You are on page 1of 15

PENDAHULUAN Fenomena anak tidak sah taraf di Malaysia seakan akan sudah menjadi masalah sosial yang lumrah

h dan tidak asing lagi kepada masyarakat kita. Ini kerana perkara ini sudah terlalu kerap berlaku. Kisah tentang pembuangan bayi terpampang di dada akhbar, sementara kes kes ibu hamil tanpa nikah yang sah berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pekara ini disokong dengan statistic pendaftaran kelahiran anak luar nikah dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 1999 hingga 2003 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 70,430 orang. Negeri Selanggor mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 12,836 orang, diikuti Perak (9,677), Kuala Lumpur (9,439),Johor (8,920),Sabah (8,435), Negeri Sembilan (4,108), Pahang (3,677), Kedah (3,496), Pualau Pinang (3,412),Melaka (2,707), Kelantan (1,730), Perlis (691), Sarawak (617) dan Terengganu(574) orang. Statistik pendaftaran anak luar nikah mengikut bangsa pula didahului oleh Melayu/ Bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 20,949 orang, India sebanyak 19,581 orang, Cina sebanyak 18,111 orang dan kaum kaum lain sebanyak 11,789 orang. Manakala statistikpendaftaran mengikut pecahan agama pula, orang Islam mencatat bilangan tertinggi yang mendaftarkan anak luar nikah seramai 30,978 orang, penganut Hindu seramai 18,085 orang, penganut Buddha seramai 17,236 orang, penganut Kristian seramai 3,395 orang dan seramai 736 orang didaftarkan mengikut agama lain lain. Statistik atau fakta yang dipaparkan ini sebenarnya lebih tinggi dari yang sedia ada sekiranya mengambil kira kes kes yang melibatkan penguguran haram dan pembuangan bayi yang dipaparkan di media dan tidak direkodkan. Persoalan yang sering ditimbulkan adalah bagaimana hendak mengatasi perbuatan seperti ini? Terdapat pandangan supaya dilaksanakan hukuman hudud. Sebaliknya, ada pula pihak yang memyarankan supaya diwujudkan tempat atau sebuah pusat penyerahan bagi bayi yang tidak dikehendaki. Jika dipilih cara yang pertama, maka banyak liku yang perlu diharungi, contohnya adakah mudah untuk memperolehi empat orang saksi seperti mana yang disyaratkan. Sedangkan bayi yang tidak berdosa terus dilahirkan di luar nikah, adakalanya ia dibuang malahan ada pula yang dibunuh. Sekiranya kita memilih cara yang kedua, jika tersilap langkah atau pertimbangan ia boleh dan akan menjadi galakan kepada perbuatan zina kerana para penzina tidak perlu risau jika berlaku kehamilan luar nikah kerana sudah ada ruang dan tempat bagi menempatkan bayi yang tidak dikehendaki. Penyelesaian sesuatu masalah sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan yang singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama serta pembangunan insane dan pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.

DEFINISI ANAK TIDAK SAH TARAF Anak tidak sah taraf dalam bahasa Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Berdasarkan perbincangan para fuqaha mengenai nasab seseorang anak pula, secara umumnya dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuj kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah. Merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor bahawa istilah anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah dan sama. Peruntukan undang-undang menyatakan bahawa: tidak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah Manakala Fatwa Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf menurut hokum syarak di negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 April 2005, sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara adalah seperti berikut: 1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil zina, rogol atau melaui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara. 2. Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu imkadad-dukhul dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah. 3. Anak yang dilahirkan daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu im addukhul selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka tang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat hukum syara.

ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM Anak tidak sah taraf dalam istilah Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqahabersepakat bahawa anak zina ialah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereke adalah suami isteri yang sah). Oleh itu, kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah ibu bapanya. Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya : (Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan. (Riwayat Al-Bukhari) Berdasarkan peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 2 mentafsirkan anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut: tak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah; Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa anak tidak sah taraf ialah: 1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan. 2. Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwin Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh). 3. Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwi Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara.

KEDUDUKAN DAN HAK ANAK TIDAK SAH TARAF MENURUT HUKUM SYARA Pada umumnya, para Fuqaha semua mazhab bersependapat bahawa seseorang anak yang pembenihannya dan kehamilannya itu berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya adalah anak hasil daripada perzinaan dan anak tersebut adalah anak tidak taraf. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang perlu dilihat secara lebih terperinci. Menurut pendapat Mazhab Hanafi, jika seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, kemudian wanita tersebut melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan mereka, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki berkenaan kerana pembenihan telah berlaku sebelum nikah, maka ia bukan daripada suaminya. Sekiranya suami tersebut hendak menafikannya, ia hendaklah berlian kerana nasab boleh disabitkan melalui perkahwinan yang wujud. Lian hendaklah berdasarkan qazaf tanpa perlu wujudnya anak. Walaubagaimanapun, berdasarkan alFatawa al-Zahiriyyah, jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan yang kemudiannya berlaku pembenihan, apabila ternyata hamil dan lelaki tersebut mengahwininya, maka pernikahan tersebut harus. Jika anak dalam kandungan tersebut lahir dalam tempoh selepas enam bulan atau lebih, maka anak tersebut dinasabkan kepada lelaki tersebut. Sebaliknya, jika dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka tidak dinasabkan anak tersebut kepadanya kecuali jika ia mengaku bahawa anak itu adalah anaknya dan bukan dari hasil penzinaan. Menurut pendapat Mazhab Syafie : Jika dikahwini seorang wanita yang hamil dari penzinaan, kemudian ia melahirkan anak yang sempurna tempohnya, maka terdapat empat keadaan mengenainya. Pertama: sama ada suami menafikan anak tersebut zahir dan tanpa melakukan lian iaitu anak yang dilahirkank kurang daripada tempoh enam bulan daripada berlaku perhubungan suami isteri selepas akad nikah atau lebih daripada empat tahun dari tarikh terakhir berlaku perhubungan suami isteri.

Kedua: sama ada dihubungkan anak dengan suami tersebut dan disabit bagi anak tersebut hukum perwarisan dan selainnya secara zahir, yang sepatutnya menafikannya kerana anak tersebut lahir lebih daripada masa enam bulan dan kurang daripada empat tahun, Suami tersebut mengetahui atau bersangka bahawa anak itu bukan daripada benihnya kerana ia tidak menyetubuhi isterinya selepas akad dan tidak memasukkan spermanya atau anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan dari tempoh perhubungan suami isteri, atau lebih daripada empat tahun daripada perhubungan tersebut, atau lebih daripada enam bulan daripada istibra dengan sekali pusingan haid dan ternyata isteri tersebut berzina. Maka dalam keadaan sedemikian,suami tersebut berdosa jika tidak menafikan anak tersebut, malah ia suatu dosa besar. Ketiga: sama ada menghubungkan anak tersebut kepada suami secara zahir tetapi tidak perlu menafikannya jika suami sangka bahawa anak tersebut adalah daripada benihnya walaupun tanpa sangkaan yang berat. Telah berlaku istira selepas perhubungan suami isteri dan anak tersebut dilahirkan lebih daripada enam bulan selepas perhubungan suami isteri. Terdapat keraguan mengenai perzinaan isterinya dalam keadaan sedemikian sunat (nadh). Keempat: sama ada dihubungkan anak tersebut kepada suami dan haram menafikannya jika berat sangkaan anak tersebut adalah dari benihnya. Atau pun terdapat dua perkara yang sama iaitu anak tersebut lahir setelah enam bulan dan lebih sehingga empat tahun daripada berlakunya perhubungan suami isteri serta tidak berlaku istibra selepas itu. Atau berlaku istibra tetapi anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka dihubungkan melalui firash (perkahwinan yang sah). Terdapat perbezaan pendapat mengenai anak zina yang dilahirkan tanpa firash, maksudnya ibu kepada anak tersebut tidak berada dalam ikatan perkahwinan. Jumhur ulama berpendapat bahawa tidak harus disambungkan nasab anak zina dengan bapa biologinya. Manakala terdapat segelintir ulama yang mengharuskannya seperti Muhammad bin Sirrin dan Ibn Taimiyyah serta diperkukuhkan oleh anak muridnya, Ibn Qayyim. Hassan al-Basry dan Ibrahim al-Nakhaiy berpendapat bahawa harus menghubungkan anak zina dengan bapa zinanya setelah dikenakan hukuman hudud.

GARIS PANDUAN PENAMAAN, PERGAULAN DAN HAK-HAK ANAK YANG TIDAK SAH TARAF Perkara yang akan dibincangkan dalam kertas ini seterusnya adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai asas rujukan dalam menentukan kesesuaian penamaan anak tak sah taraf menurut syariat Islam. Selain daripada itu, ia juga bertujuan memberi kefahaman dan penjelasan kepada semua pihak berkenaan aspek-aspek pergaulan serta implikasi sosial anak tak sah taraf dalam keluarga dan masyarakat. Dari sudut penamaan anak tak sah taraf, jika seseorang perempuan Melayu beragama Islam bersekedudukan tanpa nikah dengan pasangannya sama ada lelaki tersebut Islam atau bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak tersebut hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau lain-lain nama asma al-husna berpangkalkan Abdul. Seseorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ia mungkin akan menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut. Seseorang anak yang dijumpai terbiar atau anak pungut yang tidak diketahui asalusulnya hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah, sekiranya nama Abdullah itu bersamaan dengan nama orang yang memelihara anak tersebut, maka bolehlah dipilih nama Asma al-Husna yang berpangkalkan Abdul seperti Abdul Rahman dan Abdul Rahim. Dalam konteks pergaulan pula, anak tak sah taraf tidak boleh dihalang daripada menjalinkan apa-apa hubungan atau menjalankan aktiviti yang boleh dijalinkan atau dijalankan dengan seseorang kanak-kanak Islam lain yang sah tarafnya. Pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang telah melakukan persetubuhan tanpa akad nikah dengan ibunya, walaupun lelaki tersebut adalah bapanya yang sebenar, hendaklah berasaskan pergaulan di antara anak tiri dan bapa tiri. Jika anak tak sah taraf itu ialah seorang perempuan, maka wudhunya dan wudhu suami ibunya, samada si suami itu adalah bapanya yang tidak sah atau pun lelaki lain, maka tidak terbatal wudhunya kerana menurut pandangan hukum syara suami ibunya itu adalah sebagai bapa tirinya. Perhubungan antara nak tak sah taraf dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah, tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah itu.

IMPLIKASI ANAK TAK SAH TARAF DALAM ISLAM Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak taksah taraf dalam Islam. Implikasiimplikasi tersebut ialah : i. Penamaan dan Nasab. Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asma ul-Husna yang berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam. ii. Pergaulan dan Hubungan. Dalam Islam anak tak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan antara anak tak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya. iii. Nafkah. Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1) iaitu : Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, 7

memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah. iv. Penjagaan. Hubungan nasab (keturunan) anak tak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 85 memperuntukkan bahawa :Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya sahaja. Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya. v. Harta Pusaka. Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain.Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan. vi. Perwalian. Hak perwalian diri anak tak sah taraf terletak kepada ibunya. Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W : Maksudnya : Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali. (Riwayat Abu Daud dan Tirmidhi) Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.

vii. Perkahwinan Keraguan berhubung kesahan perkahwinan seorang anak tak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insaninsan yang lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosanya tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Oleh itu perkahwinan anak tak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya. viii. Kematian. Kematian seorang anak tak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam.Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka di dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

KESIMPULAN Anak tak sah taraf bukanlah seorang insan yang terbiar dan tidak bermaruah seperti yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat. Malah dari sudut agama dan undang-undang, dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan juga pemerintah. Anak tak sah taraf juga berhak mendapat keistimewaan, faedah, kebajikan, pendidikan dan boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian sepertimana kanak-kanak lain yang sah tarafnya. Masyarakat harus memberi pertimbangan yang adil terhadap kedudukan anak tak sah taraf. Dengan adanya pertimbangan yang adil, maka akan terhapus tekanan yang sering menghantui hidupnya. Oleh itu dia mampu menjadi insan soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negaranya. Masyarakat Islam hendaklah menyedari bahawa institusi keluarga dan syariat perkahwinan wajib dipertahankan kerana punca terbesar keruntuhan sesuatu masyarakat berpunca daripada kehancuran institusi keluarga dan sikap terhadap perkahwinan. Apabila keluarga telah runtuh tanggungjawab memelihara dan mengawal rakyat terserah kepada pemerintah. Sedangkan bagaimana cekap sekalipun sesebuah kerajaan, ia tidak berupaya menjalankan tugas-tugas kekeluargaan seperti memelihara, mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak. Tanpa didikan yang sempurna dan bimbingan yang wajar, anakanak ini akan menjadi generasi yang pincang.

10

RUJUKAN i. http://www.islam.gov.my/sites/default/files/27.anak_tak_sah_taraf.pdf

ii.

http://www.muftiselangor.gov.my/EBook/Download/KertasKerja/M1%20AnakTakSahTaraf.pdf

iii.

http://www.google.com.my/search? hl=en&gs_nf=1&cp=53&gs_id=3&xhr=t&q=Implikasi+Anak+Tak+Sah+Taraf+Dari+Segi+ Hukum+Syara %E2%80%99.&gs_upl=&bav=on.2,or.r_gc.r_pw.r_qf.,cf.osb&biw=1366&bih=677&um=1 &ie=UTF-8&tbm=isch&source=og&sa=N&tab=wi&ei=nMdMT7a-FtCxrAeTzMWlDw

11

LAMPIRAN

12

13

14

15

You might also like