You are on page 1of 27

PEMBELAJARAN ABAD KE-21

PENGENALAN

SEJARAH tamadun dunia bermula dengan masyarakat pertanian yang


bergantung hidup dengan aktiviti bercucuk tanam dengan kehidupan yang ringkas
dan mudah. Dalam abad ke-19 tamadun dunia telah berubah kepada masyarakat
industri yang mempunyai ciri-ciri pengkhususan dan memberi keutamaan kepada
hasil pengeluaran atau produksi komoditi. Kini masyarakat dunia di abad ke-21
telah berubah kepada zaman baru yang dikenali sebagai 'knowledge age' atau k-
ekonomi. Keperluan baru ini menekankan kepentingan maklumat, kreativiti dan
inovasi dalam memberi perkhidmatan baru kepada masyarakat.

Abad ke-21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Zaman
Kristian ataupun Zaman Umum seperti kalendar Gregory, Tempohnya adalah dari
2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini
disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1.Biasanya,
penggunaan umum mengganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000
hingga 2099 dan milenium ketiga dari 2000 sehingga 2099. Pada 2000, ISO
menyokong kegunaan umum dengan mentakrifkan kalendar yang memulakan
perhitungannya dari tahun sifar. Dari segi amalan, masalah ini telahpun
diselesaikan dengan penggunaan 1 Januari, 2000 yang meluas untuk menandakan
permulaan abad ke-21.1

Pada abad ke-21 ini, negara kita menghadapi isu dan cabaran dalaman serta
luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (Informatian and Communications Technology, ICT).
Salah satu cabaran negara adalah membangun satu sistem ekonomi yang
berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi bagi menghadapi persaingan negara lain.
Perubahan sistem ekonomi ini adalah fenomena yang pasti akibat arus perdana
yang dibawa oleh globalisasi. Ekonomi baru ini memerlukan sokongan padu
daripada sektor pendidikan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
2
berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang.

1 http://ms.wikipedia.org/wiki/Abad_ke-21
Kesan globalisasi adalah meluas dan infiniti. Dalam konteks kehidupan
manusia, globalisasi meliputi bidang politik, sosial, dan ekonomi. Globalisasi
menjadikan segala-galanya milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.
Yusof al-Qardhawi (2001), mendefinisikan globalisasi dengan maksud
mensosialisasikan pola atau sistem tertentu yang dimiliki oleh sesuatu negara atau
kelompok sehingga menembusi seluruh dunia. Berdasarkan kefahaman ini,
globalisasi dikenali dengan pelbagai istilah seperti dunia tanpa sempadan
(borderless world), kampung global atau desa sejagat (global village) dan
dasar langit terbuka (open sky policy) dan menjadi suatu fenomena baru dalam
mewujudkan ciri-ciri pensejagatan. Dalam erti kata yang lain, dunia dijadikan suatu
pentas yang kecil agar mudah terjangkau dalam waktu yang singkat. 3

Oleh yang demikian, artikel ini akan menghuraikan bagaimana menyediakan modal
insan untuk menempuh segala cabaran abad ke-21 ini secara umumnya dan
cabaran globalisasi secara khasnya. Bermula dengan sistem pendidikan, kemahiran,
guru seterusnya pelajar abad ke-21, artikel ini menjelaskan apa yang perlu ada bagi
setiap aspek tersebut sabagai bekalan modal insan menghadapi cabaran ke 6
wawasan 2020 iaitu Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai
daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja pengguna
teknologi tinggi tetapi juga menyumbangkan kepada tamadun saintifik dan
teknologi masa depan.

2 http://ml.scribd.com/doc/39146635/Pendidikan-Abad-Ke-21-Isu-Dan-Cabaran

3 Ahamad Tarmizi b. Azizan dan Zoolcaphly b. Sahib. Komputer Dan Seni Di Era
Globalisasi : Peranan Dan Cabaran.
Pendidikan Abad Ke 21

Di abad Ke-21 ini, seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau
negara sedang membangun dijangkakan akan mengalami perkembangan pesat lagi
mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Ramai pihak berpendapat
bahawa perubahan tersebut sedikit sebanyak mempunyai kaitan yang rapat dengan
perkembangan bidang pendidikan. Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah
menyatakan bahawa 'the illiterate of the 21st century are not those that cannot
read or write, but those that cannot learn, unlearn and relearn.' Menurutnya
pendidikan di abad ini lebih mencabar dan mestilah berupaya melahirkan pelajar
yang kreatif dan inovatif, mampu menyelesaikan masalah dan berfikir secara
kritikal.

Perubahan kepada zaman k- ekonomi yang menekankan keperluan maklumat


dan bercirikan globally networked adalah sangat berkait rapat dengan
perkembangan ICT. Oleh itu sering dikatakan bahawa mana-mana negara yang
dapat menguasai teknologi maklumat dan mempunyai kemudahan jaringan ICT
maka mereka dianggap mempunyai kelebihan dan seolah-olah memiliki kuasa
tambahan. Sementara itu negara-negara yang mengabaikannya akan ketinggalan
dalam persaingan di peringkat global ini. Menurut Thomas Friedman dalam bukunya
The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century pendidikan turut
memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi
4
dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini.

4 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2011&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On
Education For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang
hidup harus berasaskan empat tonggak, iaitu: Learning to know (belajar untuk
tahu); Learning to do (belajar untuk buat); Learning to live together (belajar
untuk hidup bersama) dan Learning to be (belajar untuk menjadi). Pada peringkat
asas, pendidikan seharusnya dapat memberi seseorang kanak-kanak pendedahan
kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan secara
mendalam dalam bidang-bidang tertentu. Belajar untuk tahu membantu
seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang
yang sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi cara belajarsesuatu
kemahiran yang begitu diperlukan untuk memudahkan seseorang menikmati
peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang
diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan
ilmu itu. Belajar untuk buat bukan dihadkan kepada kemahiran operasi atau
mekanikal sahaja tetapi merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan
untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan,
5
menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.

Manakala menurut YAB Dato Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak (2012),
inovasi pendidikan ialah penyumbang utama pembangunan modal sosial dan
ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana
inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan
untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pengupaya perkembangan
ekonomi keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu memastikan
sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru
Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang
menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.

Sehubungan dengan itu, demi memperkasakan pendidikan sebagai


pemangkin dan pembentuk insan yang serba lengkap untuk menempuh cabaran-
cabaran abad ke-21, banyak negara, samada negara-negara maju mahupun negara
membangun, membangunkan kecanggihan ICT sebagai pencetus minda pelajar
masa kini. Kecanggihan ICT melalui pelbagai aspek, dari segi pekakasan mahupun

5 http://abihulwa.blogspot.com/2009/05/pendidikan-abad-ke-21.html
perisian mampu menjana daya kognitif pelajar dan kemahiran psikomotor pelajar
dari pelbagai aspek.

Pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi,
liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT). Negara juga menghadapi cabaran untuk membangunkan ekonomi
berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Oleh itu, KPM menyediakan program
pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu
pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia. KPM juga meneliti
semula program dan projek yang dirancang bagi penyegaran, pembaharuan,
pengukuhan, penyusunan semula dan penggubalan baru. Semua ini adalah hasil
perancangan yang terkandung dalam dokumen Pembangunan Pendidikan (2001-
2010) KPM.

Ohmae (1995) menyatakan bahawa perkembangan dalam teknologi


maklumat dan arus globalisasi telah menyebabkan berlakunya kecairan sempadan
nasional yang telah melahirkan paradigma baru kepada semua organisasi, termasuk
institusi pendidikan. Seperti mana-mana negara di seluruh dunia, Malaysia tidak
dapat mengelak daripada menghadapi cabaran tersebut sebagai kesan daripada
arus globalisasi. Hallinger (1998) menegaskan globalisasi telah mendorong
berlakunya anjakan paradigma yang amat ketara di kebanyakan negara dalam
konteks untuk mencari makna terhadap kualiti pendidikan dan juga kurikulum yang
ditawarkan. Ini disebabkan kebimbangan akan kehilangan daya saing dalam
persekitaran dunia global sekiranya penyemakan dan perubahan terhadap
kurikulum tidak dilakukan. Dalam konteks ini, sistem pendidikan di Malaysia telah
mengalami transformasi yang agak radikal bermula sekitar tahun 1990-an sebagai
reaksi kepada perubahan di peringkat global tersebut.

Beberapa perubahan kurikulum terutama dari segi strategi pelaksanaan pengajaran


dan pembelajaran telah diperkenalkan seperti:

1. Sekolah Bestari: Tumpuan kepada proses pengembangan dan pemupukan


pembelajaran dengan menggunakan komputer dan penggunaan multimedia.

2. Projek Sekolah Net: Penggunaan komputer peribadi dan persekitaran Local Area
Network (LAN). Guru berfungsi sebagai penerima maklumat sesuatu bahan
kurikulum dan pembelajaran daripada luar dan kemudian menyalurkannya kepada
pelajar. Ini memberi peluang kepada pelajar mendapat kemahiran dan maklumat
sesuai dengan keupayaan mereka dan aplikasi pelbagai stail pembelajaran.

3. Projek Smart Lab: Menggunakan jaringan komputer bagi membolehkan pelajar


mengakses ilmu dan maklumat daripada pelbagai sumber dengan guru berfungsi
sebagai pemandu, pelayar dan pemudahcara.

4. Projek Sekolah Vista: Perisian aplikasi bagi pengurusan bilik darjah untuk
pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi membolehkan guru menguruskan bilik
darjah dengan berkesan dan memberi peluang kepada pelajar berkomunikasi
secara elektronik dengan rakan dan guru.

Di samping perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat,


kurikulum di Malaysia juga telah disemak semula dan diberi nilai tambah supaya
kurikulum tersebut adalah relevan dan berupaya untuk menyediakan pelajar
dengan kemahiran tertentu bagi menghadapi persekitaran global setelah mereka
melepasi alam persekolahan. Trend yang agak ketara dikenal pasti dalam
perkembangan kurikulum di Malaysia adalah ke arah melahirkan warganegara
global, selaras dengan perkembangan jaringan informasi dalam era globalisasi kini.
Ini seiring dengan pendapat Hallinger (1998) bahawa langkah yang proaktif
diperlukan supaya sekolah berupaya melahirkan pelajar yang mempunyai ciri
tertentu bagi persediaan menghadapi persaingan global iaitu dari segi:

1. Mempunyai budaya pembelajaran sepanjang hayat

2. Mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dalam bahasa ibunda dan bahasa


antara bangsa

3. Menguasai kemahiran teknologi untuk keperluan pekerjaan dan kehidupan


Seharian

4. Bersedia dari segi kognitif untuk tugasan yang kompleks dan mencabar,
menyelesaikan masalah serta menjana pengetahuan baru.

5. Menjadi warganegara yang bertanggungjawab dari segi sosial, politik dan


budaya.
Seiring dengan perubahan pada persekitaran global juga, kurikulum di
Malaysia telah melalui satu era transformasi dari segi penggunaan bahasa Inggeris
dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran sains dan
matematik di sekolah rendah dan di sekolah menengah. Ini bertujuan untuk
memberikan persediaan kepada pelajar bagi menghadapi persekitaran global
terutama berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi di mana bahasa
Inggeris adalah begitu penting dikuasai bagi mengakses ilmu dan maklumat dalam
bidang tersebut. Bahasa antara bangsa yang lain seperti bahasa Arab, Perancis,
Jepun, Jerman dan lain-lain turut diperkenalkan juga di sekolah yang bertujuan
menyediakan pelajar untuk menghadapi dunia global dan menjadi global player
secara lebih berkesan.6

Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario yang mencabar dalam


pendidikan alaf baru di Malaysia kerana ia memberikan sumbangan yang besar
kepada pencapaian Pendidikan Bertaraf Dunia dan bersesuaian dengan
perkembangan teknologi, sosial, serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama
ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan mengabungkan serta memberikan
terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir,
pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Serta pengurusan sekolah yang efektif. 7

DAN BAHAWASANYA tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan


masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang
diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global,
kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.
Mukadimah Akta Pendidikan 1996

ICT dilihat berpotensi baik sebagai penguat dan pemangkin dalam mencapai
proses pengajaran dan pembelajaran yang unggul (Davitt, 2005). ICT dianggap
berperanan sebagai alat untuk mengajar dan belajar, sambungan serta media
pertukaran. Justeru itu, peluang yang ada perlu diraih melalui penggabungan

6 Habib Mat Som Megat Ahmad Kamaluddin Megat Daud .Globalisasi Dan Cabaran
Pendidikan Di Malaysia. Universiti Malaya

7 http://ml.scribd.com/doc/39146635/Pendidikan-Abad-Ke-21-Isu-Dan-Cabaran
pengetahuan dan pembelajaran dengan kekuatan alat teknologi pendidikan, dan
menggunakan sinergi ini bagi menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran
8
yang lebih berkesan.

Sistem pendidikan Malaysia yang sedia ada sekarang telah mengetengahkan


peranan ICT dalam pnp, kerajaan juga telah merancang lagi perubahan bagi
memantapkan ICT dalam pendidikan di Malaysia. Antara Sebelas anjakan utama
untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (2013-2025) ialah, Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan
kualiti pembelajaran di Malaysia

Meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui


1BestariNet bagi semua 10,000 sekolah menjelang 2013
Menambahkan kandungan atas talian untuk perkongsian amalan terbaik
bermula dengan perpustakaan video guru terbaik menyampaikan pengajaran
dalam mata pelajaran kritikal pada 2013
Memanfaatkan penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan berasaskan
kendiri untuk meningkatkan kapasiti dan pembelajaran lebih khusus

Sepanjang dekad yang lalu, Kementerian telah membelanjakan lebih daripada


RM6 bilion untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam inisiatif
pendidikan, seperti Sekolah Bestari. Jumlah ini merupakan antara pelaburan modal
paling intensif pernah dilakukan dalam sistem pendidikan.

ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu
dan kemahiran berfikir yang luas Namun demikian, potensi ini belum dizahirkan. ICT
akan memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000 buah
sekolah. Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik dan
interaktif. Mereka akan dapat belajar mengikut kadar sendiri dan mempunyai pilihan
yang lebih luas melalui program jarak jauh. Pengetua/guru besar dan guru juga
mempunyai akses kepada sumber dan komuniti pembelajaran nasional dan
antarabangsa yang dapat meningkatkan kualiti amalan mereka. ICT akan sentiasa
menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di sekolah, tanpa jurang pemisah

8 Johari Surif et al. Tahap Amalan Dan Pengintegrasian Ict Dalam Proses
Pengajaran Dan Pembelajaran Sains. Universiti Teknologi Malaysia.
antara bandar dengan luar bandar. Semua guru dan murid akan dilengkapkan
dengan kemahiran yang diperlukan bagi menggunakan teknologi ini secara
berkesan dan bermakna.9

Antara kaedah pembelajaran ICT adalah melalui web. Web 2.0 adalah istilah
umum yang berkaitan dengan aplikasi web yang memudahkan perkongsian
maklumat interaktif yang beroperasi melalui media internet dengan bantuan
pelayar web dan tidak perlu proses instalasi terlebih dahulu seperti umumnya kita
gunakan sehari-hari. Sebuah laman Web 2.0 memberi penggunanya bebas untuk
berinteraksi atau berkolaborasi antara satu sama lain dalam komuniti maya.
Berbeza dengan laman web dimana pengguna terhad kepada pasif melihat
kandungan yang diciptakan untuk mereka. Contoh aplikasi Web 2.0 termasuk laman
web rangkaian sosial, blog, wiki, halaman perkongsian video dan halaman
perkongsian grafik.10

Menurut Khan (1997), pembelajaran berasaskan web merupakan program


pembelajaran berasaskan hipermedia yang menggunakan ciri dan sumber web
untuk menghasilkan suatu persekitaran pembelajaran yang bermakna dan
menyokong pembelajaran. Relan & Gillani (1997) mendefinisikan pembelajaran
berasaskan web sebagai aplikasi strategi-strategi pembelajaran kognitif dalam
persekitaran pembelajaran konstruktif dan kolobratif menggunakan kemudahan
web. Disebabkan terdapat pelbagai kemudahan ini membolehkan proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan dengan lebih berkesan. 11

Di negara-negara maju sangat canggih kerana hanya berfokus kepada ICT di


bilik darjah. Contohnya, di Amerika Syarikat Dr Michael Wesch, seorang ahli
Lembaga Penasihat bagi Sekolah abad ke-21, mencetus fenomena masyarakat

9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)

10 Nur Fadzilah Binti Othman. Tahap Penggunaan Aplikasi Web 2.0 Dalam Kalangan
Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam Di Malaysia . Universiti Teknologi Malaysia.
2010

11 Khairun Nadwa Binti Md Tahir. Kesan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (PBI)


Melalui Web Terhadap Prestasi Dan Persepsi Pelajar Dalam Matapelajaran Fizik
Peringkat Universiti. Usm. 2007
sosial baru yang mana membangunkan banyak alatan Web 2.0 seperti Jott, Twitter,
YouTube (terdapat juga TeacherTube, SchoolTube, dan StudentTube), Diigo dan
Google Earth untuk kegunaan bilik darjah. Beliau juga menerangkan cara
penggunaan web 2.0 dalam bilik darjah serta menekankan amalannya di bilik
darjah.

Malah, di Asia Tenggara pendidikan abad ke -21 juga berfokus kepada Teknologi
Maklumat (ICT). Misalnya, Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang di Singapura telah
menggantikan buku dengan komputer tablet iPad yang bertujuan membuat
perubahan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas (NTD Televisyen) (Venthan,
2006; Singapore School Trials iPad as Textbook Replacement, 2012).

Pelbagai kaedah pembelajaran yang digunakan dan dirancang dalam proses


pembinaan insan serba lengkap bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Ada yang
telah diaplikasikan, ada juga akan diaplikasikan. Namun yang demikian, akhirnya ia
akan melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran yang sesuai iaitu kemahiran
abad ke-21 yang kan dibincangkan dibab yang seterusnya.

Kemahiran Abad Ke 21

Berdasarkan cabaran pendidikan Malaysia ke arah K-ekonomi, ia menuntut


agar negara membangunkan sumber tenaga yang mempunyai ciri-ciri K-worker,
celik dan mahir dalam ICT, mampu bersaing pada peringkat tempatan dan pada
peringkat global, bahkan memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi selaras
dengan perkembangan era dunia abad ke-21 yang sagat mencabar. Oleh yang
demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menyediakan program
pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu
pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia bagi memenuhi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.12 Kemahiran yang dimaksudkan inilah yang dibincangkan
dibab ini.

Kerajaan komited melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara untuk


tempoh 15 tahun akan datang. Tranformasi pendidikan ini bermatlamat
melengkapkan setiap murid di negara kita dengan segala kemahiran baharu yang
diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-
21. Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara termaju didunia, sistem
pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan,
mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang
mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan diperingkat global.
YAB Tan Sri Dato Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin.

Pakar pendidikan di kebanyakan negara menyedari hakikat bahawa kanak-


kanak memerlukan kemahiran yang lebih daripada 3M (menulis, membaca,
mengira) setelah mereka menamatkan alam persekolahan. Dalam dunia globalisasi
pada abad ke-21, keperluan untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi menjadi
semakin penting. Kebanyakan negara menerima konsep kemahiran abad ke- 21
sebagai paksi kurikulum, namun definisi konsepnya belum dipersetujui. Menteri
Pendidikan Singapura menyatakan bahawa individu yang lengkap dengan
kemahiran abad ke- 21 merupakan individu yang mempunyai keyakinan diri,
mengamalkan pembelajaran kendiri, menyumbang dengan aktif, dan merupakan
warganegara yang prihatin. Di Finland, kemahiran abad ke-21 berteraskan
perkembangan kendiri, identiti budaya dan keantarabangsaan, kemahiran media
dan komunikasi, warganegara partisipatif, bertanggungjawab terhadap
persekitaran, menitikberatkan kesihatan diri dan masa depan yang lestari.

Di Malaysia, Kementerian telah mengenal pasti kemahiran abad ke-21 yang


sesuai dengan konteks tempatan dan dapat menyediakan warga Malaysia untuk
bersaing pada peringkat antarabangsa. Untuk itu, kurikulum kebangsaan
bermatlamat untuk melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat
12 http://ml.scribd.com/doc/39146635/Pendidikan-Abad-Ke-21-Isu-Dan-Cabaran
ingin tahu, berprinsip, bermaklumat, dan patriotik, serta mempunyai kemahiran
berfikir, berkomunikasi, dan bekerja secara berpasukan. Kurikulum sekolah rendah
dan menengah yang dikaji semula akan memastikan keseimbangan pengetahuan
yang penting dengan kemahiran berfikir, dan nilai untuk memastikan kejayaan
13
murid pada masa akan datang.

Gambar 1 . Standard Kemahiran Abad Ke-21

Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang


banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi.
Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan
teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar
sekarang. Penekanan perubahan pendidikan yang dimaksudkan mengaitkan
kemahiran abad ke 21 dengan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
13 Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. September
2012. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sehubungan dengan proses pembestarian sekolah yang dibuat oleh KPM
memerlukan pelajar berkemahiran dalam bidang ICT. Kemahiran yang diperoleh
dapat melahirkan pelajar yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri
(self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kada kendiri (self-placed).14

Kebanyakan kemahiran abad ke 21 adalah berdasarkan kepada pendedahan


terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan
mengira, literasi abad ke 21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan
utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman
sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas
maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital
sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.

Kemahiran berfikir aras tinggi melebihi pengimbasan kembali fakta atau


informasi. Kemahiran berfikir melibatkan interaksi berfikir mengikut strategi kognitif,
meta kognitif dan pengetahuan semasa menghuraikan masalah (Young 1997).
Menurut OECD (2006), salah satu pendekatan yang dicadangkan ialah sekolah-
sekolah memberikan wadah agar kemahiran abad ke-21 diasah supaya murid-murid
lebih bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi pengetahuan. Kemahiran ini
berkaitan dengan pengurusan pengetahuan seperti pemilihan, penyesuaian, analisis
dan perkongsian dalam alam web. Kemahiran ini disokong oleh teknologi maklumat
15
dan komunikasi.

Malah, sumber terbaik yang membina kemahiran komunikasi interaktif seperti


kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah
menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon
pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti
Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal
perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.

14 http://ml.scribd.com/doc/39146635/Pendidikan-Abad-Ke-21-Isu-Dan-Cabaran

15 Wan Alfida Suleiman . Mengasah Kemahiran Literasi Digital . Sekolah Rendah


Beacon
Di peringkat antarabangasa, LLC mengiktiraf keperluan kritikal untuk
membangunkan kemahiran abad ke 21 di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun,
dipercayai bahawa pendidikan ini tidak menghadkan pembangunan profesional dan
reka bentuk kurikulum sedia ada. Kemahiran abad ke 21 yang dipelajari melalui
kurikulum, ia merupakan disiplin, bersepadu, berasaskan projek, dan banyak lagi,
termasuk dalam kurikulum berasaskan projek dengan menggunakan tujuh
kemahiran hidup yang diperjuangkan oleh Tony Wagner dalam bukunya, Jurang
Pencapaian Global:

Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah


Kerjasama merentasi Rangkaian dan Memimpin oleh Pengaruh
Ketangkasan dan Penyesuaian
Inisiatif dan keusahawanan
Komunikasi Berkesan Lisan dan Bertulis
Mengakses dan Menganalisis Maklumat
Rasa ingin tahu dan Imaginasi

Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah salah satu


pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dalam negara Malaysia
mampu memupuk kemahiran abad ke 21. Contohnya, topik-topik tertentu dalam
mata pelajaran Sejarah dan Sains diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar
mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber. Tugasan menerusi
pembelajaran berasaskan projek seperti ini, juga menggalakkan komunikasi
interaktif. Pelajar dapat berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek
bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat
media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.

Dalam usaha untuk pelajar-pelajar kita bersedia untuk mengemudi dunia


abad ke-21 ini, mereka mesti menjadi celik dalam literasi abad ke-21 termasuk
media, budaya, maklumat, emosi, ekologi, kewangan dan siber. Bekerjasama
dengan pelajar dari seluruh dunia dalam projek bermakna, kehidupan sebenar
adalah alat yang diperlukan untuk membangunkan literasi ini. Pelajar boleh
mempelajari bahawa melalui kerjasama, bukan persaingan, mereka boleh
bekerjasama untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik. Pelajar akan
menggunakan teknologi, termasuk Internet, dan kerjasama global untuk
menyelesaikan isu-isu kritikal.
Dalam membincangkan potensi pembelajaran berasaskan Web, Hill (1997)
menyatakan bahawa pembelajaran Web memberi peluang kepada pelajar untuk
memperolehi strategi berfikir pada aras tinggi dengan menggalakkannya memikir
secara mencapah serta dengan adanya pandangan dari pelbagai perspektif. Bonk
dan Reynolds (1997) turut menegaskan bahawa pembelajaran berasaskan Web
yang konstruktivis, di mana pelajar digalakkan menyatakan pendapat dan idea
masing-masing, menjalankan refleksi, meneroka sumberpengetahuan yang pelbagai
serta mengenal pasti kecondongan dan kekuatan hujah, adalah tunggak kepada
pemupukan kemahiran berfikir aras tinggi. Pendapat ini disokong oleh kajian yang
dijalankan oleh Sanders dan Morrison-Shetlar (2001) yang mendapati bahawa
komponen Web yang memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara
tak-sinkroni antara satu sama lain, mempunyai kesan positif tinggi terhadap
pembelajaran dan kemahiran berfikir secara kritis. 16

Selain itu, melibatkan pelajar dalam aktiviti kokurikulum juga penting. Semua
pelajar diwajibkan menyertai pasukan beruniform. Tindakan ini dapat membantu
pelajar mengasah kemahiran literasi alaf digital (terutama kesedaran global),
kemahiran komunikasi efektif dan kemahiran pemikiran inventif melalui
pembabitan mereka dalam aktiviti-aktiviti berkaitan. Pendekatan pembelajaran
perlu dijuruskan kepada perkembangan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
dan yang boleh menghasilkan pelajar yang berdikari (independent learners).

Jelas sekali, bahawa pembangunan abad ke 21 dalam kalangan pelajar


memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku
di peringkat sekolah atau bilik darjah. Walau bagaimanapun, perubahan di
peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di
kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula
program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah
pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke 21.

16 Tina Lim Swee Kim . Pembelajaran Berasaskan Web: Kesan Pendekatan


Konstruktivis Berbanding Pendekatan Langsung. Maktab Perguruan Ipoh Perak
Guru Abad Ke-21

Pengetahuan Isi Kandungan Kurikulum

Guru abad ke-21 perlu mempunyai tahap pengetahuan isi kandungan kurikulum
yang baik. Perkembangan terkini dalam kurikulum pendidikan sewajar diketahui
oleh setiap guru. Antara pengetahuan isi kandungan kurikulum yang perlu
difokuskan ialah:

Kesediaan guru untuk menyampaikan bahan pengajaran merupakan perkara


terpenting dalam pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini
bermakna pengetahuan guru tentang isi kandungan kurikulum merupakan
kesediaan terpenting untuk memastikan keberkesanan pengajarannya.

Pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam


fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat
tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran berkenaan. Hal ini bermakna
setiap guru seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya
bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.

Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu


perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses
yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal
ini bermakna setiap guru perlu mengukuhkan kefahaman konseptual pelajar
dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah
menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran pelajar.

Penguasaan ilmu, iaitu setiap guru perlu menguasai ilmu mata pelajaran dan
ilmu pedagogi. Pengetahuan isi kandungan subjek yang berkaitan dengan
sukatan, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung merupakan
faktor penentu kefahaman pelajar terhadap apa yang diajarkan oleh guru. Hal
ini bermakna tanpa menguasai kandungan kurikulum, boleh mengganggu
pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang tajuk yang dipelajari.
Rumusannya, tahap keberkesanan pengajaran guru banyak bergantung
kepada pengetahuan isi kandungan subjek dan kemampuan guru mengurus masa
untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengajaran. Pengetahuan isi kandungan
kurikulum yang baik juga membantu guru merancang pengajaran harian, mingguan
dan bulanan secara sistematik dan bertulis.

Pengetahuan Pedagogi

Pengetahuan pedagogi mengajar bermaksud setiap guru perlu mempunyai


pelbagai pengetahuan berkaitan pedagogi mengajar. Dalam konteks pendidikan,
setiap guru sewajarnya memahami dan menguasai pelbagai kemahiran
mengajar/pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan
strategi mengajar. Dalam pengajaran, seharusnya pelajar merasai dan dapat
memahami bahawa guru mereka seharusnya lebih mahir dan lebih mengetahui
sesuatu tajuk yang dibincangkan berbanding pelajar. Hal ini boleh dilihat antara lain
melalui pedagogi mengajar yang guru gunakan.

Pendekatan pengajaran: Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran,


terdapat banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik
darjah. Selalunya guru-guru akan menggunakan pendekatan konvensional
dan tradisi yang sudah biasa digunakan dalam pengajaran seperti deduktik,
induktik dan komunikatif. Kini sepatutnya guru-guru perlu meneroka kepada
pendekatan pengajaran terkini dan sesuai dengan tahap kognitif,
kepelbagaian pelajar, kesesuaian tajuk yang diajar dan sebagainya. Antara
pendekatan terkini yang boleh digunakan ialah pendekatan masteri,
kontekstual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penyebatian kemahiran,
penggabungjalinan pelbagai displin ilmu dan pembelajaran berasaskan
masalah.

Kaedah pengajaran: Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran


yang sewajarnya setiap guru mengetahui dan menguasainya. Di dalam kelas
kepelbagaian pelajar, kaedah mengajar berpusat pelajar seharusnya diberi
penekanan oleh guru. Antaranya ialah kaedah perbincangan, main peranan,
penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri, sumbang saran dan
sebagainya. Kaedah pengajaran yang banyak berpusatkan guru dan bahan
tidak digalakkan digunakan oleh guru.

Teknik pengajaran: Teknik pengajaran adalah perincian daripada penggunaan


sesuatu kaedah yang digunakan. Teknik pengajaran lebih kepada
pelaksanaan bagaimana sesuatu kaedah pengajaran itu dapat dilaksanakan
dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran
merupakan kemahiran guru dalam mengelola dan melaksanakan kaedah
mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara teknik
mengajar yang biasa digunakan ialah teknik bercerita, bersyarah,
perbincangan, demonstrasi, latih tubi, penyoalan, sumbang saran dan
permainan. Tujuan menggunakan pelbagai teknik mengajar dalam situasi
pengajaran adalah untuk menarik minat pelajar, mengekalkan perhatian
serta membangkitkan rasa ingin tahu pelajar supaya mencapai objektif
pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran
atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika
seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada
sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak
berhasil.

Strategi pengajaran: Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi


jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan,
pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu
rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar
kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, di dalam bilik darjah
yang pelbagai tahap pencapaian, guru perlu memikirkan strategi pengajaran
yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan
semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan
serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan
bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan pelajar. Lantaran
itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah
mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan
serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran
dan pembelajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.

Kesimpulannya, dalam melaksanakan kepelbagaian kaedah pengajaran dan


pembelajaran, guru perlu memilih kaedah yang sesuai digunakan seperti kaedah
praktis, perbincangan, soal jawab dan sebagainya. Selepas kaedah yang hendak
digunakan dipilih, barulah guru merancang teknik yang boleh komplemen dengan
kaedah tersebut seperti teknik bercerita, latih tubi, menghafal dan seumpamanya.
Usaha mengenal pasti dan memilih kaedah dan teknik yang sesuai dapat memenuhi
pendekatan yang digunakan yang disebut sebagai strategi.

Pengetahuan Guru Tentang Ciri Pelajar

Guru yang baik ialah seorang guru yang bukan sahaja mempunyai
kepelbagaian kemahiran mengajar, tetapi juga mempunyai pengetahuan yang
mendalam terhadap setiap anak pelajar yang di dalam kelas yang diajarnya.
Pengetahuan berkaitan ciri pelajar adalah amat diperlukan untuk membantu guru
memilih pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai
dengan setiap ciri pelajarnya17. Pengetahuan guru tentang ciri pelajarnya boleh
menjadikan pengajaran guru menyeronokkan dan meninggalkan kesan positif dalam
diri pelajar berkenaan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu, pengetahuan guru tentang pelajar-pelajarnya dilihat dari aspek:

Maklumat umum tentang pelajar berkenaan: Hal ini bermaksud setiap guru
bukan fungsinya untuk mengajar sahaja, tetapi juga mengambil berat akan
hal-hal berkaitan dengan pelajar yang diasuhnya. Mengambil berat ini amat
penting jika guru berkenaan menjadi guru kelas pada setiap pelajar tersebut.

Pengetahuan tentang tahap kognitif pelajar: Setiap pelajar adalah berbeza


tahap kognitifnya. Guru perlu memahami setiap pelajarnya itu adalah

17 (Zamri 2011, Wood 2002)


berbeza tahap kognitifnya. Sudah tentu apabila menyoal (aras soalan),
memberi tugasan (mudah atau sukar), memberi arahan main peranan
(sebagai ketua, pembentang, pencatat) dan sebagainya, maka guru-guru
perlu mengambil keupayaan pelajar tersebut untuk menjawab soalan,
menyiapkan tugasan, kemampuan bertindak ketika main peranan dan
sebagainya.
Pengetahuan tentang sikap pelajar: Faktor sikap amat penting dalam
menentukan sama ada seseorang pelajar itu berminat atau tidak berminat
mempelajari sesuatu mata pelajaran itu, guru yang mengajar, kaedah
pengajaran yang digunakan dan sebagainya. Justeru, setiap guru perlu
memastikan pengajarannya menyeronokkan, dan mudah difahami pelajar.
Kreativiti dan inovatif guru ketika mengajar boleh mempengaruhi sikap
pelajar terhadap mata pelajaran.

Memahami Psikologi Pembelajaran

Guru perlulah memahami dan menguasai sepenuhnya psikologi


pembelajaran untuk mengawal dan membentuk sikap pelajar. Teori-teori psikologi
pembelajaran yang dipelajari perlulah digunakan semula dan diaplikasikan kepada
pelajar. Sebagai seorang guru perlu memahami sepenuhnya psikologi pembelajaran
dan mengetahui kegunaannya bagi setiap masalah pelajar.

Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif pelajar-pelajar mestilah dididik


menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk
belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era
globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada
pandangan jauh dan luar biasa.

Memiliki Kemahiran Kaunseling

Menerapkan nilai-nilai murni/moral/akhlak nilai-nilai murni menitikberatkan


perlakuan baik, peradaban dan tatasusila insan dalam hubungannya sesama
manusia, alam dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan
masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara.

Menggunakan Teknologi Terkini


Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari
internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul
serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era
digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.

Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu


pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu
dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan
projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.

Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan


komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek
bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat
media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.

Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti


kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah
menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon
pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti
Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal
perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.

Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar


memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku
di peringkat sekolah atau bilik darjah. Walau bagaimanapun, perubahan di
peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di
kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula
program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah
pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.

Teknologi dan perkomputeran para pendidik seharusnya mengorak langkah


dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai
pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan
dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi
mekanisme urusan haria
Perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya
menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk
memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti,
asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, semangat
patiotis dan memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia
yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak
manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21.
Pelajar Abad Ke-21

Bijak menyoal

Pelajar abad ke-21 perlulah bijak dalam menyoal. Kita sudah sudah sedia maklum
bahawa pelajar abad ke-21 terdedah kepada keterbukaan teknologi. Oleh itu,
pelajar akan lebih bijak untuk menyoal kepada guru.

Yakin berkomunikasi

Pelajar yang yakin berkomunikasi ini boleh terbentuk hasil daripada usaha guru.
Pelajar akan sentiasa aktif dan yakin berkomunikasi jika guru sentiasa memberi
kepada mereka untuk bercakap. Manakala guru yang tidak memberi peluang untuk
pelajar bercakap akan membuat pelajar mereka pasif. Oleh itu, pelajar abad ke-21
perlulah diberi peluang oleh guru untuk lebih berkomunikasi di dalam kelas.

Dahagakan ilmu

Pelajar abad ke-21 sentiasa mencari ilmu. Sebelum ini, semua isi pelajaran diberi
oleh guru sepenuhnya tetapi pada masa kini pelajar perlu sentiasa meneroka ilmu
mereka sendiri. Persaingan bagi setiap orang pelajar pada abad ke-21 adalah tinggi
dan mereka perlu bijak dalam mencari ilmu baru.

Menjana idea

Pelajar abad ke-21 perlu sentiasa menjana idea mereka selaras dengan
perkembangan zaman yang ada. Contohnya, pelajar di negara Jepun sentiasa
menjana idea baru selaras dengan tahap pendidikan dalam negara mereka. Tahap
pendidikan dan pelajar mereka adalah jauh mendahului kita. Oleh itu, untuk
bersaing dengan negara-negara maju yang lain pelajar kita haruslah sentiasa
menjana idea mereka.

Berkemahiran kritis
Berkemahiran kritis sangat perlu kepada seorang pelajar. Seorang pelajar tidak
harus menerima sahaja sesuatu perkara tanpa menilainya terlebih dahulu. Era
teknologi ini, maklumat sangat mudah diperolehi tetapi tidak semua maklumat
adalah adalah benar. Oleh itu, berkemahiran berfikir dengan kritis adalah penting
supaya pelajar dapat menapis dan menilai kebenaran sesuatu perkara yang
diperolehi.

Berkeperibadian tinggi

Pelajar abad ke-21 akan lebih sempurna dengan keperibadian yang tinggi. Seorang
pelajar tidak harus mempunyai kemahiran yang tinggi sahaja. Berkeperibadian
tinggi sangat perlu pada diri pelajar. Pada abad ke-21 kita dapat lihat ramai pelajar
yang semakin jauh daripada keperibadian tinggi ini. Keadaan ini berlaku kerana
mereka banyak belajar sendiri daripada kemudahan ICT dan tanpa perlu berjumpa
dengan orang lain. Dleh itu, keperibadian tinggi perlulah disebabkan dalam diri
pelajar abad ke-21 supaya diri mereka selaras dengan kemahiran dan keperibadian
yang tinggi

Pelajar dan Internet

Walaupun masih ramai pelajar tidak berpeluang untuk menikmati kemudahan


internet terutamanya di kawasan pendalaman, namun sebagai pelajar abad ke-21
mereka harus mengambil peluang dengan bijak untuk memperoleh maklumat di
internet.

Revolusi maklumat yang akan mewujudkan Era Maklumat akan membawa


perubahan secara menyeluruh dan dramatik kepada cara hidup kita, cara bekerja
dan tatacara melihat dunia secara global. Negara kita telah berjaya melihat akan
kemunculan pelajar abad ke-21 yang dipengaruhi dengan ganerasi berilmu dan
bermaklumat tersebut. Kemajuan dalam teknologi Komputer pada hakikatnya akan
memastikan bahawa revolusi maklumat akan mempengaruhi hidup kita secara lebih
mendalam serta menyeluruh.

Terdapat beberapa kelebihan pembelajaran menggunakan Internet:

a) Peluang pembelajaran melalui Internet lebih bersifat terbuka dan luas kerana ia
tidak tertakluk kepada lokasi tertentu, sebaliknya ia meliputi seluruh dunia.
b) Internet juga menyediakan ruang dan maklumat pembelajaran dan perkongsian
dengan kepada golongan professional dalam bidang tertentu, seperti kejuruteraan,
perubatan, farmasi, teknologi, komputer dan sebagainya.

c) Kemudahan Internet juga memperkayakan lagi sumber-sumber maklumat yang


dahulunya hanya dipersembahkan melalui kaedah konvensional sahaja, iaitu buku,
majalah, surat khabar, rencana tertentu, jurnal dan buletin. Melalui Internet,
sumber-sumber tersebut turut disediakan dalam bentuk World Wide Web. Sumber-
sumber begini biasanya disediakan oleh pihak institusi pengajian tinggi, badan-
badan pemikir dan pusat penyelidikan dalam bidang tertentu. Ianya bukan sahaja
untuk dijadikan bahan rujukan kepada para pelajar sekolah, kolej dan universitI,
malah ia juga turut oleh dimanfaatkan oleh semua golongan orang yang berminat.

d) Dalam pencarian sejumlah kecil maklumat, seperti ensiklopedia dan kamus, ia


mudah dilaksanakan. Tetapi bagi mencari sejumlah maklumat yang besar, langkah
mencari dan memilih mungkin agak sukar bagi pengguna yang masih lagi belum
memahami teknik pencarian maklumat dalam Internet. Internet menyediakan satu
perisian atau aplikasi yang dinamakan enjin carian bagi memudahkan proses
pencarian anda terhadap topik tertentu. Walaupun begitu, perlukan sedikit
kemahiran penggunaan enjin carian bagi memastikan bahawa maklumat yang betul
dapat diperolehi.

Di dalam abad ke-21, internet menawarkan maklumat yang pelbagai untuk


tujuan pembelajaran. Ruang siber yang ada terbuka luas untuk penerokaan
pengetahuan. Apa yang penting ialah maklumat ini perlu diproses dan dianalisis
untuk mendapat manfaat semaksimum yang mungkin.
Kesimpulan

Abad ke-21 begitu sinonim dengan era digital bertunjangkan kemahiran


teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan kemahiran tersebut
menjadi semakin penting kini. Kepentingan kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi ini selaras dengan keperluan kemahiran abad ke-21 yang sememangnya
penting untuk diaplikasikan dalam bidang pendidikan. Profesionalisme guru perlu
dipertingkatkan memandangkan mereka adalah tunjang kepada pelopor kemahiran
abad ke-21 dalam melahirkan modal insan kreatif dan inovatif. Kajian lepas
mendapati bahawa tahap kesediaan guru dalam menguasai kemahiran masih pada
tahap memuaskan. Kegagalan guru dalam menggunakan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran menyebabkan
kemahiran ini sukar digarap dikalangan guru. Tanpa kesediaan yang tinggi di dalam
diri guru, segala reformasi pendidikan yang dijalankan bagi melahirkan generasi
muda sejajar dengan perkembangan dunia akan menemui jalan kegagalan.

Disebabkan perubahan ini, warga pendidik mempunyai cabaran yang lebih


besar dalam menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran berteraskan
teknologi seiring dengan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi zaman kini.
Namun, kesediaan guru dalam menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi
masih lagi berada pada tahap sederhana. Ini menyebabkan guru memerlukan
latihan yang lebih bagi membantu mereka merealisasikan penggunaan ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran seiring dengan keperluan pelajar. Dengan
peningkatan penggunaan ICT dikalangan guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, maka adalah merupakan sesuatu yang perlu bagi meningkatkan dan
memajukan lagi tahap penggunaan ICT terhadap guru seiring dengan keperluan
kemahiran abad ke-21 yang perlu diterapkan dikalangan guru dan pelajar 18.

18 (Lima et al., 2004; Rabe & Cadorna-Carlow, 2007)


Rujukan

Kaori Okano & Motonori Tsuchiya. 2007. Pendidikan Moden Jepun:


Ketaksamaan dan Kepelbagaian. Terj. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad.

Lima, M., Koehler, M., & Spiro, R. 2004. Collaborative Interactivity and
Integrated Thinking in Brazilian Business Schools Using Cognitive Flexibility
Hypertexts: The Panteon Project. Jurnoul Educational Computing Research, 31(4),
371-406.

Mohd Salleh Lebar. 1993. Bimbingan & Kaunseling: Tugas Guru dan
Kemahiran Asas. Selangor: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Mohd. Sharani Ahmad & Zainal Madon. 2004. Tip Pandai Belajar:
PanduanTeknik-Teknik Berkesan Semasa Belajar dan Mengajar. Pahang: PTS
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Rosie Turner-Bisset. 2007. Pengajaran Pakar. Terj. Kuala Lumpur: Institut


Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Wood, J.W. 2002. Adapting instruction to accommodate students in inclusive


setting: Including all students. New York: Pearson Education Inc.

Zamri Mahamod. 2011. Inovasi P&P dalam pendidikan Bahasa Melayu.


Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

You might also like