemudiannya telah ditubuhkan satu Jawatankuasa Suruhanjaya bagi mendengar dan mengumpul
pandangan dan pendapat rakyat tentang rancangan Melayu Raya. Manakala di peringkat kerajaan
negeri Borneo Utara dan Sarawak pula telah mengeluarkan Kertas Putih yang bertajuk Borneo
Utara dan Malaysia pada 31 Januari 1962 dan Malaysia dan Sarawak pada 4 Januari 1962 yang
bertujuan memberi penerangan kepada rakyat tentang buruk-baiknya penubuhan Malaysia.
Mereka diminta supaya mengemukakan pandangan kepada suruhanjaya penyiasat nanti. Pendek
kata persiapan dan persediaan bagi membolehkan Suruhanjaya Penyiasat melakukan pertemuan
dengan seramai mungkin rakyat telah juga dipersiapkan.

Suruhanjaya Cobbold

Bagi mendapatkan persetujuan dan pandangan dari pihak rakyat pula. kerajaan British dan Tunku
telah mengadakan satu perundingan di London bagi membentuk satu suruhanjaya bebas bagi
mendapatkan cadangan-cadangan bagi kedudukan Sabah dan Sarawak dalam penubuhan
Malaysia nanti. Rekod British menyatakan;

U.N. Secretary-General should be requested to send working teams to North


Borneo and Sarawak to ascertain prior to the establishment of the Federation of
Malaysia the wishes of the people of Sabah (North Borneo) and Sarawak within the
context of Generaly Assembly Resolution 1541 (15), principle 9 of the annex, by a fresh
approach, which in the, which in the opinion of the Secretary-General is necessary to
ensure complete compliance with the principle of self-determination24

Sehubungan dengan itu, pada 16 Januari 1962, Tunku dan Sir Harold Mac Millan bersetuju untuk
menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara dan Sarawak yang dikenali dengan nama
Suruhanjaya Cobbold. Lord Cobbold iaitu bekas Gabenor Bank of England telah dilantik
menjadi pengerusi dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Sir David Watherston iaitu bekas Ketua

15
Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan Sir Anthony Abell iaitu bekas gabenor Sarawak) bagi
pihak kerajaan Inggeris dan Ghazali Shafie yang pada masa itu merupakan Setiausaha Tetap
Kementerian Luar negeri serta Datuk Wong Pow Nee yang merupakan Ketua Menteri Pulau
Pinang bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Manakala Setiausaha suruhanjaya ini
ialah seorang pegawai dari Pejabat Jajahan London iaitu J.H. Harris. Tugas-tugas suruhanjaya
ialah memastikan pandangan-pandangan rakyat Borneo Utara dan Sarawak mengenai penubuhan
Malaysia dan membuat cadangan-cadangan berasaskan kepada syor-syor yang telah diberikan.
Kumpulan suruhanjaya ini telah tiba di Kuching pada 19 Februari 1962 untuk memulakan tugas
mereka. Brunei tidak ada dalam skop rangka kerja suruhanjaya tetapi anggota suruhanjaya telah
menemui Sultan Brunei pada 11 Mac 1962.25

Hasil dari lawatan dan siasatan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah dapat mengadakan lima
puluh kali perjumpaan di tiga puluh lima tempat (dua puluh tempat di Sarawak dan lima belas di
Borneo Utara). Seramai lebih dari 4,000 orang yang terdiri dari 690 kumpulan besar dan kecil
telah hadir mengadakan pertemuan dengan suruhanjaya. Semasa dalam siasatan juga,
suruhanjaya telah mempelawa orang ramai untuk menghantar surat atau memorandum. Hasilnya
sejumlah hampir 600 pucuk surat diterima di Borneo Utara dan lebih 1600 pucuk surat dan
memorandum diterima di Sarawak. Surat-surat dan memorandum-memorandum ini dihantar oleh
lembaga-lembaga bandaran, majlis daerah, parti politik, persatuan dan pertubuhan, dewan
perniagaan dan perdagangan, pemimpin agama, ketua kaum dan sebagainya. Sesuatu yang
menarik dari memorandum Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) ialah nama
bagi Borneo Utara hendaklah dikenali dengan nama Sabah. Pihak suruhanjaya juga mendapati
tugas mereka berjalan dengan baik kerana penerangan dari kedua-dua Kertas Putih (mengenai
penubuhan Malaysia) yang telah disiarkan terlebih dahulu yang telah membantu pemahaman
rakyat umum mengenai perkara tersebut.

Seterusnya hasil dari siasatan yang telah dijalankan oleh pihak suruhanjaya, 1/3 dari
penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia dengan segera tanpa syarat.
Manakala 1/3 lagi kebanyakannya menyokong penubuhan dengan meminta diadakan berbagai
syarat dan jaminan supaya percantuman nanti akan memberi faedah kepada negeri dan kerajaan
persekutuan bertambah kuat. Kelompok 1/3 lagi terbahagi kepada dua iaitu satu kelompok
mahukan kemerdekaan terlebih dahulu dan satu kelompok lagi mahukan kerajaan British terus
16
mengekalkan pemerintahan untuk beberapa tahun akan datang. Pihak ini disifatkan sebagai
kumpulan minoriti dalam jumlah rakyat iaitu kira-kira 20 peratus dari keseluruhan penduduk
yang memberikan pandangan mereka. Lord Cobbold telah kembali ke London pada 19 April
1962 dan suruhanjaya telah bersidang sekali lagi di Knebworth pada awal Mei untuk
menyediakan laporan.26 Laporan tersebut siap sepenuhnya pada Jun dan diserahkan kepada
kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu pada Julai 1962.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British telah membuat pertimbangan yang teliti tentang
laporan dan syor dari suruhanjaya tersebut. Tunku, Tun Abdul Razak dan Tun Tan Siew Sin
bekerja keras dalam perundingan itu bagi menjayakan penubuhan Malaysia berasaskan syor
suruhanjaya yang terdapatnya beberapa perbezaan kecil dari perakuan tersebut. Satu kata sepakat
telah dicapai dan perjanjian mengenai pembentukan Malaysia telah ditandatangani oleh Tunku,
Tun Abdul Razak dan Tun Tan Siew Sin bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Manakala Sir Harold MacMillan, Earl of Landsdowne, Lord Duncan Sandys, Sir William Goode
dan Sir Alex Waddell menandatangani bagi pihak Kerajaan Inggeris pada 1 Ogos 1962.
Persetujuan ini akan memindahkan kedaulatan negeri Borneo Utara, Sarawak dan Singapura oleh
Kerajaan Inggeris kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh rasmi yang dipilih ialah
31 Ogos 1963 iaitu serentak dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia.

Jawatankuasa Antara Kaum

Seterusnya bagi merangka syarat-syarat pembentukan sebuah negara persekutuan secara


terperinci, satu persetujuan telah dicapai bagi membentuk sebuah jawatankuasa yang dikenali
sebagai Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee). Pengerusi
jawatankuasa ini ialah Lord Lansdowne yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Bagi Tanah
Jajahan dan Tun Abdul Razak yang berperanan sebagai timbalan pengerusi telah berangkat ke
Borneo untuk mengendalikan perbincangan bersama-sama para ekspatriat dari wilayah tersebut
untuk merangka perlembagaan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pertahanan. 27

Objektif utama jawatankuasa ini ialah untuk merangka dan meneliti Perlembagaan
terutama yang berkaitan dengan hak dan kepentingan penduduk dari Borneo. Sebanyak lima
jawatankuasa kecil telah ditubuhkan bagi meneliti hal ehwal perlembagaan, kewangan,
perundangan dan kehakiman, perkhidmatan awam dan penyusunan organisasi jabatan. Sebanyak
17
dua puluh empat kali mesyuarat (termasuk dua belas kali mesyuarat jawatankuasa kecil) telah
diadakan bagi penyelarasan tugas ini dari 30 Ogos sehingga 20 Disember 1962. Mesyuarat
persediaan dan yang pertama telah diadakan di Jesselton manakala mesyuarat terakhir
berlangsung di Kuala Lumpur. Antara perkara yang telah dipersetujui yang terkandung dalam 20
Perkara bagi Borneo Utara dan Sarawak adalah perkara yang berkaitan dengan agama,
pendidikan, bahasa, imigresen, kerakyatan, perwakilan negeri ke Parlimen, Perlembagaan
Negeri, kuasa membuat undang-undang, tanah, Majlis Negara bagi kerajaan tempatan,
pilihanraya, kehakiman, perkhidmatan awam, bahasa Kebangsaan, Hak-hak Istimewa
Bumiputera dan sebagainya.

Laporan ini kemudiannya telah menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan negeri
Borneo Utara dan Sarawak. Jawatankuasa Antara Kerajaan telah berjaya menyelesaikan tugas
dan mengemukakan laporan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Britain, Borneo Utara
dan Sarawak. Kedua-dua Majlis Undangan Negeri Sarawak dan Borneo Utara telah menerima
dan meluluskan laporan jawatankuasa ini pada 8 dan 13 Mac 1963. Ia kemudiannya menjadi asas
kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London pada 9 Julai 1963.28

Referendum di Singapura

Berbalik pula kepada perbincangan mengenai Singapura, sebagai sebuah negeri yang telah
mencapai taraf berkerajaan sendiri, ia tidak terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Penyiasat dan
juga dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan. Singapura telah memutuskan untuk bersama dalam
penubuhan Malaysia melalui Kertas Putih iaitu Perintah 33, 1961 dan diluluskan oleh Majlis
Undangan Singapura pada bulan Disember 1961. Meskipun begitu, pihak pembangkang terus
membuat kempen menentang dan mendakwa penubuhan Malaysia akan mewujudkan penjajahan
baru dan rakyat Singapura akan menjadi rakyat kelas kedua. Sebagai satu tindak balas,
kerajaan telah menetapkan satu referendum atau pemilihan yang dibuat oleh rakyat berasaskan
satu dari tiga ketetapan iaitu:

i. Pilihan Pertama: Bercantum dengan syarat yang telah dipersetujui oleh kerajaan pada
November 1961.
ii. Pilihan Kedua: Bercantum dengan tidak bersyarat seperti sebelas buah negeri Melayu
dalam Persekutuan
18
iii. Pilihan Ketiga: Bercantum dengan syarat yang tidak kurang dari yang diberikan
kepada wilayah Borneo.

Tindakan kerajaan Singapura ini telah menyebabkan parti pembangkang yang terdiri dari Barisan
Sosialis yang didakwa sebagai pro-komunis telah membuat bantahan dan menuduh kerajaan
tidak memberi peluang kepada rakyat untuk memutuskan penerimaan rangka Perlembagaan baru
itu. Mereka juga telah membuat aduan kepada United Nation Committee on Colonialism.
Sehubungan dengan tindakan ini Lee Kuan Yew berlepas ke New York bagi membuat penjelasan
pada 27 Julai 1962. Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menerima penjelasan
pemimpin Singapura itu dengan sepuluh lawan dua dan lima berkecuali. Apabila diadakan
pungutan suara pada 1 September kemudiannya, ternyata 71 peratus pengundi menyokong
pilihan pertama. Pihak pembangkang menentang referendum ini dengan cara mereka sendiri
sebagaimana yang dicatatkan dalam rekod British yang antara lain adalah seperti berikut; The
Opposition however, apart from the Alliance, called on their supporters not to mark their ballot
papers and 26 per cent of the ballots cast were blank .29

Pengisytiharan Malaysia

Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di antara kerajaan British, Persekutuan


Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura pada 9 Julai 1963 di Malborough House
London. Pihak Kerajaan Britain diwakili oleh Sir Harold MacMillan, Sir Duncan Sandys dan Sir
Landsdowne. Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun
Haji Abdul Razak Hussain, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T. Sambanthan. Tan Sri Omar Yoke Lin dan
S.A. Lim. Borneo Utara diwakili oleh Datu Mustapha Datu Harun, Donald A. Stephens, W.K.H.
Jones, Khoo Siak Choo, W.S. Holley dan G.S. Sundang. Sarawak pula diwakili oleh P.E.H. Pike,
Temenggong Jugah anak Barieng, Dato Bandar Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan
Dato Abang Haji Openg. Akhir sekali ialah Singapura yang diwakili oleh Lee Kuan Yew dan
Goh Keng Swee. Perjanjian ini mengesahkan peralihan kuasa negeri jajahan dan naungan British
kepada Persekutuan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Ia telah disahkan oleh Parlimen British pada
19
31 Julai, Dewan Undangan Singapura pada 2 Ogos, Majlis Undangan Sabah pada Ogos dan
Majlis Undangan Sarawak pada bulan yang sama. Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah
meluluskan Akta Malaysia untuk pindaan Perlembagaan pada 26 Ogos untuk diguna pakai pada
31 Ogos 1963.30 Penubuhan Malaysia telah diisytiharkan pada 16 September 1963 serentak di
seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Singapura, Kuching dan Jesselton.

Penutup

Dalam memoir mereka, baik Tunku, Tun Ghazali Shafie mahupun Lee Kuan Yew, mereka
masing-masing mengutarakan pandangan tentang penubuhan Malaysia. Federasi ini merupakan
satu usaha diplomatik yang sebenarnya mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat
dari segenap lapisan iaitu peringkat pemimpin dan rakyat dan dipantau oleh pihak antarabangsa.
Usaha-usaha perundingan yang memakan masa sepanjang tempoh lebih dari dua tahun
memperlihatkan ketelitian dan kesungguhan pemimpin-pemimpin yang terlibat. Pendekatan
demokrasi yang digunakan sepanjang tempoh penubuhan membuktikan bahawa penubuhan
Malaysia bukan merupakan satu paksaan malah ia adalah satu tawaran untuk hidup bersama
secara aman, perkongsian kemakmuran bersama dan adil di bawah satu bumbung sistem
pentadbiran dan pemerintahan. Federasi baru ini juga berasaskan kepada jaminan-jaminan
khusus terhadap kepentingan dan masa depan rakyat di Singapura, Sabah dan Sarawak
sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Bagi British, penubuhan Malaysia
merupakan satu agenda yang paling pragmatik yang mampu memberikan jaminan kepada
wilayah-wilayah bekas jajahan dari segi perlembagaan dan keselamatan. Komitmen British ini
boleh dikaitkan dengan peranan sejagat (world role) yang dilaksanakan oleh kuasa besar itu
dalam politik antarabangsa manakala peranan mereka sepanjang proses penubuhan disifatkan
sebagai honest broker.

Senarai Rujukan

20
CO 1030/608. (1958). Outward telegram dari Singapura ke Pejabat Luar, no. 210, 27 December.
CO 1030/608. (1958). Telegram kepada Setiausaha Tanah Jajahan di London, no. 272, 29
Disember.

CO 1030/608. (1958).Inward telegram dari Kuala Lumpur ke CRO, no. 965, 31 Disember.

CO 1030/608. (1959). Inward telegram dari Sir A. Abell kepada Setiausaha Tanah Jajahan, no.
C.10, 10 Januari.

CO 1030/608. (1959).Surat dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur ke Pejabat
Perhubungan Komanwel, 502/128/1, 14 Oktober.

CO 1030/608. (1960). Note of my talk with Tunku Abdul Rahman, 10th Jun.

CO 1030/608. (1961). Singapore, the Malayan Federation and the Borneo Territories, (C.P.C.(61)
9), 17 April .

CO 1030/608. (1961). Surat, No. 4 ( R1041/82/61), 27 June.

DEFE 25/154, (tanpa tarikh). British Defence Policy in South-East Asia.

FCO 51/154 . (1970) The Tunkus view of Borneo, , RR7/1, 10 Julai.

FCO 51/154 . (1970). The Tunku and Singapore, RR 7/1, 10 July.

FCO 51/154 . (1970). VII. Agreement in Principle, 1962, The Referendum in Singapore,
Research Department Memorandum, The Origin and Formation of Malaysia, RR 7/1, 10
Julai.

FCO 51/154 . (1970)Negotiation of the Agreement, XII. The Inter-Governmental (Lansdowne)


Committee, Research Department Memorandum, The Origin and Formation of
Malaysia, RR 7/1, 10 Julai.

FCO 51/154. (1970). XIV. The Malaysia Agreement, The Malaysia Agreement, 9 July1963,
RR 7/1, 10 Julai.

21
FCO 51/154. (1970). Initial Ideas on a Grand Design, The Singapore White Paper, November
1961, RR 7/1, 10 Julai.

FCO 51/154. (1970). The Cobbold Commission, Research Department Memorandum, The
Origin and Formation of Malaysia, RR 7/1, 10 Julai.

FCO 51/154. (1970).The Malaysian Solidarity Consultative Committee, Research Department


Memorandum, The Origin and Formation of Malaysia, RR 7/1, 10 Julai.
FO 371/181490. (1963). Appendix, Agreement concluded between the Presidents of Indonesia
and the Philippines and the Prime Minister of Federation of Malaya, Manila July/August.

PREM 11/ 3418. (1961). Singapore, the Malayan Federation and the Borneo Territories (C.P.C.
(61) 9), 17 April.

PREM 11/ 3418. (1961). Surat daripada Lord Selkirk di Pejabat Pesuruhjaya Jeneral British bagi
Asia Tenggara di Singapura, no. 4, (R1041/82/61).

PREM 11/3418. (1959). Jabatan Statistik Singapura dan Laporan Tahunan, lampiran, Integration
of British North Borneo Territories and Singapore with Federation of Malaya, SR (050)
304 Secret,

PREM 11/3418. (1961). Inward telegram dari Kuala Lumpur ke Pejabat Perhubungan
Komanwel, no. 399, 3 Jun.

PREM 11/3418. (1961). Surat Lord Selkirk kepada Ian MacLeod, no. 4 (R1041/82/61)27 Jun.

PREM 11/3422. (1961). Memorandum, ref: DEF.5702 (V), 18 Oktober.

22
1
Singapore, the Malayan Federation and the Borneo Territories, (C.P.C.(61) 9), 17 April 1961, CO 1030/608.
2
Ibid.
3
Singapore, the Malayan Federation and the Borneo Territories (C.P.C. (61) 9), 17 April 1961, PREM 11/ 3418, NA,
London.
4
The Tunku and Singapore, RR 7/1, 10 July 1970, FCO 51/154, NA, London.
5
Outward telegram dari Singapura ke Pejabat Luar, no. 210, 27 December 1958, CO 1030/608, NA, London.
6
Ibid.
7
The Tunkus view of Borneo, FCO 51/154, RR7/1, 10 Julai 1970., NA, London.
8
British Defence Policy in South-East Asia, DEFE 25/154, NA, London.
9
FCO 51/154, RR7/1, 10 Julai 1970.
10
Telegram kepada Setiausaha Tanah Jajahan di London, no. 272, 29 Disember 1958, CO 1030/608, NA, London.
11
Ibid.

12
Inward telegram dari Kuala Lumpur ke CRO, no. 965, 31 Disember 1958, CO 1030/608, NA, London.
13
Surat Lord Selkirk kepada Ian MacLeod, no. 4 (R1041/82/61)27 Jun 1961, PREM 11/3418, NA, London.
14
Inward telegram dari Kuala Lumpur ke Pejabat Perhubungan Komonwel, no. 399, 3 Jun 1961, PREM 11/ 3418, NA,
London.

15
Inward telegram dari Sir A. Abell kepada Setiausaha Tanah Jajahan, no. C.10, 10 Januari 1959, C) 1030/608, NA,
London.

16
Surat daripada Lord Selkirk di Pejabat Pesuruhjaya Jeneral British bagi Asia Tenggara di Singapura, no. 4,
(R1041/82/61), PREM 11/ 3418, NA, London.

17
Jabatan Statistik Singapura dan Laporan Tahunan, lampiran, Integration of British North Borneo Territories and
Singapore with Federation of Malaya, SR (050) 304 Secret, PREM 11/3418, NA, London.
18
Surat dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur ke Pejabat Perhubungan Komanwel, 502/128/1, 14
Oktober 1959, CO 1030/608, NA, London.
19
Surat, No. 4 ( R1041/82/61), 27 June 196, CO 1030/608, NA, London.
20
Initial Ideas on a Grand Design, The Singapore White Paper, November 1961, RR 7/1, 10 July 1970, FCO 51/154,
NA, London.

21
Note of my talk with Tunku Abdul Rahman, 10th June 1960, CO 1030/608, NA, London.

22
The Malaysian Solidarity Consultative Committee, Research Department Memorandum, The Origin and Formation
of Malaysia, RR 7/1, 10 July 1970, FCO 51/154, NA, London.

23
Memorandum, ref: DEF.5702 (V), 18 Oktober 1961, PREM 11/3422, NA, London.

24
Appendix, Agreement concluded between the Presidents of Indonesia and the Philippines and the Prime Minister of
Federation of Malaya, Manila July/August 1963, FO 371/181490, NA, London.

25
The Cobbold Commission, Research Department Memorandum, the Origin and Formation of Malaysia, RR 7/1, 10
July 1970, FCO 51/154, NA, London.

26
Ibid.

27
Negotiation of the Agreement, XII. The Inter-Governmental (Lansdowne) Committee, Research Department
Memorandum, The Origin and Formation of Malaysia, RR 7/1, 10 July 1970, FCO 51/154, NA, London.

28
Ibid.
29
VII. Agreement in Principle, 1962, The Referendum in Singapore, Research Department Memorandum, The
Origin and Formation of Malaysia, RR 7/1, 10 July 1970, FCO 51/154, NA, London.

30
XIV. The Malaysia Agreement, The Malaysia Agreement, 9 July 1963, RR 7/1, 10 July 1970, FCO 51/154, NA,
London.

You might also like