You are on page 1of 8

Kertas Kerja 5

Unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia: Peranan dan Keutuhan dalam Membina
Hubungan Etnik yang Harmonis
Low Le Yi
Abstrak
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan segala undangundang yang bercanggah dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal dengan sendirinya.
Malaysia sebagai negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk bergantung kepada unsurunsur tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengekalkan
perpaduan. Atas prinsip ini, unsur-unsur tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan
Persekutuan, iaitu bahasa kebangsaan, agama persekutuan, pemerintahan beraja serta
kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak perlu diiktiraf dan
dipelihara. Keempat-empat unsur-unsur tradisi ini berperanan untuk mewujudkan identiti
Malaysia dan juga membentuk hubungan masyarakat Malaysia yang harmonis. Maka, boleh
dikatakan bahawa unsur-unsur tradisi, iaitu kontrak sosial yang telah disepakati semasa
menggubal undang-undang memainkan peranan penting dalam mewujudkan perpaduan dalam
kalangan rakyat Malaysia. Justeru itu, artikel ini akan membincangkan tentang keutuhan unsurunsur tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dalam membentuk hubungan
masyarakat Malaysia yang harmonis.
Kata kunci: Perlembagaan Persekutuan, unsur-unsur tradisi, keutuhan, hubungan masyarakat
Malaysia yang harmonis
1

Pengenalan
Pembentukan Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini adalah berikutan beberapa
rentetan peristiwa sejarah Malaysia. Tanah Melayu sebenarnya telah dijajah dan dinaungi oleh
kuasa asing untuk tempoh yang panjang, iaitu selama 446 tahun. Perjuangan ke arah
kemerdekaan bersemarak apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Sebelum British
kembali semula ke Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya telah menguasai Tanah Melayu selama
14 hari. Selepas British kembali, mereka telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British
yang digantikan dengan Malayan Union pada tahun 1946. Akan tetapi, Malayan Union mendapat
tentangan yang hebat daripada orang Melayu.
Pada tahun 1948, Malayan Union telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Kerjasama antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin kuat dengan pengenalan
Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum ditubuh untuk
menyelesaikan masalah perlembagaan, politik dan ekonomi yang wujud akibat permintaan yang
berlainan daripada pelbagai etnik. Pada tahun 1951, Sistem Ahli telah diperkenalkan. Melalui
Sistem Ahli, pemimpin tempatan diberi peluang dan latihan untuk mendapatkan pengalaman
memerintah secara demokrasi. Beberapa siri pilihan raya telah diadakan pada tahun yang
berikutnya. Pada Pilihan Raya Persekutuan 1955, parti Perikatan telah memenangi 51 daripada
52 kerusi yang dipertandingkan. Hal ini telah menunjukkan bahawa perpaduan dan kerjasama
telah wujud antara Melayu dan bukan Melayu.
Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman dan lapan orang wakil telah berangkat ke London
untuk menuntut kemerdekaan. Dalam rombongan kemerdekaan ini, orang Melayu dan bukan
Melayu telah berunding dengan Kerajaan British bagi menuntut kemerdekaan. Hasilnya,
Perjanjian London telah ditandatangani pada 8 Februari 1956. Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu telah digubal oleh Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956.

Konsep Perlembagaan
Perlembagaan adalah suatu kumpulan peraturan atau undang-undang sama ada bertulis
atau tidak bertulis, yang menentukan organisasi kerajaan, pembahagian kuasa antara pelbagai
badan kerajaan dan prinsip-prinsip umum bagaimana kuasa-kuasa tersebut dilaksanakan
(Shamsul, 2008). Perlembagaan juga ditakrifkan sebagai satu dokumen undang-undang tertinggi
negara yang meliputi prinsip-prinsip serta peraturan sebagai garis panduan bagi menentukan
corak pemerintahan sesebuah negara (Norizan, 2002).
Perlembagaan secara umumnya merujuk kepada satu dokumen yang mengandungi
himpunan undang-undang dasar tentang prinsip-prinsip asas yang dianggap penting untuk
pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara (Ruslan, 2010). Perlembagaan telah
menyatakan secara jelas tentang pembahagian kuasa antara semua badan dengan institusi
yang terlibat dengan pemerintahan dan pentadbiran negara itu secara cara pelaksanaan kuasa
tersebut dijalankan. Bukan itu sahaja, perlembagaan juga mengandungi prinsip-prinsip tentang
perkaitan antara satu badan pemerintah dengan badan pemerintah yang lain seperti eksekutif,
perundangan dan kehakiman dengan memperincikan bidang kuasa dan juga peranan setiap
badan dalam pemerintahan negara.
Perlembagaan berperanan untuk menentukan cara pemerintahan sesebuah negara itu
dilakukan, menetapkan bentuk sistem kerajaan yang diamalkan, menjelaskan hak-hak yang
diperuntukkan kepada rakyat seta membatasi bidang kuasa pemerintah. Perlembagaan digubal
untuk menjadi panduan dalam corak pemerintahan, sistem politik dan pentadbiran negara di
samping memberikan jaminan perlindungan kepada rakyat. Tanggungjawab dan kewajipan
setiap warganegara terhadap pemerintah dan negara telah dinyatakan secara jelas dalam
perlembagaan.
Selain itu, perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi. Oleh itu, setiap
individu perlu mematuhi keluhurannya. Selain itu, perlembagaan adalah undang-undang asas
pemerintahan negara dan juga sebagai panduan bagi membentuk undang-undang sama ada
oleh pihak kerajaan atau rakyat. Perlembagaan bermatlamat untuk memberi jaminan dan
perlindungan kepada rakyat di samping mewujudkan sistem pemerintahan yang adil, maju serta
teratur.
Bukan itu sahaja, perlembagaan sangat penting kepada sesebuah negara. Antara
kepentingan perlembagaan kepada negara adalah untuk menjaga kestabilan dan keadilan
sesebuah negara, mewujudkan suatu rangka politik, ekonomi dan sosial yang dapat
memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara, menjamin keutuhan dan
kedaulatan negara, menjamin sistem pemerintahan yang cekap lagi adil, melindungi kepentingan
semua etnik serta berfungsi sebagai rujukan dan panduan dalam corak pemerintahan, sistem
politik dan pentadbiran negara.
Tambahan pula, perlembagaan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu perlembagaan
bertulis dan perlembagaan tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia merupakan perlembagaan
bertulis. Bagi perlembagaan bertulis, perlembagaan dikumpul dan disusun dalam satu dokumen.
Contoh bagi perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan di Britain di mana perlembagaan ini
merangkumi semua prinsip perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen seperti
undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan keputusan mahkamah.
Perlembagaan Persekutuan pula merupakan undang-undang tertinggi di negara kita.
Parlimen atau badan perundangan, badan eksekutif yang termasuk kabinet dan semua jentera
kerajaan yang lain serta badan kehakiman memperoleh kuasa daripada perlembagaan. Terdapat
dua prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu demokrasi berparlimen dan raja
berperlembagaan. Untuk prinsip yang pertama, iaitu demokrasi berparlimen, pemerintahan
negara adalah secara perwakilan. Pembentukan kerajaan adalah berasaskan persetujuan ramai.
Rakyat mengambil bahagian dalam pemerintahan melalui wakil-wakil yang dipilih dalam pilihan
raya. Prinsip yang kedua, iaitu raja berperlembagaan bermaksud raja tidak berkuasa secara
langsung. Sebaliknya, kuasa raja diwakilkan kepada kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri.
Raja dikehendaki menerima nasihat anggota kabinet dan bertindak menurut nasihat mereka.

Selain itu, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara yang


menjadi punca kepada semua undang-undang yang sedia ada atau yang bakal digubal. Semua
undang-undang yang bakal digubal tidak boleh bercanggah dengan mana-mana peruntukan
dalam Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang itu akan terbatal jika berlaku sebarang
percanggahan. Dalam kata lain, tidak ada institusi yang boleh mengatasi ketertinggian
Perlembagaan Malysia di Malaysia. Malah, ketiga-tiga badan kerajaan, iaitu badan perundangan,
kehakiman dan eksekutif serta Yang di-Pertuan Agong juga tertakluk kepada Perlembagaan
Malaysia. Sebagai contoh, kuasa perundangan dan kehakiman yang dijalankan tertakluk kepada
sekatan-sekatan yang dikenakan oleh perlembagaan.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan Sistem Persekutuan. Oleh itu,
kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang yang tertinggi amat penting bagi negara kita.
Hal ini adalah kerana dengan adanya pembahagian kuasa yang jelas, barulah kerajaan pusat
dapat menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan lancar tanpa terpaksa bersaing
dengan kerajaan negeri. Parlimen memperoleh kuasanya daripada Perlembagaan Persekutuan
yang mempunyai kedudukan undang tertinggi. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan
tidak boleh menggubal undang-undang untuk perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasa
yang telah diperuntukkan kepadanya.
Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 perkara yang tergolong dalam 15
bahagian. Perlembagaan ini menyentuh bidang kuasa Yang Dipertuan Agong, eksekutif,
legislatif, kehakiman, kedudukan orang Islam, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan,
kedudukan istimewa orang Melayu, agama rasmi, Bumiputera Sabah dan Sarawak, pilihan raya,
hak asasi rakyat, tanah, pembangunan negara dan perkhidmatan awam.
Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa perlembagaan boleh
dipinda untuk beberapa keperluan tertentu. Perlembagaan biasanya dipinda untuk menambah
atau memansuhkan sesuatu peruntukan yang dianggap tidak sesuai dengan keperluan semasa
atau disebabkan kehendak rakyat yang sudah berubah (Ruslan, 2010). Pindaan perlembagaan
ini boleh dilakukan melalui proses perundangan di Parlimen tanpa melibatkan pungutan suara
rakyat terlebih dahulu. Sesuatu perlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda
melalui empat cara. Antaranya cara-caranya ialah mendapat kelebihan suara dua pertiga dalam
setiap satu sidang Parlimen serta mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja, mendapat
kelebihan suara dua pertiga dalam setiap satu siding Parlimen dan mendapat persetujuan
daripada Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak, mendapat kelebihan suara dua pertiga
dalam setiap satu bidang Parlimen atau mendapat kelebihan majoriti mudah dalam setiap satu
bidang Parlimen.
3

Unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan


Tradisi adalah permindahan dan kesinambungan daripada satu generasi kepada generasi
yang lain. Tradisi menggambarkan sejarah, budaya dan fahaman sesuatu bangsa dan
masyarakat. Dalam konteks politik dan perlembagaan, sistem tradisi merujuk kepada sistem
yang wujud sebelum kedatangan zaman moden. Unsur-unsur tradisi penting dalam mewujudkan
identiti Malaysia dan memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Unsur-unsur tradisi telah
wujud sejak lama lagi, iaitu sejak ratusan tahun yang lalu sebelum pembentukan perlembagaan.
Unsur-unsur tradisi merupakan kontrak sosial yang telah disepakati semasa menggubal
undang-undang. Menurut Abdul Aziz Bari, 2001, unsur tradisi berperanan menstabilkan sistem
politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya
perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud
sebelum tahun 1957 (Shamsul, 2008).
Unsur-unsur tradisi memainkan peranan yang penting sehingga dilindungi di bawah Akta
Hasutan dan dianggap sebagai isu sensitif yang dilarang daripada dijadikan isu perbincangan
awam. Hal ini adalah kerana unsur-unsur tradisi sebenarnya merupakan suatu permuafakatan
yang telah dilakukan antara orang Melayu dan bukan Melayu. Unsur-unsur tradisi merupakan
satu prasyarat untuk menyelesaikan masalah yang wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di
Tanah Melayu pada ketika itu. Unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia ini meliputi
empat aspek, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama

Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak dan
pemerintahan beraja. Keempat unsur tradisi ini telah diwarisi sejak zaman prapenjajahan lagi.
B ah asa
K ebangs
aan
P e m e rin t
ahan
b e ra ja

U n su r

-u
nu
sd
uurk
K
ed
ad
n isi
tr a
is tim e w a
o ra n g
M elay u
dan
B u m ip u t
e ra
Sabah
dan
S a ra w a k

A gam a
p e rse k u t
uan

Peta minda: Empat unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan


1

Bahasa Kebangsaan
Bahasa Kebangsaan negara kita ialah Bahasa Melayu. Sejak sebelum Perang Dunia
Kedua lagi, Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas dalam urusan surat-menyurat,
mesyuarat dam prosiding perundangan di negeri-negeri Melayu terutamanya di Perlis, Kedah,
Kelantan, Terengganu dan di Johor. Selepas Perang Dunia Kedua, keadaan ini mula berubah
akibat daripada penerimaan sistem perundangan Inggeris. Bahasa Inggeris mula diterima
sebagai bahasa pentadbiran di Tanah Melayu walaupun Bahasa Melayu masih digunakan dalam
beberapa urusan kerajaan. Apabila Perlembagaan Malayan Union dilaksanakan, Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi untuk Mesyuarat Raja-raja, Majlis
Mesyuarat Kerja Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri-negeri Selat. Setelah Malayan
Union dimansuhkan, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu terus dikekalkan sebagai bahasa
rasmi dalam Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan, kecuali catatan dalam bentuk penulisan mesti
dibuat di dalam Bahasa Inggeris.
Selepas merdeka, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan persekutuan di bawah
Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, perkara in juga melindungi bahasabahasa lain dan seterusnya memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau
ditahan daripada menggunakan atau mengajar atau belajar bahasa lain. Dalam kata lain,
perkara ini tidak menghalang hak kaum-kaum lain untuk terus menggunakan bahasa ibunda
masing-masing. Akta Bahasa Kebangsaan telah digubal untuk menjadikan Bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi yang tunggal pada tahun 1967. Pada tahun 1969, nama Bahasa Melayu
telah ditukar kepada Bahasa Malaysia. Tujuan Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal adalah untuk menyatukan rakyat berbilang kaum ke
arah membentuk sebuah negara yang bersatu melalui penggunaan satu bahasa yang sama
serta sebagai pengenalan kepada bangsa dan negara Malaysia.

Agama Persekutuan
Agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perkara
3 (1). Penerimaan perkara ini telah diteliti dengan melihat komposisi penduduk Tanah Melayu
yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik. Pelbagai golongan etnik ini diwujudkan semasa
penjajahan British, di mana imigran Cina dan India yang berhijrah ke Tanah Melayu telah secara
langsung membawa sekali agama Kristian, Hindu dan Buddha. Walaupun agama Islam dijadikan
agama Persekutuan, namun Perkara 3 turut memperuntukkan suatu fasal imbangan, iaitu agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Kebebasan beragama telah dijamin dalam perlembagaan terhadap semua agama, iaitu
setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan setiap agama
mempunyai hak untuk menguruskan hal ehwal agamnya sendiri, menubuh dan menyelenggara
institusi bagi maksud agama atau khairat dan memperoleh dan memiliki harta benda serta

memegang dan mentadbirnya mengikut undang-undang (Shamsul, 2008). Menurut Mohamed


Suffian Hashim, 1987, oleh sebab Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, pihak
kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri mempunyai kebebasan, kuasa
dan keistimewaan untuk menubuh atau menyelenggara atau membantu penubuhan institusi
Islam dan melaksanakan ajaran dalam agama Islam serta mengeluarkan perbelanjaan yang
diperlukan untuk tujuan itu (Shamsul, 2008). Bukan itu sahaja, Perlembagaan Persekutuan juga
membenarkan sejumlah peruntukan disediakan untuk pengajaran agama Islam kepada para
pelajar yang beragama Islam di semua sekolah bantuan penuh kerajan dengan syarat jumlah
pelajar Islam di sekolah itu tidak kurang daripada 15 orang.
3.3

Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak

Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak termaktub
dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Berikutan dengan peruntukan ini, Yang diPertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan
Bumiputera di negeri Sabah dan Sarawak serta menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain.
Kedudukan istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153 ini bermaksud Yang di-Pertuan
Agong dikehendaki melaksanakan dasar-dasar bagi melindungi kedudukan istimewa orang
Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dari segi jawatan dalam perkhidmatan awam,
pemberian biasiswa, kemudahan pendidikan, lesen perniagaan dan kemudahan khas lain. Akan
tetapi, tanggungjawab khas ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati supaya tidak
mengakibatkan kehilangan sebarang jawatan awam yang dipegang oleh sesiapa atau penarikan
sebarang biasiswa atau keistimewaan yang dinikmati oleh kaum lain atau perlucutan atau
penamatan permit lesen yang dinikmati oleh sesiapa pun. Dalam kata lain, perkara ini juga
melindungi hak kaum-kaum lain supaya tidak ada mana-mana pihak yang berasa dianiayai atau
diabaikan.
Kedudukan istimewa lain orang Melayu termasuklah peruntukan Perkara 86 dan 90
berhubung dengan tanah rizab orang Melayu yang memberi kuat kuasa undang-undang
Perlembagaan kepada undang-undang sedia ada berkenaan perkara melindungi tanah rizab
orang Melayu daripada diselenggarkan oleh orang bukan Melayu. Menurut Mohd Salleh Abas,
1985, kemasukan perkhidmatan oleh orang Melayu ke dalam Rejimen Askar Melayu, dengan
pengecualian orang bukan Melayu, dikuatkuasakan oleh Perkara 8 (5) dan dengan demikian
boleh juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu (Shamsul,
2008).
Dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 160), Melayu itu ditakrifkan sebagai lazimnya
bertutur dalam Bahasa Melayu, menganuti agama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Bumiputera di Sarawak terdiri daripada mana-mana satu kaum asli iaitu Bukitan, Bidayuh,
Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kelabit, Kayan, Kenyah, Kajang, Lugat, Lisum,
Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit atau dia berketurunan campuran
daripada kaum tersebut. Bumiputera di Sabah pula ditakrifkan sebagai anak atau cucu kepada
seorang daripada suatu kaum asli Sabah dan dia telah dilahirkan di Sabah. (Shamsul, 2008).
3.4

Pemerintahan Beraja

Pemerintahan beraja telah sedia wujud dalam sistem sosial di negeri-negeri Melayu
sejak berabad-abad lamanya. Di bawah sistem ini, raja mempunyai kuasa mutlak dan berkuasa
penuh dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh pembesarpembesar yang dilantik, khususnya sebelum penjajahan British.
Semasa penjajahan British di Tanah Melayu, walaupun raja-raja Melayu masih diiktiraf
sebagai pemerintah berdaulat di negeri masing-masing, namun kuasa mutlak raja mula terhad,
iaitu raja mesti menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali dalam adat
istiadat Melayu dan agama Islam. Hal yang sama berlaku apabila British memperkenalkan
Malayan Union yang turut menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu. Penghapusan kuasa Rajaraja Melayu mengakibatkan tentangan hebat daripada orang Melayu yang menyebabkan
Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan satu perlembagaan baru yang dikenali

sebagai Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ekoran perkara ini, kedudukan Raja-raja Melayu
dipulihkan.
Setelah negara mencapai kemerdekaan, institusi pemerintahan beraja terus dikekalkan
di bawah konsep raja berperlembagaan selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di
Malaysia. Seiring dengan itu, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas institusi beraja untuk
disesuaikan dengan amalan demokrasi berparlimen. Sistem beraja mutlak telah digantikan
dengan sistem raja berperlembagaan. Di bawah sistem raja berperlembagaan, kuasa raja
dibatasi oleh perlembagaan dan raja-raja dikehendaki bertindak mengikut lunas-lunas
perlembagaan yang telah ditetapkan.
4.0

Keutuhan Perlembagaan dan Hubungan Etnik yang Harmonis

Pada pandangan saya, keutuhan kandungan Perlembagaan Persekutuan dapat


membentuk hubungan masyarakat Malaysia yang harmonis. Unsur-unsur tradisi, iaitu satu
kontrak sosial yang telah disepakati semasa menggubal Perlembagaan Persekutuan menjadi
punca keutuhan hubungan etnik di negara kita. Dalam kata yang lain, keutuhan unsur-unsur
tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan menyumbang kepada hubungan masyarakat Malaysia
yang harmonis seperti yang dilihat pada masa kini. Hal ini adalah kerana nilai toleransi telah
diwujudkan semasa kontrak sosial dipersetujui. Semua etnik di negara kita sanggup bertolak
ansur dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan bagi memperjuangkan kemerdekaan
yang telah lama dinantikan.
Unsur-unsur tradisi yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan hubungan
masyarakat Malaysia yang harmonis ini meliputi empat aspek seperti yang telah disentuh
sebelum ini, iaitu rasional perkara 152: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasional
perkara 3: Agama Islam sebagai agama persekutuan, rasional perkara 153: kedudukan istimewa
orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta rasional perkara 181: pemerintahan
beraja. Keempat-empat unsur tradisi ini telah menjadi sebahagian daripada kandungan penting
dalam Perlembagaan Persekutuan dan memainkan peranan yang cukup besar dalam
mewujudkan hubungan masyarakat Malaysia yang harmonis. Kepentingan unsur-unsur tradisi ini
cukup terserlah apabila ia dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu-isu
sensitif serta dilarang dijadikan isu perbincangan awam.
Rasional perkara 152, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah
menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Melalui kontrak sosial ini,
rakyat dapat berkomunikasi, berinteraksi dan berurusan antara satu sama lain dengan adanya
bahasa kebangsaan yang berfungsi sebagai wadah komunikasi atau bahasa pertuturan umum
dan bahasa rasmi. Selain itu, semua lapisan rakyat juga dapat menggunakan bahasa yang sama
tidak kira dalam urusan rasmi mahupun berurusan dengan pelanggan atau berkomunikasi
dengan rakan sekerja. Walaupun Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan, namun
bahasa ibunda kaum lain tidak tergugat. Pada masa yang sama, bahasa ibunda kaum lain
dipelihara. Seperti yang dinyatakan dalam Perkara 152, bahasa-bahasa lain adalah dilindungi
dan tiada sesiapun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan atau mengajar atau
belajar apa-apa bahasa lain. Kerajaan berhak mengekalkan penggunaan dan pembelajaran
bahasa lain dalam persekutuan. Oleh itu, dapat dilihat dengan jelas bahawa Bahasa Melayu
dapat menyatupadukan rakyat di Malaysia dan mewujudkan hubungan masyarakat yang
harmonis.
Selain itu, rasional perkara 3, agama Islam sebagai agama persekutuan juga merupakan
salah satu unsur tradisi yang berperanan membentuk hubungan masyarakat Malaysia yang
harmonis. Agama Islam telah ditetapkan sebagai agama persekutuan kerana Islam telah lama
bertapak di Tanah Melayu semenjak dari dulu lagi. Walaupun agama Islam telah dijadikan agama
persekutuan, namun agama lain juga boleh diamalkan dengan bebas dalam mana-mana
bahagian Persekutuan. Hal ini dapat dilihat dalam perkara 11, iaitu kebebasan beragama.
Perkara 11(3) menyatakan bahawa tiap-tiap kumpulan agama berhak untuk menguruskan hal
ehwal agamanya sendiri, menubuh dan menyelenggara institusi bagi maksud agama serta
memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirnya mengikut undangundang. Dengan adanya kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan
Persekutuan, rakyat tidak dipaksa menganuti agama Islam. Sebaliknya, rakyat saling
menghormati antara satu sama lain walaupun mempunyai agama, budaya dan adat yang

berbeza. Hal ini telah mewujudkan persefahaman dan permuafakatan ke arah perpaduan di
kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai agama yang berbeza.
Di samping itu, keutuhan rasional perkara 153, iaitu kedudukan istimewa orang Melayu
dan bumiputera Sabah dan Sarawak juga menyumbang kepada pembentukan hubungan
masyarakat Malaysia yang harmonis. Dalam Perkara 153, kerajaan fokus kepada keutamaan
orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak bekerja di sektor awam kerana kekurangan
mereka dalam perkhidmatan awam ini. Selain itu, kerajaan juga ingin membantu meningkatkan
taraf hidup, pendidikan dan pencapaian ekonomi orang Melayu serta bumiputera Sabah dan
Sarawak yang pada masa itu amat rendah. Walaupun peruntukan khas ini seolah-olah
bercanggah dengan hak sama rata ke atas semua warganegara, namun kedudukan istimewa
orang Melayu dan Bumiputera ini merupakan satu usaha bagi menyamakan taraf kaum
Bumiputera dengan kaum-kaum lain. Dengan demikian, barulah keseimbangan dari segi
ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan dapat diwujudkan antara kaum yang berbeza.
Walau bagaimanapun, kerajaan tidak menafikan kedudukan yang sah bagi kaum lain. Hal
ini dapat dilihat apabila pendidikan kaum lain juga dititikberatkan. Sebagai contoh, sekolah Cina
dan sekolah Tamil dikekalkan. Di samping itu, pemberian pinjaman pendidikan diberikan bukan
sahaja kepada orang Melayu, bahkan kepada orang bukan Melayu melalui PTPN. Selain itu,
kaum Cina dan Tamil juga diberi peluang untuk bekerja di sektor awam. Semangat akomodatif,
toleransi, rela berkongsi kuasa dan sanggup berkorban dapat dilihat apabila orang Melayu
sanggup menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu mengiktiraf
kedudukan istimewa orang Melayu. Orang Melayu dan bukan Melayu sanggup berkongsi kuasa
dalam usaha membentuk identiti Malaysia dan mewujudkan hubungan masyarakat Malaysia
yang harmonis. Hal ini juga dapat menunjukkan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dalam
negara kita. Jadual di bawah menunjukkan bilangan orang bukan Melayu yang menjadi
warganegara dengan cara pendaftaran dari tahun 1957 hingga tahun 1960.
Jadual 2: Bil Penduduk Menjadi Warganegara Melalui Pendaftaran 1957 - 1960
Tahun
1957 (31 Ogos 31 Disember 1957)
1958
1959
1960
Sumber:Mohd Suffian Hashim, 1987

Bilangan
120078
822567
67227
77858

Tambahan pula, keutuhan rasional perkara 181, iaitu pemerintahan beraja juga
menyumbang kepada pembentukan hubungan masyarakat Malaysia yang harmonis. Perkara
181 menyatakan kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-raja dan hak
kedaulatan institusi beraja terus dikekalkan di bawah konsep Raja Berpelembagaan. Selain itu,
perkara 181 juga menyatakan Raja tidak boleh berkuasa secara langsung dan peranan Raja
hanya menjalankan tugas secara simbolik sahaja. Sistem beraja mutlak telah dimansuh dan
digantikan dengan sistem raja berpelembagaan. Di bawah sistem ini, raja-raja dikehendaki
menerima nasihat anggota Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri dan bertindak menurut
nasihat-nasihat itu. Dalam perkara ini, raja yang menjadi payung atau simbol perpaduan untuk
semua kaum. Raja berperlembagaan menjadi pengimbang antara semua institusi demokrasi
seperti parlimen dan mana-mana suruhanjaya bebas. Dengan wujudnya raja sebagai simbol
perpaduan dan raja berperlembagaan sebagai pengimbang antara semua institusi demokrasi,
perpaduan dapat dilahirkan dan seterusnya hubungan masyarakat Malaysia yang harmonis juga
dibentuk.
Keutuhan kandungan Perlembagaan Persekutuan dalam membentuk hubungan
masyarakat Malaysia yang harmonis juga dapat dilihat semasa proses penggubalan
Perlembagaan Persekutuan dijalankan. Perlembagaan Persekutuan telah digubal oleh
Surahanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956. Perlembagaan yang digubal ini kukuh,
praktikal dan dihormati kerana perlembagaan ini merupakan cadangan dan pandangan daripada
bukan sahaja parti-parti politik dan Raja-raja Melayu, bahkan melibatkan pandangan daripada
orang ramai dan individu-individu. Malahan suruhanjaya ini juga telah menerima 131
memorandum bertulis di samping telah bersidang banyak kali dari bulan Jun hingga Oktober
1956. Dalam hal ini, boleh dilihat bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah

mendapat persetujuan dan pandangan majoriti rakyat Malaysia. Menurut Prof. Ahmad Ibrahim
(1992), Perlembagaan Persekutuan Malaysia digubal hasil daripada persetujuan bersama yang
telah dicapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan Melayu, Cina dan India (Shamsul,
2008). Oleh itu, Perlembagaan Malaysia bukan sahaja merupakan satu dokumen perundangan,
malahan satu kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Keutuhan Perlembagaan Persekutuan
ini telah menyumbang kepada hubungan masyarakat yang harmonis seperti pada masa kini.
4

Kesimpulan
Perlembagaan bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan
dan juga menjamin keutuhan serta kedaulatan negara, bahkan juga menjadi kriteria asas dalam
usaha pembentukan sesebuah kerajaan. Perlembagaan Persekutuan yang terbentuk pada 1948
telah menjadi titik tolak kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Oleh itu, perlembagaan
dapat disifatkan sebagai satu set undang-undang yang diperlukan bagi menjayakan keutuhan
sesebuah negara.
Unsur-unsur tradisi yang merupakan kontrak sosial yang telah disepakati semasa
menggubal undang-undang adalah faktor penting untuk mewujudkan identiti Malaysia dan
memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Kontrak sosial ini telah diterima oleh majoriti rakyat
Malaysia dan juga para pemimpinnya sebagai satu kenyataan sejarah. Keutuhan kandungan
Perlembagaan Persekutuan dan penerimaan kontrak sosial yang dipersetujui sebelum
mendapatkan kemerdekaan penting dalam mewujudkan hubungan masyarakat Malaysia yang
harmonis. Hal ini adalah kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum.
Secara kesimpulannya, sifat toleransi, menghormati hak dan kepentingan golongan etnik
yang berbeza seperti mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia perlu
diwujudkan untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia di samping
mengelakkan daripada berlakunya konflik atau peristiwa yang gelap seperti 13 Mei 1969. Setiap
rakyat Malaysia wajar memainkan peranan masing-masing untuk membudayakan semangat
perpaduan yang telah sedia wujud di samping mengambil iktibar daripada pengorbanan yang
telah ditunjukkan oleh generasi terdahulu.
Bibliografi
Norizan Yusof. (2002). Teks Lengkap STPM Sejarah Malaysia 2. Shah Alam: Percetakan
Warisan Sdn. Bhd.
Raminsah Hj. Sabran. (2005). Pengajian Am 900/1. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ruslan Zainuddin. (2004). Nota Lengkap STPM Sejarah Malaysia Kertas 2. Shah Alam: Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail, Zaini Othman. (2010). Kenegaraan Malaysia Edisi
Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin. ( 2008). Modul Hubungan Etnik. Ampang Ulu Klang: MASKHA SDN.
BHD.
Sheela Abrahim. (1993). Siri Pendidikan Fajar Bakti Sejarah Perkembangan Negara. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

You might also like