You are on page 1of 20

BAB 2 (TING.

4) /hlm 1



BAB 2: PENINGKATAN TAMADUN

Hasil Pembelajaran

Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Menganalisis peningkatan tamadun dan sumbangannya
Aras 1
Menyatakan aspek peningkatan tamadun di India, China, Rom dan Yunani
Menyenaraikan sumbangan tamadun India, China, Rom dan Yunani
Aras 2
Membandingkan aspek peningkatan tamadun Rom dan Yunani
Mengklasifikasi sumbangan setiap tamadun
Aras 3
Membandingkan sistem demokrasi Yunani dengan sistem demokrasi Malaysia hari ini
Menjelaskan ciri-ciri kepemimpinan berwibawa

1. a. Terangkan kedudukan Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 38-39)
Tamadun Yunani berkembang di Semenanjung Greece dan pulau-pulau di sekitarnya yang
dikelilingi oleh Laut Aegean dan Laut Mediteranean.

b. Bagaimanakah Tamadun Yunani terbentuk?
Tamadun ini bermula dengan pembentukan petempatan manusia iaitu negara kota atau polis.
Ia terbentuk hasil gabungan beberapa buah kampung dan bandar sekitar tahun
1000-800 SM.

c. Nyatakan bandar utama dalam Tamadun Yunani dan keistimewaannya.
Setiap negara kota mengandungi sebuah kota yang dikelilingi oleh kawasan pertanian. Di
dalam kota terdapat pasar, kubu, kuil dan istana.

Antara negara kota yang utama adalah Athens, Sparta dan Corinth yang terletak berhampiran
Laut Mediteranean. Setiap negara kota mempunyai corak pemerintahan dan undang-undang
sendiri serta memiliki beberapa tuhan.

Masyarakat dalam negara kota sentiasa bersatu padu tetapi sering berlaku peperangan dengan
negara kota yang lain.

2. a. Terangkan kedudukan Tamadun Rom? (Rujuk Buku Teks m.s: 39-40)
Tamadun Rom terletak di kawasan Bukit Palatine, berhampiran dengan Sungai Tiber di
Lembah Latium.

b. Bagaimanakah Tamadun Rom terbentuk?
Lembah Latium diduduki oleh masyarakat Latin. Semasa pemerintahan Romulus pada tahun
753 SM, lembah ini berkembang dan menjadi penting.



BAB 2 (TING. 4) /hlm 2



c. Apakah fungsi majlis perbandaran yang terdapat dalam Tamadun Rom?
Pada abad kedua Masihi, pemerintah Rom telah mewujudkan majlis perbandaran di setiap
bandar. Ia menjalankan pentadbiran tanpa diganggu oleh kerjaan pusat. Majlis perbandaran
juga membawa kemajuan dan keselesaan hidup di bandar. Pembinaan bandar terancang dan
dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan air, sistem pemanas, rumah ibadat,
teater, sarkas, tempat berdialog (forum), rumah mandi awam dan istana.

d. Nyatakan bandar utama dalam Tamadun Rom dan keistimewaannya.
Pompei merupakan bandar utama dalam tamadun Rom. Di bandar ini terdapat pelbagai
kemudahan seperti pejabat, dewan orang ramai, mahkamah, perpustakaan, rumah ibadat, kedai,
pintu gerbang dan colloseum(binaan bulat tanpa atap, tempat pertandingan bagi pahlawan
Rom).
Pada tahun 80 M, Pompei mempunyai 50 000 orang penduduk.

Terdapat juga sistem saliran bawah tanah yang menyalurkan air melalui paip sejauh 165
kilometer yang melibatkan 14 buah saliran. Ia dapat membekalkan air kepada penduduk
semasa aman dan peperangan. Ia juga digunakan untuk tujuan perindustrian dan
pengangkutan.

3. a. Terangkan kedudukan Tamadun India. (Rujuk Buku Teks m.s: 40-41)
Ia terletak di tapak tamadun terawal di India iaitu tamadun Indus.

b. Bagaimanakah Tamadun India terbentuk?
Tamadun Indus telah melalui era kecemerlangan antara tahun 2500-1800 SM. Tamadun ini
runtuh kerana kedatangan orang Aryan yang membawa budaya baru ke Lembah Indus. Zaman
ini dikenali sebagai Zaman Vedik sempena kelahiran kitab-kitab Veda.

Zaman Vedik merupakan permulaan kehidupan beragama bagi masyarakat ini kerana
bermulanya kewujudan agama Hindu.

Menjelang abad ke-7 SM, masyarakat ini beralih ke Lembah Ganges.

c. Nyatakan dua bentuk kerajaan yang terdapat dalam Tamadun India.
Terdapat dua bentuk kerajaan dalam Tamadun India iaitu janapada atau kerajaan kecil dan
mahajanapada atau kerajaan besar. Pemerintahnya terdiri daripada golongan raja.

d. Bagaimanakah Dinasti Maurya dibentuk?
Chandragupta Maurya telah menyatukan kerajaan-kerajaan kecil di India. Ini menyebabkan
kelahiran empayar yang pertama di India iaitu pada tahun 321 SM. Dinasti Maurya telah
berjaya menyatukan seluruh India utara. Dinasti ini mencapai kemuncak kegemilangan
semasa pemerintahan Asoka.

4. a. Terangkan kedudukan Tamadun China. (Rujuk Buku Teks m.s: 41)
Tamadun China terletak di Lembah Hwang Ho dan meluas hingga ke bahagian selatan China.



b. Bagaimanakah Tamadun China dibentuk?
Tamadun China terbentuk melalui peluasan kawasan semasa pemerintahan Dinasti Chin.
BAB 2 (TING. 4) /hlm 3



Kelahiran empayar yang pertama ini menandakan peningkatan dalam Tamadun China. Dinasti
Chin bermula pada tahun 221 SM dan berakhir pada tahun 206 SM.

c. Siapakah Maharaja Shih Huang Ti?
Maharaja Shih Huang Ti merupakan pengasas Dinasti Chin.

d. Apakah kejayaan-kejayaan Maharaja Shih Huang Ti?
Berjaya memperluas jajahan takluknya hingga terbentuk sebuah empayar. Jajahan takluknya
amat luas sehingga ke Sungai Merah di Vietnam. Jajahan takluk yang luas dapat disatukan di
bawah sebuah pentadbiran pusat.

5. a. Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun Yunani.
(Rujuk Buku Teks m.s: 42-43)
Dalam tamadun Yunani wujud beberapa bentuk pemerintahan yang diamalkan oleh sesebuah
negara kota. Bentuk pemerintahan itu mengalami beberapa perubahan daripada monarki,
oligarki, diktator (tirani) dan kepada demokrasi.

1. Sistem pemerintahan beraja (monarki). Athens mengamalkan sistem beraja. Raja
berperanan sebagai ketua hakim, ketua tentera dan ketua agama. Apabila kuasa konsol menjadi
kuat, peranan raja sebagai ketua hakim, ketua tentera dan ketua agama merosot. Akibatnya,
lahir sistem raja yang dipilih tetapi kuasanya terhad.

2. Oligarki. Sistem pemerintahan oleh beberapa orang konsol (terdiri daripada golongan
kaya). Daripada konsol ini lahir pula golongan aristokrat.

3. Aristokrasi. Aristokrat (golongan bangsawan yang kaya) yang memiliki kuasa yang besar
dan menguasai pemerintahan.

4. Tirani oleh diktator. Bentuk pemerintahan ini muncul akibat daripada tidak puas hati
rakyat terhadap pemerintahan yang berbentuk aristokrasi, yang menuntut hak dan
menyebabkan berlaku rampasan kuasa. Diktator bukannya golongan ariatokrat tetapi terdiri
daripada golongan kaya atau tentera. Dalam sistem ini, pemerintahan dijalankan secara zalim
dan kejam. Kekuasaan digunakan dengan sewenang-wenangnya. Ini disebabkan pemerintah
berkuasa mutlak iaitu mempunyai kuasa yang tidak terhad.

5. Demokrasi. Bentuk pemerintahan ini muncul akibat daripada tindakan golongan aristokrat
yang menentang proses rampasan kuasa yang disokong oleh rakyat biasa dalam sistem
pemerintahan tirani (diktator). Pemerintahan atau kerajaan yang ditadbir oleh wakil yang
dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

Dalam sistem demokrasi di Athens, terdapat Dewan Perhimpunan dan Majlis. Semua
warganegara Athens diberi peluang menjadi anggota Dewan Perhimpunan antara enam bulan
hingga setahun. Dewan perhimpunan bersidang sebanyak tiga kali dalam sebulan dan setiap
ahli Dewan boleh mengemukakan cadangan tentang dasar kerajaan. Segala keputusan Dewan
dikendalikan oleh Majlis. Ahli Majlis, Majistret dan juri dilantik oleh Dewan. Oleh itu, Dewan
mempunyai kuasa penuh terhadap ketiga-tiganya. Sistem ini tidak berlaku di negara kota yang
lain, yang mengamalkan sistem beraja berkuasa mutlak.

BAB 2 (TING. 4) /hlm 4



6. Sistem pemerintahan tentera. Diamalkan di Sparta Di sini, sistem pertahanan diberikan
perhatian yang penting. Anak lelaki dilatih dari awal untuk menjadi askar yang baik. Melalui
sistem latihan telah menyebabkan Sparta berjaya melahirkan tentera yang mempunyai
semangat patriotik yang tinggi dan tentera yang handal.

b. Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun Rom.
(Rujuk Buku Teks m.s: 43-44)
1. Sistem beraja. Bermula dari tahun 753 S.M. Rom diperintah secara mutlak oleh raja-raja
berketurunan Etruscan yang bukan berasal daripada kalangan masyarakat latin tempatan.
Pemerintahan ini tidak disenangi oleh masyarakat Latin. Oleh itu, mereka dengan pimpinan
golongan bangsawan (patrician) bangun memberontak. Hasilnya, Rom membentuk sebuah
republik pada tahun 509 S.M.

2. Sistem republik. Dalam sistem ini, tiada pemerintah berkuasa mutlak. Kuasa tertinggi
terletak pada dua orang konsul yang dilantik oleh Dewan Senat untuk sesuatu tempoh. Dengan
itu, antara mereka tidak ada yang lebih berkuasa. Konsul dibantu oleh Dewan Senat yang
diwakili oleh golongan bangsawan bagi membincangkan hal-hal pentadbiran negara dan
merangka perundangan. Kebiasaannya, sebelum seseorang ahli Dewan Senat dilantik sebagai
konsul, beliau ialah praeotor, iaitu pemerintah tentera. Di bawah Dewan Senat ialah Dewan
Perhimpunan yang diwaklili oleh semua rakyat Rom. Segala keputusan Dewan Senat akan
disampaikan kepada Dewan Perhimpunan untuk diluluskan. Sistem republik ini berubah
apabila Rom mencapai taraf empayar semasa pemerintahan Julius Caesar.

3. Empayar. Bermula apabila Julius Caesar dapat meluaskan kuasanya ke Macedonia,
Yunani, Syam, Mesir, Perancis, Brittania (Britain) dan beberapa kawasan di Jerman.
Pemerintahan ini juga turut membentuk sistem pemerintahan berpusat, iaitu kesan penyatuan
wilayah-wilayah kecil yang telah ditakluki. Julius Caesar akhirnya telah menamatkan sistem
pemerintahan republik dan menjadi diktator. Beliau menguasai angkatan tentera dan Senat
serta menggunakan gelaran maharaja.

Gelaran maharaja diteruskan oleh Augustus yang memerintah dari tahun 27 14 S.M. Walau
pun memerintah sebagai maharaja, Augustus berjaya membawa keamanan dan keagungan
kepada empayar Rom. Keamanan yang diasaskan oleh Augustus ini kekal selama 200 tahun.
Zaman kegemilangan ini digelar sebagai Pax Romana (Keamanan Rom). Keamanan ini
dinikmati oleh empayar Rom yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam tiga benua, iaitu
Asia, Afrika dan Eropah.






c. Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun India.
(Rujuk Buku Teks m.s: 44-45)
Pada tahap awal pembentukannya, antara tahun 600 320 S.M., tamadun India mempunyai
dua bentuk kerajaan iaitu,
1. Kerajaan kecil. Kerajaan ini bersifat kepuakan dan tidak mempunyai raja.

BAB 2 (TING. 4) /hlm 5



2. Kerajaan besar. Kerajaan ini diketuai oleh raja seperti kerajaan Kashi, Kosala dan
Magadha. Raja mengamalkan kuasa mutlak. Kedudukan seseorang raja kemudian diperkukuh
dengan pelbagai bentuk upacara ritual yang berasaskan kepercayaan bahawa seseorang raja itu
adalah suci dan harus dihormati. Golongan Brahmin yang bertindak sebagai penasihat
memainkan peranan penting dan diikuti dengan golongan Ksytria yang menjadi pemerintah
tertinggi dan merupakan golongan dominan.

3. Empayar. Chandragupta Maurya telah membentuk empayar Maurya dengan menyatukan
kerajaan-kerajaan kecil di India dari tahun 321 185 S.M., dan seterusnya mengubah status
raja kepada maharaja. Empayar Maurya meliputi kawasan dari teluk Benggala hingga ke
Pergunungan Hindu Kush. Ibu negaranya terletak di Pataliputra.

Zaman kegemilangan Dinasti Maurya adalah pada masa pemerintahan Maharaja Asoka, iaitu
dari tahun 273 232 S.M. Penilaian ini berasaskan kejayaan Asoka menamatkan perang
saudara selepas kematian ayahnya, Bindusura, dan menakluki negeri Kalinga yang memiliki
penduduk yang ramai di India. Selepas Perang Kalinga, Asoka lebih menekankan kedamaian,
kemajuan sosial dan menjalankan penaklukan melalui penyebaran agama Buddha dan tidak
lagi menerusi ketenteraan. Walau pun, Asoka merupakan maharaja berkuasa mutlak tetapi
beliau membentuk birokrasi pentadbiran untuk menjalankan pemerintahannya.

d. Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun China.
(Rujuk Buku Teks m.s: 45)
1. Empayar.
Dalam Tamadun China, perluasan kuasa telah mengubah pemerintahan berbentuk sistem
feudal kepada pemerintahan berbentuk sistem pentadbiran berpusat. Perluasan kuasa juga
melahirkan empayar pada zaman Dinasti Chin dari tahun 221 206 S.M. Konsep raja bertukar
kepada maharaja.

2. Birokrasi.
Pemerintahan maharaja membolehkan pembentukan sebuah sistem pentadbiran atau birokrasi
awam yang terdiri daripada pegawai yang dilantik oleh maharaja. Mereka yang dilantik terdiri
daripada rakyat dan perlantikan tersebut dibuat oleh sebuah jawatankuasa dalam sistem
perkhidmatan awam, iaitu Hon Kao Tsu. Perlantikan pegawai ini diasaskan pada pencapaian
mereka dalam peperiksaan awam. Sistem ini diwujudkan pada zaman Dinasti Han dan
diteruskan oleh dinasti lain. Tokoh penting dalam hal ini ialah Shih Huang Ti.

6. a. Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 46-47)
Dewan perhimpunan berfungsi menggubal undang-undang. Kepentingan undang-undang
diutarakan oleh Plato dalam bukunya Republic. Menurut Plato, negara harus diperintah oleh
ahli falsafah kerana mereka cekap, terbaik dan berupaya menggubal undang-undang.

b. Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun Rom.

Dalam tamadun awal, undang-undang yang digunakan ialah undang-undang bertulis. Undang-
undang Rom yang pertama , ialah Hukum Kanun 12, yang dipahat pada kayu yang dikenali
sebagai Papan Dua Belas dan diletakkan di tempat awam untuk tatapan rakyat. Undang-
undang awal ini lahir pada Zaman Republik. Oleh kerana terdapat terlalu banyak undang-
undang dan ada antaranya yang rumit, Maharaja Justinian telah mengumpulkan, menyatukan
BAB 2 (TING. 4) /hlm 6



dan membukukan undang-undang tersebut walau pun pada masa itu terdapat hakim-hakim
yang mahir. Usaha beliau ini telah melahirkan Kod Undang-undang Rom pada 527 M, yang
juga dikenali Undang-undang Justinian dan inti pati undang-undang tersebut masih kekal
sehingga kini.

c. Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun India.
Dalam tamadun India, perundangan merupakan aspek penting untuk melihat perjalanan
kerajaan dan keberkesanan pentadbiran. Kitab Dharma Sastra dianggap kitab undang-undang
Hindu paling tua. Kitab ini dihasilkan antara abad ke-6 hingga ke-2 S.M.

Raja dipertanggunjawabkan untuk memelihara kesucian dan kedaulatan undang-undang.
Segala kesalahan yang dilakukan akan dikenakan tindakan atau denda, bergantung kepada
keseriusan kesalahan tersebut. Selain raja, golongan Brahmin menjadi dominan dalam bidang
atau urusan undang-undang, kerana mereka mahir tentang hukum-hakam terutama yang
berkaitan dengan keagamaan.

Pada zaman Dinasti Maurya, undang-undang maharaja disampaikan sebagai titah dan perintah
diraja. Segala perintah diukir pada tiang batu yang didirikan di tepi jalan supaya undang-
undang itu dapat dibaca oleh rakyat. Tiang ini dikenali sebagai Tiang Asoka, kerana ia
didirikan pada zaman pemerintahannya. Asoka senantiasa berpegang pada konsep
kesejahteraan rakyat dan inilah yang menjadikan pemerintahannya adil.

d. Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun China.
Dalam tamadun China, sistem perundangannya berteraskan dua prinsip utama, iaitu hukuman
berat dan bercorak kolektif. Teras undang-undang ini adalah daripada falsafah legalisme, yang
digubal dan diperkenalkan oleh ahli falsafah bernama Han Fei Tzu pada Zaman Dinasti Chin.
Mengikut falsafah ini, undang-undang yang tegas dan kukuh dapat mengawal tingkah laku
manusia. Dalam menjalankan undang-undang tidak harus wujud rasa belas kasihan. Undang-
undang dan penguatkuasaannya harus dipelihara tidak kira dalam apa juga keadaan. Dengan
itu, raja mesti memiliki kuasa yang utuh.

Falsafah ini bertentangan dengan undang-undang yang berteraskan ajaran Confucius yang
diamalkan pada Zaman Dinasti Han dari tahun 206 S.M. 8M. Ajaran Confucius menekankan
keperluan raja mempunyai pekerti baik dan menjaga keharmonian manusia serta masyarakat.

7. a. Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 48-50)
Di Yunani, bermula dari tahun 800 S.M. kegiatan penaklukan berjalan dengan rancak. Pada
zaman pemerintahan Philip II dari Mecedonia, kerajaan Macedonia dan Yunani telah
disatukan. Usaha ini diteruskan oleh anaknya, Alexander the Great, yang berjaya meluaskan
kawasan takluk Yunani apabila beliau menguasai Parsi, Mesir, Turkistan dan Samarkand.
Akhirnya, seluruh kawasan Laut Mediterranean berada di bawah kekuasaannya.

Alexander the Great terlibat dalam penyebaran kebudayaan Hellenistik. Kebudayaan ini
merupakan campuran antara kebudayaan Yunani , Parsi dan kebudayaan timur yang lain.
Kebudayaan Hellenistik ini tersebar dari kota-kota utama dalam empayar Yunani seperti
Syracuse di Itali, Iskandariah dan Antioch. Empayar Yunani berakhir dengan kematian
Alexander the Great dan kemunculan Rom.

BAB 2 (TING. 4) /hlm 7



b. Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun Rom.
Zaman perluasan kuasa Rom bermula dari tahun 27 S.M. iaitu pada zaman pemerintahan
Augustus Caesar. Beliau berjaya menubuhkan sistem empayar yang berbeza daripada sistem
republik, iaitu mewajibkan sistem pemerintahan warisan. Pada zamannya, empayar Rom terdiri
daripada Britain, Sepanyol, kawasan Sungai Rhine, Danube, Laut Hitam, Pergunungan Atlas,
Afrika Utara, Macedonia, sebahagian Turki dan Palestin.

c. Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun India.
Dalam tamadun India, perluasan kuasa berlaku semasa pemerintahan Dinasti Maurya dan
bermula pada zaman pemerintahan Chandragupta Maurya dari tahun 321 292 S.M. Kejayaan
ini disebabkan pasukan tentera Chandragupta yang besar iaitu 600 ekor gajah, 1000 orang
tentera berkuda dan 10 000 orang infantri (tentera berjalan kaki), berjaya menguasai seluruh
India Utara, menakluk Punjab, menewaskan Seleceus yang memerintah empayar Seleucid di
Syria dan kawasan India Barat. Anak Chandragupta, Bindusura meluaskan empayar ke
Mysore di bahagian selatan India.
Kaedah perluasan kuasa berubah apabila Asoka berkuasa. Asoka tidak menekankan kekuatan
ketenteraan sebagai asas untuk memperluas kuasa,pengaruh dan kedudukan Maurya,
sebaliknya, menekankan dasar yang lebih lembut dan terbuka. Hal ini dilakukannya dengan
memberikan penekanan kepada agama Buddha. Pada zaman Asoka, seluruh India menjadi
kawasan takluk empayar Maurya. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemenangan Asoka ke
atas Kalinga dalam Perang Kalinga.

d. Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun China.
Dalam tamadun China, perluasan kuasa telah membawa kelahiran empayar pada zaman
Dinasti Chin, iaitu di bawah pemerintahan Shih Huang Ti yang berjaya menyatukan seluruh
kerajaan kecil di China. Shih Huang Ti memerintah secara autokratik, iaitu tegas dan mutlak.
Beliau menghapuskan kuasa golongan bangsawan dengan melantik gabenor dan panglima
tentera untuk mentadbir. Bagi mempertahankan empayar China daripada serangan orang gasar,
beliau telah mengarahkan pembinaan Tembok Besar China.

Kejatuhan Dinasti Chin digantikan dengan Dinasti Han. Pada zaman Dinasti Han kewibawaan
Maharaja Han Wu Ti yang digelar Maharaja Tentera berjaya memperluas kawasan takluknya
melalui angkatan tentera yang besar dan kuat. Antara kawasan yang ditaklukinya termasuklah
Sinkiang, Lembah Tarim dan Tutor di utara, Yang Tze, Kwangsi dan Kwang Tung di selatan.
Pada zamannya, pengaruh China telah tersebar ke Jepun dan Turkistan serta keamanan dan
kemakmuran negeri China berjaya diwujudkan.

8. a. Terangkan peningkatan ekonomi dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 50-53)

Hampir semua negara kota memberi tumpuan utama kepada aktiviti perdagangan kecuali
Sparta. Terdapat peningkatan yang tinggi dalam perdagangan dengan kawasan luar
terutamanya melalui jalan laut. Pada permulaannya perdagangan hanya berlaku di antara
kawasan pesisir pantai yang berhampiran seperti Mesir, Syria dan Phoenecia.

Akibat kekurangan tanah untuk pertanian, Athens dan Corinth menghadapi masalah
kekurangan makanan. Ini menyebabkan negara kota Yunani terpaksa mendapatkan bahan
makanan dari luar Athens iaitu dari kawasan di selatannya dan Laut Hitam. Athens juga
menjadi pusat pengumpulan barang keperluan yang datang dari Timur.
BAB 2 (TING. 4) /hlm 8



Bagaimanapun, kegiatan perdagangan ini dikenakan cukai dan keadaan ini menyebabkan
kenaikan harga barang. Kesannya, ramai rakyat Yunani berpindah ke tempat-tempat lain
seperti Alexandria pada zaman Graeco-Rom, iaitu pada tahun 300 S.M.

b. Terangkan peningkatan ekonomi dalam Tamadun India.

Dalam tamadun India, aktiviti perdagangan mengalami perkembangan yang sangat pesat sejak
abad ke-3 S.M. Aktiviti ini melibatkan perdagangan dalaman, iaitu antara kawasan di dalam
wilayah India dan perdagangan luar. Antara pusat perdagangan yang penting, ialah Anga,
Kalinga dan Karusa, yang menghasilkan senjata, gading gajah, emas, berlian dan
mutiara.Hubungan perdagangan dengan negara luar dapat dilihat melalui hubungan antara
kerajaan Maurya dengan Macedonia, Sri Lanka, rantau Asia Tengah dan AsiaTenggara. Antara
pelabuhan penting termasuklah Tamralipti, Ghantashala dan Kadura di bahagaian timur dan
Broach, Chaul, Kalyan dan Cambay di bahagian barat.

Perkembangan pesat ekonomi ini telah mewujudkan persatuan perdagangan dan perusahaan
yang dikenali sebagai sresthin di setiap bandar. Antara persatuan itu ialah, persatuan untuk
tukang kayu, tukang logam, tukang kulit dan sebagainya. Matlamat persatuan adalah untuk
mengawal harga, kualiti barangan dan gaji pekerja. Undang-undang telah digubal bagi
mengawal persatuan dan pelaksanaan undang-undang yang diawasi oleh raja.

Mata wang digunakan sebagai medium jual beli. Semasa zaman Gupta, bentuk mata wang
emas digunakan. Penggunaan mata wang ini membuktikan bahawa pemerintah dalam tamadun
India seperti Dinasti Maurya dan Gupta telah melaksanakan satu dasar kewangan dan ekonomi
yang sistematik.

Aktiviti perdagangan disokong oleh perkembangan dalam sektor perusahaan seperti
pengeluaran tekstil, kain kapas dan sutera. Perusahaan membuat sutera berpusat di Bengal dan
Benares. Selain itu, perusahaan berasaskan barangan emas, mutiara dan batu permata juga turut
berkembang.

Sejak Zaman Maurya, pelbagai jenis cukai dikenakan terhadap pelbagai hasil perdagangan
seperti hasil pertanian dan hasil buah-buahan. Cukai itu adalah untuk menyara anggota tentera,
para pentadbir dan raja.

Sejak tahun 100 M., perdagangan maritim antara India dengan Alam Melayu telah meningkat
pada zaman Gupta. Pedagang India memperoleh hasil rempah, bedak wangi, gading gajah dan
besi dari Alam Melayu, Tekstil, tembikar, barang kaca dan minyak wangi dari China.
Perdagangan maritim dengan Rom dan Sri Lanka juga berkembang.

c. Terangkan peningkatan ekonomi dalam Tamadun China.
Dalam tamadun China, peningkatan ekonomi berlaku semenjak zaman Dinasti Shang. Antara
kemajuan yang dicapai termasuklah kemajuan dalam pertanian, perdagangan dalam negeri dan
maritim, perusahaan dan pembentukan persatuan perniagaan.

Dalam bidang pertanian, sejak Zaman Dinasti Han, tenggala diperkenalkan untuk membuat
batas tanaman, kolar kuda untuk membolehkan kuda menarik tenggala kayu, kereta kuda dan
kereta sorong beroda serta penyisir tanah. Pada zaman Dinasti Tang, Song, Yuan, Ming dan
BAB 2 (TING. 4) /hlm 9



Ching, perkembangan terus meningkat dalam penciptaan alat kegunaan pertanian.Sistem
penanaman bergilir diperkenalkan untuk menjaga kesuburan tanah. Kawasan bukit telah diteres
untuk pertanian pada zaman Dinasti Shang. Sistem pengairan seperti pembinaan terusan
dilaksanakan untuk memperoleh sumber air dalam pertanian terkawal. Kawalan terhadap banjir
juga diambil berat dengan menggunakan terusan yang dibina.

Perusahaan logam dan tembikar berkembang pada zaman Dinasti Han lagi. Hasil perusahaan
didagangkan ke kawasan di luar China seperti Alam Melayu, India, Timur Tengah dan Barat.
Hasil ini, mula-mula dibawa melalui jalan darat, iaitu jalan Sutera Darat dan kemudian melalui
Jalan Laut mulai zaman Dinasti Tang. Buktinya terdapat tembikar China di tapak-tapak
pelabuhan kerajaan awal di kawasan tersebut. Barangan logam juga didagangkan.

Hasil perusahaan China juga didagangkan di negeri China sendiri. Dinegeri China, muncul
persatuan perdagangan yang membawa kepada kelahiran kelas pertengahan yang besar.

Perkembangan ekonomi yang pesat dicetuskan oleh perkembangan dalam sistem perhubungan
iaitu pembinaan jalan raya, jambatan dan alat pengangkutan seperti kereta kuda dan kereta
lembu.

9. a. Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 53-55)
Di Athens, pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang seimbang pencapaiannya dari
sudut rohani dan jasmani. Bagi orang Athens, manusia yang cemerlang ialah manusia yang
dapat memenuhi tuntutan mental dan fizikal. Hanya manusia yang cemerlang dapat
memberikan sumbangan kepada kesejahteraan kehidupan manusia. Oleh itu, pendidikan,
sukan, muzik, kesusasteraan, seni berpidato, membaca, menghafal dan menulis begitu
dititikberatkan.

Di Sparta, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan warganegara tentera yang sempurna,
gagah dan setia kepada negara kotanya. Oleh itu, pendidikan di Sparta lebih mementingkan
latihan fizikal dan kemahiran menggunakan senjata berbanding dengan pendidikan mental.

Perkembangan pendidikan berlaku apabila banyak sekolah falsafah tumbuh dan berkembang di
negara kota seperti Athens, Thebes, Elea dan Miletus. Athens dikenali sebagai pusat
cendikiawan Yunani yang penting semasa pemerintahan Pericles. Sekolah ini telah melahirkan
sejarahwan saperti Thucydides dan Herodotus; pemikir dalam bidang sains dan teknologi
seperti Thales, Anaximander, Heraclitus dan Anaxagoras.

b. Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun Rom.
Pendidikan menekankan aplikasi ilmu yang praktikal dan semangat setia kepada Rom. Ini
menyebabkan Rom terkenal dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang
berupaya memberikan kesejahteraan hidup kepada masyarakatnya.

Pada peringkat awal, Rom banyak mengambil dan menyerap unsur dari Yunani. Pusat
pendidikan dan ilmu berkembang dengan pesat di bandar-bandar di seluruh empayar Rom.
Pusat pendidikan ini melahirkan jurutera yang dapat membina sistem pengairan, bangunan dan
jalan raya. Pusat ini juga melahirkan ahli falsafah dan sejarahwan yang telah menulis tentang
sejarah kegemilangan Rom.

BAB 2 (TING. 4) /hlm 10



c. Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun India.
Peningkatan dalam bidang pendidikan bermula pada Zaman Vedik. Pendidikan sangat
mementingkan keagamaan dan agama Hindu menjadi terasnya. Pendidikan hanya untuk
golongan lelaki. Wanita tidak mempunyai ruang untuk menerima pendidikan. Pendidikan
memberikan perhatian kepada pembelajaran kitab-kitab Veda. Bahasa Sanskrit merupakan
medium pengajaran yang penting. Kaedah hafalan digunakan untuk mendalami kitab-kitab
Veda tersebut.

Pendidikan yang berteraskan agama Hindu dan Buddha adalah untuk menyediakan manusia
menghadapi hari selepas mati. Maka, tumpuan pendidikan ialah agama. Segala hukum agama
harus dipelajari supaya mereka dapat hidup dengan sempurna dengan nilai-nilai murni yang
diajar oleh agama. Pendidikan tinggi telah diberikan di Kolej Brahman dan bermula selepas
tahun 100 S.M. Sebelum lahir Kolej Brahman, pendidikan diberikan di istana dan di rumah.
Pada abad ke-4 M, lahir universiti agama Buddha, iaitu Nalanda. Untuk mencapai taraf sebagai
Brahmin yang berpendidikan, seseorang harus menghafal pelbagai buku agama khususnya
Veda yang mengandungi peraturan ritual, mantera dan lagu-lagu agama. Selain itu, mereka
juga harus mempelajari karya saintifik dan falsafah. Oleh itu, pendidikan juga untuk
meningkatkan ilmu sains.

Pada zaman seterusnya, pendidikan bertujuan untuk menambahkan ilmu, mengatasi buta huruf
dan mendapatkan jawatan dalam pentadbiran.

d. Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun China.
Masyarakat China menghargai pendidikan, perniagaan dan kesusasteraan dengan matlamat
utama pendidikan adalah untuk lulus peperiksaan awam kerajaan. Terdapat tiga peringkat
pendidikan iaitu, pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Pada peringkat sekolah rendah,
pendidikan tertumpu pada kegiatan mengenal dan menghafal tulisan ideogram dan sembilan
buah buku suci tanpa memahami maknanya. Pada peringkat menengah, tumpuan adalah
terhadap karangan dan sastera. Peringkat tinggi pula tumpuan adalah untuk menterjemah buku
suci.

Pendidikan lebih menjurus kepada kepentingan pentadbiran. Peperiksaan awam mengandungi
tiga tahap, iaitu tahap pertama Hsui Tai, tahap kedua Chun-Jen, dan tahap ketiga Chin Shih.
Tahap pertama setaraf dengan ijazah pertama, tahap kedua setaraf dengan sarjana dan tahap
ketiga setaraf dengan doktor falsafah seperti yang terdapat pada zaman moden ini.
Peperikasaan tahap pertama dijalankan di daerah, tahap kedua di ibu kota daerah dan tahap
ketiga di ibu kota empayar yang bertempat di istana, iaitu di hadapan maharaja. Mereka yang
lulus tahap atau ijazah pertama akan berpeluang menjadi pegawai kerajaan dan tahap ketiga
layak menjadi pendidik. Peperiksaan tahap pertama diadakan dua kali dalam tempoh tiga
tahun, sementara peperiksaan tahap kedua dan ketiga diadakan tiga tahun sekali. Sistem
peperiksaan awam ini, merupakan yang tertua di dunia.

10. a. Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 53-57)

Tamadun Yunani terus meningkat dengan kelahiran ahli-ahli falsafah seperti Herodutus,
Socrates, Aristotle dan Plato. Persoalan tentang nilai individualisme, kehidupan manusia dan
demokrasi merupakan isu utama. Herodutus menghasilkan karya, History of Persian Wars
merupakan Bapa Sejarah. Thucydides dianggap sebagai Pengasas Sejarah Saintifik dengan
BAB 2 (TING. 4) /hlm 11



karyanya, History of Peloponnesian War. Beliau menggunakan pendekatan penulisan sejarah
yang berteraskan penyelidikan.

b. Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun Rom.
Oleh sebab tamadun Rom tidak mempunyai ramai ahli falsafah, maka tamadun ini banyak
mengambil falsafah daripada Yunani. Falsafah Rom diasaskan daripada falsafah stoik atau
stoisisme seorang ahli falsafa Yunani, iaitu Zeno. Falsafah ini mengajar bahawa kebahagian
hidup manusia dan nasib seseorang bergantung pada hubungannya dengan alam. Stoisisme
menekankan keadilan, tanggungjawab, keperibadian dan peri kemanusiaan. Ahli-ahli falsafah
Yunani mengajar manusia untuk berfikir secara rasional dan mengamalkan sikap ingin tahu.
Plato dalam karyanya, Repubilc membincangkan bahawa sesebuah masyarakat dan negara
paling baik diperintah oleh ilmuan dan ahli falsafah. Aristotle yang menjadi guru kepada
Alexander the Great dalam karyanya membincangkan cara berfikir yang teratur.

c. Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun India.
Falsafah India merupakan falsafah yang terawal berkembang dan direkodkan di dunia. Wujud
dalam dua bentuk pemikiran yang besar, iaitu kumpulan yang bersumberkan kitab Veda dan
yang menolak kitab Veda. Kitab Veda terdiri daripada, Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan
Atharva Veda. Upanishad (700 600 S.M.), Mahabhrata dan Bhagavad Gita merupakan
antara sumber falsafah yang terdapat dalam Veda. Sementara falsafah bukan aliran Veda
bersumberkan ajaran Carvaka, Janisme dan Buddhisme.

d. Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun China.
Falsafah China memberikan penekanan kepada hal berkaitan manusia, iaitu hubungan manusia
dengan manusia lain. Antara sumber falsafah China termasuklah Kung-fu Tze atau Confucius
dengan ajarannya, iaitu Confucianisme, Lao Tze, Taoisme dan Mo Tzu.
Mo Tzu dikenali juga sebagai Motze atau Mencius. Mo Tzu menolak beberapa ajaran dalam
Confucianisme dan memikirkan cara hendak melahirkan masyarakat dan politik yang baik.
Beliau berpendapat manusia berakhlak baik dan manusia menjadi sebaliknya kerana pengaruh
alam sekitar. Satu lagi falsafah China ialah aliran legalisme. Falsafah ini percaya bahawa
hanya undang-undang dapat mewujudkan nilai baik dan ketertiban masyarakat.

11. a. Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks
m.s: 57-58)

Tokoh matematik Yunani, iaitu Thales telah mengembangkan ilmu geometri Mesir Purba.
Pythagoras yang memperkenalkan Teorem Pythagoras mengembangkan ilmu geometri Mesir
Purba dan Babylon.
Selain itu, ahli sains yang lain seperti Hippcrates terkenal sebagai Bapa Perubatan dan
Archimedes sebagai ahli matematik dan fizik. Sumbangan Archimedes ialah teori berhubung
dengan isi padu air dan graviti. Ptolemy merupakan tokoh utama dalam bidang astronomi.
Sistem angka yang wujud dalam tamadun Yunani dikenali sebagai herodianic dan ionic.

b. Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun Rom.

Boethius, ahli matematik Rom. Asas matematik beliau diambil daripada tamadun Yunani, yang
mengaitkan matematik dengan muzik, geometri dan astronomi.

BAB 2 (TING. 4) /hlm 12



c. Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun India.
Dalam tamadun India, sains dan teknologi ialah cabang kepada pengetahuan Vedik.
Pengetahuan tentang astronomi dapat dipetik daripada Rig Veda.

Ilmu matematik yang wujud dalam tamadun India berkembang pesat pada Zaman Gupta. Ahli
matematik telah mengetahui tentang konsep geometri dan memperkenalkan sistem nombor,
iaitu angka Brahmin dan angka Kharosti.

Ilmu perubatan juga berkembang disebabkan kecenderungan masyarakatnya dalam fisiologi
kerana kaitannya dengan yoga.

d. Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun China.
Tamadun China menganggap astronomi sebagai ilmu sains negara.
Konsep keseimbangan antara dua kuasa iaitu Yang (kuasa aktif) dan Yin (kuasa pasif)
membolehkan seseorang berkeadaan sihat digunakan dalam asas perubatan tradisional tamadun
China.

.......
Peningkatan besar dalam tamadun manusia ialah penciptaan teknologi membuat kertas,
tembikar, perahu dan kapal layar. Teknologi ini menyumbang kepada peningkatan
perhubungan antara sebuah kawasan dengan sesebuah kawasan yang lain dan antara sebuah
negara dengan sebuah negara lain. Ilmu pelayaran juga telah meningkat dengan penciptaan
layar yang lebih kuat dan perahu yang lebih besar. Hal ini juga telah meningkatkan aktiviti
perdagangan laut dan menjadi alat pengangkutan penting dalam peperangan terutamanya pada
zaman perluasan kuasa dan pembentukan empayar Rom.

.........
SENI BINA
Seni bina mencerminkan ketahanan manusia dalam tamadun awal menghadapi cabaran untuk
menghasilkan monumen yang dapat diabadikan sebagai pencapaian yang paling agung demi
bangsa, agama dan rajanya. Segalanya dicapai kerana wujud kepimpinan yang berwibawa dan
kuat yang dapat menyatupadukan rakyat dan meningkatkan jati diri mereka serta meyakini
bahawa usaha mereka akan mencapai kejayaan, iaitu binaan yang agung seperti arcopolis,
aqueduct, colloseum, parthenon, pantheon dan Tembok Besar China.

Setiap binaan mempunyai fungsi yang penting kepada negara dan raja. Contohnya, aqueduct
adalah untuk bekalan air di Rom, Tembok besar China adalah untuk pertahanan di China, dan
Stupa Besar di Sanchi, India adalah untuk tujuan keagamaan.

12. a. Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 59-61)
Di Yunani, pembinaan acropolis oleh Pericles adalah untuk tujuan keagamaan dan sebagai
pusat kegiataannya. Ini menunjukkan yang berlaku peningkatan dari seni binanya, iaitu
daripada binaan piramid dan zigurat pada zaman Mesopotamia dan Mesir Purba. Hal ini kerana
terdapatnya elemen baru yang terdapat pada binaan tersebut, contohnya, bentuk bangunan yang
lebih sempurna dengan ukiran yang unik berunsur keagamaan dan mempunyai nilai estetik,
misalnya pembinaan arcopolis di Yunani.

BAB 2 (TING. 4) /hlm 13



b. Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun Rom.
Aqueduct ialah saluran air pada zaman tamadun Rom. Bekalan air dibawa dari sumbernya di
gunung melalui saluran air tersebut. Aqueduct yang paling panjang adalah di Marcia, iaitu 91
kilometer dan air disalurkan melalui saluran dalam tanah dan saluran dalam pintu gerbang
(arches). Teknologi aqueduct adalah berasaskan sistem graviti.

c. Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun India.
Sejak zaman tamadun Indus lagi, masyarakat India berupaya membina binaan yang sangat baik
dan lengkap. Hal ini dapat dilihat pada binaan Great Bath. Oleh sebab kehidupan masyarakat
sangat erat hubungannya dengan agama, maka bidang seni bina turut berkembang berdasarkan
atau berunsurkan keagamaan.Binaannya berteraskan agama Buddha dan Hindu seperti
kompleks kuil di Gua Ajanta. Kompleks ini mempunyai 20 buah kuil. Sementara kompleks
kuil di Gua Ellora mempunyai 28 buah kuil-gua dan dibina antara abad kelima hingga abad
kelapan Masihi. Dalam melihat seni bina Buddha, antara perkara penting yang diperhatikan
termasuklah penggunaan elemen geometri, iaitu bentuk segi empat dan bulat.

Dalam tamadun India, terdapat menara pelbagai bentuk seperti kon, kubah dan pagoda.

d. Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun China.
Tamadun China mempunyai reka bentuk seni bina yang agak berlainan daripada tamadun lain.
Seni bina penting ialah Tembok Besar China. Tembok ini dibina sejak zaman Dinasti Chou
dan diteruskan oleh dinasti berikutnya. Tembok ini dibina sepanjang 1500 batu dari Kansu ke
Peking. Bandar-bandar China purba seperti Changan, Anyang, peking dan Loyang dibina
dengan rekaan yang mempunyai tembok batu. Tembok-tembok di kawasan bandar lain dibuat
daripada tanah liat dan batu bata. Malahan di kampung-kampung juga terdapat tembok biarpun
dibina daripada tanah lumpur. Setiap tembok terdapat pintu gerbang yang dikelilingi oleh parit
yang besar dan menara.

Kawasan di dalam tembok, menempatkan kediaman maharaja. Salah sebuah istana maharaja
yang masih kekal sehingga kini ialah Kota Larangan. Istana ini mempunyai banyak dewan dan
taman. Dewan berfungsi sebagai balai penghadapan, tempat hukuman, keraian, dan
perjumpaan. Sebuah lagi binaan penting ialah kuil dan pagoda. Kuil-kuil ini terdiri daripada
beberapa buah bangunan yang merangkumi tempat tinggal, ruang tetamu dan pusat pemujaan.
Namun, bentuk ini hanyalah untuk kuil yang besar, pagoda berar, pagoda berbentuk meninggi
sehingga 15 tingkat. Pagoda mempunyai bentuk oktagon atau segi empat sama. Walau
bagaimanapun, bentuk ini tidak tetap bagi semua binaan dan tempat.

Dalam tamadun China, terdapat pelbagai jenis pintu gerbang, tembok dan jambatan.
13. a. Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku
Teks m.s: 61-62)
Bahasa Yunani dugunakan di wilayah dalam Yunani dan kawasan takluk Alexander the Great.
Antara tokoh sastera Yunani yang terkenal ialah Homer dan Hesiod. Hesiod ialh penyair dan
menulis dua buah buku puisi , iaitu Iliad dan Odyssey.

b. Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun Rom.
BAB 2 (TING. 4) /hlm 14



Dalam tamadun Rom, terdapat dua orang penulis dan penyajak, iaitu Cicero (106 43 S.M.)
dan Virgil (70 19 S.M.). Kesusasteraan Rom umumnya bertujuan untuk meningkatkan
semangat patriotisme. Sastera Rom mencapai zaman keagungannya semasa pemerintahan
Augustus Caesar (27 14 S.M.).

c. Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun India.
Masyarakat tamadun India berkembang daripada dua kelompok yang berbeza, iaitu Dravidia
dan Indo-Arya. Kedua-dua kelompok ini mempunyai budaya dan bahasa yang berbeza. Bagi
masyarakat Dravidia di bahagian selatan India, bahasanya adalah seperti Telegu, Malayalam,
Kannada dan sebagainya. Bagi masyarakat Indo-Arya pula, bahasa dasarnya ialah bahasa
Sanskrit yang kemudiannya melahirkan bahasa Hindi, Urdu, Punjabi, Kasmiri dan sebagainya.
Bahasa utama pada Zaman Vedik ialah bahasa Sanskrit. Perkembangan bahasa ini secara
langsung mempengaruhi perkembangan dalam bidang penulisan dan kesusasteraan. Bidang
kesusasteraan terbahagi kepada bentuk Vedik, epik dan sajak.

Tamadun India turut menghasilkan sastera agama Hindu dan Buddha, antaranya termasuklah
epik Mahabharata dan Ramayana. Mahabharata menceritakan peperangan antara dua tentera,
iaitu yang baik dan yang jahat. Ramayana pula ialah cerita inkarnasi Dewa Vishnu sebagai
Rama dan pergaduhannya dengan raja Sri Lanka yang melarikan isterinya, Sita. Bahasa
persuratan tamadun ini ialah Sanskrit.

d. Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun China.
Perkembangan bahasa dalam tamadun China kurang jelas. Yang nyata wujud tujuh dialek
utama di China, iaitu Mandarin, Wu, Hunanis, Kiangsi, Hakka, Kantonis dan Fukien.

Peningkatan sastera berkembang dengan sokongan pihak kerajaan. Semasa Dinasti Han, Ssu-
ma Chein telah mempertingkatkan bidang sastera prosa dengan karya yang bertajuk Shih Chi.
Hasil karya beliau banyak menceritakan sosial, sejarah, kerajaan, pemimpin dan beberapa
aspek ilmu pengetahuan, dan ini menjadi ikutan dinasti seterusnya. Dalam bidang puisi muncul
tokoh seperti Tu Fu, Li Po dan Po Chu-i, iaitu semasa Dinasti Tang.

Sastera China pada zaman Dinasti Han meliputi sajak dan cerpen. Seseorang yang terpelajar
harus mampu bersajak untuk melahirkan pengetahuan dan pemikirannya.

.........
Kesusasteraan yang lahir bukan sahaja untuk kepentingan pemerintah tetapi juga rakyat dan
kebanyakan karya adalah untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
Aspek tulisan juga turut mengalami peningkatan. Tulisan yang kita warisi pada hari ini berasal
daripada tulisan orang Phoenecia. Tulisan ini tersebar kepada orang Yunani pada tahun 800
S.M. Dalam Tamadun Yunani, tulisan itu ditambah huruf vokal. Tulisan itu diubahsuai oleh
orang Rom dan menjadi tulisan Rom dan tersebar ke Barat sehingga sampai kepada
masyarakat Asia Tenggara dalam bentuk tulisan rumi.

14. a. Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 62-63)
Organisasi sosial masyarakat dalam tamadun Yunani di Athens membahagikan penduduknya
kepada tiga kumpulan. Yang pertama ialah warganegara, yang kedua ialah penduduk bukan
warganegara dan yang ketiga ialah golongan hamba. Kumpulan pertama mempunyai hak
dalam politik negara kota sementara golongan kedua dan ketiga tidak memiliki hak tersebut.
BAB 2 (TING. 4) /hlm 15




Di Sparta terdapat tiga kelas sosial. Kelas pertama ialah warganegara Sparta tulen. Kelas kedua
ialah para pekerja, artisan dan pedagang. Kelas ketiga ialah Helot yang mengusahakan tanah
dan merupakan golongan majoriti.

b. Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun Rom.
Di Rom sistem sosial dibahagikan kepada warganegara Rom, bukan warganegara dan hamba.
Warganegara Rom merupakan mereka yang terdiri daripada orang Rom dan bukan
warganegara ialah penduduk yang ditakluki.

c. Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun India.
Dalam tamadun India, sistem sosialnya mewujudkan sistem kasta. Sistem ini merupakan
sebuah institusi yang sangat unik dan tidak ditemui dalam mana-mana tamadun dunia yang
lain. Sistem ini mempunyai empat kasta utama, iaitu Brahmin, Ksytria, Vaisya dan Sudra.
Keempat-empat kasta ini mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Sistem kasta telam
menjadi darah daging kepada sistem sosial India dan ia diikuti dengan ketat. Berdasarkan
sistem ini, seseorang lelaki tidak boleh mengahwini wanita daripada kasta yang berbeza dan
tidak boleh bercampur gaul dengan ahli kasta yang berbeza.

d. Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun China.
Masyarakat China pada dasarnya terbahagi kepada tiga kelas utama. Golongan pertama ialah
golongan atasan yang terdiri daripada lapisan pentadbir seperti maharaja, keluarganya,
pegawai bangsawan dan sida-sida. Kumpulan kedua terdiri daripada rakyat bawahan, iaitu
golongan petani dan artisan. Golongan ketiga ialah golongan hamba. Kumpulan kedua dan
ketiga merupakan kumpulan sokongan kepada kumpulan pertama.

Confucius pula membahagikan masyarakat China kepada empat kelas utama. Golongan teratas
ialah golongan sarjana. Mereka terdiri daripada pegawai kerajaan yang berpendidikan. Yang
kedua ialah golongan petani dan merupakan tulang belakang kepada ekonomi China.

Kumpulan ketiga ialah golongan tukang. Kumpulan paling bawah ialah pedagang. Namun
begitu, strata masyarakat China ini bukannya sesuatu yang bersifat tegar. Setiap individu di
China boleh menukar kelasnya kepada kedudukan yang lebih baik menerusi pendidikan.

15. a. Terangkan sumbangan Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 63-64)
Tamadun Yunani telah mewariskan sistem pemerintahan berbentuk demokrasi. Dalam sistem
demokrasi itu, rakyat terlibat dalam membuat keputusan politik. Rakyat terlibat secara
langsung dalam pemerintahan kerajaan, oleh itu, kerajaan berbentuk demokrasi disifatkan
sebagai kerajaan rakyat. Sistem ini diamalkan di kebanyakan negara di dunia pada hari ini.
Walaupun sistemnya sama, iaitu demokrasi tetapi wujud perbezaan dalam amalannya.
Contohnya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berbentuk demokrasi berparlimen.
Ilmu falsafah seperti legalisme, stoicisme masih dijadikan rujukan.

Teknologi pembinaan aqueduct, merupakan warisan yang dikagumi dan berharga sebagai
sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.

b. Terangkan sumbangan Tamadun Rom.
BAB 2 (TING. 4) /hlm 16



Tamadun Rom pula mewariskan sistem republik kepada tamadun dunia. Dalam sistem
republik pemerintahan dikuasai oleh dua orang konsul. Pelantikan dua orang konsul itu
bertujuan untuk mengimbangkan kuasa. Konsul dibantu oleh Dewan Senat manakala Dewan
Senat pula dibantu oleh Dewan perhimpunan yang diwakili oleh rakyat. Sistem ini diamalkan
di India, Perancis dan Afrika Selatan. Namun, sistem republik moden ini berbeza daripada
sistem republik Rom. Walau bagaimanapun, darisegi konsep, sistemnya hampir sama dengan
sistem republik Rom yang mengandungi unsur demokrasi kerana rakyatnya juga terlibat dalam
pemilihan ketua negara, iaitu presiden.

Falsafah Aristotle, Socrates dan Plato juga masih dijadikan rujukan oleh ahli falsafah moden.
Teknologi pembinaan colloseum, pantheon, merupakan warisan yang dikagumi dan berharga
sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.

c. Terangkan sumbangan Tamadun India.
Teknologi pembinaan Stupa di Sanchi, candi dan pagoda merupakan warisan yang dikagumi
dan berharga sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.

d. Terangkan sumbangan Tamadun China.
Teknologi pembinaan Tembok Besar China merupakan warisan yang dikagumi dan berharga
sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.
Tamadun China juga mewariskan teknologi membuat kertas dan tembikar.

.........
Setiap tamadun juga meninggalkan hasil sastera yang masih dijadikan rujukan hingga ke hari
ini seperti Iliyad, Odyssey, Mahabharata dan Ramayana. Malahan tamadun China
meninggalkan rekod sejarah dalam bentuk ensiklopedia, kisah perjalanan dan maklumat
geografi yang dapat digunakan sebagai sumber sejarah.

Bahasa Latin dan Sanskrit merupakan bahasa penting yang berkaitan dengan agama dan
kesusasteraan. Bahasa ini masih dipakai dalam hal keagamaan, contohnya bahasa Latin untuk
agama Kristian dan bahasa Sanskrit untuk agama Hindu dan Buddha.
Dari segi sosial, sumbangan tamadun awal yang ketara adalah dalam bidang pendidikan,
falsafah dan sains dan teknologi. Sistem pendidikan yang wujud diteruskan dan diubahsuai jika
perlu. Contoh yang jelas ialah sistem peperiksaan. Falsafah yang muncul dalam tamadun awal
dijadikan asas kepada falsafah zaman moden khususnya falsafah yang terdapat pada zaman
Yunani. Sains dan teknologi yang berkaitan dengan matematik, astronomi, fizik, perubatan
dan seni bina khususnya, beberapa teori matematik seperti Teorem Pythagoras dan Teori
Archimedes masih diguna pakai.

Tamadun awal juga menyumbang kepada kelahiran Sukan Olimpik. Sukan ini diperkenalkan
pada zaman Yunani iaitu pada tahun 776 S.M. Pertandingan itu diadakan di Olympia.
Pertandingan antara negara kota dibuat empat tahun sekali itu bertujuan untuk menghormati
Tuhan Zeus. Perbezaan antara Sukan Olimpik asal dengan Sukan Olimpik moden adalah dari
segi tujuan organisasi dan bilangan peserta serta acara yang dipertandingkan bertambah
berlipat ganda.



BAB 2 (TING. 4) /hlm 17



Hasil Pembelajaran

Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Memahami kemunculan perkembangan agama dan ajaran utama dunia
Aras 1
Menyatakan pengertian agama dan ajaran
Menyenaraikan agama dan ajaran utama dunia
Menyatakan prinsip-prinsip utama setiap agama dan ajaran dunia
Aras 2
Menghuraikan prinsip-prinsip utama setiap agama dan ajaran dunia
Mengklasifikasi agama dan ajaran dunia
Aras 3
Merumuskan kepentingan agama dalam kehidupan

..........
Agama merupakan keperluan utama dalam pembentukan dan peningkatan tamadun. Secara
umum, agama ialah suatu kepercayaan atau ajaran yang dianut oleh seseorang. Agama
merupakan pedoman untuk membimbing manusia kearah kehidupan yang sempurna, justeru,
lahirlah agama dan ajaran untuk memenuhi keperluan manusia.

Di India lahir agama Hindu dan kemudian agama Buddha. Di China lahir Conficianisme dan
Taoisme. Di Palestin muncul agama kristian dan pada tahun 610 M. lahir agama Islam di
Makkah.

16. a. Jelaskan struktur agama Hindu. (Rujuk Buku Teks m.s: 65)
Perkataan Hindu pada mulanya digunakan untuk merujuk masyarakat yang tinggal di Sungai
Sindhu (Indus). Sejarah kemunculan agama ini sukar dipastikan. Meskipun demikian, agama
ini muncul sejak zaman tamadun Indus lagi.

Struktur agama ini semakin jelas pada Zaman Vedik terutamanya apabila wujud kitab suci
Veda yang menjadi kitab kepada agam ini. Agama ini percaya bahawa Tuhan mempunyai tiga
fungsi utama, iaitu mencipta (Brahman), memelihara (Vishnu) dan membinasa (Siva). Agama
ini mempunyai enam aliran iaitu Saivisme, Vaishnavisme, Sakhtam, Ganapathyam, Kaumaram
dan Saura.

b. Huraikan perkembangan agama Hindu.
Sejak zaman empayar Maurya, antara tahun 320 181 S.M. agama ini telah menjadi agama
penting dan memaparkan dominasi golongan Brahmin. Meskipun demikian, agama ini telah
menerima saingan daripada agama Buddha terutamanya semasa pemerintahan Chandragupta
Maurya dan Asoka. Kegemilangan agama Hindu muncul pada masa empayar Gupta, antara
tahun 320 520M.

c. Apakah Hukum Karma?
Penganut agama Hindu mempercayai Hukum Karma yang bersabit dengan kelakuan manusia
semasa hidup dan kelahiran semula selepas mati. Kelahiran semula bergantung pada Karma
dan tujuan hidup adalah untuk mencapai Moksya, iaitu kebebasan mutlak. Sesiapa yang
BAB 2 (TING. 4) /hlm 18



mencapai tahap ini akan bersatu dengan Tuhan dan tidak akan lahir lagi ke dunia. Oleh itu,
seseorang perlulah berbuat baik semasa hidupnya agar Moksya dapat dicapai.

17. a. Terangkan kemunculan agama Buddha. (Rujuk Buku Teks m.s: 65-66)
Agama ini diasaskan oleh Siddharta Gautama yang dikenali oleh penganutnya sebagai Buddha.
Kemunculan agama ini dirujuk sebagai satu penentangan golongan Ksytria terhadap dominasi
Brahmin dalam soal agama dan kehidupan. Sistem kasta yang tegar dianggap menjadikan
masyarakat tidak teratur. Hal ini memberikan kesedaran kepada Gautama Buddha untuk
mencari kebenaran. Gautama Buddha menemui kebenaran sewaktu bertapa di bawah pokok
bodhi di sebuah kampung barnama Uruveda. Kebenaran yang ditemui oleh Gautama
dipercayai akan melepaskan diri manusia daripada kesengsaraan.

b. Terangkan asas kepercayaan dalam agama Buddha.
Asas ajaran Buddha termasuklah empat kebenaran mulia yang dapat dicapai melalui lapan
jalan. Empat kebenaran mulia dalam agama Buddha ialah
i. Dukka atau penderitaan.
ii. Samudaya atau sebab penderitaan.
iii. Nirodha, iaitu nafsu yang membawa penderitaan, dan
iv. Marga, iaitu cara memadamkan nafsu dan keinginan.

Manakala, lapan jalan dalam agama Buddha ialah
i. Kepercayaan yang betul
ii. Tujuan yang betul
iii. Pertuturan yang baik
iv. Perbuatan yang baik
v. Hidup yang baik
vi. Usaha yang baik
vii. Fikiran yang baik
viii. Renungan yang baik.

c. Huraikan perkembangan agama Buddha.
Agama Buddha mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Asoka. Pada zaman ini,
Buddha bukan sahaja menjadi agama rasmi kerajaan Maurya tetapi juga mengalami
perkembangan pesat kesan daripada dasar penghantaran mubaligh keluar negara. Agama
Buddha telah diterima dengan baik di Tibet, Sri Lanka, negeri-negeri Asia Tenggara dan
China. Agama Buddha juga menggunakan bahasa Pali dan kitab Tripitaka dianggap sebagai
kitab suci. Kitab Tripitaka mengandungi Sutta Pitaka, Vinaya Pitaka dan Abhidhamma Pitaka.

18. a. Terangkan kemunculan agama Kristian. (Rujuk Buku Teks m.s: 66)
Agama Kristian dikatakan telah diasaskan oleh Jesus Christ yang berasal dari Jerusalem.
Tarikh 25 Disember dianggap sebagai tarikh lahir Jesus dan diraikan setiap tahun oleh
penganut agama Kristian sebagai Hari Natal. Old Testament dan New Testament merupakan
dua kitab suci dalam agama Kristian dan dikenali sebagai Bible. Dalam proses
perkembangannya di Eropah, penganut agama ini terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan
rintangan termasuk tentangan daripada pemerintah Rom sendiri. Akhirnya agama ini telah
berjaya bertapak kukuh dan mempunyai pengikut yang ramai di Eropah. Majoriti ahli
masyarakat Eropah sebelum kedatangan agama Kristian merupakan pagan (merujuk kepada
BAB 2 (TING. 4) /hlm 19



orang yang tidak mempercayai atau menganut sebarang agama utama dunia).

b. Huraikan perkembangan agama Kristian
Agama Kristian mula mendapat tempat di Eropah pada Zaman Rom, iaitu semasa
pemerintahan Constantine antara tahun 280 337 S.M. Constantine telah mengiktiraf agama
Kristian sebagai salah satu ajaran yang bebas untuk dipraktikkan oleh masyarakat Rom selain
yang diamalkan oleh pagan. Bagi individu yang terlibat dengan perancangan dan kegiatan
agama, mereka akan dikecualikan daripada dikenakan kerja berat. Hari Ahad telah dikhaskan
sebagai hari untuk melakukan sebarang aktiviti agama yang berkaitan. Hal ini menyebabkan
agama Kristian terus subur pada Zaman Rom hingga Rom dikenali sebagai Empayar Kristian.
Malah, keruntuhan empayar Rom (Barat) pada lewat abad kelima Masihi tidak membawa
maksud agama ini terus lenyap ditelan zaman. Sebaliknya, agama Kristian mengukuhkan
kedudukannya dalam kerangka kehidupan sosial, ekonomi dan politik pada zaman pertengahan
di Eropah.

19. a. Terangkan kemunculan agama Islam. (Rujuk Buku Teks m.s: 66-67)
Agama ini diwahyukan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. pada 6 Ogos tahun
610 M, bersamaan 17 Ramadan melalui malaikat Jibril di Gua Hira. Bermula dari saat itu,
baginda mula menyebarkan ajaran Islam. Dalam proses penyebaran Islam ini berlaku
tentangan daripada orang Quraisy Makkah. Untuk melindungi Islam daripada terus ditekan,
baginda menerima jemputan untuk berhijrah ke Madinah pada 12 September tahun 622 M,
bersamaan 1 Rabiuawal. Bermula di Madinah Islam mendapat tapak baru untuk berkembang.
Selepas itu, Islam bukan sahaja disebarkan di Tanah Arab malah hingga ke seluruh dunia.

b. Nyatakan teras agama Islam
Terdapat dua teras dalam agama Islam, iaitu akidah dan syariah. Akidah merupakan keyakinan
seluruh jiwa terhadap keesaan Allah. Syariah pula ialah undang-undang yang terkandung
dalam al-Quran dan al-Sunnah (hadis) yang menjadi petunjuk kepada umat Islam.

Kesimpulannya, orang Islam wajib meyakini Rukun Iman (yang mempunyai 6 teras utama
iaitu, 1. Percaya kepada Allah S.W.T.; 2.Percaya kepada malaikat; 3. Percaya kepada kitab-
kitab; 4. Percaya kepada para nabi dan rasul; 5. Percaya kepada hari kiamat dan 6. Percaya
kepada qadha dan qadar.) dan

Rukun Islam (yang mempunyai 5 teras utama iaitu; 1. Pengakuan Tiada Tuhan yang
disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.; 2. Wajib menunaikan
solat lima waktu sehari semalam; 3. Wajib berzakat; 4. Wajib berpuasa pada bulan Ramadan;
5. Menunaikan fardu haji di Makkah bagi yang mampu).

20. a. Terangkan kemunculan ajaran Confucianisme. (Rujuk Buku Teks m.s: 67)
Ajaran ini diasaskan oleh Confucius yang lahir pada sekitar tahun 551 S.M. di negeri Lu (di
Shantung). Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan negeri Lu. Namun demikian, beliau telah
meletakkan jawatan dan terus mengembara untuk menyebarkan ideanya kepada penduduk
China. Masyarakat China telah menjadikan ajaran ini sebagai kepercayaan dan tokoh
Confucius disembah sebagai salah satu dewa penting dalam masyarakat China.

b. Apakah prinsip yang terdapat dalam ajaran Confucianisme.
BAB 2 (TING. 4) /hlm 20



Ajaran ini menekankan prinsip moral yang tinggi seperti perikemanusiaan (ren), kesusilaan (li)
dan ketaatan kepada ibu bapa (xiao). Untuk mencapai ketinggian moral ini, seseorang itu
haruslah mendapat pendidikan. Prinsip moral ini juga harus dipertegaskan kepada semua
lapisan masyarakat.

21. a. Terangkan kemunculan ajaran Taoisme. (Rujuk Buku Teks m.s: 67-68)
Ajaran ini muncul agak lewat berbanding dengan ajaran Confucius di China. Pengasas kepada
ajaran ini ialah Lao Tze. Beliau lahir di negeri Chu pada sekitar tahun 604 S.M. Beliau juga
pernah bekerja di negeri Chou. Seperti Confucius, Lao Tze juga telah mengembara ke luar
untuk menyebarkan pengaruhnya. Beliau telah menghasilkan buku yang bertajuk Tao Te Ching
yang mengandungi idea falsafah Taoisme. Taoisme pada salnya berbentuk falsafah tetapi
kemudiannya menjadi ajaran berbentuk agama.

b. Apakah dasar yang terdapat dalam ajaran Taoisme.
Dasar ajaran ini lebih menumpukan konsep Tao yang bermaksud jalan. Setiap tindakan akan
ditentukan oleh Tao. Oleh sebab itu, manusia tidak harus bertindak terhadap apa-apa yang
berlaku. Keadaan ini dirujuk oleh Tao sebagai tidak mengambil sebarang tindakan atau wu-
wei. Jika manusia bertindak, maka, perkara ini adalah bertentangan dengan prinsip wu-wei dan
akan merosakkan dunia. Oleh sebab itu Lao Tze tidak menyetujui bahawa manusia boleh
mengubah sesuatu ke arah kebaikan.

22. a. Apakah nilai yang dapat kita pelajari dalam kemajuan dan peningkatan tamadun-tamadun ini.
(Rujuk Buku Teks m.s: 68)
1. Peningkatan tamadun berlaku kerana meningkatnya perkembangan dalam bentuk
pemikiran dan kemahiran. Perkembangan pemikiran dilihat dari aspek pencapaian dalam
ilmu falsafah, sistem pendidikan, kesenian, kesusasteraan, keagamaan, dan sains dan
teknologi. Perkembangan kemahiran adalah berbentuk kebendaan dan dilihat dalam
warisan seni bina seperti colloseum, aqueduct, Tembok Besar China, dan Stupa di Sanchi,
India.
2. Manusia sentiasa inovatif dan sentiasa berusaha membaiki dan meningkatkan kehidupan
yang sedia ada. Hal ini berlaku kerana wujudnya peluang yang berbentuk keamanan
negara, sistem pemerintahan yang kuat dan adil, dan adanya pemerintah yang berwibawa
dan kuat.
3. Generasi hari ini perlu sedar bahawa hasil daripada pembangunan pengetahuan yang baik
dari segi keagamaan, falsafah dan sains dan teknologi, banyak perubahan telah berlaku dari
masa ke masa.
4. Generasi hari ini perlu sedar yang mereka perlu mempunyai kebolehan menjangka
perubahan yang akan berlaku seperti yang terdapat pada masyarakat zaman dahulu. Oleh
itu, kita patut terus meningkatkan pemikiran dan kemahiran dengan cara menambahkan
ilmu yang ada atau meneroka bidang baru untuk terus mempertingkatkan tamadun kita.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada sifat kedekut
dan aku berlindung kepadaMu daripada sifat pengecut.
Aku berlindung kepadaMu daripada sisa umur yang sia-sia.
Aku berlindung kepadaMu daripada seksa dunia
dan aku berlindung kepadaMu daripada seksa kubur.

You might also like