You are on page 1of 4

Gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis

perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara. Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan. Maka, tidak hairanlah jika gejala tersebut memberi kesan negatif kepada penulisan lirik dalam sesebuah lagu. Seni dalam lirik lagu harus diperkasakan di samping dapat memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia jika di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Lirik atau seni kata lagu memainkan peranan yang besar dalam kejayaan sesebuah lagu. Lagu yang bertahan lama dan digemari bukan hanya disebabkan oleh melodi dan penyanyinya sahaja tetapi juga seni katanya. Seni kata yang bermutu pula bukan hanya bergantung pada kisah yang dibawa tetapi juga kerana bahasanya yang segar serta katakata yang terpilih. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa betapa pentingnya seni kata lagu yang baik dalam industri muzik tanah air. Menulis lirik perlu menggunakan bahasa yang baik. Bahasa kita memang cantik, orang kita kaya dengan perbendaharaan kata malah perumpamaan yang boleh digunakan. Banyak faedah yang dapat kita perolehi jika bahasa kebangsaan ini dipertahankan oleh semua pihak. Dewasa ini, generasi muda di Malaysia lebih cenderung ke arah lagu yang berbahasa asing terutamanya bahasa Inggeris. Malah, mereka lebih selesa berinteraksi dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda. Penulisan lirik yang menarik dapat memupuk minat dalam jiwa muda ini di samping memberi peluang kepada generasi muda supaya lebih mempelajari bahasa Melayu dengan lebih dalam. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini amat sesuai dalam usaha menanam minat dalam diri remaja yang semakin luntur seninya. Masyarakat perlu diberikan pendedahan dan pengetahuan tentang penggunaan bahasa kebangsaan yang betul serta bermutu tinggi. Ini adalah untuk mengelak pengaruh Barat yang berleluasa dalam lirik. Kebanyakan lagu yang dihasilkan pada hari ini terlalu banyak

menggunakan bahasa rojak dalam seni katanya sehingga tidak mencapai maksud asal penulis lirik itu sendiri. Penghasilan sesebuah karya seharusnya dikaji dengan teliti sebelum disiarkan agar tidak terlalu padat dengan bahasa- bahasa asing. Lagu bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan semata-mata, malah dapat membentuk keindahan rohani dan jasmani juga. Unsur dakwah dan nasihat mampu disampaikan dengan menggunakan bahasa yang baik, sopan, dan indah agar dapat menyentuh hati pendengar. Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa sesungguhnya bahasa yang baik dan pemilihan kata yang tepat dalam sesebuah lagu mampu membantu lagu tersebut agar diminati pendengar. Penulis lirik lagu seharusnya tidak hanya mementingkan pulangan material sahaja semasa mencipta lirik. Ada di kalangan penulis lirik yang malas membuat rujukan yang menyebabkan lirik ciptaan mereka agak merapu, lari daripada maksud judul, pemilihan kata yang tidak tepat penggunaannya, dan kadang-kadang terdapat lirik lagu yang merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri. Malaysia merangkumi pelbagai agama, bangsa dan juga etnik. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di negara kita. Secara tidak langsung rakyat yang berbilang kaum ini mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu walaupun tidak lancar. Penekanan seni dalam lirik lagu dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Ini adalah kerana pengggunaan bahasa yang betul dan kreatif dapat menarik minat masyarakat umum untuk berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, ciri- ciri kesenian dalam lagu harus dipertahankan supaya sastera warisan yang telah dikaji dengan teliti dapat dikembangkan lagi ke peringkat yang dapat mengangkat peradaban bangsa melalui hasil penyelidikan. Pelbagai rentak, irama, dan nada dapat kita nikmati. Hasil pemikiran dan daya usaha yang menggunakan bahasa Melayu yang indah dan kreatif para pencipta lirik secara tidak langsung turut meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Sebenarnya adalah senang untuk kita memperluaskan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi asalkan semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha ini. Biarpun setiap lagu mempunyai mesej dan rentaknya yang tersendiri namun penggunaan bahasa yang betul dalam lirik lagu tidak harus diketepikan. Ketiga-tiga unsur dalam sesebuah lagu iaitu seni kata, muzik, dan vokal yang serasi akan menentukan mutu nyanyian dan

menjadikan lagu itu dapat bertahan lama di persada seni tanah air. Kecenderungan pengubah lagu tempatan menghasilkan lagu berentak asli, ghazal atau zapin, mendorong penulis lirik lagu menghasilkan bait-bait lirik yang mempunyai unsur-unsur seni dengan bahasa yang indah. Sekiranya ciri- ciri kesenian dalam lirik lagi tidak dipertahankan oleh masyarakat umum, perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terbantut. Salah satu cara unutk mengetengahkan bahasa Melayu adalah melalui media massa. Jika peluang media massa ini disia- siakan, maka keadaan akan menjadi lebih sukar dalam mencapai usaha tersebut. Penggunaan bahasa yang tidak betul akan memberi kesan negatif terhadap minda, budaya, akhlak, dan kesopanan masyarakat Melayu. Contohnya menggunakan perkataan yang berunsur lucah dalam seni kata lagu adalah tidak sesuai untuk dijadikan halwa telinga masyarakat terutamanya anak- anak remaja. Hal ini akan memberi pengaruh buruk kepada mereka yang baru saja mengenali dunia hiburan. Hanya segelintir penulis lirik yang menggunakan kata-kata yang indah dan dalam masa yang sama mengambil kira faktor ketepatan pemilihan kata dalam lagu-lagu mereka. Kata-kata indah yang disulam dengan rentak tradisional dan moden inilah yang selayaknya menceriakan dan mewarnai persada seni tanah air, di samping memperluas penggunaan bahasa Melayu. Peminat dan pendengar tempatan kini sudah peka dan lebih menghayati kata-kata dalam setiap lagu yang diperdengarkan. Tidak salah jika kita katakan bahawa lagu yang popular biasanya mempunyai kekuatan pada liriknya yang mengandungi kehalusan kata-kata. Namun, masih ramai penulis tidak mempedulikan semua itu. Jika dibiarkan berlarutan, banyak lagu yang dihasilkan mempunyai kualiti yang rendah. Ini hanya akan membazir usaha dan wang syarikat penerbitan itu sendiri jika lagu tersebut tidak mendapat sambutan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sesetengah institusi pengajian tinggi. Ramai pelajar warga asing mempelajari bahasa ini supaya lebih senang berkomunikasi dengan rakyat tempatan. Jika para pelajar lebih gemar menggunakan pendekatan untuk belajar melalui hiburan seperti mendengar lagu dalam bahasa Melayu, hal ini akan mengelirukan pelajar yang baru mempelajari bahasa Melayu. Kesannya, hal ini akan menjejaskan nama bahasa Melayu itu sendiri.

Pelbagai cara dilakukan untuk mempertahan kesenian dalam lirik sesebuah lagu. Kesedaran harus ditonjolkan kepada masyarakat terutamanya kepada karyawan- karyawan yang berbakat. Dengan mengadakan kempen kesedaran melalui media massa, masyarakat akan lebih berwaspada dalam penulisan lagu dan sentiasa melakukan kajian tentang penggunaan sesuatu perkataan supaya karya yang dihasilkan akan lebih bermutu dan berkualiti. Tidak salah jika pihak berwajib menghabiskan wang untuk mengekalkan seni yang sudah sedia ada yang pastinya memberi manfaat di masa hadapan. Selain daripada itu, lirik lagu harus ditapis oleh pihak berwajib sebelum disiarkan di media. Dewan Bahasa Pustaka seharusnya lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa. Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, Dewan Bahasa Pustaka tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan sematamata tugas Dewan Bahasa Pustaka malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta. Memperkenalkan subjek seni penulisan di pusat pengajian tinggi merupakan salah satu cara untuk mempertahankan seni bahasa Melayu. Masih tidak terlambat untuk kita memupuk masyarakat dari usia yang masih muda mengenali dan mempelajari kesenian yang terdapat dalam sesebuah seni kata lagu. Ini adalah supaya mereka yang bercita- cita menjadi penulis lirik di masa hadapan lebih bersedia untuk penulisan lirik yang bermutu tinggi. Masyarakat haruslah berfikiran lebih terbuka dan tidak menganggap penulisan lirik sebagai sesuatu yang remeh- temeh. Mengadakan pertandingan seni kata lagu yang kreatif merupakan salah satu cara yang halus untuk mencungkil bakat masyarakat di samping dapat mempelajari ciri- ciri kesenian yang seharusnya terdapat dalm lirik tersebut. Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

You might also like