You are on page 1of 7

Pembinaan Kaabah lambang ketakwaan kepada Allah swt

Sejarah pembinaan Kaabah(Baitullah)


Sejarah ibadat haji di Tanah Suci Mekah bermula ketika Nabi Adam as diperintahkan
turun ke bumi oleh Allah swt. Sejurus beberapa ketika di muka bumi, Allah swt
memerintahkan baginda mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul
Makmur di langit. Baitul Makmur adalah tempat ibadat para penghuni langit mengerjakan
ibadat tawaf sepertimana yang dilakukan oleh penghuni bumi di Baitulullah(membawa
maksud Rumah Allah). Baitul Makmur terletak di langit ketujuh.
Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah menyebut Mekah dipilih sebagai tempat
pembinaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur
di alam malaikat. Diibaratkan bahawa jika Baitul Makmur jatuh ke muka bumi, maka ia akan
terhempap ke Baitullah di Mekah disebabkan kesejajarannya itu.
Baitul Makmur adalah tempat khusus yang dicipta Allah khusus untuk malaikat
melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy.
Ini kerana Arasy kawasannya amatlah luas dan sekiranya melakukan tawaf ia
mungkin menjangkau waktu hingga ke hari kiamat.
Sebelum terciptanya Baitul Makmur, para malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil
beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada
AllahYang Maha Agung.

Kaabah Binaan Pertama Manusia untuk mengesakan Allah swt


Mengenai pembinaan Baitullah atau Kaabah sebagai binaan pertama manusia bagi
tujuan ibadat kepada Allah swt, ia dapat dirujuk daripada firman Allah dalam surah al-Imran
ayat 96 yang bermaksud:,
Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula sekali dibina untuk manusia ialah Baitullah di
Makkah yang berkat dan menjadi petunjuk bagi umat manusia.
Sebaik saja semua urusan pembinaannya selesai, Allah memerintahkan Nabi Adam
serta keluarganya mengerjakan ibadat tawaf di situ sepertimana yang dilakukan oleh para
malaikat dan penghuni langit di Baitul Makmur.

Tempat Ibadat Para Malaikat di bumi


Selain daripada menjadi tempat beribadat umat manusia dan jin, Baitullah di Mekah
turut menjadi tempat tawaf para malaikat yang ditugaskan di muka bumi ini. Ia turut menjadi
tumpuan para auwliya Allah dan orang alim daripada seluruh dunia kerana keberkatan bumi
Allah Mekah ini.
Keberkatan kota Mekah yang menempatkan Baitullah ini adalah hasil doa Nabi
Ibrahim as yang memohon kepada Allah swt untuk mengutuskan seorang Rasul bagi
membimbing penduduk Mekah. Ia telah telah terakam dalam Al-Quran dalam surah alBaqarah ayat 129 :
Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan
membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab
(Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Kaabah selepas Wafatnya Nabi Adam as


Selepas Nabi Adam as wafat, binaan Kaabah beransur-ansur reput. Diriwayatkan
bahawa binaan pertama daripada Nabi Adam as hanya diperbuat daripada kepingankepingan kayu yang disusun berbentuk segi empat sama dan tidak berbumbung.
Seterusnya, Allah memerintahkan salah seorang daripada putera Adam iaitu Syith as
untuk membina semula Kaabah di tempat sama. Syith as juga merupakan seorang Nabi
Allah yang diutuskan Allah swt sebagai pengganti Nabi Adam as. Lahirnya Syith as adalah
sebagai galang ganti kepada Habil as yang telah dibunuh oleh abangnya, Qabil.
Diriwayatkan bahawa Nabi Adam as tersangat sedih atas kematian Habil as yang
dikasihinya dan dengan itu Allah swt telah mengurnaikan seorang anak iaitu Syith as dengan
rupa dan ketakwaannya persis Nabi Adam as.
Namun, banjir besar yang melanda pada zaman Nabi Nuh telah meruntuhkan binaan
Kaabah sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah.
Terkenal dengan kepatuhannya kepada perintah Allah swt, Nabi Ibrahim as dan
anaknya, Nabi Ismail as membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat
daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith as yang runtuh akibat banjir
dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu.
Ini disebut dalam firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 26 hingga 27,
Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami
berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku dan
bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang
rukuk serta yang sujud.
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan
datang dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang
datangnya dari berbagai-bagai jalan yang jauh.
Firman Allah lagi dalam ayat 29 bermaksud,
Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka
menyempurnakan nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah yang tua
sejarahnya itu.

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim as


Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota
Makkah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul
Al-Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang
bertentangan dengan kedua-dua sudut.
Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan
pula mengerjakan ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadat
haji.

Pembinaan dan Pembaikpulih Kaabah sepanjang Zaman


Beberapa ratus tahun selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, usaha
membaik-pulih dan membina semula Kaabah telah dilaksanakan secara berterusan.
Menurut tradisi Islam, Kaabah dibina semula 12 kali sejak pembinaan pertamanya oleh Nabi
Adam as. Para Sejarahwan pula berkata Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali.
Lebar ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut:

Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci.


Dinding Hatim adalah 33 kaki.
Dinding antara Hajar Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki.
Dinding Barat adalah 46.5 kaki Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula
sebelum masa Rasulullah (SAW).

Pembinaan semula Kaabah juga pernah dilakukan oleh kaum Quraish ketika zaman
Rasulullah saw. Dalam peristiwa ini, Rasullulah saw turut mengambil bahagian dalam salah
satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul. Dalam peristiwa inilah
Rasullulah terkenal di seluruh Mekah dengan gelaran al-Amin.
Antara proses pembaikpulih lain yang pernah dilakukan oleh masyarakat setempat
adalah membaiki kerosakan tanpa mengubah bentuk atau ukuran Kaabah oleh kaum
Analagh, Kaabah dibina semula oleh puak Jurhum selepas sebahagian dinding Kaabah
runtuh kerana banjir besar di Kota Mekah.
Kemudian Kaabah diperbaiki lagi dengan:

Membuat pintu serta pemasangan kelambu Kaabah oleh seorang raja dari Yaman.
Pembinaan bumbung Kaabah semasa pemerintahan Qusai bin Kilab.
Pembinaan semula Kaabah oleh Kaum Quraisy dengan berpandukan batu asas hasil
binaan Nabi Ibrahim.
Kerja membaiki Kaabah diteruskan oleh panglima Hajjaj pada zaman Khalifah Abdul
Malik dan pembinaan semula Kaabah pada 1037 berikutan kerosakan banjir besar di
Kota Mekah.

Seni bina
Bangunan yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter ini juga disebut
dengan nama Baitul Ateeq yang bermaksud paling awal dan paling lama. Ia juga bermakna
bebas dan merdeka.

Apa yang ada dalam Kaabah?

Wangian yang amat harum, campuran dari kasturi, anbar dan ud yang digunakan
dalam jumlah yang banyak setiap kali Kaabah dibersihkan dan digunakan sepanjang
tahun.
Ditutupi lantainya berwarna putih di tengah, sementara hitam di bahagian tepinya,
dan menaik ke tepi sehingga setinggi 4 meter, tanpa menyentuh dinding asalnya.
Dinding asalnya pula setinggi 5 meter lagi selepas dari dinding tadi, dan ditutup pula
dengan kain berwarna hijau atau langsir berwarna merah ros, dihiasi dengan Ayat AlQuran yang ditulis dengan perak.Selain itu,terdapat juga di lantainya tanda tempat
sujud Rasullulah saw dan juga multazam, di mana beliau melekatkan perut baginda
yang mulia serta pipi kanan, lalu mengangkat tangan dan berdoa.
Terdapat 3 batang tiang kayu yang diukir dengan begitu cantik, untuk menyokong
bumbung. Tingginya lebih kurang 9 meter.
Beberapa buah lampu pelita dari tembaga, kaca dan perak yang diukir padanya Ayat
suci Al-Quran. Ia wujud sejak zaman pemerintahan khalifah Uthman.
Tangga yang dapat dipanjat sampai ke bumbung diperbuat dari aluminium dan
kristal.
Beberapa kepingan batu bekas tinggalan setiap zaman yang ada pembaikpulihan
Kaabah.
Selain itu kadangkala terdapat alat pengangkut ke atas (man-lift) untuk kerja-kerja
pembersihan Kaabah, selain alat-alat untuk membersihkan Kaabah.

Pembersihan Kaabah yang berkala


Pembersihan Kaabah yang mulia di sebelah dalam pula dilakukan sekali setahun.
Pertamanya dibasuh dengan air dan sabun. Kemudian disapukan seluruh dinding dan
lantainya dengan wangian dari setiap jenisnya dan dibakar bukhur yang terwangi dan
terbaik. Ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.

Info Kaabah
Di dalam Ka`bah terdapat 3 buah tiang yang dibuat daripada kayu dan besarnya kirakira setengah meter, berwarna merah kekuningan. Menurut sejarahnya, tiang itu dipasang
oleh sahabat Rasullulah saw iaitu Abdullah bin Zubair r.a. ketika beliau membangun kembali
Kaabah pada generasi yang kesepuluh pada tahun 64-65H, bertepatan dengan 683M.
Lantai Kaabah adalah marmar putih dan hanya sedikit yang berwarna lain.
Dindingnya marmar berwarna, dihiasi dengan ukiran-ukiran dan pahatan yang indah.
Bahagian atas Kaabah ditutup dengan kain sutera berwarna merah mawar, dihiasi
dengan tulisan yang dengan benang putih dan bentuk huruf (dal) atau angka lapan dalam
sistem nombor Arab. Angka lapan itu membawa erti:
Mahasuci Allah dan Segala Puji Baginya, Mahasuci Allah yang Maha Agung.
Di samping itu terdapat bulatan-bulatan yang masing-masing tertulis kata-kata yang
ertinya:
Wahai yang Maha Penyayang, Wahai yang Maha Kuasa, Wahai yang Banyak KurniaNya,
Wahai yang Maha Suci.
Kain penutup atas Kaabah atau Sitarah mula diperbuat pada zaman pemerintahan
Sultan Abdul Aziz Khan pada tahun 1290H.
Pintu Kaabah dan pintu untuk naik ke loteng (sutuh) ditutup dengan kain sutera
hitam, disulam dengan benang emas.
Diantara 3 tiang besar dipasang kayu penyangga yang melintang dari utara ke
selatan, tingginya kira-kira 2/3 daripada tinggi Kaabah. Di sana digantungkan beberapa
tapak lilin(candlestick), lampu beraneka ragam dan barang-barang berharga yang diperbuat
daripada emas dan perak serta hadiah-hadiah yang diterima Kaabah sejak zaman dahulu.
Diriwayatkan bahawa tanduk kibas milik Nabi Ibrahim a.s. ketika peristiwa Korban
Nabi Ismail as pernah disimpan di dalam Kaabah. Namun kerana Kaabah pernah
mengalami kebakaran iaitu pada hari Sabtu tanggal 3 Rabiul Awal tahun 64H, maka tanduk
kibas itu telah turut sama terbakar dan generasi pada masa kini tidak dapat lagi menyaksi
relik bersejarah itu.
Pada dinding Ka`abah terdapat 7 buah kepingan batu mammar bertulis. Semua
tulisan dimulai dengan Bismillahirrahmanirrahim. Keterangan ringkas mengenai ketujuh
marmar itu adalah seperti berikut:

Kepingan mammar pertama dibuat pada bulan Rejab tahun 884H atas perintah
Sultan Abu Nasher Faitibeik.
Kepingan marmar kedua dipasang pada dinding tangga Ka`abah untuk naik ke
loteng dalam bentuk lima baik syair, dibuat pada tahun 1109H oleh Ahmad Beik
Syeikh al-Haram Makkah.
Kepingan marmar ketiga dipasang pada dinding bahagian barat, di buat atas
perintah Imam Besar Abu Jaafar al-Mansur al-Mustanshir billah Amiril Mu`minin,
tahun 629H.
Kepingan marmar keempat dipasang di dinding bahagian barat, di samping marmar
ketiga, dibuat atas perintah Yusuf bin Umar bin Ali bin Muhammad pada tahun 680H.
Kepingan marmar kelima dipasang pada dinding barat, di samping marmar keempat,
dibuat atas perintah Sultan Murad Khan bin Sultan Ahmad Khan pada akhir bulan
Ramadan tahun 1040H.
Kepingan marmar keenam dipasang di samping kepingan marmar kelima, dibuat
atas perintah Sultan Muhammad Khan pada tahun 1070H.
Kepingan marmar ketujuh dipasang berdampingan dengan kepingan marmar
keenam, dibuat atas perintah Sultan Malik Abu el-Nasr Barsibari pada tahun 826H.

You might also like