You are on page 1of 11

3.

SEJARAH PERKEMBANGAN SEKOLAH VERNAKULAR CINA DI TANAH MELAYU

3.1

Kedatangan Orang Cina ke Tanah Melayu Pada pertengahan kurun ke-15, orang Cina telah datang ke Tanah Melayu dan pada awalnya mereka bertapak di Melaka. Pada masa itu, tiada sekolah Cina didirikan di Tanah Melayu. Hal ini kerana kemasukan orang Cina ke Tanah Melayu adalah secara kecil-kecilan dan mempunyai satu tujuan iaitu untuk mencari nafkah semata-mata. (Mok Soon Sang, 2010). Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai peniaga dan saudagar yang banyak tertumpu di Negeri-negeri Selat. Oleh yang demikian, mengikut rekod sejarah, beberapa sekolah Cina terawal terdapat di Negeri-negeri Selat. (Suffean Hussin, 1993).

3.2

Penubuhan Sekolah Cina Terawal di Tanah Melayu Sekolah Cina pertama telah didirikan pada tahun 1815 oleh Persatuan Mubaligh London di Melaka. Kemudian pada tahun 1819, orang Cina tempatan di Pulau Pinang telah menubuhkan satu sekolah Cina yang dinamakan sebagai Institut Wu Fu. Sekolah Cina terawal juga ditubuhkan di Singapura pada tahun 1854 iaitu Institut Cui Ying. (Mok Soon Sang, 2010). Sambutan masyarakat Cina terhadap pendidikan di sekolah-sekolah Cina tersebut pada masa itu tidaklah memberangsangkan sehinggalah tahun 1900.

3.3

Perkembangan Sekolah Vernakular Cina di Tanah Melayu Pada tahun 1900, pendidikan Cina di Tanah Melayu mula berkembang apabila orang Cina dan pemimpin tempatan mendapat galakan untuk mendirikan sekolah-sekolah bagi pendidikan masyarakat Cina. Orang yang bertanggungjawab memberikan galakan tersebut adalah Kang You Wei, menteri dan pendidik terkenal dan Dr Sun Yat Sen, pemimpin revolusi di Negara China. Kedua-dua tokoh terkenal ini datang ke Tanah Melayu kerana melarikan diri dari Negara China selepas reformasi mereka untuk menjatuhkan kerajaan Manchuria pada masa tersebut gagal. Mereka juga bertanggungjawab memperkenalkan prinsip pendidikan baru yang menggabungkan pengajaran Confucius dan Sains Barat untuk diguna pakai dalam kurikulum sekolahsekolah Cina pada masa tersebut. Sistem pendidikan baru tersebut telah

mendapat sambutan yang baik daripada pemimpin-pemimpin Cina tempatan. Ekoran daripada sambutan tersebut, beberapa sekolah vernakular Cina yang berdasarkan sistem moden itu mula ditubuhkan di beberapa negeri di Tanah Melayu. Sekolah vernakular Cina yang pertama mula didirikan di Kuala Lumpur pada awal kurun ke-20. Kemudian pada tahun 1904, Sekolah Cina Yin Sin telah ditubuhkan di Singapura oleh Chang Soo Leng, seorang bekas murid Raffles Institution. Pada tahun yang sama juga telah ditubuhkan pula Sekolah Chung Hwa Confucius di Pulau Pinang oleh Chang Pi Shih yang merupakan Timbalan Konsul Negeri China. Pada tahun 1906, Sekolah Confucius ditubuhkan di Kuala Lumpur diikuti dengan Sekolah Yuk Choy di Ipoh pada tahun berikutnya. Sekolah perempuan juga didirikan pada tahun 1908 di Kuala Lumpur iaitu Sekolah Kuen Cheng. Kemudian di Singapura juga ditubuhkan Sekolah Perempuan Cina oleh Phua Choon Heang seorang

saudagar pada tahun 1911. Pada peringkat ini, sekolah-sekolah vernakular Cina di Tanah Melayu terus berkembang dengan pesatnya dan bertambah tanpa campur tangan kerajaan British di samping terus mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan negara China. Menjelang tahun 1920, jumlah sekolah vernakular Cina telah meningkat kepada 313 buah di Negeri-negeri Selat dan 181 buah di Negeri-negeri Bersekutu. (Mok Soon Sang, 2010).

3.4

Perkembangan Sekolah Vernakular Cina Selepas Campur Tangan British Memandangkan sistem pendidikan sekolah vernakular Cina

berlandaskan kepada ideologi negara China, maka sekolah Cina secara tidak langsung telah menjadi tempat aktiviti-aktiviti subversif dan penyebaran sentimen anti-British. Keadaan ini telah menyebabkan pihak British merasa kedudukan mereka tergugat. Maka, kerajaan British telah menukar polisi liberal mereka sebelum ini kepada penguatkuasaan satu enakmen baru, iaitu Enakmen Pendaftaran Sekolah Tanah Melayu 1920 agar mereka dapat mencampuri urusan pentadbiran sekolah Cina. Melalui penguatkuasaan enakmen ini, beberapa sekatan dan kawalan telah dikenakan terhadap sistem pendidikan sekolah Cina. Antaranya ialah penetapan kurikulum, pentadbiran dan keadaan kesihatan sekolah Cina oleh pihak kerajaan British dan bantuan kewangan sekolah Cina yang berdaftar di bawah enakmen tersebut juga ditanggung oleh British. Masyarakat Cina membantah enakmen tersebut kerana mereka berpendapat bahawa hak asasi orang Cina dalam pengurusan sekolah sendiri telah dicabuli. Walaubagaimanapun, pihak British berkeras meneruskan enakmen tersebut. Kesannya, setelah dua tahun enakmen tersebut

dikuatkuasakan, tidak semua daripada jumlah 313 buah sekolah Cina di Negeri-negeri Selat dan 181 buah di Negeri-negeri Bersekutu berdaftar di bawah enakmen tersebut. Di Negeri-negeri Selat, hanya 215 buah sekolah sahaja yang berdaftar manakala di Negeri-negeri Bersekutu hanya 177 buah. Pada tahun 1925, satu pindaan lagi telah ditambah dalam Enakmen Pendaftaran Sekolah. Pindaan tersebut memberi kuasa kepada Pengarah Pelajaran untuk menolak pendaftaran guru yang terlibat dengan aktiviti subversif dan mengharamkan buku teks yang mengandungi unsur-unsur antiKerajaan British. Akibat daripada pindaan itu, 315 buah sekolah telah dibatalkan pendaftarannya. Walaubagaimanapun, sekolah Cina yang sedia ada di Tanah Melayu pada masa tersebut terus berkembang tanpa menghiraukan sekatan daripada penguatkuasaan enakmen tersebut. Misalnya, pada tahun 1923, sekolah Chung Ling di Pulau Pinang mula menubuhkan sekolah menengah rendah, diikuti dengan penubuhan sekolah menengah di Sekolah Confucius di Kuala Lumpur dan Sekolah Yuk Choy di Ipoh. Di Muar, Sekolah Chung Hua menubuhkan sekolah menengahnya pada tahun 1924 manakala di Kuala Lumpur Sekolah Perempuan Kuen Cheng juga mengikut jejak langkah sama pada tahun 1925. Pada tahun-tahun berikutnya, sekolah-sekolah tersebut telah membuka kelas menengah atas sehingga menjadikan jumlah murid di sekolah Cina di Tanah Melayu meningkat dengan banyaknya. (Mok Soon Sang, 2010)

4.0

Ciri-ciri Sekolah Vernakular Cina

5.0

Pelaksanaan Kurikulum Sekolah Vernakular Cina Pelaksanaan sistem pendidikan atau kurikulum sekolah vernakular Cina adalah tidak statik pada peringkat perkembangannya. Beberapa faktor telah menyumbang kepada perubahan sistem tersebut. Hal ini kerana perkembangan sekolah Cina telah melalui dua keadaan yang berlainan, iaitu semasa polisi liberal British dan selepas British campur tangan dalam sistem pendidikan Cina.

5.1

Kurikulum Sekolah Vernakular Cina Semasa Polisi Liberal British Penubuhan sekolah-sekolah Cina terawal sebelum abad kedua puluh tidak dicampuri dan dihalangi oleh pihak Inggeris. Maka, kurikulum dan sistem pendidikan Cina pada masa tersebut secara keseluruhannya ditentukan dan ditadbir oleh orang Cina sendiri. (Shahril, 1999). Meskipun begitu, beberapa perubahan penting dalam kurikulum sekolah Cina telah berlaku kesan daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di Negara China sendiri. Semasa penubuhan awal kelas pendidikan Cina dari tahun 1815 hingga 1854, pendidikannya adalah berorientasikan pemikiran atau ideologi Tanah Besar China semata-mata. Maka, kurikulum pendidikan Cina pada masa tersebut adalah berdasarkan pelajaran klasik lama. Sistem pelajaran klasik hanya menekankan pengajaran Confucius melalui hafalan klasik-klasik lama di samping pembelajaran kaligrafi dan ilmu kira-kira yang menggunakan abakus. (Shahril, 1999). Perubahan kurikulum berlaku setelah kurikulum baru yang menggabungkan pengajaran Confucius dan Sains Barat telah diperkenalkan oleh dua orang tokoh negara China berpengaruh yang telah dibincangkan

dalam bab 2.3 sebelum ini. Kurikulum baru tersebut tetap mengekalkan pelajaran klasik lama dan menambah beberapa bidang pelajaran baru seperti Sejarah, Ilmu Alam, Sains, Moral, Bahasa, Ilmu Hisab, Lukisan, Menyanyi dan Latihan Jasmani. (Mok Soon Sang, 2010). Pendidikan sistem lama yang biasanya hanya dijalankan di rumah atau kuil biasa sudah tidak sesuai dengan pelaksanaan sistem kurikulum baru yang lebih padat. Justeru, pelaksanaan kurikulum baru dijalankan pula di sekolah-sekolah vernakular Cina yang berkembang pesat pada masa tersebut hasil daripada usaha dan bantuan pemimpin dan persatuan Cina tempatan. Dialek tempatan Cina seperti Kongfu, Teochew dan Hokkien digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular Cina. Perubahan kurikulum sekolah Cina terus berlaku kesan daripada pengaruh reformasi kebudayaan yang dikenali sebagai Pergerakan 4 Mei yang berlaku di negara China. Antara perubahan-perubahan tersebut ialah bahasa Mandarin dijadikan bahasa pengantar di sekolah Cina bagi menggantikan penggunaan dialek-dialek tempatan. (Mok Soon Sang, 2010). Selain itu, di bawah perubahan kurikulum tersebut juga, satu sistem pendidikan yang lebih sistemik dibentuk di sekolah Cina di mana persekolahan dibahagikan kepada tiga tahap iaitu, sekolah rendah (selama 6 tahun), Junior Middle (selama 3 tahun) dan Senior Middle (selama 3 tahun). (Sufean, 1993). Di samping itu, kurikulum daripada buku teks ditulis semula agar selari dengan ideologi negara China dan aspirasi perpaduan rakyat China. (Mok Soon Sang, 2010).

5.2

Kurikulum Sekolah Vernakular Cina Selepas Campur Tangan British

Campur tangan pihak kerajaan British bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan sekolah vernakular Cina, malah turut mengubah sistem kurikulum pendidikan Cina. Sistem pendidikan Cina sebelum ini dirasakan oleh British sebagai satu bentuk ancaman kepada mereka sehingga mereka rasa kedudukan mereka sebagai sebuah kerajaan tergugat. (Shahril, 1999). Pihak kerajaan British telah mengubah sistem pendidikan Cina melalui Enakmen Pendaftaran Sekolah 1920 sebagaimana telah dibincangkan sebelum ini. Secara ringkasnya, enakmen tersebut dikuatkuasakan bertujuan untuk mengawal aktiviti-aktiviti subversif di sekolah Cina. Maka, kurikulum sekolah Cina mengalami perubahan kesan daripada beberapa sekatan dan kawalan melalui enakmen tersebut. Misalnya, pengelolaan kewangan sekolah Cina berpindah kepada kerajaan British, bahasa Mandarin tidak lagi digunakan sebagai bahasa pengantar, sebaliknya kembali menggunakan dialek tempatan dan buku teks yang mengandungi unsur-unsur anti kerajaan British diharamkan. Pelaksanaan kurikulum baru ini berterusan sehinggalah menjelang Perang Dunia Kedua. Pada masa ini, sekolah vernakular Cina telah berkembang dengan pesat di mana sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu telah sampai ke peringkat sekolah menengah hingga tingkatan enam. Pihak kerajaan British terpaksa akur dengan perkembangan sistem pendidikan Cina dan akhirnya mengiktiraf bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar rasmi di sekolah Cina. (Mok Soon Sang, 2010).

6.0

Penutup

7.0

Taburan

NEGERI

JUMLAH SEKOLAH

Negeri-negeri Selat

313

Negeri-negeri Bersekutu

181

Jadual 1: Jumlah sekolah vernakular cina di Negeri-negeri Selat dan Bersekutu menjelang tahun 1920 sebelum Enakmen Pendaftaran Sekolah dikuatkuasakan

NEGERI

JUMLAH SEKOLAH

Negeri-negeri Selat

215

Negeri-negeri Bersekutu

177

Jadual 2: Jumlah sekolah vernakular cina berdaftar di Negeri-negeri Selat dan Bersekutu selepas dua tahun Enakmen Pendaftaran Sekolah dikuatkuasakan

JENIS SEKOLAH

JUMLAH MURID

Sekolah Vernakular Cina

91534

Sekolah Inggeris

26974

Jadual 3: Perbandingan jumlah murid di Sekolah Vernakular Cina dan Sekolah Inggeris di Tanah Melayu pada tahun 1938

8.0

Lampiran

9.0

Bibliografi

Adnan Nawang, (2009). Pemikiran Pendidikan Melayu Zaba. Artikel Jurnal 2009. Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UPSI. Ahamad bin Rahim, et. al. Kurikulum Sejarah ke Arah Pembentukan Perpaduan Kaum di Malaysia, Jurnal. Choong Lean Keow. (2011). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Mior Khairul Azrin bin Mior Jamaluddin. (2011). Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional. Jurnal Sosio Humanika, 4(1) 2011. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. (2010). Cabaran Integrasi antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan. Jurnal Hadhari, bil. 3(2010) : 61-84, Institut Islam Hadhari, UKM. Mok Soon Sang. (2010). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Puchong, Selangor. Penerbit Multimedia Sdn. Bhd. Ruslan Zainuddin. (2006). Sejarah Malaysia, Nota Lengkap STPM. Shah Alam, Selangor. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Shahril @ Charil Marzuki. (1999). Isu Pendidikan di Malaysia, Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Sufean Hussin. (1993). Pendidikan di Malaysia, Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tan Yao Sua, (2010). Gerakan Bahasa Cina di Malaysia, 1952-1967: Hubungan Bahasa dan Etnik dalam Masyarakat Majmuk. Jurnal Terjemahan Alam dan Tamadun Melayu 2:1 (2010) 144-164. Tan Yao Sua, (2009). Perkembangan Pendidikan di Malaysia: Peranan Lim Lian Geok dan Aminuddin Baki. Jurnal Terjemahan Alam dan Tamadun Melayu 1 (2009) : 139-166.

You might also like