You are on page 1of 7

Soalan 1

Guru komited untuk menyediakan program pengajaran dan pembelajaran


(P&P) berkualiti dan berpegang teguh kepada strategi-strategi akauntabiliti yang
berkesan di samping melaksanakan program secara adil dan mencapai keputusan
yang bermakna. Ini menunjukkan kerjaya guru yang berprofesional ialah suatu
bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek, latihan
ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan oleh masyarakat, menikmati
autonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai
organisasi tersendiri untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan
(Lieberman, 1956). konsep ini jika dihayati sepenuhnya menunjukkan guru telah
diamanahkan memikul tanggungjawab yang berat. Mereka perlu berwibawa, peka
kepada perubahan dan bijak menangani masalah terutama disiplin pelajar. Secara
amnya, guru dianggap sebagai pakar dalam segala bidang (Shamsudin Haron et
al.2002).

Dalam konteks pendidikan moden hari ini, guru adalah golongan profesional
yang melaksanakan tugas ke arah mencapai matlamat pendidikan untuk
merealisasikan dan mengembangkan ilmu pengetahuan kepada pelajar dan
masyarakat bagi membina negara yang bertamadun tinggi. Dalam usaha untuk
merealisasikan sistem pendidikan itu, beban tugas dan tanggungjawab kerja dalam
kalangan guru-guru perlu diambil kira. Begitu juga setiap kali perubahan kurikulum
berlaku maka setiap kali itulah juga kewibawaan guru tercabar. Dengan keadaan ini
akan menyebabkan ramai guru menghadapi tekanan emosi akibat daripada
perubahan tersebut. Penambahan beban tugas ini sudah tentu akan membawa
kesan kepada mutu dan kualiti pengajaran guru ( Abd. Rahim 1997).

Bidang keguruan sering dilihat oleh masyarakat sebagai profesion kelas


pertengahan yang telah jauh ditinggalkan oleh profesion-profesion yang lain seperti
kedoktoran, perundangan, kejuruteraan mahupun bidang perakaunan. Namun
realitinya tugasan bukanlah seperti yang mereka anggapkan. Guru perlu mengawal
tingkah laku murid yang mempunyai ragan yang berbeza, selain mereka perlu
menyampaikan isi pengajaran yang bersesuaian dengan tahap pencapaian dan
pemahaman murid. Guru-guru juga terpaksa mengalami beban tugas yang berat
seperti kekurangan peralatan, kekurangan persiapan mengajar kerana kursus yang

1
diikuti tidak mencukupi, saiz kelas yang besar dan kerja-kerja perkeranian yang
dibuat. Kerja-kerja perkeranian ini mendatangkan keletihan guru dan boleh
mengurangkan masa mengajar guru di dalam kelas serta membuatkan fikiran guru
tidak tenteram kerana masanya sentiasa terganggu. Ini mengakibatkan ramai guru
berpendapat tugas guru adalah sangat membebankan. Guru perlu pandai membuat
perancangan dan strategi, membahagikan keutamaan urutan tugas dan
tanggungjawab yang perlu dipelajari melalui pengalaman, pemerhatian dan bertanya
kepada guru yang berpengalaman.

Beban tugas yang banyak sebenarnya merupakan fenomena biasa dalam


kehidupan pendidik. Guru terpaksa menanggung bebanan yang berada di luar
bidang tugas. Pada zaman ini, tugas guru bukan sekadar mengajar namun
memainkan peranan dalam hal-hal lain seperti pembangunan fizikal sekolah,
menjaga disiplin, mengurus pentadbiran. Beban kerja yang terlampau banyak
memaksa guru bekerja dalam tempoh masa yang panjang dan membawa implikasi
negatife kepada diri sendirinya. Beban tugas yang tidak diuruskan dengan sistematik
akan menyebabkan berlakunya tekanan dan seterusnya menghasilkan mutu kerja
yang mengecewakan apabila dibuat penilaian.

Abdul Malik (2000), menyatakan bahawa bebanan tugas yang berat, tidak
menyempurnakan tugas, dimarahi oleh majikan akan menyebabkan seseorang itu
mendapat stress. Ketegangan yang berpanjangan boleh mempengaruhi psikologi
seseorang seperti hilang keyakinan, cepat meradang, agresif, fikiran menjadi
berstruktur dan hilang daya konsentrasi. Ini juga akan menyebabkan seseorang guru
itu kurang bersemangat serta tidak bermotivasi dalam menjalankan tugasnya.
Menurut Sapora Sipon (2007), menyatakan bahawa guru yang gagal mengawal diri
akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan antara guru dengan
pelajar dan juga kualiti dalam aspek pengajaran dan pembelajaran guru itu sendiri.

Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion


perguruan dan ini secara tidak langsung akan membantutkan usaha mewujudkan
sebuah masyarakat yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang
dan gemilang khususnya mutu pendidikan. Tekanan kerja yang tinggi akan
membawa kepada rasa tidak puas hati terhadap kerja yang dilakukan dan akhirnya
sikap suka mengelak dan mengabaikan kerja akan terhasil. Ia juga akan

2
menyebabkan suasana kerja yang teruk dan membawa kepada keinginan untuk
meninggalkan profesion keguruan.

Selain daripada bebanan tugas yang semakin banyak, guru-guru juga dilihat
kurang mendapat rehat yang cukup. Ini berdasarkan pemerhatian yang dibuat, rata-
rata sekolah ada melaksanakan aktiviti pada hari cuti. Menurut kajian dari Butt dan
Lance (2005) mendapati 96% guru bekerja pada waktu petang dan 90% guru
bekerja pada hujung minggu. Kajian ini sama dengan kajian yang dilakukan oleh
Gunter et al. (2005) juga mendapati 95% guru bekerja pada waktu petang selepas
waktu persekolahan dan hujung minggu. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah
aktiviti bersama pelajar seperti kelas tambahan, latihan sukan, mengemas kelas,
aktiviti kelab dan persatuan serta aktiviti guru bersama pihak pentadbir seperti
Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). Selain itu, pihak kaunseling sekolah akan
menjemput penceramah jemputan untuk menyampaikan pelbagai isu. Pentadbir
sekolah juga lebih selesa menggunakan hari Sabtu untuk membuat sebarang
taklimat. Adakalanya hari Ahad juga akan digunakan untuk melaksanakan program
contohnya ialah aktiviti perkhemahan. Hari Isnin, guru-guru ini akan melaksanakan
rutin persekolahan iaitu mengajar. Ini sedikit sebanyak tanpa disedari dapat
menurunkan kualiti guru.

Chris Wickens (1984) adalah pengasas Teori Pelbagai Sumber menyatakan


bahawa sesuatu beban tugas tidak akan terhasil jika hanya ada satu sahaja
pemprosesan sumber, beban tugas akan terhasil jika terdapat banyak pemprosesan
sumber dan ianya berlaku secara serentak. Pemprosesan sumber ada kaitannya
dengan komponen visual, kognitif, auditori dan psikomotor. Kesimpulan dari teori ini
menunjukkan bahawa jika beban tugas bertambah maka pencapaian serta
produktiviti mungkin akan rendah.

3
Masalah beban tugas guru ini sukar untuk diselesaikan secara sepenuhnya
tetapi beberapa tindakan boleh diambil bagi mengurangkan beban tugas guru
antaranya ialah pembahagian kerja kepada guru. Ia merupakan perkara yang
penting dalam aspek kawalan dan pengurusan bagi menganalisis tugas dan
pembahagian kerja secara terperinci, kemudian membandingkan dengan
kemampuan seorang pekerja untuk melaksanakan tugas itu dengan terperinci.
Gabungan antara tugas dan kemampuan bertujuan mewujudkan kecekapan (Abdul
Shukur Abdullah, 1991). Guru juga terpaksa berhadapan dengan perubahan demi
perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan.
Contohnya apabila ada pegawai baru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan
Pelajaran Negeri atau di peringkat kementerian, banyaklah idea dan tugasan baru
yang harus dipikul oleh guru. Bebanan ini bertambah dalam keadaan jumlah guru
yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid (Harian Metro, 2005). Oleh
yang demikian, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut perlu
menyediakan garis panduan penglibatan guru dalam aktiviti anjuran KPM. Garis
panduan tersebut menetapkan bahawa pentadbir sekolah hendaklah mengagihkan
tugas dan tanggungjawab kepada semua guru secara seimbang bagi mengelakkan
penglibatan guru yang sama dalam aktiviti yang dianjurkan.

Selain itu, pihak KPM juga menambahkan kakitangan Pembantu Tadbir bagi
mengurangkan beban guru dalam tugas perkeranian. Oleh itu, dengan pertambahan
kakitangan Pembantu Tadbir merupakan cadangan yang amat baik dan disambut
lega oleh pelbagai pihak. Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan di dalam akhbar
Berita Harian Malaysia, 13 Ogos 2016, satu cadangan akan dikemukakan kepada
pihak Jabatan Perkhidmatamn Awam bagi memperluas penempatan kakitangan
Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah bawah kementerian.

Satu daripada cara untuk meringankan beban kerja ini ialah dengan
menambah bilangan guru, ertinya kalau sekarang satu bilik darjah 1.5 guru,
sekarang satu bilik darjah 2.0 (ertinya satu bilik darjah ada dua orang guru). Usaha
ini boleh mengurangkan beban kerja guru dan memperbaiki persekitaran kerja guru
di negara ini. Langkah tersebut bertujuan membolehkan guru mempunyai masa
yang cukup bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas teras, iaitu

4
mengajar. Cadangan mengkaji purata guru dengan pelajar itu juga relevan dengan
saranan beberapa pihak lain yang mahukan jawatan guru pembantu bagi mengatasi
masalah yang sama. Selain dapat membantu meringankan beban tugas yang
ditanggung guru, jawatan berkenaan boleh menyelesaikan masalah ketiadaan guru
yang bergantung kepada guru sandaran tidak terlatih dan guru ganti.

Pada masa yang sama, guru sendiri perlu mencari cara penyelesaian bagi
beban kerja mereka yang menjadi hangat di bidang perguruaan mereka. Pertama,
guru-guru perlu meningkatkan kemahiran menyelesaikan sesuatu masalah dengan
sendiri. Kemahiran menyelesaikan masalah dapat membantu seseorang guru
menangani masalah secara rasional dan merancang penyelesaian secara
sistematik. Masalah adalah perkara biasa yang boleh mendatangkan kesan positif
kepada guru. Namun ia boleh menjadi negative jika terlampau banyak dan tidak ada
cara sistematik untuk menguruskannya. Berdasarkan pemerhatian saya,
kebanyakan guru sering menyelesaikan masalah mengikut kebiasaannya. Ini sesuai
untuk guru berpengalaman namun bagaimana dengan guru permulaan. Sudah pasti
seseorang guru baru dalam bidang ini harus mencari satu formula untuk
menyediakan diri untuk cabaran seperti ini. Kemahiran ini melibatkan
sumbangsaran, menyenarai semua cara penyelesaian yang mungkin dan
mengambil tindakan. Kemudian melaksanakannya sebelum dinilai dan
dipertimbangkan semula. Langkah penyelesaian terakhir akan diambil berdasarkan
cara yang terbaik. Kemahiran ini memudahkan kerja mereka.

Selain itu, seseorang guru juga perlu mahir dalam penggunaan ICT.
Penggunaan ICT dapat meringankan beban guru di sekolah. Sistem pendidikan di
Malaysia masa kini sedang mengalami perubahan yang amat pesat sekali. Pelbagai
kaedah baru telah diperkenalkan serta digunakan supaya pengajaran seseorang
pendidik menjadi lebih berkesan dan pembelajaran murid menjadi lebih mudah dan
menyeronokkan. Sejak beberapa tahun yang lalu kaedah pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer telah mula diperkenalkan dan kini dengan era
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin pesat, ianya semakin
mendapat perhatian dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. ICT
digunakan bagi memudahkan urusan pentadbiran, memudahkan proses pengajaran
dan pembelajaran serta menyelaras aktiviti dan program. Semua maklumat lengkap
berkaitan pelajar boleh disimpan menggunakan perisian Microsoft Access dan

5
Microsoft Excel. Selain itu, ICT juga digunakan untuk mewujudkan pengkalan data
soalan, kandungan pengajaran dan pembelajaran, persediaan pengajaran dan
kandungan pengajaran. Hal ini dapat mempercepatkan masa dan meringankan
beban guru.

Di samping itu, guru perlu menguruskan masa dengan baik. Setiap orang
akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam sehari. Oleh yang
demikian sepatutnya tidak ada diantara guru yang mengeluh tidak dapat
menyiapkan tugasan dengan alasan tiada masa. Penggunaan masa dalam sehari,
seminggu, sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada mereka
yang pandai menguruskan masa. Pengurusan masa yang baik dapat meringankan
tugas yang ada di sekolah.

Seterusnya, penglibatan ibu bapa dalam aspek pendidikan boleh


mengurangkan beban guru di sekolah. Ibu bapa perlu terlibat sama dalam program-
program sekolah bukan sebagai peserta sahaja malahan turut menjadi pengelola
program. Menggembleng sepenuhnya kerjasama serta peranan ibu bapa dalam
pelaksanaan aktiviti di sekolah, terutama bidang kokurikulum, secara langsung akan
membantu guru memfokus kepada tugas pengajaran dan pembelajaran. Sebagai
contoh, semasa hari sukan tahunan, ibu bapa juga perlu melibatkan diri sebagai ahli
jawatankuasa yang menguruskan sukan tahunan sekolah. ibu bapa boleh membantu
dalam bahagian pengurusan peserta, pelepasan peserta serta ahli jawatankuasa
keselamatan. Hubungan yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa memudahkan
pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Pihak sektor swasta juga mampu berperanan mengatasi masalah beban guru
pada masa kini. Abdul Rahman berkata, Kementerian Pelajaran juga harus
mempergiat usaha mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam
pembangunan bidang pendidikan di sekolah sebagai tanggungjawab sosial. Dalam
konteks ini, sektor swasta mampu berperanan merapatkan jurang prestasi
pencapaian serta infrastruktur antara sekolah di bandar dan pedalaman. Matlamat
ini boleh dicapai melalui program seperti anak angkat oleh syarikat swasta, tidak kira
yang besar mahu pun kecil. Ketika ini, program sedemikian masih kurang dan
kebanyakannya hanya terhad kepada sekolah yang majikan syarikat itu adalah
alumni. Satu lagi langkah berkesan ialah menggerakkan secara aktif sumbangan

6
murid tua atau bekas pelajar di sesebuah sekolah untuk membantu guru
menjayakan program penting seperti bimbingan kerjaya dan ceramah menghadapi
peperiksaan utama. Beliau juga mencadangkan supaya persatuan pesara guru
diwujudkan bagi membolehkan golongan yang kaya dengan pengalaman itu
menyalurkan idea untuk membantu Kementerian Pelajaran menangani pelbagai isu
berkaitan, termasuk dalam usaha mempertingkat profesionalisme guru.

Kesimpulannya, Apabila beban tugas guru dikurangkan, guru-guru boleh


menumpukan perhatian terhadap tugas hakiki, iaitu pengajaran dan pembelajaran.
Jadi hasil yang diharapkan oleh semua pihak terhadap usaha guru-guru melahirkan
insan yang berkualiti dan mampu menjadi pemangkin negara pasti akan tercapai
kerana guru hanya memfokuskan kepada P&P.