You are on page 1of 31

KURSUS:

PENDIDIKAN SAINS, TEKNOLOGI DAN KEUSAHAWANAN


GGGR6263

TUGASAN KUMPULAN

TAJUK TUGASAN:
LAPORAN PELAKSANAAN PROJEK PENERAPAN KEMAHIRAN PEMIKIRAN
SAINS KEUSAHAWANAN (PeSak) MELALUI MODUL PEMBELAJARAN BAGI
TAJUK TENAGA

PENSYARAH:
PROF. DR. LILIA HALIM
PROF. DR. NOR AISHAH BUANG

NAMA AHLI KUMPULAN NO. MATRIK


LIM LEH HONG GP03357
NUR SYUHADA BINTI RUSLI GP03379
PHANG HUI KIEN GP03385
TENG SII NIANG GP03395
SYLVIA ANAK LIPAN GP04040

1
1.0 PENGENALAN

PeSak merupakan singkatan kepada Pemikiran Sains Keusahawanan. Tujuan kemahiran PeSak
diterapkan kepada pelajar adalah untuk menggalakkan budaya menggunakan pengetahuan
saintifik di dalam kehidupan seharian menerusi pemikiran kreatif dan inovatif yang
berorientasikan keusahawanan. Modul pembelajaran PeSaK adalah berdasarkan integrasi disiplin
antara pengetahuan sains dan keusahawanan. Integrasi disiplin ini telah berjaya menghasilkan
sebuah modul pembelajaran sains yang berhasrat memupuk kemahiran mereka cipta berdasarkan
pengetahuan sains berorientasi keusahawanan. Modul ini telah dibangunkan daripada dua projek
penyelidikan kebangsaan. Konsep modul ini adalah berdasarkan kepada tinjauan, temu bual
dengan ahli-ahli sains usahawan dan pakar dalam bidang sains dan teknologi. Modul ini telah
ditadbirkan kepada pelajar dari pelbagai peringkat pendidikan untuk meningkatkan
keberkesanannya. Segala pencapaian dan penilaian guru sains terhadap modul ini telah diambil
kira supaya usaha penambahbaikan modul boleh dilaksanakan sebagai tindakan susulan. Secara
keseluruhan modul ini mengandungi lima langkah pemikiran yang utama. Modul ini bertujuan
membimbing pelajar untuk melaksanakan lima langkah pemikiran utama melalui pelbagai
tugasan yang dipercayai dapat memupuk kemahiran PeSak. Dengan itu, impak modul ini dapat
ditunjukkan melalui:

(a) peningkatan minat dan kefahaman terhadap sains


(b) menggalakkan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif berasaskan prinsip sains
(c) meningkatkan kesedaran aplikasi pengetahuan sains dalam kehidupan seharian dan
(d) menggalakkan persekitaran pembelajaran sains yang kondusif.

Akhir sekali, modul pembelajaran sains yang inovatif ini juga berhasrat untuk
menggalakkan pelajar dan pendidik sains mempertimbangkan pendekatan pelbagai disiplin untuk
pembelajaran sains yang lebih menarik. Hal ini demikian kerana penerapan kemahiran PeSak
akan menggalakkan pelajar untuk menghargai pembelajaran sains yang bermakna dalam aplikasi
kehidupan seharian dan kemajuan teknologi.

2
1.1 Objektif Modul PeSak

(a) Mengambil inisiatif untuk membuat pemerhatian dengan bertujuan dan sengaja secara
berterusan.
(b) Mengamalkan kemahiran berfikir untuk mencari keunikan dalam fenomena yang
diperhatikan.
(c) Mengetahui bagaimana untuk memilih idea-idea yang mungkin berjaya secara kreatif dan
inovatif.
(d) Mempelajari prinsip penambahbaikan atau peningkatan idea yang telah dipilih.
(e) Menjalankan aktiviti secara berkumpulan atau berpasukan
(f) Menjadi kreatif dan inovatif dalam menggunakan konsep sains dalam kehidupan seharian.
(g) Membangunkan budaya reka bentuk pemikiran keusahawanan dalam kehidupan seharian
berasaskan konsep sains.
(h) Menghargai teknologi atau produk baru dalam kemajuan ekonomi.

1.2 Cadangan dan Strategi Pembelajaran yang dicadangkan

(a) Projek/Permainan
Aktiviti pembelajaran secara berkumpulan
Hasil projek dalam bentuk laporan ataupun pembentangan kepada guru dan rakan-rakan
Menggalakkan kemahiran menyelesaikan masalah, pengurusan masa dan pembelajaran
kendiri.

(b) Perbincangan
Pelajar bertukar-tukar soalan dan pendapat
Dibuat sebelum, semasa dan selepas aktiviti
Guru berperanan sebagai fasilitator dan membimbing perbincangan pelajar untuk
meranang pemikiran mereka.

(c) Penggunaan Teknologi


Alat yang berpotensi menambahbaikkan pembelajaran sains

3
Penggunaan teknologi seperti televisyen, radio, komputer dan internet menjadikan
pengajaran dan pembelajaran sains lebih menarik dan berkesan.

1.3 Penggunaan Modul

Modul ini mengandungi 5 bahagian aktiviti yang selari dengan 5 langkah dalam PeSaK. Dalam
menjalankan aktiviti tersebut, modul ini dapat dijadikan sebagai:
Lampiran kerja dalam aktiviti.
Panduan dalam melaksanakan aktiviti.
Kerja berkumpulan.
Aplikasi kepada strategi-strategi pembelajaran.
Pelengkap kepada panduan guru.

2.0 PELAKSANAAN LIMA LANGKAH PeSak DALAM MODUL

Langkah 1: Sentiasa Memerhati Di Sekeliling Kita

Tarikh : 11. 07. 2016 (Isnin)


Masa : 0645 - 0805
Tempat : Makmal komputer 1
Kumpulan Sasaran : Kelas 4C
Kehadiran : 36/37
Objektif : Mengamalkan kemahiran mengambil inisiatif untuk memerhati dengan
sengaja dan berterusan.

Pelaksanaan :
Pada hari ini, guru memperkenalkan Modul PESAK Sains KSSM kepada pelajar 4C semasa
pengajaran dan pembelajaran Sains dengan menggunakan power point. Semua pelajar duduk
dalam keadaan yang senyap dan terkawal. Oleh kerana majoriti pelajar boleh menguasai
Bahasa Malaysia dengan lebih baik maka guru bertindak sebagai penterjemah kepada pelajar
ini kerana modul ini ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini telah menimbulkan
kesukaran kepada segelintir pelajar yang kurang menguasai Bahasa Inggeris. Seterusnya guru
menunjukkan latar belakang modul ini kepada pelajar supaya mereka jelas dengan objektif dan

4
pengenalan modul. Selepas 10 minit, semua pelajar diperkenalkan dengan 5 langkah utama
untuk melaksanakan modul sepanjang sesi ini. untuk mencapai hasil pembelajaran yang
maksima, guru turut memperjelaskan cara-cara penggunaan modul dan 4 strategi pembelajaran
yang didapati dalam modul ini.

Selepas 15 minit, guru meminta pelajar membentuk 8 kumpulan dan bilangan pelajar
dalam satu kumpulan kira-kira 4 hingga 5 orang. Sebelum pembentukan kumpulan, guru
memperingatkan pelajar supaya membentuk 2 kumpulan lelaki, 2 kumpulan perempuan dan 4
kumpulan campuran lelaki dan perempuan. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua
kumpulan, pencatat, pembentang dan tukang mengambil alat tulis. Guru menasihati setiap
pelajar agar melibatkan diri dengan aktif kerana penilaian kumpulan akan dilakukan semasa
sesi pembentangan.

Guru mengedarkan sehelai kertas yang mengandungi 10 soalan objektif dengan jumlah
10 markah kepada setiap pelajar untuk meneroka pengetahuan awal pelajar mengenai topik
sumber tenaga. Ujian ini dijalankan secara individu dan pelajar tidak dibenarkan untuk
membuat perbincangan antara satu sama lain. Selama 10 minit telah diperuntukkan untuk ujian
ini, guru meminta ketua kumpulan mengumpulkan kertas jawapan ahli-ahli kumpulan dan
bertukar dengan kumpulan yang berlainan untuk menyemak jawapan rakan.

Kemudian, guru memperkenalkan topik tenaga secara ringkas. Pelajar dikehendaki


memerhatikan secara sengaja pada semua gambar rajah yang ditunjukkan dalam tugasan 1.
Dengan berpandukan pengetahuan awal dan pemerhatian, mereka dikehendaki mengumpul
sebanyak alat elektronik di sekeliling mereka dan mencatatkan di dalam peta buih seperti
lembaran 1. Di samping itu, mereka perlu menyenaraikan semua sumber tenaga dalam aspek
bentuk, kegunaan, perubahan tenaga, kelebihan dan kekurangan dalam jadual yang disediakan
seperti lembaran 2. Dengan merujuk lembaran 1 dan 2, setiap kumpulan perlu
menghubungkaitkan semua alat elektronik yang disenaraikan dengan perubahan tenaga dalam
lembaran 3. Setiap kumpulan dibenarkan mengakses maklumat tambahan mengenai sumber
tenaga dan alat-alat elektronik daripada internet seperti yang dinyatakan dalam tugasan 1.
Pelajar diminta melakukan sesi berhenti sebentar dan berfikir dalam tugasan 2, sebanyak 5
alat elektronik akan dipilih. Guru memperingatkan agar pelajar sentiasa merujuk kepada

5
tugasan 1 untuk memudahkan tugasan. Akhirnya, guru meminta setiap kumpulan
membentangkan hasil perbincangan mengikut kumpulan.
Pencapaian:
Setiap pelajar membuat pemerhatian dengan sengaja terhadap alat elektronik dari segi
perubahan fizikal atau kimia dahulu dan sekarang. Ini menimbulkan rasa ingin tahu pelajar dan
seterusnya merangsang pemikiran mereka sehingga membolehkan mereka membuat
pentafsiran terhadap fenomena penggunaan tenaga sebelum menjalankan penyiasatan
selanjutnya. Mereka bekerjasama dan membantu antara satu sama lain untuk mengumpul
maklumat semasa menjalankan aktiviti perbincangan. Semasa tugasan Berhenti dan berfikir
sebentar, pelajar memilih alat elektronik yang relevan daripada internet untuk membuat
hubung kait dengan perubahan tenaga. Ini menunjukkan langkah 1 membuka peluang kepada
pelajar untuk berfikir secara kritikal dan analitikal. Pelajar berasa seronok dan aktif bertanya
soalan semasa melengkapkan tugasan dalam langkah 1. Ini menunjukkan langkah ini telah
menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti modul ini. Walau bagaimanapun,
penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar menyebabkan segelintir pelajar
kurang memahami arahan tugasan dengan baik. Di samping itu, susunan teks dalam modul
sukar diikuti. Keseluruhannya, objektif modul ini boleh difahami dengan mudah dan jelas.
Aktiviti langkah 1 adalah terancang dengan pengajaran dan pembelajaran sains yang ingin
dinilai. Tambahan pula, topik tenaga sesuai dengan aspek yang ingin dinilai. Pelajar
mempunyai pengetahuan sedia ada.

Langkah 1:Memberi pemerhatian/ Paying Attention

6
Langkah 1 Tugasan 1: Senaraikan Alat Elektronik
Langkah 1 Tugasan 2: Senaraikan Semua Sumber Tenaga

Langkah 1 Tugasan 3: Berhenti Dan Perasan/ Pausing dan


Noticing

Langkah 1 Tugasan 3: Hubungkait Alat Elektronik


Dengan Perubahan Tenaga

Langkah 2: Mencari Keistimewaan Dan Kelainan

Tarikh : 12. 07. 2016 (Selasa)


Masa : 0845 - 1005
Tempat : Makmal 4
Kumpulan Sasaran : Kelas 4C
Kehadiran : 35/37
Objektif : Mengamalkan kemahiran berfikir untuk mencari keunikan fenomena
diperhatikan.

7
Pelaksanaan :
Guru meneruskan langkah 2 PeSak dengan meminta setiap kumpulan mencari keistimewaan
dan kelainan yang terdapat pada setiap alat elektronik yang dipilih. Terdapat 2 tugasan utama
dalam langkah ini iaitu tugasan 1 ialah mengekstrak maksud dan tugasan 2 ialah membuat
hubung kait. Guru telah memperuntukkan 30 minit untuk melaksanakan tugasan 1 dan 2. Pada
mulanya, setiap ahli kumpulan akan berbincang antara satu sama lain dalam kumpulan untuk
mencari keistimewaan alat elektronik yang dipilih berdasarkan langkah 1. Dalam langkah ini,
setiap kumpulan digalakkan membuat senarai alat-alat elektronik sebanyak yang mungkin
dengan sumber tenaga yang lain dari biasa dan membuat jangkaan bentuk rupa serta sifat
alatan tersebut sekiranya menggunakan sumber tenaga seperti yang dinyatakan. Selanjutnya
dalam langkah 2, setiap kumpulan akan memilih 3 jenis peralatan elektrik yang paling sesuai
untuk dipadankan dengan sumber tenaga alternatif yang dipilih.

Pencapaian :
Setiap kumpulan telah berjaya menjana idea yang baik, mereka dapat mereka cipta idea baru
alat elektronik canggih dan efisien dengan penggunaan sumber tenaga yang baru. Mereka cuba
melibatkan diri secara aktif untuk mengemukakan pendapat dan berkongsi secara spontan
tanpa berasa segan. Dengan itu, pelajar bersikap lebih terbuka dan berfikiran luwes. Langkah
ini turut berjaya meningkatkan kemahiran berfikiran kritikal dan analitis serta keupayaan
membuat keputusan di kalangan pelajar contoh: implikasi alat elektronik sekiranya dengan
sumber tenaga berlainan. Pelajar dapat mengelaskan alat-alat elektronik yang akan dicipta dan
jenis tenaga yang akan digunakan serta mencetuskan idea untuk memilih alat elektronik yang
mahu direka cipta. Terdapat pelajar yang berjaya memberi contoh peralatan elektrik yang
jarang diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka seperti walkie talkie dan scanner pen
tetapi di bawah bimbingan guru. Melalui pemerhatian guru, majoriti padanan sumber tenaga
alternatif adalah berfokus kepada tenaga solar dan kebanyakan peralatan elektrik yang
disenaraikan oleh pelajar merupakan alat elektronik yang mudah didapati dalam kehidupan
seharian mereka. Ini mungkin dipengaruhi faktor geografi iaitu kawasan luar bandar
pendedahan pelajar kepada alat elektronik yang terkini adalah terhad. Guru cuba mengatasi
masalah ini dengan mendedahkan pelajar pelbagai informasi penggunaan sumber boleh
diperbaharui selain tenaga solar melalui pelbagai media seperti majalah, internet dan artikel.

8
Justeru itu, guru perlu memperuntukkan masa yang mencukupi supaya pelajar boleh menjana
idea yang lebih kreatif dan inovatif. Masa penggunaan sumber internet telah dipanjangkan agar
pelajar dapat mengakses maklumat yang dikehendaki.

Langkah 2 Tugasan 1: Mengekstrak Maksud

Langkah 2 Tugasan 1: Mengestrak Maksud (Kumpulan Perempuan)

9
Langkah 2 Tugasan 1: Mengestrak Maksud (Kumpulan Lelaki)

Langkah 2 Tugasan 1: Mengestrak Maksud (Kumpulan Campuran)

3 jenis peralatan elektrik sepadan sember tenaga alternatif

10
Langkah 3: Penghasilan Idea Lengkap

Tarikh : 18 19. 07. 2016 (Isnin dan Selasa)


Masa : 0645 0805(Isnin), 0845-1005(Selasa)
Tempat : Makmal 4
Kumpulan Sasaran : Kelas 4C
Kehadiran : 36/37
Objektif : Untuk mengetahui bagaimana untuk memilih idea-idea yang
mungkin berjaya untuk kreativiti dan inovasi
Pelaksanaan :
Langkah 3 merupakan peringkat menghasilkan idea yang lengkap. Berdasarkan idea-idea telah
disenaraikan dalam langkah 2 sebelum ini, setiap kumpulan akan memilih salah satu idea yang
paling ideal untuk membina satu alat elektronik yang unik dan mempunyai potensi penggunaan
sumber tenaga alternatif yang baik. Berdasarkan produk yang telah dipilih, pelajar dikehendaki
memikirkan dan menyatakan bahan yang diperlukan berserta kos seunit alat komunikasi.
Sebanyak 80 minit telah diperuntukkan untuk tugasan 1 iaitu menuai. Pada masa yang sama guru
mengedarkan sekeping kertas serbak kepada setiap kumpulan untuk lakaran alat komunikasi.
Pelajar boleh menggunakan grafik dan bahan-bahan lain untuk membantu semasa
pembentangan. Pada hari kedua, guru meminta setiap kumpulan membentangkan idea mereka
kepada rakan-rakan. Sebelum setiap sesi pembentangan, sekeping borang penilaian akan
diedarkan kepada ketua setiap kumpulan. Setiap ahli kumpulan perlu memberi markah kepada
setiap kumpulan yang membentang berdasarkan 2 bahagian iaitu alat dan sumber tenaga yang
merangkumi 8 aspek seperti berikut:
a) Idea baru
b) Mudah diaplikasikan
c) Idea realistik
d) Mudah memahami idea baru
e) Idea memenuhi dengan keperluan masyarakat
f) Alat komunikasi adalah selamat digunakan
g) Alat komunikasi boleh dibangunkan dalam masa terdekat
h) Alat komunikasi mampu dimiliki

11
Langkah 3 Tugasan 1: Penuian (Pen Hologram) Kumpulan lelaki

12
Penilaian Kumpulan Pen Halogram yang dilakukan oleh Kumpulan Softhandphone dan
Walkie Talkie

Sesi Pembentangan Kumpulan Pen Hologram dan dinilai oleh kumpulan lain

13
Langkah 3 Tugasan 1: Penuian (Walkie Talkie)
Kumpulan Campuran

14
Penilaian Kumpulan Walkie Talkie yang dilakukan oleh Kumpulan Softhandphone dan
Pen Halogram

Langkah 3 Tugasan 1: Penuian (Soft Handphone)


15
Kumpulan Perempuan

Penilaian Kumpulan Walkie Talkie yang dilakukan oleh Kumpulan PenCard dan Pen
Halogram

16
Pencapaian:

Kumpulan Markah peralatan (%) Markah Sumber Tenaga (%)


Lelaki 79.17 % 81.25 %
Perempuan 56.25 % 75.00 %
Campuran 96.83 % 87.50%

Hasil inovasi daripada kumpulan campuran (walkie talkie) mendapat sambutan yang paling
tinggi dan baik di kalangan rakan sebaya dengan markah 87.5%. Ini kerana, alat komunikasi
mereka memenuhi kebanyakan kriteria penilaian diikuti dengan kumpulan lelaki (pen hologram)
81.25% dan kumpulan perempuan (soft smartphone) 75%. Hasil pemerhatian, pelajar dapat
memilih idea-idea yang baik dan baru berdasarkan penilaian contoh menggunakan tenaga solar,
cuma kerealistikan idea pada tahap sederhana bagi kebanyakan kumpulan. Langkah 3
menggalakkan persaingan yang sihat sesama pelajar. Mereka berasa seronok sewaktu
pembentangan dan membuat penilaian terhadap pembentangan rakan. Di samping itu, terdapat
penerapan ilmu keusahawanan, cuma idea produk yang diperkenalkan masih di tahap sederhana
untuk komuniti (keselamatan, keperluan, harga produk). Guru cuba mengatasi masalah pelajar
cuma berupaya menjana kerealistikan idea pada tahap sederhana bagi kebanyakan kumpulan
dengan menunjukkan satu contoh yang baik kepada pelajar semasa menjalankan modul ini.
Rasional di sebalik tindakan ini adalah kerana pelajar di kawasan luar bandar memang
menghadapi limitasi untuk membuat imaginasi dan kekurangan maklumat yang terkini mengenai
produk di pasaran. Oleh itu, guru memainkan tanggungjawab yang besar untuk membantu dan
mendorong pelajar membina kemahiran kreatif, inovatif tetapi realistik supaya produk yang
mereka hasilkan akan menjadi produk yang sebenar pada masa yang akan datang dengan
mengambil kira nilai-nilai tambahan seperti keselamatan, keperluan, kos dan nilai.

Langkah 4: Terus Membaiki Dan Mengubahsuai

Tarikh : 25 26. 07. 2016 (Isnin dan Selasa)

Masa : 0645 0805 (Isnin), 0845-1005 (Selasa)

17
Tempat : Makmal 4
Kumpulan Sasaran : Kelas 4C
Kehadiran : 36/37
Objektif : Untuk mengubahsuai dan menambahbaikkan suatu peralatan
elektronik yang dipilih dengan penuh azam
Pelaksanaan :

Dalam langkah 4, setiap kumpulan pelajar dikehendaki untuk mereka bentuk semula inovasi
peralatan elektronik yang dipilih berdasarkan komen-komen dan penilaian yang diberi oleh
kumpulan lain dalam langkah 3. Langkah 4 terdiri daripada dua tugasan. Sebanyak 80 minit
telah diperuntukkan untuk tugasan 1 iaitu mereka bentuk dan mereka bentuk semula. Para pelajar
dalam bentuk kumpulan diminta untuk mengenal pasti penambahbaikan yang masih boleh dibuat
ke atas inovasi peralatan elektronik yang dipilih oleh mereka dan seterusnya membuat
pengubahsuaian, kemudian mereka bentuk semula peralatan elektronik dengan mengikuti
langkah-langkah berikut:
1. Membentuk : mereka bentuk peralatan elektronik yang baru
Pelajar melakarkan reka bentuk asal inovasi peralatan elektronik di atas sekeping kertas

2. Mengubahsuai: untuk memenuhi keperluan orang ramai


Berdasarkan lukisan tersebut, pelajar berbincang dalam kumpulan dan mengadakan sesi
sumbang saran untuk mendapat cadangan-cadangan pengubahsuaian reka bentuk asal
peralatan elektronik supaya dapat memenuhi keperluan orang ramai. Hasil perbincangan
daripada sesi sumbang saran dicatat di atas kertas.
3. Memperkukuhkan: memperbaiki reka bentuk peralatan elektronik
Kemudian, Pelajar membuat lakaran semula pengubahsuaian reka bentuk peralatan
elektronik berdasarkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing.
4. Mengenal pasti masalah baru dengan peralatan elektronik yang telah diubahsuai
Seterusnya, pelajar berbincang dan menyenaraikan masalah-masalah yang mungkin akan
dihadapi untuk menghasilkan peralatan elektronik baru dari segi kos, sumber dan nilai.
5. Membandingkan peralatan elektronik baru dengan peralatan elektronik yang sedia
ada di sekeliling kita
Pelajar membuat perbandingan antara inovasi baru peralatan elektronik dengan peralatan

18
elektronik yang sedia ada di sekeliling dan menyenaraikan perbezaannya di atas kertas.
6. Menambahbaikkan peralatan elektronik baru (mereka bentuk semula)
Setelah meneliti semua masalah dan perbezaan yang disenaraikan, pelajar mengenal pasti
penambahbaikan yang masih boleh dilakukan ke atas inovasi peralatan elektronik untuk
memenuhi keperluan orang ramai.
7. Fikirkan rancangan untuk menguji peralatan elektronik baru
Pelajar berbincang dan menentukan rancangan untuk menguji inovasi baru peralatan
elektronik.
8. Menilai kesan peralatan elektronik baru ke atas orang ramai
Akhir sekali, pelajar membincangkan kesan inovasi baru peralatan elektronik dari segi
kelebihan dan kekurangan peralatan elektronik baru kepada orang ramai dan membuat
justifikasi sama ada orang ramai akan membeli produk mereka.

Pada hari kedua, pelajar telah diperuntukkan masa sebanyak 80 minit untuk tugasan 2, iaitu
melukis pandangan depan, atas dan sisi model akhir peralatan elektronik baru setelah melalui
proses pengubahsuaian dan penambahbaikan berulang kali dalam tugasan 1.

Pencapaian :
Melalui langkah 4, pelajar-pelajar dapat melihat dan menilai semula inovasi mereka dari
pelbagai perspektif yang berbeza. Berdasarkan pandangan-pandangan atau komen-komen yang
diterima dari kumpulan lain semasa langkah 3, idea yang lebih baik atau bernas telah muncul
untuk tujuan penambahbaikan idea yang sedia ada. Di samping itu, didapati kemahiran
berkomunikasi dan keyakinan diri di kalangan pelajar dapat dipertingkatkan melalui sesi
perbincangan dan sumbang saran yang berulang kali kerana pelajar bebas menyumbangkan idea
masing-masing. Mereka tidak perlu bimbang tentang soal betul atau salah idea-idea yang
disuarakan. Terdapat beberapa kumpulan pelajar yang mereka bentuk inovasi baru peralatan
elektronik dengan pengaruh filem barat seperti 'iron man' dan 'transformer', lalu menyebabkan
inovasi mereka mempunyai nilai kebolehlaksanaan yang rendah.

19
Hasil kerja pelajar

20
Inovasi peralatan elektronik kumpulan lelaki selepas pengubahsuaian dan
penambahbaikan dalam langkah 4

21
Inovasi peralatan elektronik kumpulan perempuan selepas pengubahsuaian dan
penambahbaikan dalam langkah 4

Inovasi peralatan elektronik kumpulan campuran selepas pengubahsuaian dan


penambahbaikan dalam langkah 4

22
Langkah 5: Menghasilkan Nilai Tambah Ke Atas Produk Yang Dihasilkan

Tarikh : 01 / 08 / 2016
Masa : 0645 0805 (Isnin)
Tempat : Makmal 4
Kumpulan Sasaran : Kelas 4C
Kehadiran : 36/37
Objektif : Menghasilkan nilai tambah ke atas produk yang dihasilkan
:
Pelaksanaan
Pelajar perlu melaksanakan dua tugasan dalam langkah 5 iaitu menjalankan kajian tinjauan
dengan menemu bual sekurang-kurangnya 5 orang dari kawasan kejiranan masing-masing
berkenaan dengan inovasi peralatan elektronik yang diubahsuai oleh mereka, seterusnya
menganalisis maklumat yang diperoleh dari kajian tinjauan untuk membuat kesimpulan
berkenaan reka bentuk inovasi peralatan elektrik masing-masing. Guru telah menyediakan dan
mengedarkan borang soal selidik kepada setiap kumpulan sejurus selepas langkah 4 selesai
supaya pelajar mempunyai masa yang mencukupi, iaitu lebih kurang 1 minggu untuk membuat
tinjauan. Pembentangan hasil kajian tinjauan dijalankan seminggu selepas pelaksanaan langkah
4. Pada masa yang sama, guru telah meminta pelajar melakarkan hasil pengubahsuaian dan
penambahbaikan inovasi peralatan elektronik di atas sekeping kertas serbat, kemudian guru
lekatkan lakaran mereka di papan notis dalam makmal. Guru telah meminta semua pelajar dari
kelas lain yang mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam makmal supaya
memberi penilaian atau menambah idea ke atas inovasi peralatan elektronik. Mereka akan tulis
idea mereka di atas sekeping kertas melekat (sticky notes), kemudian lekatkan pada inovasi yang
mereka ingin menambah idea. Tujuan langkah ini adalah untuk mendedahkan lebih ramai
pelajar mengenai konsep PeSak.
:
Pencapaian
Oleh sebab pelajar menjalankan kajian tinjauan di luar waktu persekolahan, maka guru tidak
dapat menyaksikan bagaimana pelajar memujuk atau meyakinkan orang lain untuk membeli
inovasi baru peralatan elektrik. Namun, melalui pembentangan pelajar mengenai analisis
maklumat tinjauan dalam tugasan 1, guru mendapati bahawa rata-rata responden memberi komen

23
yang positif terhadap inovasi baru peralatan elektrik yang direka bentuk oleh pelajar. Walau
bagaimanapun, responden memberi pandangan yang berbeza-beza mengenai harga berpatutan
yang mereka sanggup bayar untuk mendapat inovasi baru peralatan elektrik. Perkara ini berlaku
mungkin disebabkan oleh responden datang dari latar belakang sosioekonomi yang berbeza.
Melalui langkah ini, beberapa sikap saintifik dan nilai murni telah diterapkan secara tidak
langsung di kalangan pelajar, antaranya ialah berfikiran terbuka untuk menerima sebarang
komen dan kritikan daripada responden, berani mencuba idea baru, serta yakin dan berdikari
semasa menjalankan kajian tinjauan.
Di samping itu, pelajar dari kelas lain yang turut serta dalam proses penilaian telah
memberi banyak idea yang bernas dan tidak pernah terfikir oleh pelajar yang terlibat dengan
pelaksanaan modul. Mereka berasa teruja terhadap inovasi-inovasi peralatan elektronik hasil
daripada penerapan kemahiran PeSak. Mereka meminta supaya diberi peluang untuk mencuba
modul tersebut.

Hasil kerja pelajar

24
Penglibatan pelajar dari kelas lain dalam proses penilaian

25
3.0 PENILAIAN MODUL

3.1 ASPEK PENCAPAIAN PELAJAR

Pencapaian pelajar sepanjang masa pelaksanaan modul PeSak adalah tidak konsisten. Walaupun
hampir semua pelajar mendapat skor 9 dan ke atas dalam bahagian menguji pengetahuan sedia
ada, namun pelajar-pelajar tidak mampu untuk melaksanakan modul Pesak secara persendirian.
Justeru, guru mengagihkan pelajar kepada kumpulan supaya mereka dapat bekerjasama antara
satu sama lain dan bantu-membantu sepanjang proses pelaksanaan modul PeSak. Walau
bagaimanapun, dengan adanya pengetahuan asas mengenai konsep tenaga yang baik, hal ini telah
menjadi satu kelebihan yang menyumbangkan kepada kelancaran proses pelaksanaan dan
pencapaian objektif modul.

Arahan bagi tugasan dan lembaran kerja dalam modul PeSak adalah mudah difahami oleh
pelajar kerana setiap satunya disertakan dengan contoh jawapan. Perkara ini secara tidak
langsung membantu memandu pelajar ke arah perkembangan yang dikehendaki. Namun, bagi
sesetengah pelajar, contoh jawapan yang disertakan seolah-olah telah mengehadkan kreativiti
mereka. Jadi, idea yang dijanakan oleh pelajar hanya berkisah sekitar contoh jawapan sahaja.

Tenaga merupakan salah satu topik dalam silibus pembelajaran sains tingkatan satu.
Maka, apabila pelajar tingkatan empat terpilih untuk melaksanakan modul PeSak, mereka
berpeluang untuk mengaplikasikan semula konsep tenaga yang dipelajari semasa tingkatan satu
untuk melengkapkan semua tugasan dan lembaran kerja dalam modul PeSak. Dengan ini,
penguasaan konsep sains di kalangan pelajar telah diperkukuh dan dipertingkatkan. Di samping
itu, penguasaan Kemahiran Proses Sains (KPS) di kalangan pelajar juga didapati meningkat
semasa melengkapkan tugasan dan lembaran kerja, antaranya KPS yang diterapkan dalam modul
ini adalah seperti membuat pemerhatian,berkomunikasi, mengelas, membuat inferens dan
meramal. Pada masa yang sama, pemupukan sikap saintifik dan nilai murni juga ditekankan
sepanjang proses pelaksanaan modul. Perkara ini ditunjukkan apabila pelajar dalam kumpulan
bekerjasama antara satu sama lain untuk mereka bentuk semula inovasi peralatan elektronik,
rajin dan yakin pada diri sendiri, berani mencuba idea baru dan mengambil risiko serta
bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri.

26
Kesimpulannya, modul pembelajaran PeSak bukan sahaja menerapkan kemahiran
pemikiran sains keusahawanan, tetapi juga berjaya mengukuhkan penguasaan konsep sains,
meningkatkan penguasaan KPS serta memupuk sikap saintifik dan nilai murni di kalangan
pelajar.

3.2 ASPEK AKTIVITI PENGAJAAN DAN PEMBELAJAAN (P&P)

Modul PeSak telah menyediakan aktiviti P&P yang memerlukan penglibatan aktif pelajar.
Tugasan dan lembaran kerja dalam modul lebih sesuai dilakukan secara berkumpulan berbanding
individu. Hal ini demikian kerana idea yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar adalah jauh
lebih banyak dan berkualiti berbanding idea yang dihasilkan oleh seseorang individu. Oleh yang
demikian, guru telah mengagihkan pelajar-pelajar dalam kelas kepada beberapa kumpulan
homogen (semua ahli kumpulan terdiri daripada jantina yang sama) dan heterogen (ahli dalam
kumpulan terdiri daripada jantina yang berlainan). Ahli-ahli dalam sesuatu kumpulan
mempunyai prestasi pencapaian akademik yang berbeza-beza. Tujuan guru mengagihkan pelajar
ikut jantina dan pencapaian akademik adalah untuk melihat terdapat perbezaan dari segi
kreativiti dan hasil kerja antara kumpulan homogen dan heterogen di samping mengharapkan
pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang baik dapat membantu dan membimbing ahli
kumpulan yang lemah. Hasil pelaksanaan modul menunjukkan inovasi peralatan elektronik dari
kumpulan heterogen mendapat sambutan yang paling tinggi dari kalangan pelajar. Kreativiti dan
minat pelajar lelaki dalam melakukan aktiviti modul PeSak secara puratanya adalah lebih tinggi
berbanding pelajar perempuan. Namun, hasil kerja pelajar perempuan adalah lebih halus dan
kemas berbanding pelajar lelaki. Maka apabila ahli kumpulan terdiri daripada kedua-dua pelajar
lelaki dan perempuan, andaian bahawa hasil kerja adalah jauh lebih kreatif dan berkualiti tinggi
telah dapat disahkan kerana pelajar perempuan membantu menghasilkan ilustrasi reka bentuk
daripada idea-idea yang dikemukakan oleh pelajar lelaki. Di samping itu, kumpulan heterogen
didapati terlibat lebih aktif dalam perbincangan dan proses penghasilan inovasi berbanding
kumpulan homogen. Selain daripada itu, daripada pemerhatian guru mendapati bahawa terdapat
segelintir pelajar yang bersikap pasif dalam aktiviti kumpulan seperti perbincangan dan
pembentangan. Mereka lebih cenderung untuk bergantung pada pelajar cemerlang dalam
kumpulan mereka semasa sesi sumbang saran, pembentangan dan soal jawab. Perkara ini
menjadi salah satu kelemahan apabila modul PeSak dilaksanakan secara berkumpulan.

27
Aktiviti dalam modul PeSak didapati dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara
kreatif di kalangan pelajar. Hal ini dapat ditunjukkan apabila pelajar mampu menghasilkan suatu
inovasi. Proses pembentangan dan penjelasan inovasi peralatan elektronik di depan guru dan
kumpulan pelajar lain didapati secara langsung meningkatkan keyakinan diri pelajar. Dalam
aktiviti perbincangan kumpulan, guru mendapati kemahiran berfikir secara kritis ditekankan
apabila pelajar menganalisis inovasi peralatan elektronik masing-masing untuk mencari
penambahbaikan yang boleh dilakukan supaya menghasilkan nilai tambah ke atas inovasi yang
sedia ada. Selain daripada itu, aktiviti meramalkan masalah yang mungkin dihadapi dalam proses
penghasilan produk inovasi, impak inovasi tersebut ke atas orang ramai, reaksi responden
terhadap inovasi serta anggaran harga jualan produk inovasi memerlukan kemahiran berfikir aras
tinggi seperti menganalisis, menilai dan mereka cipta.

Secara keseluruhannya, aktiviti dalam modul ini sangat sesuai diselitkan dalam P&P
memandangkan pelbagai impak positif telah berlaku ke atas pelajar dan guru hasil daripada
pelaksanaan modul PeSak. Aktiviti modul yang berpusatkan pelajar dapat menghasilkan suasana
iklim dalam bilik darjah yang kondusif dan seterusnya meningkatkan kualiti P&P.

3.3 ASPEK KESESUAIAN BAHASA

Sekolah yang terlibat dalam pelaksanaan modul PeSak merupakan sebuah sekolah luar bandar
yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran sains dan matematik. Jadi
pelajar menghadapi kesukaran untuk memahami arahan dan kehendak dalam setiap tugasan
modul. Hal ini seterusnya menyebabkan pelajar memberi jawapan yang tidak menepati kehendak
soalan dan seterusnya objektif pelaksanaan modul tidak tercapai. Bagi mengatasi masalah ini,
guru pelaksana telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan semua maklumat dalam modul
kepada bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman pelajar seterusnya melancarkan proses
pelaksanaan modul. Maka, adalah dicadangkan supaya modul ini disediakan dalam dwibahasa
supaya ia sesuai diguna pakai oleh pelajar dan guru tidak mengira dari bandar atau luar bandar.

3.4 ASPEK KEBERKESANAN MODUL DALAM MENERAPKAN PeSak

Modul PeSak boleh dikatakan berjaya menerapkan Pemikiran Sains Keusahawanan di kalangan
pelajar kerana hampir 80% pelajar berminat menjadi saintis. Pada pendapat mereka, saintis
merupakan satu kerjaya yang sangat bermakna kerana mereka dapat mencipta sesuatu yang
28
memudahkan hidup masyarakat serta menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan.
Selepas pelaksanaan modul PeSak, ramai pelajar baru sedar bahawa ilmu sains boleh
digabungkan dengan ilmu keusahawanan untuk menghasilkan sesuatu alat atau perkhidmatan
yang boleh membawa keuntungan yang lumayan serta menyumbang kepada perkembangan
ekonomi negara. Modul PeSak juga berjaya membantu pelajar menyedari kepentingan ilmu sains
dalam kehidupan seharian. Terdapat pelajar berpendapat bahawa negara tidak akan maju tanpa
ilmu pengetahuan sains. Pada masa akan datang, diharapkan lebih banyak modul PeSak dengan
konsep sains yang berlainan dapat dihasilkan supaya kemahiran PeSak dapat diterapkan dari
semasa ke semasa sehingga menjadi satu tunjang pemikiran dalam kehidupan seharian pelajar.

Contoh refleksi pelajar selepas pelaksanaan modul PeSak

29
4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Bagi menjadikan modul ini lebih mesra pengguna, iaitu sesuai untuk pelajar yang fasih hanya
Bahasa Melayu sahaja atau Bahasa Inggeris sahaja, modul ini boleh diubahsuai dengan
menggunakan dwibahasa.

contoh modul dalam dwibahasa

Seterusnya, bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan modul, susunan teks dalam


modul boleh disusun semula dalam bentuk carta dengan menggunakan gambar rajah yang
relevan. Penggunaan grafik perlu bersesuaian dengan konsep yang perlu pelajar kuasai ini kerana
penggunaan grafik kartun (contoh: powerpuff girl) dalam kebanyakan halaman mengganggu dan
menimbulkan miskonsepsi dalam kalangan pelajar.

30
5.0 RUMUSAN

Secara keseluruhannya, projek penerapan kemahiran pemikiran sains keusahawanan (PeSak)


telah meninggalkan kesan yang positif ke atas pelajar. Walaupun terdapat segelintir pelajar yang
bersikap pasif dan kurang melibatkan diri dalam aktiviti perbincangan serta pembentangan
kumpulan, namun majoriti pelajar yang terlibat dalam proses pelaksanaan modul PeSak telah
mengalami peningkatan dan pengukuhan dari segi penguasaan konsep sains, kemahiran proses
sains, serta sikap saintifik dan nilai murni. Pelajar mendapati diri mereka lebih yakin dan
berkeupayaan untuk mengaplikasikan konsep sains untuk menyelesaikan masalah dalam
kehidupan seharian, menyuarakan pendapat sendiri, berani mengambil risiko dan mencuba idea
yang baru dalam pembelajaran sains, mempunyai pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif,
dapat berkomunikasi dan bekerjasama secara kolaborasi dengan rakan-rakan dari kumpulan lain
bagi menjayakan suatu projek. Pelajar berasa seronok melakukan aktiviti dalam modul PeSak.

31

You might also like