You are on page 1of 3

PERANAN TVET DALAM MENINGKATKAN KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN PELUANG KERJAYA INDIVIDU

Pengenalan

Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam pembangunan sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. TVET bukan sahaja memainkan peranan dalam pembangunan namun sebagai instrumen penting dalam menentukan taraf kehidupan. Kekurangan pendidikan dan pendapatan yang rendah diketahui umum sebagai salah satu punca memiliki taraf kehidupan yang kurang baik. Selalunya pekerja yang kurang berkemahiran ini jarang dikenali dalam kawasan lingkungan kerjanya dan hanya di label sebagai seorang yang bekerja bukan berkerjaya. Melalui TVET, seorang individu yang mempunyai pendidikan rendah berpeluang untuk meraih tempat dalam memiliki kerjaya yang lebih baik dengan pendapatan yang berpatutan yang akhirnya dapat menonjolkan seorang individu dalam sesebuah masyarakat selain mempunyai kemahiran yang dapat membantu dalam pembangunan negara. Pendidikan vokasional boleh jadikan pilihan semasa pembelajaran di peringkat menengah di mana para pelajar akan diperkenalkan secara awal bidang kemahiran ini. Latihan vokasional dapat menyediakan pelajar untuk bekerja dan dilengkapkan dengan kemahiran supaya cemerlang dalam dunia pekerjaan (Davison & Kelly 2004).

Ulasan Dalam Exploring Career Success of Late Bloomers from the TVET Background, penulisnya, Zohrah Omar menerangkan bahawa karier yang berjaya adalah dalam bentuk pengalaman seseorang dalam bidang yang diceburinya. Dalam penulisannya membahagikan kejayaan sesebuah karier itu dilihat berdasarkan objektif iaitu secara luaran dan subjektif iaitu secara dalaman. Objektif dinilai berdasarkan pemerhatian dan ditentukan oleh orang lain seperti bayaran, dan status pekerjaan manakala subjektif dilihat melalui penilaian peribadi atas kerjaya seseorang berdasarkan faktor kehidupan seimbang, keseronokan bekerja, kepuasan bekerja dan pencapaian dalam kerjaya. Berdasarkan analisis yang dijalankan, kebanyakan pekerja yang mengambil TVET untuk meningkatkan peluang kerjaya

berpendapat usaha yang dilakukan adalah berbaloi kerana dapat membantu dalam peningkatan taraf hidup juga peluang yang amat baik.

Metodologi pendidikan berteraskan pembelajaran jangka panjang dan pendidikan dewasa dapat memastikan penggunaan tenaga manusia, kelangsungan dalam bermasyarakat dan kewujudan sosial yang aman. Program latihan vokasional untuk mereka yang tidak bekerja atau kumpulan yang memerlukan keperluan khas adalah cara yang biasa untuk memastikan ketidakadilan dalam pengambilan pekerja dikurangkan dan peluang pekerjaan untuk hidup yang lebih baik bagi ahli dalam sesuatu komuniti dapat diberikan (Vasiliki Brinia 2011). Berdasarkan kenyataan ini dapat dilihat bahawa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menambah kemahiran teknikal dan peluang kerjaya. Bukan sahaja terhad kepada golongan yang mempunyai tahap pembelajaran yang rendah namun kepada golongan yang ingin menambah baik nilai diri yang menyokong hasil kajian Zohrah Omar dalam Exploring Career Success of Late Bloomers from the TVET Background

Dalam pada menambahkan kemahiran teknikal, pengajar yang bertanggungjawab juga perlu memastikan bahawa mereka dilengkapi dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi semasa supaya tidak ketinggalan. Mengenal pasti halangan yang mungkin wujud untuk pengajar itu sendiri dalam memenuhi keperluan industri yang dapat membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan dalam bentuk pendidikan kepada bentuk pekerjaan. Di samping itu, pengajar juga boleh dibimbing oleh seseorang dalam bidang industri untuk menambahkan lagi pengetahuan. Kerjasama antara pihak industri dan pihak pendidik bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional dapat memberi peluang kepada pihak industri menyebarkan pengetahuan berkaitan kerjaya mereka dan teknik-teknik berkaitan yang dapat membantu pengajar mengaplikasikannya dalam pengajaran mereka.

Kesimpulan

Kepentingan pendidikan teknikal dan latihan vokasional bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada pembangunan sesuatu negara. Pendidikan alternatif iaitu yang berteraskan kepada kemahiran juga boleh membawa kepada kejayaan kerjaya seseorang individu. Daripada dapatan dilihat peluang untuk lepasan TVET untuk mencapai kejayaan adalah sangat tinggi. Rata-rata melihat peluang untuk kerjaya dapat dibaiki dengan tambahan kemahiran dan latihan dalam bidang yang diceburi. Berdasarkan daripada hasil kajian terdapat kebaikan dan keburukannya. Daripada peluang yang diberikan oleh TVET, pekerja yang tidak mempunyai kelayakan akan memperoleh peluang mendapatkannya dengan mengikuti kemahiran yang disediakan bagi menambahkan pengalaman dan akhirnya boleh meningkatkan taraf hidup mereka. Keburukannya pula, kemahiran teknikal yang diterapkan kadangkala tidak dapat memenuhi tuntutan semasa dalam kemahiran insaniah di mana pekerja itu sendiri akan kekurangan kemahiran dalam segi komunikasi, kepimpinan yang juga salah satu faktor dalam peningkatan kerjaya kerana penerapan nilai insaniah juga penting dalam proses pembangunan karier seseorang individu. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional juga dilihat masih relevan untuk pengaplikasian dalam sesuatu pekerjaan dan kerjaya seseorang individu di mana sokongan dan perkembangan dalam latihan yang berteraskan vokasional dalam membantu mempertingkatkan perkembangan sistem TVET itu sendiri.

You might also like