You are on page 1of 4

PENULISAN JURNAL Minggu 1

MASALAH

Praktikal kali ini di Sekolah Kebangsaan Bohor, Jalan Hutan Kampung. Kami dimaklumkan
bahawa sekolah ini berskala kecil (kurang murid) oleh senior terdahulu. Setelah melaporkan diri
pada hari pertama, kami dimaklumkan oleh Guru Besar bahawa sekolah ini hanya mempunyai
satu kelas bagi setiap tahun. Bermakna hanya ada enam kelas di sekolah ini. Gurunya pula 22
orang dan tiga daripadanya adalah guru lelaki. Seperti biasa, Pendidikan Seni Visual dipandang
enteng, walau bukan secara langsung, namun saya dapat menangkap riak wajah guru-guru
apabila mereka bertanya apakah major dan minor pengajaran kami.

Pengalaman lalu menjadikan saya lebih ingin berusaha melakukan pembaharuan demi
pembaharuan dalam mempelbagaikan aktiviti pengajaran khusus untuk murid-murid yang
kurang diberi pendedahan seni tampak ini. Apa yang mereka selalu lakukan apabila waktu PSV
ialah mewarna, melukis, mewarna dan melukis! Bagaimana mahu memperkembang seorang
insan yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan jika perkara ini dipandang mudah
oleh guru-guru.

Berdasarkan pengalaman saya semasa di Sekolah Anak-anak Angkatan Tentera pada


sesi praktikal kedua dulu, pihak pentadbiran dan guru-guru begitu teruja dan dapat pengalaman
baru apabila pengajaran seni visual mempunyai aktiviti yang baru dan kreatif serta mampu
dilakukan oleh murid. Pihak pentadbiran sudi memberikan sebuah bilik kosong yang tidak
digunakan untuk dijadikan bilik Pendidikan Seni Visual. Saya amat menghargai usaha pihak
pentadbiran di SKAAT. Pada praktikal kali ini, aktiviti Pendidikan Seni Visual mungkin hanya
akan dijalankan di dalam kelas sahaja kerana kelas berada di aras tiga dan empat bangunan
baru sekolah. Manakala bilik seni pula merupakan bilik yang adakalanya dijadikan sebagai
tempat bagi guru-guru untuk bermesyuarat. Pada fikiran saya, mungkin ia akan mengganggu
perjalanan P&P saya kerana bilik tersebut berada di bangunan lama dan memerlukan masa
untuk menguruskan murid-murid tiba di bilik seni.

Barang-barang keperluan untuk P&P PSV juga tidak semewah seperti di SKAAT. Di
SKAAT, saya boleh menggunakan barang-barang keperluan seni bagi murid yang tertinggal
atau tidak membawa alatan mereka sendiri. Keadaan tersebut lebih memudahkan saya. Tapi
kini, saya mungkin perlu menyediakan sendiri keperluan tersebut supaya perjalanan P&P
berjalan dengan lancar. Saya beruntung kerana murid-murid bagi setiap tahun tidak begitu
ramai. Paling ramai tidak melebihi 30 orang. Pada semester ini juga saya mengajar elektif
Pendidikan Jasmani untuk empat waktu bagi Tahun 2 dan Tahun 4. Ia merupakan pengalaman
baru saya untuk mengajar PJ. Peraturan di sekolah ini tidak memerlukan saya untuk menukar
pakaian PJ ke pakaian formal. Guru Penolong Kanan Kokurikulum memaklumkan kepada saya
bahawa guru-guru yang mengajar PJ dan juga murid-murid dibenarkan untuk memakai pakaian
PJ dari awal pagi hingga tamat waktu persekolahan.

Pada praktikal kali ini juga saya berhasrat untuk membaiki pengajaran saya yang lalu
agar murid-murid dapat memahami pengajaran saya dengan lebih efisyen serta dapat
mempraktikkan ilmu yang mereka perolehi dalam kehidupan seharian mereka. Belajar
bagaimana menggunting dengan kemas, membuat garisan yang pelbagai, mencampurkan
warna, melukis ruang perspektif, membentuk dan membuat binaan dan sebagainya.
Pengalaman-pengalaman yang lalu juga menjadikan saya lebih matang dalam menghadapi
kerenah murid-murid yang ‘nakal’ dan selalu inginkan perhatian. Selama tempoh praktikal,
belum pernah saya menggunakan kekerasan dalam mendidik mereka. Seterusnya saya
berharap saya mampu mendidik mereka mengubah kelakuan yang tidak baik kepada kelakuan
yang lebih baik tanpa menggunakan kekerasan sehinggalah saya berjaya menjadi seorang guru
tetap sehinggalah saya pencen.

Terdapat beberapa orang murid yang berkelakuan tidak sopan seperti menyebut
perkataan lucah dan kata-kata kesat yang tidak enak di dengar di kalangan murid Tahun 2.
Beberapa orang telah dikenalpasti melakukan perbuatan tersebut. Mereka juga tidak betah
berada di tempat duduk dan sering berjalan untuk mengusik kawan. Saya perlu mengambil
langkah yang tegas namun tidak menyakitkan.

ANALISIS MASALAH

Saya merasakan bahawa murid-murid ini nakal bukan disebabkan mereka ingin
bersikap sedemikian. Tapi mereka mahukan perhatian daripada saya agar nama mereka sering
disebut, sering dipanggil untuk menjadi pembantu saya semasa P&P dan membantu saya untuk
mengangkat barang-barang ABM saya selepas tamat P&P.
CADANGAN

Saya juga telah memberikan tumpuan yang lebih kepada murid yang bermasalah yang
sentiasa mengganggu murid yang lain. Saya memuji aktiviti yang dilakukan oleh mereka
semasa proses P&P. Walaupun hasil kerja mereka tidaklah sebagus mana, namun dengan cara
yang sedemikian telah membuatkan mereka lebih bersemangat dan mahu menyiapkan tugasan
mereka dan tidak lagi mengganggu orang lain.

TEMPOH PENYELESAIAN

TINDAKAN SUSULAN

Kali pertama masuk ke kelas dan berhadapan dengan murid, dapat saya rasakan
bahawa mereka semuanya ingin mendapatkan perhatian daripada saya. Mereka membuat
tingkah laku yang pelbagai seperti bercakap-cakap dengan rakan yang lain, ada yang ingin
minum air, ada juga yang baru sahaja duduk bangun untuk menajamkan pensil. Ada juga murid
yang masuk ke kelas begitu sahaja tanpa berjumpa dengan saya terlebih dahulu untuk meminta
kebenaran masuk dan duduk di tempat.

Apa yang saya peroleh daripada hari pertama dengan tingkah laku pelajar, saya telah
menyatakan apakah yang perlu dibuat iaitu dengan memberikan arahan mudah:

- Beri salam sebelum masuk ke kelas.


- Tidak dibenarkan duduk sebelum saya mengarahkan untuk duduk.
- Kata arahan “Perhatian…..” (murid perlu duduk di tempat masing-masing, tangan kanan
di bibir dan berada dalam keadaan senyap).
- Apabila ingin menjawab soalan, angkat tangan dan saya akan memilih murid untuk
menjawab soalan.

Keadaan bertambah lebih baik dan mereka mula memahami kehendak saya dan saya juga
akan mengikut kehendak mereka. “Win-win situation” ini perlu kerana apabila saya ingin mereka
hormati saya, saya juga perlu menghormati kehendak mereka dengan memahami keperluan
mereka. Contohnya, mereka ingin main sambil belajar.
KESIMPULAN

Murid-murid dapat mengikut arahan mudah saya terutama sekali apabila saya
menggunakan kata arahan “Perhatian….”. Saya jadikan ia bukan seperti arahan autokratik,
tetapi seolah-olah seperti permainan (mengikut kumpulan).

Cara komunikasi saya perlu diperbaiki agar murid-murid lebih memahami penyampaian
P&P saya dan dapat mengubah tingkah laku yang tidak diingini kepada tingkah laku yang lebih
baik. Komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan terdapat dalam dinamika kemahiran.
Mungkin perbincangan dengan guru-guru yang lebih berpengalaman akan dapat membantu
saya meningkatkan cara penyampaian saya dan saya dapat menjadi seorang yang lebih asertif
bukan autokratik semasa di dalam kelas.

Menjadi seorang guru bukan sekadar mencurahkan ilmu, namun tanggungjawab


seorang guru lebih besar dari segala-galanya. Keutamaan untuk mendidik dan mendisiplinkan
murid secara halus dan berhikmah akan membantu guru dan juga murid.

“I like a teacher who gives you something to take home to think about besides
homework.”

(oleh Edith Ann)

Oleh:

Siti Nurmaisarah Binti Saidi Sukri

PISMP PSV/PJ

Guru pelatih

IPG Kampus Darulaman

You might also like