You are on page 1of 20

Pengenalan :

India merupakan Negara terawal yang muncul melalui kegemilangan tamadunnya iaitu Tamadun
Indus. Pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sejarah tamadun Indus yang menyumbang kepada
proses penubuhan Tamadun Indus. Tamadun Indus telah mencapai tahap kegemilangan semasa
pemerintahan Chandragupta Maurya dan Gupta pada era 320 sm sehingga 600 sm. Era
pemerintahan Chandragupta Maurya dan Gupta telah mencatatkan sejarah dalam Tamadun Indus
sendiri apabila mereka Berjaya mengasaskan sebuah empayar yang kuat pada era tersebut.
Dinasti Maurya bermula pada tahun 324 sm sehingga 184 sm. Menurut sejarah, ia telah
diperintah oleh lapan orang raja. Raja yang pertama adalah Chandragupta manakala yang
terakhir adalah Bridahatra sebelum empayar Gupta muncul. Dinasti Maurya merupakan
pemangkin kepada peningkatan tamadun Indus seterusnya ke dinasti yang lain.

Manakala, dinasti Gupta pula telah menyambung kesinambungan kegemilangan tersebut


dengan melaksanakan pelbagai alternative tersendiri untuk memajukan Tamadun Indus. Di
samping itu, Dinasti Gupta merupakan zaman keemasan Hinduisme dalam sejarah India.
Kegemilangan Dinasti Maurya dan Gupta wujud dalam jangka masa yang berbeza tetapi ia
merupakan penyumbang terbesar dalam sejarah Tamadun Indus dari segi politik dan pentadbiran,
sosial, ekonomi serta kebudayaan.
2.0 Sumbangan-sumbangan Kerajaan Maurya dan Gupta

2.1 Dasar Peluasan Kuasa dan Wilayah

Dasar peluasan kuasa dan wilayah merupakan satu perkara yang penting dilakukan oleh sesebuah
empayar dalam usaha untuk mengembangkan lagi empayar agar menjadi empayar yang teragung
di dunia. Kemunculan Kerajaan Maurya dalam sejarah india telah mengukir satu sejarah baru
apabila pemerintahnya memainkan peranan yang dominan dalam bidang pentadbiran. Dasar-
dasar baru telah diperkenalkan bagi meluaskan lagi kuasa dan wilayah India. Misalnya, semasa
pemerintahan Kerajaan Maurya iaitu Chandragupta Maurya telah meluaskan lagi kuasa dan
wilayah India. Beliau telah Berjaya menyingkirkan Alexander The Great yang sebelum ini telah
berusaha untuk menguasai tanah India. Oleh itu berlaku banyak pertempuran yang berlaku bagi
mempertahankan kuasa masing-masing.

Selain itu, Maurya turut meluaskan kuasanya sehingga merangkumi seluruh India Utara
hingga ke dataran Deccan di barat hingga ke Sauras. Empayar Maurya mula wujud setelah beliau
Berjaya menyingkirkan orang Handa yang pernah merampas kerajaan bapanya. Setelah
mewujudkan empayar tersebut, Maurya telah memilih Pataliputra sebagai pusat
pemerintahannya. Beliau juga Berjaya mengembangkan lagi empayar Maurya ke Utara India
termasuk Afghanistan. Semasa di Afghanistan, Maurya telah Berjaya menyingkirkan tentera
Greek di bawah pimpinan Jeneral Iskandar. Selain itu, Maurya juga telah menyerang Selatan
India dan menawan Mysore. 1Di samping itu, semasa empayar Maurya di ambil alih oleh Asoka,
beliau telah menawan Kalinga. Hal ini menyebabkan empayar Maurya telah bertambah luas iaitu
meliputi seluruh benua kecil India sehingga ke Afghanistan.

Dasar peluasan kuasa dan wilayah juga turut dilihat dalam empayar Gupta. Empayar Gupta
merupakan kesinambungan daripada empayar Maurya. Pada awal abad ke 4 sm, Puteri
Lichchhavi telah berkahwin dengan raja di Magadha dengan menggunakan nama Chandragupta. 2
Perkahwinan antara kedua-dua negeri ini telah mengukuhkan lagi kuasa Chandragupta untuk

1 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab


Mahal.hal.175.
meluaskan lagi kuasa dan wilayah dari Ganges sehingga ke Prayaga. Selain itu juga,
Samudragupta juga merupakan pemerintah yang begitu cemerlang dalam kariernya selepas
Asoka. Beliau juga Berjaya meluaskan kuasa dan pengaruhnya ke Utara India sehingga ke
kawasan pergunungan tetapi tidak sampai ke Kashmir. Selain itu, beliau juga telah mendapat
pengiktirafan daripada puteri Kushan apabila beliau telah Berjaya mengumpulkan pembesar-
pembesar Saka daripada Sinhalese.3 Hal ini telah menyebabkan beliau sangat terkenal dan
dihormati pada ketika itu.

Jika dilihat segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan Maurya dan Gupta, kedua-dua kerajaan
telah memberikan sumbangan dalam proses pembentukan tamadun India. Dasar peluasan kuasa
dan wilayah yang dilakukan kedua-dua kerajaan telah membentuk kawasan India yang besar
seperti mana yang terdapat pada hari ini. Walaupun pada peringkat permulaan India telah
ditawan oleh mana-mana kuasa asing seperti Greek, Persia dan sebagainya ia tidak mematahkan
matlamat kedua-dua kerajaan untuk mempertahankan tanah air masing-masing. Kekuatan dan
kebijaksanaan pemerintah juga disokong oleh semangat mempertahankan tanah air daripada
tentera-tenteranya. Tambahan lagi, organisasi ketenteraan yang kuat di bawah pimpinan Maurya
merupakan salah satu factor kejayaan empayar Maurya meluaskan lagi kuasa dan wilayahnya.
Apabila Maurya di bawah pimpinan Asoka, berlaku perbezaan dalam dasar perluasan kuasa dan
wilayah. Walaupun pada mulanya, Asoka masih mengamalkan cara kuku besi untuk menawan
sesebuah wilayah, tetapi akhirnya beliau mengamalkan dasar lembut dan terbuka apabila
menyedari kesilapan yang beliau lakukan yang menyebabkan penderitaan kepada jutaan rakyat.
Kemenangan Asoka ke atas Kalinga telah menandakan seluruh kawasan india di bawah empayar
Maurya. Oleh itu, Maurya dianggap sebagai penyelamat kepada India daripada terus dikuasai
oleh kuasa-kuasa asing yang lain. Kesinambungan dasar ini telah diteruskan lagi pada zaman
Gupta Cuma bezanya cara pelaksanaan Gupta sahaja. Oleh itu, sumbangan kerajaan Maurya dan
Gupta sangat penting dalam proses pembentukan tamadun Indus.

2 Vincent.A.Smith.1958.The Oxford History of India.London:Oxford University


Press.hal.166.

3 Vincent.A.Smith.1958.The Oxford History of India.London:Oxford University


Press.hal.166.
2.2 Politik

Institusi politik merupakan perkara asas dalam kegemilangan sesebuah empayar. Tanpa adanya
institusi politik yang kukuh, sesebuah empayar tidak mungkin akan mencapai kegemilangan
seperti yang berlaku dalam zaman kemunculan empayar Maurya dan Gupta. Kedua-dua kerajaan
ini mencapai taraf empayar apabila keberkesanan pelaksanaan institusi politik yang berkesan dan
cekap. Kebolehan dan ketokohan pemerintah-pemeritah Maurya dan Gupta telah mencatatkan
sejarah dalam tamadun india purba.

Kemunculan empayar Maurya pada 321 sm telah membangkitkan perjuangan orang India
menentang orang asing yang datang ke tanah air mereka. Pada ketika itu Chandragupta telah
menggulingkan empayar Magadha yang di bawah kekuasaan orang Aryan pada tahun 321 sm. 4
Kejayaan Chandragupta ini telah melahirkan empayar Maurya yang merupakan empayar yang
paling gemilang dalam sejarah india purba. Menurut sejarah, empayar Maurya dipercayai
bermula daripada Teluk Benggala ke pergunungan Hindu Kush dan menjadikan Pataliputra
sebagai ibu kotanya yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Selain itu, Chandragupta Berjaya
menyatukan negeri-negeri kecil di utara India yang bertujuan untuk menundukkan ancaman
Yunani yang menggugat kestabilan politik sesebuah empayar. Beliau telah membuat perjanjian
dengan Seleucos Nikator untuk membebas India daripada kuasa asing dengan menawarkan 500
ekor gajah.5

Dalam pemerintahan Chandragupta, beliau telah mengamalkan system pemerintahan bercorak


monarki atau mutlak iaitu pewarisan tahkta. Hal ini bermakna, pemerintahnya merupakan
berbentuk warisan iaitu dari satu generasi ke generasi seterusnya. Dalam pentadbiran beliau telah
4 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab
Mahal.hal.173.

5 O.D.P.Sihombing.1953.India Sedjarah dan Kebudajaannja.Bandung:N.V.Penerbitan


W.Van.Hoeve.hal.51.
melantik Kautilya sebagai Perdana Menteri. Kautilya merupakan orang yang paling penting
dalam pentadbiran sehingga beliau telah menghasilkan Arthasastra iaitu buku berkisar politik,
ekonomi dan sosial India. Chandragupta telah membahagikan empayarnya kepada lima wilayah.
Setiap wilayah akan ditadbir oleh gabenor yang dilantik. Segala apa yang berlaku dalam wilayah
akan dilaporkan kepada kerajaan pusat. Beliau turut memantau pergerakan dan pemerintahan
gabenor yang dilantiknya dengan mengupah pengintip dan detektif. 6 Hal ini bertujuan untuk
mengelakkan berlakunya pembebasan wilayah berlaku. Tambahan lagi, kensep mandala turut
ditekankan iaitu raja yang kuat harus menundukkan dan menguasai kerajaan yang lemah.
Kesannya, empayar India begitu luas kerana semua kerajaan tunduk di bawah empayar Maurya.
Selain itu, beliau merupakan seorang raja yang berhati-hati. Hal ini terbukti apabila, segala
makanan yang disajikan kepada raja harus dicuba dahulu oleh pengawalnya bagi mengenalpasti
samaada makanan tersebut selamat dimakan atau tidak. 7 Semua yang ingin berjumpa dengan
beliau harus diperiksa oleh pengawal terlebih dahulu. Beliau juga terlibat aktif dalam
pentadbiran walaupun mempunyai pegawai-pegawai yang terlatih seperti mendengar laporan
harian daripada pegawai dan sebagainya. Namun begitu, kebijaksanaan beliau telah memberi
sumbangan yang besar kepada pembentukan tamadun Indus.

Seterusnya, empayar Maurya telah beralih kepada tangan Asoka pada tahun 273 sm.
Beliau digambarkan sebagai raja yang berperikemanusiaan dan telah memerintah selama 40
tahun. Begitu juga dengan Asoka beliau turut mengamalkan system pemerintahan berbentuk
kerajaan pusat atau centralisasi di mana beberapa wilayah turut dibahagikan kepada lima
wilayah. Dinasti Maurya dipercayai mencapai kegemilangan semasa pemerintahan Asoka.
Semasa berlaku peperangan di Kalinga menerusi Perang Kalinga, beliau telah insaf apabila
melihat penderitaan penduduk kesan daripada peperangan. Oleh itu, beliau telah mengamalkan
dasar lembut dan enggan memilih keganasan dalam pemerintahannya. 8 Beliau juga telah

6 Vincent.A.Smith.1958.The Oxford History of India.London:Oxford University


Press.hal.112

7 H.G.Rawlinson.1952.India a Short Cultural History.New


York:Frederick.A.Praeger.hal.67.

8 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab


Mahal.hal.194.
menggunakan kekayaannya untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan telah mengamalkan
ajaran Buddha dalam pemerintahan. Konsep Dharma-Mahamatras dibentuk bertujuan
menghantarm wakil-wakilnya ke wilayah lain untuk menyebarkan dharma Buddha. 9 Tambahan
lagi, dikri ajaran Buddha telah dibina di setiap jalan bagi panduan rakyat jelata iaitu Tiang
Asoka.

Empayar Gupta telah muncul setelah itu dan telah mengembalikan kegemilangan
empayar Maurya. Empayar Gupta muncul di tebing sungai Ganges dan telah menyatukan semula
bahagian Utara India. Chandragupta telah memegang pemerintahan empayar Gupta dan telah
diteruskan oleh Samudragupta. Samudragupta lebih disanjungi dan digelar sebagai Napoleon
India kerana telah Berjaya meluaskan empayar ke Barat menghala ke sungai Indus sehingga ke
selatan sampai ke Deccan.10 Hal ini turut diperkukuhkan lagi dengan system pemerintahannya
yang kukuh dan meneruskan kesinambungan system pemerintahan yang diwujudkan oleh Asoka.
Semasa Samudragupta memerintah empayar Gupta, beliau telah mencapai zaman kegemilangan
yang dikatakan lebih gemilang daripada Asoka. Kegemilangan ini boleh dilihat dalam bidang
seni, sains dan agama.

Jadi di sini kita telah melihat bagaimana seseorang pemerintah tersebut menjalankan dasar
pemerintahannya bagi mewujudkan kerajaan yang gemilang pada zaman tersebut. Segala usaha
seperti dasar peluasan kuasa dan wilayah, corak pemerintahan, organisasi ketenteraan yang cekap
dan berkesan telah menyumbang kepada proses pembentukan tamadun Indus itu. Apabila
diteliti, empayar Gupta sememangnya menyambung tradisi pemerintahan empayar Maurya.
Cuma di sini kita dapat melihat, pada zaman Gupta beliau tidak mewujudkan jawatan pengintip
dan detektif seperti Maurya. Kebijaksanaan Maurya dalam pemerintahannnya telah Berjaya
menyatukan kawasan-kawasan yang berpecah misalnya India Utara dan Selatan melalui
penaklukan. Kawasan tersebut merangkumi Afghanistan, Pakistan dan Lembah Indus. Begitu
juga Bindusara telah Berjaya menakluki Deccan manakala Asoka Berjaya menawan Kalinga
serta menjalankan proses pemusatan kuasa yang Berjaya. Di samping itu, Samudragupta yang

9 D.D.Kosambi.1982.The Culture and Civilisation of Ancient India in Historical


Outline.India:Vikas Publishing House.Pvt.Ltd.hal.181.

10 Vincent.A.Smith.1924.The Early History of India.London:Oxford University


Press.hal.
memegang empayar Gupta turut melakukan hal yang sama. Konsep Oleh itu dapat kita
simpulkan bahawa raja atau pemerintah haru melaksanakan dasar centralisasi yang kuat apatah
lagi dengan ciri India yang besar.

2.3 Ekonomi

Ekonomi merupakan perkara penting dalam sesebuah tamadun. Hal ini kerana, ekonomi
berperanan untuk memajukan lagi sesuatu empayar. Aktiviti ekonomi yang dilakukan mampu
menjadikan sebuah empayar atau kerajaan tersebut berkembang menjadi empayar yang
terkemuka dan menjadi contoh zaman kegemilangan dalam sesuatu tamadun. Oleh itu, dalam
kerajaan Maurya dan Gupta peranan ekonomi ini sangat dominan kerana ia dapat mengukuhkan
lagi kedudukan sesuatu empayar. Antara aktiviti ekonomi yang menjadi aktiviti utama adalah
seperti perlombongan, perdagangan, pertanian serta penternakan. Dalam kedua-dua kerajaan
tersebut mereka telah terlibat dengan perdagangan antarabangsa yang mampu menarik minat
kerajaan lain. Pada ketika itu, bahan utama yang menjadi eksport mereka adalah seperti tekstil,
manik-manik, rempah, dan sebagainya. Permintaan yang tinggi menyebabkan kegiatan
perdagangan dilakukan dengan giat.

Dalam aktiviti pertanian, tawanan perang telah digunakan untuk mengerjakan aktiviti
pembukaan tanah-tanah baru untuk dijadikan kawasan pertanian. Di samping itu juga, sistem
pengairan yang dibina telah membolehkan para petani menggunakan tali air untuk mengairi
kawasan pertanian.11 Kesannya, penanaman bagi sesuatu tanaman boleh dilakukan dua kali
setahun. Bagi mengukuhkan lagi aktiviti ekonomi ini, kerajaan telah melantik pegawai-pegawai
yang berwibawa dan cekap untuk mengendalikan kerja-kerja membekalkan air kepada para
petani. Tambahan lagi, sistem ekonomi juga telah diperkemaskan bagi memastikan ia dapat
diuruskan dengan baik. Misalnya, orang Sundra diarahkan untuk membersihkan tanah baru untuk
dijadikan kawasan pertanian.

11 H.G. Rawlinson.India:A Short Cultural History.New York:Frederick


A.Praeger.Inc.hal.69.
Di samping itu juga, perdagangan turut aktif dilakukan. Hal ini dapat dilihat apabila ramai
pedagang luar telah pergi berdagang di India. Hubungan perdagangan berlaku antara Sri Lanka,
Asia Tenggara dan sebagainya. Antara pusat perdagangan penting adalah Anga, Kalinga,
Karusa, Tamralipli, dan lain-lain.12 Antara barang dagangan yang terkenal adalah seperti emas,
mutiara, gading gajah, permata, berlian dan sebagainya. Selain itu, aktiviti perlombongan juga
turut dijalankan seperti perlombongan di daratan dan lautan.

Bagi memastikan kegiatan ekonomi berjalan dengan lancar, pemerintah turut menubuhkan
Stresthin di setiap Bandar. Stresthin merupakan persatuan yang terdiri daripada tukang kayu,
tukang logam, tukang kulit, pedagang biasa dan sebagainya.13 Objektif sebenar penubuhan
Stresthin ini adalah untuk mengawal harga barang, meningkatkan kualiti barang keluaran atau
dagangan, menilai gaji pekerja dan lain-lain. Di samping itu, mata wang turut diperkenalkan
semasa pemerintahan Maurya dan Gupta yang terdiri daripada wang perak, wang tembaga dan
lain-lain.14

Pengenalan system cukai turut dilaksanakan bagi menyalurkan kewangan untuk menguruskan
pentadbiran kerajaan. Pemerintah Asoka telah memperkenalkan beberapa cukai iaitu cukai tanah
(cukai asas),cukai rumah, cukai kedai, cukai air, cukai pengeluaran hasil perdagangan seperti
pertanian serta hasil buah-buahan. Selain itu, pedagang yang merantau dari satu tempat ke
tempat yang lain dikenakan bayaran cukai dan membayarnya kepada antapala(pegawai tol) yang
bertanggungjawab menjaga keadaan jalan raya. Di samping itu, cukai turut dikenakan terhadap

1 1
barang import iaitu sebanyak 20 daripada harga barang bagi keperluan asas dan 5

daripada harga barang-barang lain.15 Pelaksanaan system cukai ini bertujuan untuk
menambahkan pendapatan kerajaan bagi membina infrastruktur di sekitar kawasan Bandar dan

12 R.Rajakrishnan dan M.Rajantheran.1994.Pengantar Tamadun India.Kuala


Lumpur:Penerbit Fajar Bakti.Sdn.Bhd.hal.14.

13 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab


Mahal.hal.177-178.

14 D.D.Kosambi.1982.The Culture and Civilisation of Ancient India in Historical


Outline.India:Vikas Publishing House Pvt.Ltd.hal.158.
penempatan, sistem pengairan, jalan raya, sumber kewangan kepada raja dan sebagainya. Di
samping itu, hasil kutipan cukai ini juga adalah untuk menyara anggota tentera yang berkhidmat,
para pentadbir, serta raja.

Justeru, pelaksanaan system ekonomi yang cekap dan berkesan mampu menjana kegiatan
ekonomi yang berkesan. Usaha-usaha seperti penubuhan persatuan pekerja, pengenalan sistem
mata wang, pengenalan sistem cukai, pembinaan kemudahan untuk pertanian telah merancakkan
lagi ekonomi di India. Melihat kepada usaha penubuhan persatuan pekerja, pengenalan mata
wang serta pelaksanaan cukai tersebut menunjukkan bahawa Dinasti Maurya dan Gupta telah
melaksanakan satu dasar kewangan dan ekonomi yang sistematik. Persatuan pekerja yang
ditubuhkan diharap dapat memberikan kesan yang positif terhadap alam pekerjaan serta
memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat. Hal ini kerana, pemerintah Maurya dan
Gupta sememangnya memandang berat akan kebajikan rakyat. Selain itu, pengenalan system
cukai juga menyumbang kepada pembendaharaan kerajaan disalurkan bagi menyediakan
kemudahan infrastruktur seperti hospital, klinik haiwan, jalan raya, rumah rehat dan sebagainya.
Pengenalan mata wang pula merupakan satu cara pemerintah Maurya dan Gupta untuk
memudahkan lagi urusan perniagaan. Maka apabila wujudnya system mata wang, urusan
perniagaan berjalan dengan lancar, adil dan telus. Kewujudan mata wang juga melambangkan
kekuasaan pemerintah kerana mata wang tersebut pada mata wang tersebut tercatit nama
pemerintah. Oleh itu, segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan Maurya dan Gupta telah
menyumbang kepada proses pembentukan tamadun Indus tersebut dari aspek ekonomi. Dasar
kewangan dan ekonomi yang sistematik amat penting dalam memajukan kegiatan ekonomi
sesuatu kerajaan.

2.4 Pertahanan

Sebuah empayar sememangnya mempunyai sistem pertahanan dan keselamatan yang cekap bagi
mempertahankan kegemilangannya. Tanpa sebuah angkatan pertahanan dan keselamatan yang
cekap, kegemilangan sebuah empayar tersebut akan tergugat serta mungkin juga akan mengalami
15 R.Rajakrishnan dan M.Rajantheran.1994.Penghantar Tamadun India.Kuala
Lumpur:Penerbit Fajar Bakti.Sdn.Bhd.hal.15.
zaman keruntuhan. Oleh itu, antara faktor yang menyebabkan keruntuhan sebuah empayar
adalah disebabkan ketidakupayaan angkatan pertahanan dan keselamatannya untuk
mempertahankan empayar tersebut daripada serangan pihak musuh.

Kekuatan sebuah empayar sememangnya terletak pada tangan angkatan pertahanan dan
keselamatan ini. Pada zaman Maurya, dicatatkan bahawa pada zaman tersebut mempunyai
sistem pertahanan yang kuat dan cekap. Chandragupta merupakan raja yang pertama sekali
mempunyai organisasi ketenteraan yang tersusun dan berkesan. Menurut Arthasastra, organisasi
ketenteraan yang diasaskan oleh Chandragupta terdiri daripada 80 000 tentera berkuda, 200 000
tentera pejalan kaki, 8000 tentera infantri serta 6000 tentera bergajah. 16 Bagi mengukuhkan lagi
sistem pertahanannya, Chandragupta telah menambahkan lagi jumlah bilangan tentera infantri
kepada 600 000 dan tentera bergajah sebanyak 9 000.

Dalam organisasi ketenteraan tersebut, bahan-bahan yang digunakan untuk berperang


sememangnya mencukupi. Mereka turut menggunakan tombak, anak panah, dan kuda untuk
berperang. Menurut Arthasastra yang dikarang oleh Kautilya , khidmat ambulan telah disediakan
semasa peperangan berlaku yang terdiri daripada doctor, jururawat, ubat-ubatan serta para wanita
yang menyediakan makanan dan minuman. 17

Selain itu dalam kerajaan Gupta pula, semasa pemerintahan Chandragupta Vikramaditya turut
dicatatkan telah membentuk organisasi ketenteraan yang efektif dan cekap. Beliau telah
merentasi Laut Arab melalui Malwa dan Gujarat kerana ingin menakluki Surashtra atau
Kathiawar yang selama ini diperintah oleh Dinasti Saka.18

Sistem pertahanan atau organisasi ketenteraan yang berkesan dan efektif merupakan factor utama
yang menyebabkan kejayaan Kerajaan Maurya dan Gupta Berjaya meluaskan kuasa dan
pengaruhnya. Dalam Arthasastra menekankan bahawa untuk menjadi empayar yang agung,

16 Vincent.A.Smith.1924.The Early History of India.New York:Oxford University


Press.hal.131-132.

17 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab


Mahal.hal.183.

18 Vincent.A.Smith.1924.The Early History of India.New York:Oxford University


Press.hal.303.
sesebuah empayar tersebut harus mempunyai organisasi ketenteraan yang sistematik dan
tersusun. Keadaan ini sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan pemerintahnya dalam
menguruskan soal organisasi ketenteraannya. Memang tidak dapat dinafikan kebijaksanaan
Maurya dan Gupta dalam merancang strategi melawan musuh dan menawan wilayah lain amat
berkesan. Dari tahun ke tahun, terdapat beberapa wilayah yang ditakluki oleh mereka dan ini
telah membentuk sebuah empayar yang kuat dan gemilang pada ketika itu.

2.5 Perundangan dan kehakiman

Pelaksanaan undang-undang amat penting dalam sesebuah Negara. Undang-undang dilaksanakan


bagi menjaga keselamatan rakyat dan Negara agar tidak berlaku sesuatu perkara yang tidak
diingini berlaku yang boleh mengancam keselematan rakyat dan Negara. Semasa zaman
pemerintahan Maurya dan Gupta, masing-masing menggubal undang-undang bagi menjaga
keamanan Negara. Keselamatan rakyat India dan raja begitu terjamin kerana adanya pelaksanaan
undang-undang yang mantap dan berkesan. Di samping itu juga, pelaksanaan undang-undang
juga adalah bertujuan untuk memastikan pentadbiran kehakiman dilaksanakan dengan betul.

Semasa pemerintahan Asoka pada zaman kerajaan Maurya, beliau telah menerapkan
ajaran Buddha dalam pentadbirannya. Asoka dikatakan seorang pemerintah pertama yang
menekankan ajaran Buddha dalam pentadbirannya setelah beliau melihat kesan buruk yang
berlaku semasa perang ke atas Kalinga. 19 Oleh itu, beliau telah insaf dan menganuti agama
Buddha serta menerapkan ajaran tersebut dalam pentadbirannya. Selain itu, turut dicatatkan
bahawa Asoka telah mengarahkan pegawainya untuk meletakkan doktrin Buddha di sepanjang
jalan raya bagi tatapan masyarakat supaya mengikuti segala perkara baik yang terdapat dalam
ajaran Buddha. Usaha Asoka ini telah mencerminkan bahawa beliau merupakan pemerintah yang
adil dan saksama yang penuh dengan nilai keagamaan yang tinggi.

Semasa kerajaan Gupta, pemerintah Gupta telah membuat kelainan dalam perundangannya.
Berbanding dengan Maurya, Gupta lebih menekan ajaran Hinduisme dalam masyarakatnya.

19 Vincent.A.Smith.1958.The Oxford History of India.London:Oxford University


Press.hal.120-121.
Justeru, aspek perundangan yang digubal oleh Maurya dan Gupta sememangnya berbeza.
Hal ini disebabkan, Maurya mempunyai fahaman Buddhisme manakala Gupta pula
mengamalkan fahaman Hinduisme. Ini telah menyebabkan berlaku sedikit perbezaan kerana dari
mempunyai fahaman masing-masing. Walau bagaimanapun, system perundangan yang digubal
mempunyai tujuan masing-masing demi kebaikan Negara. Melalui perundangan tersebut, ia
dapat mengajar rakyat agar mengamalkan nilai moral dalam kehidupan agar kehidupan aman ,
tiada peperangan berlaku dan sebagainya. Keamanan dan kedamaian sebenarnya bermula
daripada pemerintah tersebut.

2.7 Sains dan Teknologi

Ilmu sains dan teknologi telah wujud sebelum kebangkitan empayar Maurya dan Gupta. Namun
begitu, semasa empayar Maurya dan Gupta memerintah India, ilmu sains dan teknologi ini telah
berkembang dengan lebih pesat daripada sebelumnya. Sebagai contoh, ilmu Matematik,
Astronomi dan sebagainya telah diwujudkan kerana perkembangan intelektual masyarakat India
pada ketika itu. Hal ini kerana, telah berlaku perhubungan dengan dunia luar yang menyebabkan
mereka terdedah dengan ilmu yang ada serta menyerap masuk ke dalam masyarakat India. Ilmu
Matematik dan Astronomi pada ketika itu sangat berguna kerana aktiviti perdagangan serta
perkapalan amat giat dijalankan. Kewujudan ilmu Matematik telah menghasilkan konsep
geometri dan memperkenalkan system nombor. Misalnya tokoh Matematik India yang terkenal
pada ketika itu adalah Varahamihira dan bagi tokoh Astronomi pula iaitu Aryabhata yang
dilahirkan pada 476 sm.20

Selain itu, ilmu perubatan turut muncul pada zaman Gupta. Ilmu perubatan disebut sebagai Ayur
Veda yang menyatakan bahawa badan manusia terdiri daripada api, angin, air, tanah dan
sebagainya.21 Ubat-ubatan pada ketika itu bersumberkan tumbuh-tumbuhan dan akar kayu.

20 H.G.Rawlinson.1952.India A Short Cultural History.New


York:Frederick.A.Praeger.Inc.hal.130-131.

21 Ibid,.132.
Menurut sejarah, pembedahan telah bermula sejak zaman Gupta lagi. Di samping itu, wujud juga
system nombor iaitu angka Brahmin yang dibaca dari kiri ke kanan. Tambahan lagi pada zaman
Asoka, telah wujud angka kharosti.

Hal ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada perkembangan sains dan teknologi di
India. Pemerintah Maurya dan Gupta sememangnya memainkan peranan penting dalam proses
perkembangan bidang sains dan teknologi di India. Jadi di sini kita melihat, ilmu Matematik
sememang telah muncul di India dan telah berkembang pesat semasa pemerintahan Kerajaan
Gupta. Kemunculan ilmu-ilmu ini telah menjadi asas kepada perkembangan ilmu pengetahuan di
India. Kesan ilmu-ilmu ini telah menjadi pemangkin kepada lahirnya rakyat yang mempunyai
ilmu pengetahuan. Kewujudan ilmu seperti perubatan telah memberi impak yang positif kepada
rakyat kerana perkhidmatan kesihatan disediakan. Dengan adanya pelbagai ilmu pengetahuan, ia
menjamin rakyat untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik, mendapat rawatan
kesihatan, dan sebagainya.

2.8 Seni dan Kesusasteraan

Seni dan kesusasteraan juga merupakan salah satu sumbangan yang diberikan dalam sejarah
pemerintahan kerajaan Maurya dan Gupta. Hal ini menunjukkan bahawa tahap intelektual rakyat
pada ketika itu telah berkembang cuma dalam keadaan yang berbeza mengikut tahap. Rakyat
mula terlibat dalam kegiatan seni dan kesusasteraan disebabkan pengaruh dunia luar. Kegiatan
seni dan kesusasteraan ini dicatatkan begitu gemilang pada zaman pemerintahan Gupta. Namun
begitu, pada zaman Maurya juga, terdapat banyak kitab dihasilkan seperti Mahabrata, Ramayana
dan sebagainya. Bezanya adalah, tahap perkembangan seni dan kesusasteraan itu mungkin
berbeza dari abad ke abad.

Menurut para sejarawan, zaman kegemilangan seni dan kesusasteraan berlaku pada
zaman pemerintahan Gupta. Pada ketika itu, bahasa Sanskrit klasik telah digunakan untuk
menghasilkan cerita epic seperti Mahabrata dan Ramayana. Di samping itu juga, bahasa Sanskrit
klasik ini telah digunakan dalam semua penulisan kompenan sastera pada zaman tersebut.
Misalnya, Kalidasa seorang penyajak dan dramatist yang giat dalam kegiatan seni telah menulis
sebuah sajak yang terkenal pada ketika itu yang bertajuk Meghaduta. 22 Beliau juga
memainkan watak Sakuntala yang merupakan karya beliau yang terkenal di seluruh dunia
sepanjang karier beliau. Tambahan lagi, drama yang dihasilkan pada ketika itu adalah The Little
Clay Cart yang juga terkenal dalam bidang drama India. Selain itu, MudraRakshasa juga salah
satu drama yang dihasilkan oleh Chandragupta Maurya sendiri dan dipercayai ia merupakan
karya yang tertua juga.23

Selain itu, seni muzik juga telah wujud pada ketika itu. Galakan daripada Samudragupta
menyebabkan rakyatnya turut bergiat dalam seni muzik yang berunsurkan agama Hindu.24

Justeru, pemerintah Maurya dan Gupta sememangnya memberi sumbangan yang penting dalam
merancakkan lagi perkembangan bidang seni dan kesusasateraan India. Mereka menggalakkan
rakyat untuk berkarya dan menceburi bidang seni. Malah mereka sendiri turut menghasilkan
karya seperti Chandragupta dalam kerajaan Gupta yang telah menghasilkan drama
MudraRashka. Di samping itu, terdapat banyak karya sastera yang dihasilkan seperti
Panchatantra dan Hitopadesa(Book of Wise Counsels). 25 Tambahan lagi, muncul juga seorang
penggiat sastera iaitu Kalidasa yang digelar Shakespeare India kerana begitu memberi komitmen
yang tinggi dalam bidang seni sehingga zaman Gupta terkenal dengan zaman kegemilangan seni
dan sastera. Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa rakyat pada zaman tersebut mempunyai
daya pemikiran yang kreatif dan imaginatif dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu dan
terkenal sehingga sekarang.

2.9 Pendidikan

22 Vincent.A.Smith.1958.The Oxford History of India.London:Oxford University


Press.hal.173.

23 H.G.Rawlinson.1952.India A Short Cultural History.New


York:Frederick.A.Praeger.Inc.hal.131.

24 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab


Mahal.hal.251.

25 Vincent.A.Smith.1958.The Oxford History of India.London:Oxford University


Press.hal.173.
Elemen pendidikan juga merupakan salah satu sumbangan kerajaan Maurya dan Gupta. Bagi
melahirkan golongan cerdik pandai, mereka harus mendalami ilmu melalui dasar pendidikan
yang telah diasaskan oleh pemerintah.

Dalam system pendidikan pada ketika itu, elemen keagamaan amat dipentingkan. Sistem
pendidikan hanyalah dikhaskan untuk kaum lelaki sahaja manakala kaum wanita terabai haknya
untuk mendapatkan pendidikan. Medium pengajaran pada zaman tersebut adalah bersumberkan
Kitab Veda dan bahasa Sanskrit. Bagi mendalami kitab tersebut, kaedah yang digunakan adalah
kaedah hafalan yang bertujuan untuk menyediakan manusia menghadapi hari selepas
mati.26Tambahan lagi, hukum agama juga harus dipelajari bagi membina hidup yang sesuai
dengan ajaran agama.

Sistem pendidikan turut berkembang ke peringkat universiti. Universiti yang menjadi perhatian
di seantero Negara pada ketika itu adalah Universiti Nalanda. Ilmu perubatan dan ilmu Arab
turut diajar semasa itu.27

Oleh itu, matlamat utama pemerintah mewujudkan system pendidikan adalah supaya rakyatnya
dapat menambahkan ilmu, mengatasi masalah buta huruf, sebagai jaminan untuk mendapatkan
jawatan sebagai pegawai pemerintah. Namun begitu, system pendidikan yang disediakan hanya
mengutamakan kaum lelaki. Jelas di sini, terdapat diskriminasi yang dilakukan terhadap kaum
wanita kerana tidak diberi peluang pendidikan sebagaimana seperti lelaki. Hal ini mungkin
kerana pandangan terhadap kaum wanita yang mempunyai tanggungjawab menguruskan
rumahtangga sahaja manakala lelaki pula dianggap sebagai mata pencarian wang. Jadi kaum
wanita tidak memerlukan pendidikan seperti kaum lelaki. Kewujudan system pendidikan ini
semasa zaman Maurya telah diteruskan ketika zaman Gupta. Pada era Gupta ini system
pendidikan telah berkembang apabila tertubuhnya Universiti Nalanda yang menjadi tempat
golongan secular dan mempelajari ilmu keagamaan. Oleh itu, kesinambungan system pendidikan
ini merupakan proses pembentukan tamadun Indus dari aspek pendidikan rakyat. Pendidikan
yang diperkenalkan telah melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan seterusnya boleh

26 J.C.Powell-Price.1955.A History of India.New York:Thomas Nelson and


Sons.Ltd.hal.49.

27 H.G.Rawlinson.1952.India a Short Cultural History.New


York:Frederick.A.Praeger.Inc.hal.131.
menjadi pegawai-pegawai yang cekap dan bijaksana dalam membantu mengendalikan system
pemerintahan di India pada ketika itu. Hal ini menyebabkan empayar Maurya dan Gupta ini telah
menjadi sebuah empayar yang gemilang dan dilabelkan sebagai zaman keemasan India.

3.0 Senibina

Senibina merupakan satu seni yang terkenal di India dan merupakan seni yang tertua. Hal ini
dapat dilihat dalam pemerintahan kerajaan-kerajaan yang terdapat dalam Sejarah India Purba.
Kehalusan dan keunikan ukiran pada bangunan begitu menampakkan nilai seni yang tinggi.
Pemerintah sebenarnya memainkan peranan penting dalam menggalakan rakyatnya agar
mendalami bidang senibina ini.

Bidang senibina ini jelas dilihat semasa pemerintahan Asoka. Pada ketika itu, pembinaan
bangunan giat dilakukan. Asoka mengarahkan agar pembinaan bangunan haruslah ada unsure
keagamaan iaitu agama Buddha.28 Tujuan pembinaan juga adalah untuk upacara keagamaan
seperti Stupa Dharmarajika.29 Dalam pembinaan bangunan, Asoka menggalakkan rakyatnya
untuk menggunakan kayu. Setelah berlaku perkembangan barulah mereka menggunakan batu
untuk membina bangunan. Corak pada bangunan pula bersifat geometric, ukiran serta gambar
manusia.

Di samping itu, kegiatan senibina ini turut dilakukan dengan giat semasa pemerintahan Gupta.
Berbeza dengan Asoka, Gupta telah menggalakkan pembinaan bangunan yang berunsurkan
agama Hindu. Pada zaman pemerintahan Gupta, beliau telah menghidupkan semula agama
Hinduisme atau Brahminisme. Daripada itu, beliau telah menghidupkan semula budaya
ikonografi iaitu dengan membina kuil yang lebih besar berunsurkan agama Hindu. Tambahan
lagi, seni ukiran yang terdapat pada kuil tersebut terpancar unsure budaya berteraskan Hindu.

Kerancakan senibina ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembentukan
proses tamadun Indus. Peranan pemerintah begitu penting dalam mengusahakan pembinaan

28 Maurizio Taddei.1970.India.Switzerland:Barrie and Jenkins.hal.50.

29 Ibid.,
bangunan yang bercorak artistic serta berunsurkan keagamaan. Senibina yang pelbagai
menunjukkan bahawa sesuatu masyarakat itu telah mempunyai nilai seni yang tinggi. Misalnya,
bangunan yang dibina mempunyai corak tertentu berdasarkan kekreatifan dan daya imaginative
yang tinggi. Jika kita melihat, pencapaian Gupta dalam bidang senibina ini berpunca daripada
pengaruh budaya luar yang daripada timur dan barat. Tidak mustahil keunikan senibina di India
semasa pemerintahan Gupta dipengaruhi oleh budaya dari luar apabila terdapat peperangan di
antara Malwa dan Surashtra pada abad ke-4 telah menyebabkan berlaku pertembungan di antara
India dengan Eropah yang memungkinkan berlakunya penyerapan unsur-unsur seni ukiran dari
barat. Hal ini telah membuktikan bahawa masyarakat pada zaman Maurya dan Gupta ini telah
maju ke hadapan seiring dengan proses pembentukan tamadun mereka sendiri.

3.1 Kemudahan dan Perkhidmatan (Sosial)

Sebagai sebuah kerajaan yang terkenal dalam sejarah India purba, pemerintah-pemerintahnya
begitu prihatin terhadap kebajikan dan keperluan rakyatnya. Bagi memberikan kemudahan
kepada rakyat, pemerintah-pemerintah telah menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur
serta perkhidmatan bagi memudahkan rakyat menjalani kehidupan mereka.

Semasa pemerintahan Maurya dan Gupta, mereka telah menyediakan kemudahan dan
perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat. Tindakan mereka ini menunjukkan bahawa mereka
mengambil berat akan kebajikan rakyat. Misalnya, Chandragupta telah membina hospital di
seluruh negeri naungannya untuk memberikan kemudahan kesihatan kepada rakyat. Pegawai-
pegawai telah dilantik untuk mengendalikan hospital ini. Selain itu, pembinaan klinik haiwan
telah disediakan semasa pemerintahan Asoka. Hal ini kerana, binatang yang mengalami sakit
30
akan dihantar ke klinik haiwan untuk dirawat. Bukan sahaja manusia yang dirawat tetapi
haiwan juga diberikan rawatan. Hal ini bersesuaian dengan konsep ahimsa iaitu semua makhluk
di dunia mempunyai roh dan semangat. Tempat persinggahan atau rumah tetamu turut disediakan
bagi orang yang merantau atau pedagang dari luar Negara. Rumah-rumah rehat yang disediakan
adalah percuma. Di sekeliling rumah tersebut dipercayai telah ditaman dengan pokok-pokok,
30 Vincent.A.Smith.1924.The Early History of India.London:Oxford University
Press.hal.312.
saliran air dan kemudahan asas yang lain. Di samping itu, jalan raya turut dibina bagi
memudahkan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain.31

Selain itu, perkhidmatan yang diwujudkan adalah seperti jabatan pendaftaran kelahiran dan
kematian, jabatan pengairan, jabatan ukur tanah, jabatan pengawasan kerja-kerja, jabatan pungut
cukai dan sebagainya. Tujuan jabatan ini dibina adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada
rakyat.32

Oleh itu, tanggungjawab pemerintah yang mewujudkan kemudahan dan perkhidmatan kepada
rakyatnya secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembentukan tamadun Indus.
Kepimpinan Asoka yang baik telah dianggap sebagai bapa bagi rakyat India pada ketika itu.
Beliau tegas menolak keganasan dan mengamalkan ajaran Buddha dalam pentadbirannya. Hal ini
dapat dilihat, beliau melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya seperti seorang bapa yang
menjaga dan mendidik anaknya. Dalam konteks pentadbiran Maurya dan Gupta, kebajikan
rakyat amat dititikberatkan. Proses urbanisasi berlaku apabila banyaknya infrastruktur
disediakan. Oleh itu konsep raja paternal amat penting untuk meraih keyakinan dan ketaatan
rakyat. Semuanya bermula dari kebijaksanaan pemerintah empayar Maurya dan polisi ini
diteruskan lagi oleh empayar Gupta.

31 J.C.Powell-Price.1955.A History of India.New York:Thomas Nelson and Sons


Ltd.hal.50.

32 Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab


Mahal.hal.183.
Kesimpulan:

Dapat kita simpulkan bahawa, segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan Maurya dan Gupta
secara tidak langsungnya telah membawa kepada proses pembentukan tamadun Indus.
Sumbangan dari aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan, senibina, seni dan
kesusasteraan, serta perundangan telah membentuk tamadun Indus sehingga menjadi sebuah
empayar yang terkemuka.

Kebijaksanaan dan kewibawaan pemerintah-pemerintah seperti Chandragupta Maurya,


Asoka, Chandragupta I, Samudragupta dan sebagainya telah membentuk empayar yang gemilang
dalam sejarah tamadun India. Kedua-dua kerajaan ini telah menyumbangkan sumbangan yang
besar kerana sehingga ke hari ini masih lagi terdapat tinggalan sejarah yang membuktikan
bahawa mereka mampu membina empayar yang gemilang. Tahap-tahap perkembangan proses
menjadi sebuah empayar yang gemilang sememangnya mengambil masa yang lama. Namun
begitu, kedua-dua kerajaan tidak berputus asa dan terus maju ke hadapan. Buktinya, empayar
Maurya dianggap melalui zaman yang gemilang menerusi Asoka manakala Gupta sebagai zaman
keemasan Hindu menerusi peranan Samudragupta.
Rujukan :-

D.D.Kosambi.1982.The Culture and Civilisation of Ancient India in Historical


Outline.India:Vikas Publishing House Pvt.Ltd.

H.G.Rawlinson.1952.India a Short Cultural History.New York:Frederick.A.Praeger.Inc.

J.C.Powell Price.1955.A History of India.New York: Thomas Nelson and Sons.Ltd.

Govinda Krishna Pillai.1960.Traditional History of India.Allahabad:Kitab Mahal.

Vincent.A.Smith.1924.The Early History of India.London:Oxford University Press.

--------------------1958.The Oxford History of India.London:Oxford University Press.

R.Rajakrishnan dan M.Rajantheran.1994.Penghantar Tamadun India.Kuala Lumpur:Penerbit


Fajar Bakti.

Maurizio Taddei.1970.India.Switzerland:Barrie and Jenkins.

O.D.P.Sihombing.1953.India Sedjarah dan Kebudajaannja.Bandung:N.V.Penerbitan.W.Van.


Hoeve

You might also like