You are on page 1of 20

BAB 1 PENGENALAN EKONOMI DALAM PENGURUSAN AWAM

OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menerangkan kepentingan mempelajari bidang ekonomi. 2. Membincangkan definisi dan skop pengajian ekonomi. 3. Membincangkan kekurangan, pilihan dan kos lepas dalam ekonomi. 4. Mengenal pasti masalah-masalah asas ekonomi. 5. Membezakan aspek yang terdapat dalam mikroekonomi dan makroekonomi. 6. Membezakan ekonomi pasaran bebas, perancangan pusat, ekonomi campuran dan sistem ekonomi Islam. 7. Menjelaskan tentang aliran pusingan pendapatan. 1.1 PENGENALAN

Ekonomi merupakan satu aspek yang penting dalam menjalani kehidupan seharian sama ada secara individu, berkumpulan, firma, industri dan sebagainya. Kestabilan sesebuah masyarakat atau sesebuah negara bergantung kepada kedudukan ekonominya yang kukuh dan terjamin. Oleh itu, dalam sektor awam kerajaan sentiasa campur tangan melalui pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan. Contohnya Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Perolehan Negara, Dasar Perindustrian Negara, dan sebagainya. Di samping itu, pelbagai istilah wujud dalam bidang ekonomi, contohnya pengangguran, inflasi, defisit, imbangan pembayaran, kadar faedah, muflis, hasil, perbelanjaan, agihan, pengeluaran, input, output dan sebagainya. Justeru, menurut David C. Colander (1995), terdapat lima perkara penting perlunya kita mempelajari ekonomi, iaitu (i) (ii) Pemikiran Ekonomi (Economic Reasoning). Terminologi Ekonomi (Economic Terminology).
1

(iii) Pemahaman Ekonomi (Economic Insight). (iv) Institusi Ekonomi (Economic Institution). (v) Opsyen Dasar Ekonomi (Economic Policy Option). Perkara penting dalam mempelajari ekonomi ialah tentang bagaimana kita boleh berfikir dan menganalisis seperti seorang ahli ekonomi, seterusnya dapat membuat satu keputusan yang tepat berdasarkan analisis kos dan faedah. Contohnya, adakah penggunaan lampu brek ketiga merupakan satu dasar yang baik atau tidak? Maka, untuk membuat sebarang keputusan, kita perlu mengkaji tentang jumlah kos yang diguna dan kebaikan menggunakan lampu brek ketiga tersebut. Sekiranya faedah yang diperolehi melebihi kos yang digunakan, maka teruskan dasar tersebut. Sekiranya kos melebihi faedah akibat pelaksanaan dasar tersebut, maka hentikan pelaksanaan dasar tersebut. Kedua ialah terminologi ekonomi. Terdapat dua terminologi utama, iaitu ekonomi dan ekonomiks. Ekonomi menerangkan struktur institusi terdapat individu atau kumpulan masyarakat menjalani kehidupan seharian untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan keperluan. Manakala, ekonomiks pula ialah bidang pengajian tentang ilmu ekonomi, iaitu bagaimana manusia dalam sesebuah masyarakat mengatur kehidupan seharian mereka berdasarkan sumber-sumber pengeluaran yang ada. Pemahaman atau pengertian tentang bagaimana ekonomi berfungsi tanpa melibatkan perancangan seperti invisible hand yang bertindak balas secara automatik dalam sesebuah pasaran. Dalam keadaan seperti ini, kita akan melihat pemahaman dan pengertian ekonomi dalam bentuk teori ekonomi. Teori ekonomi akan mengaitkan terminologi yang dikeluarkan oleh ahli ekonomi dengan pengetahuan tentang institusi ekonomi dan seterusnya dapat menjelaskan tentang pemahaman dan pengertian ekonomi tersebut. Contohnya, seorang pelawat dari luar negara mendapati Malaysia sebagai sebuah negara yang aman. Kebanyakan rakyatnya bekerja dan hidup dalam keadaan yang penuh harmoni. Siapa yang mengurus dan bagaimana keadaan seperti tersebut wujud? Keadaan seperti tersebut wujud akibat daripada tindakan invisible hand. Keempat ialah institusi ekonomi. Institusi ekonomi ialah satu bentuk atau struktur secara fizikal dan mental yang signifikan serta mempengaruhi setiap proses pembuatan keputusan. Contohnya kerajaan, organisasi, firma, individu, masyarakat dan norma-norma budaya mereka mempunyai sosial, politik, kepercayaan, agama dan sebagainya. Kelima ialah dasar ekonomi. Setiap negara di dunia mempunyai dasar ekonomi masing-masing yang bertujuan untuk bertindak bagi
2

mempengaruhi keadaan ekonomi negara. Contohnya, kerajaan melaksanakan dasar ekonomi mengecut apabila ekonomi berada dalam keadaan inflasi dan kerajaan akan melaksanakan dasar ekonomi mengembang apabila ekonomi berada dalam keadaan deflasi. 1.2 DEFINISI DAN SKOP EKONOMI

Ekonomi melibatkan semua aktiviti manusia dan masyarakat dalam menjalani kehidupan harian mereka. Menurut Alfred Marshall (1792), ekonomi ialah pengajian tentang kehidupan manusia dalam kehidupan mereka sehari-hari. Ianya meniliti segala tindakan individu dan tindakan sosial yang berkait rapat dengan pencapaian serta penggunaan semua benda yang menjadi asas kesejahteraan hidup. Ekonomi merupakan satu sains sosial yang mengkaji bagaimana manusia menggunakan sumber-sumber atau faktor pengeluaran yang terhad untuk tujuan pengeluaran output kepada masyarakat. Maka, pengeluaran output tersebut dapat membantu masyarakat mencapai kesejahteraan seperti pengagihan sumber yang adil, pendapatan yang tinggi, sumber tenaga manusia yang mencukupi dan sebagainya. 1.3 FAKTOR-FAKTOR PENGELUARAN

Faktor pengeluaran utama yang terdapat dalam ekonomi ialah tanah, buruh, modal dan pengusaha. Tanah merujuk kepada sumber semula jadi yang diperolehi daripada tanah seperti sumber hutan, kayu balak, ubatan, minyak, bijih timah, bijih besi, binatang-binatang dan sebagainya. Buruh pula menerangkan tentang sumber manusia atau tenaga kerja yang diperlukan untuk menjalankan proses pengeluaran. Ianya terdiri daripada buruh mahir, separa mahir dan kurang mahir. Contohnya buruh binaan, pencuci, juru bina, jurutera, kerani, pegawai, pengurus, setiausaha dan sebagainya. Modal terdiri daripada bentuk barang-barang fizikal dan bentuk kewangan yang digunakan dalam proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan kepada masyarakat. Contoh modal bentuk fizikal ialah bangunan, jentera, kenderaan, dan bahan mentah. Faktor pengeluaran yang terakhir iaitu pengusaha, merujuk kepada orang yang bertanggungjawab menggunakan ketiga-tiga faktor pengeluaran iaitu tanah, buruh dan modal untuk tujuan pengeluaran output.

Gambar Rajah 1.1 Pengeluaran Barangan dan Perkhidmatan


PENGUSAHA DAN PENGELUAR

BURUH

MODAL

TANAH

HASILKAN BARANGAN DAN PERKHIDMATAN UNTUK SEKTOR RUMAH

1.4

MIKROEKONOMI DAN MAKROEKONOMI

Bidang ekonomi sangat luas dan selalunya ianya dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu mikroekonomi dan makroekonomi. Kedua-dua bahagian tersebut mempunyai bidang yang berbeza. Mikroekonomi menumpukan kepada proses pembuatan keputusan oleh sesuatu unit yang lebih kecil berbanding dalam makroekonomi. Contohnya seperti syarikat dan firma, rumah, industri dan kilang. Makroekonomi pula ialah kajian tentang satu kumpulan yang besar atau secara agregat seperti pendapatan dan perbelanjaan negara, pelaburan negara, penggunaan, guna tenaga, tingkat harga, pengangguran, inflasi, keluaran negara dan sebagainya. Dalam mikroekonomi, masyarakat dilihat sebagai dua golongan yang terdiri daripada golongan yang mengguna dan golongan yang mengeluar. Golongan yang mengguna barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dipanggil sebagai pengguna manakala golongan yang mengeluar barangan dan perkhidmatan dipanggil sebagai pengeluar. Antara pengguna dan pengeluar wujud satu hubungan yang rapat kerana mereka tidak berdiri sendiri tanpa sokongan antara satu sama lain. Pengeluar mendapat sumber-sumber daripada pengguna terutamanya bahan mentah. Sumber lain seperti tenaga manusia atau buruh, tanah dan modal. Kemudian pengeluar akan memproses sumber input tersebut untuk menghasilkan output kepada pengguna. Selepas proses pengeluaran output berlaku, pengguna akan mendapat ganjaran dalam bentuk gaji, upah, sewa, bunga, dan dividen. Ganjaran yang diperolehi tersebut merupakan pendapatan kepada golongan pengguna. Pendapatan tersebut akan digunakan oleh pengguna untuk membeli dan mendapatkan barangan serta perkhidmatan yang disediakan oleh pengeluar.
4

Pengusaha atau pengeluar akan mendapat keuntungan selepas mengeluarkan output manakala pengguna pula akan mendapat kepuasan (utility) selepas menggunakan output tersebut walaupun mereka terpaksa berbelanja. SOALAN DALAM TEKS

1. Terangkan dua cabang bidang ilmu ekonomi, iaitu ekonomi mikro dan ekonomi makro. Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.5

MASALAH ASAS EKONOMI

Masalah ekonomi wujud akibat daripada sumber-sumber yang sentiasa terhad bagi memenuhi kehendak manusia yang sentiasa bertambah dan tiada batasan. Sumber yang diperolehi daripada tanah akan semakin berkurangan apabila semakin banyak digunakan. Contohnya, bijih timah yang semakin berkurangan pengeluarannya dari setahun ke setahun. Begitu juga dengan sumber manusia yang terhad dari segi umur, masa, kemahiran dan kemampuan. Akibat daripada sumber yang terhad sedangkan keperluan manusia yang tidak terhad telah menimbulkan masalah kekurangan, masalah pilihan dan kos melepas (opportunity cost). Masalah kekurangan wujud akibat daripada sumber-sumber yang semakin berkurangan. Keadaan ini berlaku apabila permintaan sentiasa bertambah sedangkan sumber alam dan tenaga manusia semakin berkurangan. Masalah pilihan pula wujud akibat daripada kehendak yang terlalu banyak tetapi perlu membuat satu pilihan sahaja kerana masalah kekurangan pendapatan dan juga sumber-sumber pengeluaran yang terhad. Kos melepas menerangkan tentang kesanggupan seseorang mengorbankan sesuatu barangan dan perkhidmatan untuk mendapatkan sesuatu barangan dan perkhidmatan yang lain. Contohnya, Shakiran ingin membeli sehelai tudung dan sepasang baju yang mempunyai nilai yang sama. Untuk mendapatkan sehelai tudung dia terpaksa melepaskan sepasang baju. Maka, kos melepas ialah sepasang baju kerana dia telah memilih untuk membeli tudung.

Di samping masalah kekurangan, pilihan dan kos melepas, terdapat tiga masalah asas ekonomi (seperti ditunjukkan dalam Gambar Rajah 1.2) yang menjadi isu utama untuk dibincangkan iaitu (i) (ii) (ii) Apa yang perlu dikeluarkan dan berapa banyak? Bagaimana ianya hendak dikeluarkan? Untuk siapa ianya dikeluarkan?
Gambar Rajah 1.2 Masalah Asas Ekonomi
BAGAIMANA HENDAK DIKELUARKAN?
INDIVIDU Apa? SUMBERSUMBER YANG TERHAD PENGELUAR FIRMA Berapa? Kepada siapa hendak dikeluarkan?

RUMAH TANGGA

(a)

Apa yang perlu dikeluarkan dan berapa banyak?

Masalah ini wujud akibat daripada masalah kekurangan dan masalah pilihan. Maka, perlu ada satu keputusan terhadap apakah barangan dan berapa banyak hendak dikeluarkan. Berdasarkan kepada sumber-sumber yang terhad, maka perlulah mengenal pasti tentang jenis barangan dan perkhidmatan yang hendak dikeluarkan. Contohnya, pengeluar perlu membuat pilihan yang betul sama ada hendak mengeluarkan barang perlu, barangan mewah, barangan normal atau barangan lain yang dapat memberi manfaat kepada pengguna semaksimum yang boleh. Jumlah pengeluaran output juga perlu dikenal pasti bagi mengelakkan daripada berlaku pembaziran. Di samping itu, ia dapat mengurangkan kos dan secara tidak langsung sumber-sumber dapat digunakan dengan cara yang paling cekap dan berkesan. (b) Bagaimana ianya hendak dikeluarkan? Apabila keputusan tentang apa yang hendak dikeluarkan dan berapa banyak hendak dikeluarkan dibuat, maka perlu dipastikan pula bagaimana ianya hendak dikeluarkan. Lazimnya, terdapat pelbagai cara pengeluaran sesuatu barangan dan perkhidmatan dilakukan. Ada pengeluaran yang berintensifkan modal dan ada pula yang berintensifkan buruh. Keduadua cara tersebut ada kebaikan dan keburukannya.
6

(c)

Kepada siapa ianya dikeluarkan?

Masalah asas yang terakhir ialah kepada siapa barangan dan perkhidmatan dikeluarkan? Sebelum sesuatu output hendak dikeluarkan, barangan dan perkhidmatan perlu dikenal pasti untuk siapa dikeluarkan. Pengeluar perlu pastikan sama ada pengeluaran barangan dan perkhidmatan tersebut adalah untuk golongan kaya atau golongan miskin. 1.6 KELUK KEMUNGKINAN PENGELUARAN

Keluk Kemungkinan Pengeluaran (KKP) diterbitkan daripada jadual kemungkinan pengeluaran. Ianya bertujuan bagi menjelaskan tentang kos melepas yang berlaku dalam ekonomi sektor awam. Di samping itu, KKP menerangkan tentang kombinasi dua output yang dihasilkan daripada penggunaan sesuatu input yang terdapat dalam faktor pengeluaran secara maksimun. Ekonomi mengandaikan penggunaan faktor pengeluaran yang terhad contohnya penggunaan buruh untuk tujuan pengeluaran makanan dan pakaian. Walaupun terdapat faktor-faktor pengeluaran lain seperti modal dan tanah, tetapi untuk tujuan menambahkan pemahaman hanya satu faktor pengeluaran sahaja diambil kira.
Jadual 1.1 Pengeluaran Makanan dan Pakaian
Kombinasi A B C D E F Pakaian (Ribu) 20 18 15 11 6 0 Makanan (Tan) 0 2 3 4 5 7 Kos Melepas untuk Dapat Makanan (Ribu Pakaian) 0 2 3 4 5 6

Katakan dalam sesebuah negara, faktor pengeluaran buruh digunakan untuk mengeluarkan makanan dan pakaian. Ekonomi akan mengeluarkan dua jenis output, iaitu makanan dan pakaian dengan mengandaikan penggunaan tingkat teknologi yang sama pada setiap pilihan atau kombinasi pengeluaran pakaian dan makanan. Jadual 1.1 menunjukkan dua pilihan pengeluaran barangan, iaitu antara pengeluaran makanan dan pakaian. Pilihan tersebut dipanggil sebagai jadual pengeluaran kemungkinan pengeluaran. Pada titik A jadual menunjukkan kesan daripada menggunakan semua faktor pengeluaran
7

buruh untuk mengeluarkan pakaian sahaja. Oleh itu, tiada buruh digunakan untuk mengeluarkan makanan. Sekiranya ekonomi ingin mengeluarkan makanan pada masa yang sama, maka pengeluar mesti mengurangkan pengeluaran pakaian. Pilihan tersebut ditunjukkan pada kombinasi B iaitu untuk mengeluarkan 2 tan makanan, maka pengeluar mesti mengurangkan pengeluaran pakaian kepada 18 ribu unit dan begitulah seterusnya sehingga kombinasi F. Proses ini disebut sebagai proses membuat pilihan akibat daripada masalah kekurangan faktor pengeluaran buruh. Jadual 1.1 juga menerangkan sifat kos lepas apabila setiap tambahan tan makanan dikeluarkan oleh pengeluar, menyebabkan semakin banyak pakaian terpaksa dilepaskan (tidak dikeluarkan oleh pengeluar). Contohnya, pada kombinasi B iaitu untuk mengeluarkan 2 tan makanan, maka pengeluar mesti mengurangkan pengeluaran pakaian kepada 18 ribu unit dan kos lepas untuk mengeluarkan 2 tan makanan ialah 2 ribu unit pakaian. Ini menunjukkan apabila semakin banyak makanan dikeluarkan oleh pengeluar, menyebabkan semakin sedikit pakaian terpaksa dikeluarkan (semakin banyak kos melepas pakaian). Kombinasi pilihan antara pengeluaran pakaian dan makanan ditunjukkan dalam keluk kemungkinan pengeluaran iaitu Gambar Rajah 1.3. Setiap titik A, B, C, D, E dan F menerangkan kombinasi pengeluaran pakaian dan makanan dalam negara.
Gambar Rajah 1.3 Keluk Kemungkinan Pengeluaran
Pakaian 20 A 18 15 11 6 *S B C D E *T

4 5

6 F

Makanan

Berdasarkan kepada maklumat yang terdapat dalam Jadual 1.1, satu keluk dapat dibentuk iaitu Keluk Kemungkinan Pengeluaran (KKP) seperti yang ditunjukkan pada Gambar Rajah 1.3. Gambar rajah tersebut menunjukkan bahawa dalam ekonomi terdapat dua pilihan sama ada ingin mengeluarkan pakaian atau makanan. Apabila sesebuah ekonomi
8

ingin mengeluarkan lebih banyak makanan, maka pengeluaran pakaian terpaksa dikurangkan dan jika ekonomi ingin mengeluarkan lebih banyak pakaian, maka pengeluaran makanan terpaksa dikurangkan. Masalah kekurangan sumber menyebabkan ekonomi terpaksa menghadkan pengeluaran sesuatu kuantiti barangan. Jika ekonomi ingin mengeluarkan barangan pada titik A, 20 ribu unit pakaian dapat dikeluarkan, tetapi ekonomi tidak dapat mengeluarkan makanan. Keadaan ini berlaku kerana semua faktor pengeluaran buruh telah digunakan untuk mengeluarkan pakaian sedangkan tiada buruh yang dapat digunakan untuk mengeluarkan makanan. Jika ekonomi ingin memilih titik F, ekonomi hanya mengeluarkan makanan sahaja, iaitu sebanyak 7 tan dan pada masa yang sama pakaian tidak dapat dikeluarkan. Keadaan seperti ini berlaku kerana semua faktor pengeluaran buruh telah digunakan untuk mengeluarkan makanan sedangkan tiada buruh yang mencukupi untuk mengeluarkan pakaian. Walaupun demikian, dengan menggunakan faktor pengeluaran secara optimum, ekonomi mampu mengeluarkan kedua-dua barangan, iaitu pakaian dan makanan tetapi pada satu kombinasi kuantiti yang tertentu. Ekonomi mampu mengeluarkan makanan tetapi dengan syarat mesti mengurangkan jumlah pengeluaran pakaian. Oleh itu, jumlah pengeluaran pakaian yang dikurangkan tersebut merupakan kos lepas bagi mengeluarkan makanan. Pada titik B didapati makanan telah dikeluarkan sebanyak 3 tan. Akibatnya pengeluaran pakaian terpaksa dikurangkan kepada 18 ribu unit sahaja. Maka, kos lepas bagi mengeluarkan 3 tan makanan ialah 2 ribu unit pakaian. Berasaskan kepada KKP tersebut, didapati bahawa dengan menggunakan faktor pengeluaran secara optimum, ekonomi mampu mengeluarkan mana-mana kombinasi pakaian dan makanan yang berada pada KKP. Kombinasi tersebut ditunjukkan pada titik B, C, D dan E. Walaupun demikian, terdapat dua titik yang tidak berada pada KKP, iaitu titik S dan T. Titik S berada dalam KKP yang menunjukkan satu kombinasi kuantiti makanan dan pakaian yang dikeluarkan oleh ekonomi. Walau bagaimanapun, pengeluaran pakaian dan makanan tersebut tidak efisien kerana masih terdapat faktor pengeluaran yang tidak digunakan dengan sepenuhnya. Titik T pula berada di luar KKP yang menunjukkan bahawa pengeluaran pakaian dan makanan tidak dapat dicapai kerana faktor pengeluaran yang terhad.

Akibat daripada kemajuan petumbuhan ekonomi, KKP akan berganjak ke kanan. Pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara berlaku disebabkan oleh pelbagai perkara. Antara faktor utama pertumbuhan ekonomi ialah seperti pertambahan jumlah hasil, peningkatan teknologi, peningkatan pelaburan, pertambahan tenaga buruh dan modal yang akan menambahkan keupayaan negara dalam meningkatkan produktiviti negara. Pada Rajah 1.4, KKP asal negara ditunjukkan oleh keluk AB. Sekiranya sesebuah negara mengalami pertumbuhan ekonomi seperti peningkatan modal dan pertambahan tenaga buruh yang disebabkan oleh kemasukan pelaburan asing, ini akan memberi kesan kepada KKP. Dengan andaian faktor-faktor pengeluaran lain berkembang pada kadar yang sama, akan menyebabkan keupayaan pengeluaran kuantiti pakaian dan makanan akan meningkat serentak. Oleh itu, KKP akan berganjak selari ke kanan pada kadar yang sama banyak dari AB ke CD.
Rajah 1.4 Kesan Pertumbuhan Ekonomi ke atas KKP
Pakaian (000) C A

B 0

D Makanan (tan)

Rajah 1.5 Kesan Kemajuan Teknologi ke atas KKP


Pakaian (000) A

Makanan (tan)

10

Kemajuan teknologi juga akan mempengaruhi keluk kemungkinan pengeluaran. Contohnya, dalam menuju era globalisasi pelbagai kajian telah dilakukan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran negara. Antaranya, kajian oleh Institut Pengajian Tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menemui benih baru yang dapat mengeluarkan hasil dengan lebih banyak dalam masa yang singkat. Maka, kesan daripada peningkatan teknologi tersebut telah menyebabkan ekonomi dapat mengeluarkan kuantiti makanan yang lebih banyak. Berdasarkan Rajah 1.5, peningkatan teknologi mungkin berlaku pada satu bidang tertentu sahaja berbanding dengan teknologi lain seperti pakaian. Oleh itu, pengeluaran pakaian tidak dapat ditingkatkan kerana kekurangan kemajuan teknologi dalam bidang pengeluaran pakaian walaupun faktor-faktor pengeluaran lain yang digunakan oleh ekonomi berada pada tahap yang sama. Menerusi Rajah 1.5, kemajuan teknologi telah menyebabkan KKP berganjak dari AB ke AC. Ianya menerangkan bahawa keupayaan sesebuah ekonomi dalam mengeluarkan makanan bertambah dari OB ke OC, sedangkan keupayaan untuk mengeluarkan pakaian tetap iaitu pada OA. SOALAN DALAM TEKS

2. Bincangkan bagaimana sistem harga dan sistem pasaran memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah-masalah ekonomi yang asas bagi sesebuah ekonomi perusahaan bebas. Semak jawapan anda di akhir bab ini. 1.7 SISTEM EKONOMI

Masalah yang wujud dalam ekonomi dapat diatasi dengan merujuk kepada sistem ekonomi yang diamalkan. Terdapat empat sistem ekonomi yang diamalkan iaitu (i) (ii) (iii) (iv) Sistem ekonomi kapitalis/pasaran bebas (laissez faire). Sistem ekonomi sosialis/perancangan pusat. Sistem ekonomi campuran. Sistem ekonomi Islam.
11

SOALAN DALAM TEKS 3. 4. Berikan definisi kos lepas. Dengan menggunakan KKP jelaskan tentang kos lepas. Jelaskan kesan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi terhadap KKP.

Semak jawapan anda di akhir bab ini. (a) Sistem ekonomi kapitalis/pasaran bebas (laissez faire)

Dalam sistem ekonomi kapitalis, kerajaan tidak memainkan peranan yang penting dalam proses pembuatan keputusan yang berkaitan dengan ekonomi. Institusi ekonomi itu sendiri yang membuat keputusan berdasarkan kepada mekanisme harga dalam pasaran. Contohnya, masalah yang berkaitan dengan apa yang hendak dikeluarkan dan berapa banyak hendak dikeluarkan diselesaikan dengan menggunakan mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran. Bagi barangan dan perkhidmatan yang digemari ramai akan meyebabkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut meningkat dan keadaan tersebut akan mempengaruhi peningkatan harga. Apabila berlaku kenaikan harga, keuntungan yang diperolehi oleh pengeluar dan pengusaha akan meningkat secara langsung dan menggalakkan pengeluar menggunakan faktor pengeluaran semaksimum yang mungkin. Terdapat dua jenis pasaran bebas dalam sistem ekonomi kapitalis iaitu, sistem ekonomi pasaran bebas milik persendirian dan sistem ekonomi pasaran bebas kontrak. Dalam pasaran bebas milik persendirian, individu mempunyai kebebasan untuk bekerja dan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan manakala pasaran bebas kontrak pula membenarkan individu melakukan pengeluaran berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan. Untuk menyelesaikan masalah bagaimana hendak dikeluarkan, ianya ditentukan oleh firma atau pengusaha. Untuk memaksimumkan keuntungan, pengusaha akan menggunakan sumber dengan cara yang paling cekap dan dapat menjimatkan kos pengeluaran. Masalah kepada siapa barangan dan perkhidmatan dikeluarkan ditentukan oleh kuasa beli pengguna. Keadaan ini berlaku kerana pengguna mempunyai kuasa pemilikan terhadap sumber-sumber pengeluaran seperti tanah, buruh dan modal.
12

(b)

Sistem ekonomi sosialis/perancangan pusat

Sistem ekonomi sosialis juga dipanggil sebagai sistem ekonomi perangan pusat. Contoh negara yang mengamalkan sistem ekonomi ini ialah Russia dan negera China. Dalam sistem ekonomi ini, keseluruhan proses pembuatan keputusan ada pada kerajaan pusat. Hampir kesemua faktor pengeluaran dimiliki oleh kerajaan pusat. Penyelesaian masalah asas ekonomi yang wujud dalam ekonomi sosialis ditentukan oleh kerajaan pusat. (c) Sistem ekonomi campuran

Sistem ekonomi campuran diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia. Sebaliknya sistem ekonomi pasaran bebas dan sistem ekonomi perancangan pusat sangat jarang diamalkan. Sistem ekonomi campuran dianggap lebih adil kerana kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan persendirian sama-sama membuat keputusan terhadap penyelesaian masalah asas ekonomi. Tetapi, tentang sejauh mana hak dan kuasa pembuatan keputusan yang mereka ada bergantung kepada negara masing-masing. Terdapat sesetengah negara memberi kuasa yang lebih kepada kerajaan dalam proses pembuatan keputusan dan ada juga negara yang memberi kuasa lebih kepada pihak persendirian dalam pasaran untuk membuat keputusan. Pada hakikatnya, kebanyakan negara membiarkan penyelesaian masalah asas ekonomi diselesaikan oleh mekanisme harga dalam pasaran. Sungguhpun begitu, kerajaan perlu campur tangan dalam ekonomi untuk menyediakan kemudahan barangan dan perkhidmatan awam. Contohnya, kemudahan pendidikan, kesihatan, pertahanan, infrastruktur dan sebagainya. Di samping itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat pembangunan negara termasuklah pertumbuhan ekonomi, mengurangkan pengangguran, membasmi kemiskinan, dan memperbaiki agihan pendapatan. (d) Sistem ekonomi Islam

Sistem ekonomi Islam mementingkan unsur-unsur akhlak dan adab dalam melaksanakan kegiatan ekonomi sama ada secara individu ataupun berkumpulan. Sistem ini juga mengandaikan bahawa masyarakat sebagai satu faktor yang perlu dipelihara. Oleh itu, kepentingan masyarakat diutamakan terlebih dahulu berbanding dengan kehendak-kehendak individu yang tidak terhad. Sistem ekonomi Islam mempunyai cara dan langkah yang tersendiri dalam menangani masalah asas ekonomi yang berlaku. Dalam sistem
13

ekonomi Islam juga wujud masalah asas ekonomi, iaitu apa dan berapa banyak barang dikeluarkan, bagaimana barang tersebut dikeluarkan dan untuk siapa barang tersebut dikeluarkan. Bagi masalah asas ekonomi yang pertama, iaitu apa dan berapa banyak barang yang hendak dikeluarkan, sistem ekonomi Islam akan berpandu kepada peraturan agama Islam. Contohnya, bagi barang-barang yang dilarang oleh agama Islam seperti arak dan babi, pengeluarannya dalam pasaran adalah dilarang. Barang-barang yang halal di sisi agama sahaja dibenarkan untuk dikeluarkan di pasaran bagi kegunaan seluruh masyarakat. Sistem ekonomi Islam membenarkan sejumlah pengeluaran barangan selagi ianya tidak menggunakan semua faktor pengeluaran yang ada dan seterusnya menyebabkan pengeluaran barangan lain terutamanya barangan keperluan asas tidak dapat dikeluarkan. Dalam masalah bagaimana barangan dikeluarkan, sistem ekonomi Islam mementingkan kecekapan pengeluaran, iaitu melalui persaingan yang sihat antara pengeluar. Di samping itu, sistem ini melarang pengeluar melakukan pencemaran sama ada bising atau pencemaran air dan udara. Masalah yang terakhir iaitu barang yang dikeluarkan untuk siapa. Dalam sistem ekonomi Islam, selain daripada barangan yang diminta oleh pengguna secara individu, barangan awam juga perlu dikeluarkan demi menjaga kebajikan masyarakat. Sekiranya pihak perseorangan atau firma tidak dapat untuk menawarkan barangan awam, maka menjadi kewajipan kerajaan untuk menawarkan barangan tersebut kepada masyarakat keseluruhannya. 1.8 ALIRAN PUSINGAN PENDAPATAN

Firma berperanan mengeluarkan barangan yang diperlukan oleh sektor isi rumah. Firma akan menggunakan faktor pengeluaran seperti tenaga kerja, tanah, modal dan usahawan yang ditawarkan oleh sektor isi rumah untuk aktiviti pengeluarannya. Sebagai ganjarannya, sektor isi rumah akan menerima pendapatan dalam bentuk gaji, upah, sewa, bunga yang kemudiannya akan digunakan untuk perbelanjaan penggunaan dan tabungan. Perbelanjaan Penggunaan (C) = aktiviti pembelian barangan dan perkhidmatan oleh pengguna mengikut keperluan pengguna. Jumlah penggunaan isi rumah bergantung kepada pendapatan isi rumah, kadar bunga dan jangkaan isi rumah pada masa hadapan. Hubungan antara penggunaan dan pendapatan disebut sebagai fungsi penggunaan.
14

Rajah 1.6 Aliran Pusingan Pendapatan dalam Ekonomi Dua Sektor


Y=gaji, upah, sewa bunga dan keuntungan Penggunaan (C) Tabungan (S)

Terdapat dua ciri utama pada keluk yang menunjukkan hubungan antara penggunaan dan perbelanjaan. (i) (ii) Keluk yang bercerun positif antara pendapatan dan penggunaan yang menunjukkan bahawa apabila pendapatan bertambah, penggunaan turut bertambah. Keluk yang bersilang dengan paksi c-perbelanjaan penggunaan yang kedudukannya mengatasi nilai 0. Ianya menunjukkan bahawa penggunaan positif walaupun tiada pendapatan. Seseorang perlu berbelanja untuk hidup walaupun tiada pendapatan.

Tabungan (S) merupakan bahagian pendapatan yang tidak dibelanjakan dan ianya akan disimpan di institusi kewangan. Pendapatan agregat (Y) merupakan kombinasi perbelanjaan penggunaan dan tabungan. Ia juga disebut sebagai tingkat keseimbangan pendapatan agregat. Isi rumah yang menambahkan penggunaan apabila pendapatan bertambah, satu hubungan positif wujud pada penggunaan agregat dan fungsi penggunaan agregat berbentuk garis lurus. C = a + bY ialah persamaan bagi menunjukkan fungsi agregat, iaitu (i) (ii) (iii) (iv) C ialah penggunaan agregat. Y ialah pendapatan atau keluaran agregat. a ialah penggunaan pada kadar tetap. b ialah kecerunan fungsi penggunaan. Kecerunan tersebut dikira dengan mengambil kira perubahan penggunaan dibahagi dengan perubahan tingkat pendapatan yang menunjukkan bahawa setiap kali pendapatan meningkat penggunaan juga bertambah iaitu C = b X Y dan cerun fungsi penggunaan = b = C / Y = MPC.
15

Rajah 1.7 Fungsi Penggunaan Isi Rumah dan Agregat


(i) Fungsi Penggunaan bagi Isi Rumah Penggunaan Isi Rumah (c) c (y) (ii) Fungsi Penggunaan Agregat Penggunaan Agregat (C) C = a+by

a
Pendapatan Isi Rumah

1.9

KESIMPULAN

Dalam kehidupan kita seharian, kekurangan sumber merupakan masalah asas dalam ekonomi. Faktor pengeluaran terutamanya bahan mentah sentiasa terhad berbanding dengan manusia yang tiada terbatas terhadap barangan dan perkhidmatan. Masalah tersebut telah menyebabkan manusia terpaksa membuat pilihan yang mewujudkan kos lepas bagi mendapatkan barangan dan perkhidmatan lain. Kombinasi pilihan barang dan perkhidmatan tersebut dapat dijelaskan melalui KKP. Di samping itu, ekonomi moden sekarang tidak memainkan peranan yang penting dalam mekanisme pasaran. Akibatnya, wujud kegagalan pasaran dalam menawarkan kemudahan kepada masyarakat. Untuk mengatasi masalah tersebut, kerajaan perlu campur tangan bagi menjamin kecekapan pasaran. SOALAN PENILAIAN KENDIRI
Jadual Pengeluaran Makanan dan Pakaian
Kombinasi A B C D E F Pakaian (Ribu) 50 45 38 29 19 0 Makanan (Tan) 0 2 3 4 5 7 Kos Melepas untuk Dapat Makanan (Ribu Pakaian)

1.

Berdasarkan Jadual Pengeluaran Makanan dan Pakaian (i) (ii) Apakah maksud kos lepas? Kira kos lepas untuk mengeluarkan makanan pada setiap kombinasi A hingga F.
16

(iii) Apakah pengeluaran untuk pakaian dan makanan menunjukkan hukum kos melepas bertambahan? 2. KKP merupakan lokus kombinasi output yang maksimum boleh dikeluarkan oleh pengeluar. Di samping itu, ianya juga menerangkan tiga masalah utama yang wujud akibat daripada sumber pengeluaran yang terhad. Sila nyatakan. (i) ____________________________ (ii) ____________________________ (iii) ____________________________ 3. Gambar rajah Keluk Kemungkinan Pengeluaran menunjukkan KKP bagi sesebuah ekonomi yang mengeluarkan pakaian dan makanan. Oleh itu, jelaskan tentang kedudukan titik P dan Q.
Gambar Rajah Keluk Kemungkinan Pengeluaran
Pakaian 20 A 18 15 11 6 *S B C D E *T

6F

Makanan

4.

Masalah ekonomi wujud akibat daripada sumber-sumber yang sentiasa terhad bagi memenuhi kehendak manusia yang sentiasa bertambah dan tiada batasan. Akibat daripada sumber yang terhad sedangkan keperluan manusia yang tidak terhad telah menimbulkan masalah kekurangan, masalah pilihan dan kos melepas (opportunity cost). Oleh yang demikian, dengan menggunakan contoh yang bersesuaian, terangkan empat masalah asas yang dihadapi oleh ekonomi. Terdapat beberapa sistem ekonomi yang diamalkan. Salah satu daripadanya ialah sistem ekonomi campuran. Dalam konteks negara Malaysia, bagaimana sistem ekonomi campuran diamalkan. Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.
17

5.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Mikroekonomi menumpukan kepada proses pembuatan keputusan oleh sesuatu unit yang lebih kecil berbanding dalam makroekonomi. Contohnya seperti syarikat dan firma, rumah, industri dan kilang. Mikroekonomi melihat masyarakat sebagai dua golongan yang terdiri daripada golongan yang mengguna dan golongan yang mengeluar. Golongan yang mengguna barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan dipanggil sebagai pengguna manakala golongan yang mengeluar barangan dan perkhidmatan dipanggil sebagai pengeluar. Makroekonomi pula ialah kajian tentang satu kumpulan yang besar atau secara agregat seperti pendapatan dan perbelanjaan negara, pelaburan negara, penggunaan, guna tenaga, tingkat harga, pengangguran, inflasi, keluaran negara dan sebagainya. 2. Sistem harga dan sistem pasaran memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah-masalah ekonomi yang asas bagi sesebuah ekonomi perusahaan bebas. Masalah asas ekonomi wujud akibat daripada masalah kekurangan dan masalah pilihan. Berdasarkan kepada sumber-sumber yang terhad, perlu dikenal pasti jenis barangan dan perkhidmatan yang hendak dikeluarkan. Contohnya, pengeluar perlu membuat pilihan yang betul sama ada hendak mengeluarkan barang perlu, barangan mewah, barangan normal atau barangan lain yang dapat memberi manfaat kepada pengguna semaksimum yang boleh. Jumlah pengeluaran output juga perlu dikenal pasti bagi mengelakkan daripada berlaku pembaziran. Di samping itu, dapat mengurangkan kos dan secara tidak langsung sumber-sumber dapat digunakan dengan cara yang paling cekap dan berkesan. Apabila keputusan tentang apa yang hendak dikeluarkan dan berapa banyak hendak dikeluarkan dibuat, maka perlu dipastikan pula bagaimana ianya hendak dikeluarkan. Lazimnya, terdapat pelbagai cara pengeluaran sesuatu barangan dan perkhidmatan dilakukan. Ada pengeluaran yang berintensifkan modal dan ada pula yang berintensifkan buruh. Kedua-dua cara tersebut ada kebaikan dan keburukannya. Masalah asas yang terakhir ialah kepada siapa barangan dan perkhidmatan dikeluarkan? Sebelum sesuatu output hendak dikeluarkan, perlu kenal pasti kepada siapa barangan dan perkhidmatan dikeluarkan. Pengeluar perlu pastikan sama ada
18

pengeluaran barangan dan perkhidmatan tersebut adalah untuk golongan kaya atau golongan miskin. 3. Kos melepas menerangkan tentang kesanggupan seseorang mengorbankan sesuatu barangan dan perkhidmatan untuk mendapatkan sesuatu barangan dan perkhidmatan yang lain. Contohnya, Shakiran ingin membeli sehelai tudung dan sepasang baju yang mempunyai nilai yang sama. Untuk mendapatkan sehelai tudung dia terpaksa melepaskan sepasang baju. Maka, kos melepas ialah sepasang baju kerana dia telah memilih untuk membeli tudung. Andaikan dalam sebuah negara, ekonomi mengeluarkan pakaian dan makanan dengan menggunakan faktor pengeluaran secara optimum. Ekonomi mampu mengeluarkan makanan tetapi dengan syarat mesti mengurangkan jumlah pengeluaran pakaian. Oleh itu, jumlah pengeluaran pakaian yang dikurangkan tersebut merupakan kos lepas bagi mengeluarkan makanan. Berdasarkan Gambar Rajah Keluk Kemungkinan Pengeluaran, titik B menunjukkan jumlah makanan telah dikeluarkan sebanyak 3 tan. Akibatnya pengeluaran pakaian terpaksa dikurangkan kepada 18 ribu unit sahaja. Maka, kos lepas bagi mengeluarkan 2 tan makanan ialah 2 ribu unit pakaian. 4. Akibat daripada kemajuan petumbuhan ekonomi akan menyebabkan KKP berganjak ke kanan. Pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara berlaku disebabkan oleh pelbagai perkara. Antara faktor utama pertumbuhan ekonomi ialah seperti pertambahan jumlah hasil, peningkatan teknologi, peningkatan pelaburan, pertambahan tenaga buruh dan modal yang akan menambahkan keupayaan negara dalam meningkatkan produktiviti negara. Sekiranya sesebuah negara mengalami pertumbuhan ekonomi seperti peningkatan modal dan pertambahan tenaga buruh yang disebabkan oleh kemasukan pelaburan asing ia akan memberi kesan kepada KKP. Dengan andaian faktor-faktor pengeluaran lain berkembang pada kadar yang sama, ini akan menyebabkan keupayaan pengeluaran kuantiti pakaian dan makanan akan meningkat serentak. Oleh itu, KKP akan berganjak selari ke kanan pada kadar yang sama banyak. Kemajuan teknologi juga akan mempengaruhi KKP Contohnya, dalam menuju era globalisasi pelbagai kajian telah dilakukan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran negara. Antaranya,
19

kajian oleh institut pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menemui benih baru yang dapat mengeluarkan hasil dengan lebih banyak dalam masa yang singkat. Maka, kesan daripada peningkatan teknologi tersebut telah menyebabkan ekonomi dapat mengeluarkan kuantiti makanan yang lebih banyak. Berdasarkan kepada contoh di atas, peningkatan teknologi mungkin berlaku pada satu bidang tertentu sahaja berbanding dengan teknologi lain seperti pakaian. Oleh itu, pengeluaran pakaian tidak dapat ditingkatkan kerana kekurangan kemajuan teknologi dalam bidang pengeluaran pakaian walaupun faktor pengeluaran lain yang digunakan oleh ekonomi berada pada tahap yang sama.

20

You might also like