You are on page 1of 22

IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN TERHADAP PENDIDIK DAN PELAJAR DI SEKOLAH. BINCANGKAN.

1.1

Pengenalan Kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) atau dulu dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Dengan adanya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan hadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Dengan tujuan yang sama iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab juga menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan paling penting dalam menjayakan hasrat dan cita-cita negara. Selaras dengan hasrat dan cita-cita ini, Falsafah Pendidikan Negara dinyatakan seperti berikut: Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara Inti pati utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual di mana dalam keempat-empat unsur tersebut perlulah tidak ada yang terlebih atau terkurang. Melalui Falsafah Pendidikan Negara, ia menjelaskan bahawa sistem

2 pendidikan negara memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu dengan menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang baik dengan bersandarkan kepercayaan, keyakinan dan kepatuhan kepada Tuhan. Insan yang baik secara automatiknya akan menjadi warganegara Malaysia yang baik.

1.1.1 Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, matlamat pendidikan negara bertujuan melahirkan insan yang sempurna serta menghayati ciri-ciri seperti berikut: 1. Percaya dan patuh kepada Tuhan. 2. Berilmu pengetahuan. 3. Berakhlak mulia. 4. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara. 5. Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. 6. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Matlamat yang dinyatakan akan diaplikasikan di dalam sistem pendidikan negara supaya dapat mencapai hasrat negara untuk : 1. Melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara. 2. Melahirkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif dan sempurna. 3. Melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut perlembagaan. 4. Melahirkan rakyat yang taat setia pada raja dan cinta kepada negara. 5. Melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara dan bersikap toleransi demi mewujudkan perpaduan rakyat berbilang kaum. 6. Mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang berkemampuan.

3 1.1.2 Faktor Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada tahun 1979 selepas penerbitan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran. Laporan tersebut mengandungi unsur-unsur penting berkaitan dengan pendidikan termasuk nilai, prinsip dan hala tuju pendidikan. Beberapa faktor diambil kira dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan mengambil kira aspek yang berkaitan dengan keperluan keperluan individu, masyarakat dan negara. Antara faktor faktor yang mempengaruhi pembentukan Falsafah Pendidikan kebangsaan ialah : 1. Agama 2. Sosial 3. Politik 4. Ekonomi 5. Individu 6. Sejagat Agama Agama Islam adalah agama rasmi bagi negara Malaysia. Selain itu, agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddha bebas dianuti oleh rakyat mengikut undangundang negara. Agama Islam khususnya merupakan faktor penting sebagai asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Unsur agama ini dapat diterjemahkan daripada pernyataan mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan Sosial Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dapat membentuk keharmonian dan kemakmuran negara. Sikap positif seperti bertoleransi dan bekerjasama adalah aset penting bagi membentuk perpaduan antara kaum. Perpaduan ini terkandung di dalam matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam falsafah pendidikan kebangsaan

4 iaitu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara Politik Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal berdasarkan kepada ideologi negara yang dipaparkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan Pendidikan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara. Pengaruh politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan negara. Perpaduan kaum merupakan asas kepada pembentukan falsafah pendidikan negara dan untuk melaksanakannya. Ekonomi Ekonomi mempengaruhi pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia terlatih dalam variasi kemahiran yang dapat membantu negara memperkembangkan ekonomi menerusi peningkatan daya pengeluarannya. Dengan itu, sekolah vokasional diwujudkan bagi menghasilkan masyarakat yang beridentiti tinggi seiring dengan pembangunan negara. Kenyataan ini dijelaskan secara luaran tetapi mendukung hasrat yang tinggi iaitu memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara Individu Faktor individu berkaitan dengan keperluan individual seperti perkembangan potensi, penyempurnaan kendiri dan keselamatan. Perkembangan potensi individu dapat dilihat melalui pendidikan yang meliputi aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi seseorang. Melalui pernyataan suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani untuk melahirkan insan yang seimbang seiring dengan matlamat penggubalan falsafah pendidikan kebangsaan.

5 Sejagat Dengan menitik beratkan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan warganegara sendiri memberi sumbangan terhadap arah yang dapat membawa persefahaman antarabangsa. Melalui seminar antarabangsa idea-idea pendidikan turut mempengaruhi falsafah pendidikan di negara ini, seperti program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup yang dirancang UNESCO pada tahun 1980 telah dimanifestasikan dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai pendidikan di Malaysia satu usaha yang berterusan yang jelas mencerminkan konsep pendidikan seumur hidup.

1.1.3 Elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Apabila dianalisis, Falsafah Pendidikan Kebangsaan boleh diteliti dengan lebih terperinci yang akan merujuk kepada beberapa elemen. Elemen atau unsur yang terkandung di dalamnya adalah seperti berikut : 1. Pendidikan suatu usaha berterusan 2. Perkembangan potensi individu. 3. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu. 4. Insan yang seimbang dan harmonis. 5. Unsur intelek. 6. Unsur rohani. 7. Unsur emosi. 8. Unsur jasmani. 9. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. 10. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan. 11. Rakyat Malaysia yang berketerampilan. 12. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia. 13. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. 14. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.

6 15. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. 16. Sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

1.1.4 Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan yang penting seperti : 1. Sebagai suluh yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha mengembangkan dan memajukan pendidikan. 2. Menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan matlamat pendidikan negara. 3. Sebagai rujukan untuk membantu para pendidik memahami sistem pendidikan negara. 4. Sebagai bimbingan untuk pendidik semasa melaksanakan tugas pendidikan. 5. Sebagai dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kurikulum, bahan pelajar dan strategi pengajaran dan pembelajaran. 6. Sebagai pengawal ke atas aktiviti penyelewengan daripada dasar pendidikan. 7. Menghilangkan keraguan, salah faham atau pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan tugas atau aktiviti pendidikan.

1.2

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara

Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana pelajar memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat untuk memupuk minat setiap pelajar terus mencari ilmu dan seterusnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Dalam merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan peranan sekolah adalah penting untuk memastikan keberkesanan atau impak yang positif Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke atas guru dan juga pelajar. Untuk memastikan

7 implikasi yang baik diterima oleh guru dan pelajar, aspek-aspek kepimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin pelajar perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh. a) Aspek Kepimpinan Kepimpinan merujuk kepada guru besar iaitu pemimpin sekolah yang merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di Malaysia. Guru besar perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan perhubungan dengan guru dan juga pelajar. Guru besar bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah juga membentuk misi dan visi sekolah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan tentang perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa dalam keadaan yang sedia. Pemimpin sekolah juga harus mampu membimbing guru di bawah pengawasannya dengan lebih berkesan. Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepimpinan yang bukan sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020, fungsi kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran sekolah menjadi lebih mencabar. Peranan kepimpinan di sekolah mestilah dalam bentuk instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan masing-masing untuk melaksanakan sesuatu program pendidikan. Kepimpinan pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai agen transformasi perubahan. Oleh itu, di manamana sekolah guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan. b) Aspek Budaya Sekolah Budaya sekolah yang juga dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Budaya sekolah yang terbuka menggalakkan pelajar bebas berinteraksi di antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru serta bebas untuk melibatkan diri dalam aktiviti persekolahan. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna.

8 Dengan keadaan budaya sekolah yang terbuka ini, ia akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk pelajar lebih berdedikasi, lebih inisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, berkreativiti dan tinggi motivasinya. Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran diwujudkan bertujuan menghasilkan pelajar yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi. c) Aspek Ko-kurikulum Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu persekolahan. Gerak kerja merupakan aktiviti aktiviti kumpulan yang dijalankan secara informal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di dalam bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang dijalankan di sekolah. Walaupun gerak kerja yang dijalankan adalah informal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah secara terancang. Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah dengan harapan akan menyemai sifat-sifat kepimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan pelajar. Aktiviti kokurikulum juga perlu dirancang dengan betul supaya semua pelajar mempunyai keseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Dengan pelaksanaan ko-kurikulum, minat dan bakat pelajar dapat dilihat. Pelajar juga dapat mendidik diri sendiri dan dididik melalui kegiatan kumpulan. Sekolah sebagai institusi yang bertanggungjawab dan berperanan dalam mendidik pelajar untuk mengembangkan minat dan bakat pelajar. Masyarakat juga bertanggungjawab untuk memainkan peranan dalam mendidik pelajar, ini disebabkan keadaan masyarakat luar sebenarnya amat kaya dengan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan dan dikongsi oleh pelajar. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum adalah seperti pasukan unit beruniform, persatuan atau kelab dan juga sukan. Pihak sekolah perlu memastikan semua pelajar dapat melibatkan diri dalam gerak kerja ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

9 d) Aspek Guru Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Guru memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga inovator iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan. Seseorang guru menjalankan tugas seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi pelajar. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat pelajar perlu ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran akan berlaku dengan lebih cepat sekiranya pelajar mempunyai minat terhadap pelajaran tersebut. Guru mengelolakan aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah. Ini bermaksud dalam setiap aktiviti pembelajaran terdapat langkah-langkah yang perlu dipatuhi. Langkah-langkah pembelajaran haruslah diatur dengan betul supaya pelajar dapat memperoleh faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Guru bertanggungjawab dalam mengatur setiap langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih dahulu merangkumi keperluan pelajar, objektif pembelajaran, bahan dan alatan mengajar juga harus dipertimbangkan dengan baik. Pelajar akan dibimbing oleh guru supaya dapat memahami topik yang diajar. Perkataan yang digunakan seharusnya mudah difahami dengan penerangan yang padat serta jelas. Guru juga perlu menolong pelajar mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga pembelajaran itu berkesan. Penilaian terhadap pelajar dapat dilakukan dengan menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian pelajar dapat mengesan sejauh manakah objektif pengajaran dan pembelajaran telah dicapai juga tahap kefahaman pelajar terhadap subjek yang diajar. Guru bertanggungjawab memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat negara yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

10 e) Aspek Disiplin Sekolah secara tidak langsung adalah sebagai agen sosialisasi utama yang bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Disiplin mempunyai kaitan dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan akhlak. Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin pelajar. Masalah disiplin pelajar akan menjejaskan tumpuan pelajar terhadap pelajaran. Masalah disiplin perlu dikawal dengan kerjasama guru, masyarakat sekitar sekolah dan juga ibu bapa. Ini adalah perlu bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru bimbingan dan kaunseling memainkan peranan penting dalam membentuk dan membina semula sahsiah dan disiplin pelajar yang bermasalah. Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin kerana persekitaran sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri pelajar ke arah kecemerlangan dan kegemilangan selaras dengan hasrat negara yang menekankan usaha pembentukan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

1.3

Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Sistem Pendidikan di

Malaysia

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan sebuah dokumentasi yang murni dan luhur, ia memerlukan penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para pendidik untuk merealisasikan tujuan dan cita yang tersisip dalam kandungannya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pengetahuan umum pada 1988, telah menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan negara. Oleh itu, semua perancangan dan aktiviti pendidikan hendaklah merupakan pancaran nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sememangnya kemunculan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan membawa implikasi-implikasi

11 kepada sistem pendidikan negara. Implikasi adalah penting untuk melihat sejauh manakah keberkesanan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

1.3.1 Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Pendidik

Pendidik yang sentiasa berpegang pada Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan dapat mengubah sikap pendidik dan profesionalnya untuk menjalankan tugas sejajar dengan tujuan dan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perubahan sikap peribadi pendidik sendiri dengan pandangan dan visi yang positif terhadap tugas yang diamanahkan kepadanya untuk merealisasikan tujuan dan cita-cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu membantu memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Melaluinya pendidik akan dapat mengenali bakat, potensi atau kebolehan yang ada pada diri seorang pelajar yang mungkin terpendam dan perlu dicungkil untuk memberi peluang kepada pelajar tersebut mengembangkan bakatnya, potensinya dan juga kebolehan mereka menerusi interaksi sosial dengan orang lain dan pragmatik. Apabila potensi seorang pelajar itu dapat dikenal pasti, ia akan terus dikembangkan secara menyeluruh dan bersepadu agar potensi tersebut tidak terbantut di pertengahan perjalanan pelajar di mana perkembangan bakat, potensi atau kebolehan pelajar tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya dihubungkaitkan atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Apabila lahirnya insan yang dapat memperkembangkan potensi hasil daripada didikan guru tersebut secara tidak langsung matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah terlaksana iaitu guru tersebut berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara kerana telah berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Perubahan profesional pendidik dengan mengubah strategi dan teknik pengajarannya yang sesuai untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan serta berakhlak mulia. Adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru sentiasa mempelbagaikan kaedah pembelajaran agar pelajar dapat memahami apa yang diajar oleh guru, guru perlu memupuk pembawaan diri yang baik terhadap pelajar juga membantu pelajar untuk sentiasa berpandangan jauh serta

12 yakin dengan kecekapan diri pelajar tersebut bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berketerampilan. Guru sebagai contoh yang baik akan sentiasa mempunyai perwatakan diri yang baik dan berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup yang akan diikuti oleh pelajar bagi melahirkan insan yang berakhlak mulia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggalakkan guru memahami sistem pendidikan selain daripada membimbing guru melaksanakan fungsi pendidikan. Pendidik haruslah dapat memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri supaya mereka berkeupayaan mendidik para pelajar menuju ke arah matlamat ini. Dengan kefahaman dan penghayatan yang mendalam ini, pendidik itu sendiri diharap dapat menilai sendiri sama ada pengajaran mereka bersesuaian dan memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Azrin (2004), punca utama yang menyebabkan guru tidak dapat melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah kerana mereka menghadapi masalah memahami prinsip-prinsip di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menerapkan prinsip-prinsip yang abstrak dan sukar difahami di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelaksanaan kurikulum dalam pendidikan di Malaysia adalah untuk mengembangkan potensi pelajar dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi secara seimbang dan menyeluruh yang boleh membina sifat-sifat membawa kepada perpaduan negara serta melahirkan tenaga rakyat yang mahir dan terlatih untuk keperluan negara. Guru perlu memantapkan lagi dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang mata pelajaran pengkhususannya serta mempunyai kemahiran mengajar termasuk menghubungkan pengetahuan, kemahiran dan nilai di antara satu sama lain, mengendalikan pengajaran bagi pelajar pelajar pelbagai kebolehan serta mempunyai ciri-ciri keguruan yang positif dan kreatif untuk melaksanakan dan menjayakan kurikulum yang terbentuk. Untuk memastikan pelaksanaan kurikulum itu berjaya, guru perlu mengetahui peranannya di peringkat sekolah meliputi tugas-tugas menganalisis objektif kurikulum dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pengajaran, merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut saranan kurikulum serta membuat penilaian untuk mengenal pasti kelemahan dengan tujuan untuk meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan kurikulum dengan membuat

13 pengubahsuaian dalam rancangan mengajar. Ini secara tidak langsung dapat membantu guru dalam menambah baik prestasi guru tersebut dan menanamkan sifatsifat positif dalam diri guru selain membantu guru untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif melalui kaedah pengajaran yang berbeza di mana secara tidak langsung elemen unsur intelek dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat diambil kira melalui berkemahiran untuk berfikir secara kreatif dan sentiasa berusaha untuk memperoleh dan mengembangkan ilmu yang betul dan sanggup berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran. Seiring dengan perkembangan teknologi, guru dapat mendedahkan sesuatu kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dan juga guru terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk membolehkan pelajar mengikuti perubahan sistem pendidikan yang berteraskan teknologi. Melaluinya, sistem penyampaian yang berkesan diperkenalkan. Penyediaan bahan rujukan, bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan. Pendidikan yang berterusan antara guru dan pelajar dapat dilaksanakan kerana teknologi akan bertambah maju dengan adanya pengajaran ini, bukan saja pelajar malah guru dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi sejajar dengan elemen pendidikan suatu usaha berterusan yang mana proses pendidikan yang berterusan dapat membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan. Dalam proses itu, suatu proses pemerolehan, pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni akan berlaku. Dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, secara tidak langsung guru akan bertindak sebagai pengurus. Antara tugas yang dilakukan oleh guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah iaitu mengurus pelajar supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah dan menyusun kerusi dan meja, menguruskan pelajar supaya mematuhi peraturan bilik darjah, mengurus keadaan bilik darjah supaya lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan mengurus bahan-bahan pengajaran supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik, dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Guru secara tidak langsung

14 mengembangkan bakat dan kemahiran manipulatif , kemahiran sosial dan kemahiran teknikal dalam mengawal keadaan pelajarnya ketika di dalam bilik darjah. Dalam menjalankan tugas sebagai seorang pendidik, secara tidak langsung guru perlu mewujudkan komunikasi yang baik antara ibu bapa. Seorang guru mestilah menghormati ibu bapa kepada pelajarnya serta berusaha untuk menjalinkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan rumah tangga tanpa mengira kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Pendidik yang bertanggungjawab perlu membina kepercayaan ibu bapa terhadap guru dengan tidak memberi maklumat keadaan keluarga atau pelajar kepada orang yang tidak berhak. Melalui peranan ini, guru sentiasa berusaha untuk menjadi rakyat Malaysia yang berakhlak mulia dengan mempunyai perwatakan yang baik dan berpegang kepada nilai-nilai murni juga moral sebagai prinsip hidup dengan memegang amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Selain itu, guru juga perlu menghormati masyarakat setempat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup untuk mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Guru perlu memberi galakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dan ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat supaya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat khasnya ibu bapa mengenai peranan mereka dalam menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Proses ini menjadikan guru berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat di kalangan ibu bapa dan para pendidik bermediumkan sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan sebagainya. Guru akan berusaha untuk memupuk budaya membaca dan budaya ilmu dalam dirinya dan mempunyai fikiran yang terbuka dan luas, ini merupakan elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diaplikasikan untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, dengan menanamkan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam diri seorang guru, secara tidak langsung guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas sama ada pengetahuan am atau pengetahuan dalam mata pelakaran yang diajar. Secara automatik guru akan rajin untuk membaca buku ilmiah serta peka terhadap peristiwa yang berlaku di sekeliling melalui surat khabar, radio, televisyen dan internet. Mengajar ialah sesuatu pekerjaan yang melibatkan intelek dan tindakan yang cekap. Guru perlu sentiasa belajar, berfikir, merancang dan menilai pelajarnya selain mempunyai pengetahuan yang luas, kemahiran dan kaedah penyampaian yang cekap serta mempunyai sahsiah

15 yang elok dan bersikap dedikasi dalam pekerjaan mengajar dengan mengamalkan elemen kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan dalam hidupnya. Memandangkan guru adalah sebagai teladan, apabila menghayati hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru akan sentiasa menyemai dan memupuk nilainilai murni dalam diri guru itu sendiri dan juga dalam diri pelajar. Guru perlu memainkan peranan sebagai ibu bapa kepada pelajarnya dalam membentuk sahsiah dan kelakuan mereka sesuai dengan nilai dan norma masyarakat dengan menerapkan unsur rohani dalam diri iaitu sentiasa berakhlak mulia dan berpegang kepada nilainilai murni. Tingkah laku guru adalah contoh kepada pelajar, seorang guru haruslah mempunyai sifat-sifat terpuji yang boleh menjadi teladan kepada pelajar untuk dicontohi seperti sentiasa berpakaian kemas, berkelakuan baik, bersopan santun, berbudi bahasa, sentiasa menepati masa, rajin dan mempunyai sikap positif terhadap tugas. Sebagai seorang pendidik, guru bertanggungjawab untuk sentiasa mencari ilmu serta mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan keperluan pendidikan dan masa depan. Ilmu pengetahuan merupakan alat yang utama dan mengandungi nilai yang berharga kepada manusia kerana ilmu dapat mengubah diri manusia daripada jahil kepada berpengetahuan, bebal kepada cerdik, mundur kepada maju dan derita kepada bahagia. Seorang guru yang berilmu pengetahuan bukan saja memperoleh pengetahuan, kebenaran dan keyakinan, tetapi sanggup untuk menggunakan ilmunya demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta memberi sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Salah satu matlamat pendidikan mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, guru yang mengamalkan ilmu akan sentiasa memberi sumbangan yang bermakna bagi memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai. Selain daripada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang, proses pendidikan Malaysia juga diharapkan dapat mencapai matlamat pendidikan untuk melahirkan rakyat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Dengan kata lain, melahirkan rakyat yang memiliki sikap kenegaraan. Sebagaimana yang telah diketahui, unsur-unsur kenegaraan telah tersisip dalam semua mata pelajaran sama ada di bawah rancangan KBSR atau KBSM. Guru akan

16 menonjolkan sikap kenegaraan, khasnya cinta dan taat setia kepada negara, semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dengan menjadikan Rukun negara sebagai amalan hidup di samping dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

1.3.2 Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Pelajar

Selain daripada implikasi yang mungkin wujud dalam diri pendidik, secara tidak langsung Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga memberi impak kepada diri seorang pelajar itu sendiri. Walaupun kesannya tidak dapat dilihat secara menyeluruh, ia wujud di kalangan diri pelajar itu sendiri. Pelajar menerima pendidikan asas bermula sejak kanak-kanak iaitu pada peringkat awal daripada rumah. Pendidikan itu diteruskan kepada pendidikan tidak formal di mana-mana institusi pra sekolah ketika berusia lima hingga enam tahun. Ketika berumur tujuh tahun, kanak-kanak akan mula untuk menerima pendidikan formal di sekolah rendah seterusnya ke peringkat sekolah menengah pada usia 13 tahun atau ke peringkat yang lebih tinggi lagi iaitu peringkat universiti. Sepanjang tempoh persekolahan pelajar akan dipupuk dengan nilai-nilai murni bagi mengembangkan sahsiah yang baik. Pelajar juga menimba pelbagai disiplin ilmu di samping dapat mengembangkan bakat atau potensi mereka dalam pelbagai aspek. Meskipun seorang pelajar itu telah meninggalkan alam persekolahan, pendidikan mereka masih belum tamat. Mereka perlu berusaha secara berterusan untuk menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan, mengembangkan daya berfikir, memperbaiki kelemahan serta mengelokkan akhlak diri. Pendidikan yang berterusan ini perlu bagi membolehkan diri pelajar itu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Perubahan ini akan mempengaruhi perkembangan diri ke arah pembentukan insan yang baik. Jika pelajar telah diterapkan dengan elemen pendidikan sebagai suatu usaha yang berterusan sejak bangku sekolah lagi, mereka tidak akan menghadapi masalah dalam menghadapi dunia globalisasi yang penuh dengan cabaran ini. Melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan, perkembangan potensi diri pelajar dapat dilaksanakan ini kerana setiap individu memiliki keupayaan, bakat atau potensi yang tersendiri. Guru memainkan peranan utama dalam memperkembangkan potensi

17 diri pelajar itu. Setiap potensi boleh berkembang ke tahap yang cemerlang jika diberi peluang yang secukupnya. Pelajar seharusnya tidak malu untuk mengembangkan potensi dirinya malah seharusnya berbangga dapat menjadi rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap masyarakat dan negara dengan bakat yang dimilikinya. Dengan perancangan yang teratur, usaha untuk memperkembangkan potensi individu dapat dilaksanakan dengan jayanya dan boleh membawa keuntungan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada negara amnya. Apabila berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam membantu perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu, peningkatan dan perkembangan akan menjadi seimbang di mana usaha untuk menghubungkaitkan antara jasmani, rohani, intelek dan emosi haruslah sama ini adalah perlu untuk memastikan pelajar memiliki sahsiah yang padu selain bagi memastikan perkembangan setiap potensi itu tidak bertentangan antara satu sama lain. Bagi menjayakan pembentukan sahsiah yang bersepadu, potensi yang dihubungkaitkan perlu dikembangkan di atas satu paksi iaitu prinsip ketuhanan. Pelajar perlu dibimbing dalam membentuk potensi secara bersepadu supaya nilai-nilai murni yang diterapkan dalam diri pelajar tidak bercanggah dengan prinsip ketuhanan. Aktivitiaktiviti yang dijalankan dalam proses itu seharusnya berlandaskan nilai-nilai murni dan norma-norma masyarakat. Penerapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam diri pelajar dapat menjadikan atau membentuk pelajar insan yang seimbang dan harmonis, seimbang dalam konteks falsafah pendidikan adalah bermaksud tempat yang wajar dan adil kepada semua keperluan manusia termasuk pertumbuhan akal, perkembangan rohani, emosi, dan jasmani secara sihat dan bersepadu. Harmonis pula keserasian dan kesesuaian antara unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani dalam diri manusia. Keadaan ini akan memastikan hubungan yang baik dan mesra antara sesama manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan. Pelajar yang seimbang dan harmonis akan memiliki dan menghayati ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru dan mengaplikasikannya untuk tujuan baik, sentiasa berakhlak mulia dan mengamalkan cara hidup yang murni, mempunyai kepercayaan dan keyakinan teguh kepada Tuhan, mempunyai fikiran dan jiwa yang tenteram, tubuh badan yang sihat dan cergas di mana mudah untuk menerima pelajaran dari guru serta dapat bekerjasama dengan rakan sekelas dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau aktiviti. Pelajar juga memiliki kesedaran, keinsafan tentang tugas dan tanggungjawab serta

18 sentiasa berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin walau hanya tugasan untuk membersihkan kelas. Seorang pelajar itu dapat memiliki ketahanan dalam menghadapi cabaran hidup dan sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah tidak mengambil jalan mudah untuk melupakan masalah dengan terjerumus ke perbuatan yang tidak elok seperti mengambil dadah, terlibat dalam jenayah dan sebagainya. Keinsafan diri yang dapat dipupuk dalam diri pelajar akan menyedarkan pelajar bahawa dunia ini ada Pencipta yang mencipta segala yang ada di langit dan di bumi dan apa yang ada hanya pinjaman semata-mata. Dengan itu, pelajar dapat menyedari tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang pelajar untuk menjadi seorang yang berguna suatu hari nanti dan menghargai jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban demi kepentingan dan masa depan pelajar itu. Pelajar akan dapat menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta dan tidak mengeluh dengan apa kekurangan yang dihadapinya kerana tahu ada lagi yang kurang bernasib baik berbanding dirinya. Unsur-unsur rohani ini secara tidak langsung dapat membentuk akhlak mulia di kalangan pelajar dan mengelakkan daripada berlakunya gejala sosial yang berleluasa pada masa kini kerana ia dapat memupuk dan membina disiplin diri dengan sentiasa melakukan yang terbaik untuk diri pelajar, keluarga, sekolah, masyarakat dan negara. Pelajar yang telah dididik dengan penerapan falsafah pendidikan akan sentiasa berusaha untuk mendapat, mengamalkan, mempertingkatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada rakan sekelas tanpa rasa lokek malah sentiasa mahu untuk bersama berkongsi ilmu pengetahuan. Mereka sentiasa dapat berfikir secara kreatif dan inovasi bagi memperkembangkan daya pemikirannya supaya dengan cara itu, mereka mampu menghurai, mencerakin, menaakul, merumus dan menghasilkan idea yang bernas supaya suatu hari nanti dapat memberi sumbangan kepada negara. Dengan perkongsian ilmu antara sesama, ilmu yang diperoleh berupaya dimanfaatkan secara bersama bagi dirinya dan orang lain, bukan sahaja pelajar tersebut mendapat faedah tetapi begitu juga dengan rakan yang lain hasil daripada pembelajaran yang berkesan. Dalam dunia yang semakin maju ini, disedari bahawa perasaan kasih sayang antara sesama manusia, manusia dengan alam juga manusia dengan haiwan adalah semakin berkurangan. Penerapan unsur emosi sejak dari awal persekolahan dapat membantu pelajar memupuk dan memiliki perasaan kasih sayang dan membuang

19 perasaan mementingkan diri sendiri. Dengan itu, semangat perpaduan dan kekitaan dapat disemai dalam jiwa pelajar ini juga dapat mengajar pelajar menghargai dan menilai keindahan alam ciptaan Tuhan. Masalah disiplin juga boleh dikurangkan dengan penerapan nilai emosi ini kerana pelajar akan memiliki perasaan tenang dan dapat mengawal tingkah laku dari melakukan perkara yang tidak baik. Pelajar seharusnya digalakkan untuk menjaga kesihatan badan sejak alam remaja lagi supaya tidak menghidapi penyakit berbahaya apabila telah meningkat usia. Mereka boleh diajar untuk melakukan aktiviti riadah dan rekreasi dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah. Selain daripada itu, melalui aktiviti ko-kurikulum, pelajar juga dapat mengembangkan bakat dan kemahiran bersifat teknikal, manipulatif dan sosial kerana pelajar boleh terlibat dalam aktiviti persatuan uniform, persatuan atau kelab atau sukan di mana pelajar boleh bergaul dengan rakan-rakan lain yang berlainan bangsa dan umur. Melalui aktiviti kokurikulum juga, pelajar dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan masyarakat di samping dapat menggunakan tenaga fizikal bagi kepentingan masyarakat. Apabila badan sihat, otak cergas daya produktiviti pelajar akan meningkat dan pelajar dapat menerima apa yang diajar oleh guru di dalam kelas dengan mudah. Melalui pembelajaran pendidikan Agama Islam, sifat kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan dapat ditanamkan dalam diri pelajar itu, pelajar akan mengetahui bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pencipta dan kita tidak boleh sewenangnya melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh Pencipta. Pelajar juga harus sedar manusia dijadikan untuk memakmurkan alam oleh itu, pelajar hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu untuk memastikan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik. Seorang pelajar juga perlu berusaha untuk meningkatkan dan mengukuhkan kepercayaan beragama dan sentiasa berusaha untuk mengamalkan sengaja ajaran agama dengan sentiasa melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan. Untuk melaksanakan hasrat falsafah pendidikan, para pelajar perlu diterapkan supaya mencintai ilmu pengetahuan, gemar dan mengamalkan budaya membaca, berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan sebagai usaha untuk menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan. Apabila pelajar menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab adalah suatu amanah secara automatik pelajar harus tahu tugasan itu hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, cekap dan bersih. Mereka akan

20 sentiasa berusaha untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama supaya tidak ketinggalan dengan orang lain dan sentiasa mewujudkan perhubungan yang baik di antara diri dengan orang lain untuk memastikan kemakmuran dan keharmonian negara dapat diteruskan.

1.4

Penutup

Pendidikan adalah pemangkin kepada pembinaan negara bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan khususnya pada peringkat awal pelajar dan diteruskan pada peringkat yang tinggi. Usaha perlu diteruskan untuk memperkukuh perkongsian nilai dan patriotisme melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum etnik di sekolah. Di sinilah peranan dan tanggungjawab guru memainkan peranan. Walau bagaimana pun, semua usaha ke arah membina bangsa perlu perancangan yang teliti dan berterusan. Semangat bersatu padu, cinta dan kesetiaan kepada negara, patriotisme, berorientasi global, keharmonian dan toleransi, berbudi bahasa dab beradab serta memahami, menyanjung budaya dan seni bangsa perlu difahami dan diamalkan sepenuhnya. Pendidikan merupakan pemangkin kepada pembinaan negara bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan khususnya pada peringkat awal perkembangan pelajar. Untuk merealisasikan aspirasi negara iaitu untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, guru itu sendiri perlu menghayati dan mengamalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebelum diterapkan ke dalam diri pelajar dan seterusnya membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Para guru perlu bersedia dari sudut pelbagai aspek untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi pada masa kini dan masa akan datang. Dengan tahap persediaan yang tinggi, keberkesanan setiap guru tidak akan terjejas walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi landasan kepada sistem pendidikan kebangsaan. Ia juga adalah gambaran cita-cita serta hala tuju kepada semua usaha dan perjuangan rakyat negara ini melalui proses pendidikan. Semua program dan

21 aktiviti pendidikan adalah terbitan daripada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat direalisasikan dan tidak bermakna jika ianya tidak dapat difahami dan dihayati serta dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan. Tanggungjawab dalam merealisasikan hasrat ini terletak di bahu guru dalam menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kepada pelajar-pelajar. Warga guru sebagai pelaksana segala agenda dalam bidang pendidikan adalah insan yang bertanggungjawab dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu sistem pendidikan itu sendiri. Sehubungan itu, guru seharusnya memperkembangkan profesionalisme mereka dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui penglibatan di dalam segala latihan yang berkaitan dengan mendapat sokongan padu dan galakan daripada pihak pengurusan pendidikan. Dalam usaha menterjemahkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, sistem pendidikan yang kita bangunkan akan memberi fokus untuk melahirkan generasi yang seimbang perkembangannya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketerampilan, patriotik, tidak bersikap individualistik sebaliknya mempunyai semangat kerja berpasukan serta mampu memainkan peranan dalam memajukan keluarga, masyarakat dan negara. Jelasnya, pembangunan pendidikan di negara kita memberi fokus terhadap pembangunan modal insan iaitu satu komponen yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Inilah yang menjadi fokus utama, membangunkan pelajar agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

22 RUJUKAN

Abd Rashid, Abd Rahim (2003). Falsafah Budaya Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya Mohd Ludin, Manja (1990). Psikologi Sosiologi Dan Falsafah Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Ashaari, Omardin (2001). Peranan, Tugas dan Tanggungjawab Guru Di Sekolah. Kuala Lumpur : Utusan Publications and Distributors. Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan (1998).Falsafah Pendidikan Negara. Dicapai pada Febuari 19, 2011 dari, web.jiaozong.org.my/doc/2009/.../falsafah_pendidikan_negara.pdf Penerbit USM (2007). 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007). Dicapai pada Febuari 19, 2011 dari http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php Suhaili, Mutakim (2010). Hala Tuju Pendidikan Negara. Dicapai pada Febuari 19, 2011 dari, http://ibnusuhaili88.blogspot.com/2010/01/hala-tuju-pandidikannegara.html Nazari, Teh Faridah. Masalah Kepincangan Sistem Pendidikan Di Malaysia. Sekularisme Sebagai Punca Permasalahan. Dicapai pada Febuari 19, 2011 dari, http://munawwarah.blogdrive.com/archive/232.html Radin, Mistirine . Warkah Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan. Dicapai pada Febuari 19, 2011 dari, http://www.jpwpl.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id= 87&Itemid=93

Bidin, Halim (2010). Peranan Guru Dalam Pembinaan Negara Bangsa. Dicapai pada Febuari 24, 2011 dari, http://www.ppdpitas.edu.my/component/content/article/54-artikel/116peranan-guru-dalam-pembinaan-negara-bangsa Jabatan Penerangan Malaysia (2006). Buku Rasmi Tahunan Malaysia. Dicapai pada Febuari 24, 2011 dari, http://jpmportal.prison.gov.my/akademi/images/ArkibAKM/pembangunan%2 0modal%20insan%20penjana%20wawasan%202020.pdf

You might also like