You are on page 1of 2

:: ISU ISLAM SEMASA

Akhlak benteng pembinaan hadharah

Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi


Pegawai Penyelidik

22/04/2005

Hadharah atau tamadun boleh dilihat daripada pelbagai perspektif. Salah satunya melihat hadharah sebagai
hasil pembangunan material yang boleh memberi kehidupan dalam bentuk yang mewah (Prof. Datuk Dr.
Mahmood Zuhdi Ab. Majid, ``Membina Akhlak Membangun Hadharah'', Seminar Islam Hadhari: Kefahaman
Tentang Keutuhan Moral, IKIM, 13 - 14 April 2005).

Apabila kemewahan dinikmati oleh satu-satu bangsa ataupun rakyat dalam sesebuah negara, kita boleh
menganggap bahawa tamadun telah pun terbina. Kemewahan lahir disebabkan intelektualisme di samping
materialisme yang didukung utuh secara konsisten oleh sesebuah bangsa.

Bagaimanapun fahaman-fahaman ini lebih memberi fokus kepada pembangunan material yang bersifat
rasional dan eksperimental. Sekalipun tidak dinafikan ia memang memainkan peranan utama kepada
penambahan kekayaan dari aspek ekonomi negara dan taraf kesihatan rakyat.

Pada hari ini masih ramai di kalangan kita yang tidak dapat menghubungkan antara akhlak dan tamadun.
Dalam pembinaan sesebuah hadharah, akhlak sebenarnya merupakan elemen yang sangat penting dalam
memastikan pembangunan fizikal terus berlaku.

Akhlak adalah pemantau dan penyelia agar tamadun dibina berdasarkan kepada kejernihan hati nurani
sesuatu bangsa, iaitu tamadun yang tidak dicemari oleh unsur-unsur rasuah, kronisme, tipu daya, pecah
amanah dan sebagainya.

Apabila tamadun berjaya dibina, akhlak akan memastikan tamadun itu akan terus hidup dengan cemerlang,
sebaliknya menurut hukama', ``Satu-satu umat akan runtuh apabila runtuh akhlak umat (tersebut)''. Hal ini
tidak boleh kita nafikan dengan melihat pengalaman dan sejarah manusia masa lalu, contohnya dengan
melihat empayar Bani Uthmaniah yang runtuh apabila akhlak sudah dipandang remeh selain ilmu sudah
tidak diberi kedudukan yang mulia dan tinggi.

Mungkin untuk memahami dengan lebih mudah hubungan di antara akhlak dan tamadun, apabila seseorang
individu itu berakhlak, maka tidak ada jiran yang tersinggung kerana perilaku jirannya. Tidak berlakulah
pembuangan sampah merata-rata, sungai-sungai kita terpelihara keindahannya dan tidak ada pencemaran
yang melampau.

Di sini, akhlak sekurang-kurangnya akan mewujudkan kos-kos lepas yang mempunyai nilai yang tidak
sedikit dari aspek ekonomi. Negara akan dapat menyalurkan lebihan pendapatan yang ada kepada projek-
projek yang lebih murni sifatnya seperti menambah infrastruktur pendidikan, berbanding terpaksa
mengeluarkan peruntukan bagi memperbaiki kerosakan kemudahan-kemudahan awam disebabkan
vandalisme, memulihkan semula sungai-sungai yang tercemar disebabkan salah laku manusia dan
peruntukan kepada pihak hospital bagi memulihkan kecederaan yang disebabkan keganasan dalam rumah
tangga dan penderaan.

Akhlak adalah asas, sekali gus pelindung kepada kelangsungan hidup manusia berperadaban. Golongan
intelektual dan pemerintah yang berakhlak akan mencetuskan aspirasi dan falsafah tamadun yang murni,
dan ini akan diikuti oleh rakyat dari semua lapisan dan golongan. Seterusnya akan diiringi oleh sistem
pendidikan yang mendukung nilai-nilai murni dan berakhlak mulia.

Lanjutan daripada ini sistem pendidikan sebegini akan melahirkan tenaga-tenaga kerja mahir, golongan
intelektual, pemimpin dan usahawan yang berakhlak. Secara idealnya, pengajaran dan penerapan akhlak
mulia hanya akan melahirkan insan-insan yang berakhlak mulia. Dan kelangsungan hidup satu-satu generasi
manusia akan diteruskan oleh generasi yang juga berakhlak.

Betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan, itulah sebabnya Allah s.w.t. mengutuskan utusan yang
berakhlak mulia demi menyempurnakan akhlak yang mulia di kalangan umat Islam.

Dalam surah al-Qalam (64), ayat 8 Allah s.w.t. mengiktiraf kesempurnaan akhlak Muhammad s.a.w., untuk
dicontohi dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasulullah menegaskan bahawa baginda
menyampaikan perutusan dan amanah yang berteraskan kepada akhlak yang mulia.

Di sisi Islam akhlak yang mulia berteraskan keyakinan kepada Tuhan yang Esa, dan keyakinan tersebut
(akidah) melahirkan tindakan-tindakan bersifat `ubudiyah seperti melaksanakan ibadah solat, berpuasa,
zakat dan menunaikan haji. Lebih menarik lagi, dalam pelaksanaan ibadah ini ia masih diterapkan nilai-nilai
akhlak yang tujuannya akan lebih mengeratkan lagi persefahaman antara manusia dan kecintaan Allah
s.w.t. terhadap hamba-Nya.

Ketika melaksanakan solat, disunatkan solat secara berjemaah, anak-anak yang masih mumaiyiz perlu
berdisiplin dengan beratur di saf belakang. Menghormati golongan yang lebih senior dan memberikan
kelapangan kepada mereka untuk solat dalam keadaan yang lebih khusyuk.

Apabila zakat hendak dilaksanakan, maka ada ijab dan kabul antara pemberi dengan penerima. Sudah tentu
pemberi akan mendatangi pihak penerima dengan rasa tawaduk dan rendah diri, penuh kesedaran bahawa
sebahagian harta yang akan bertukar tangan hakikatnya milik Allah s.w.t. Sebaliknya penerima akan
memuliakan pemberi kerana berjaya mengurus harta Allah dengan sebaik-baik pengurusan dan
kepulangannya sudah tentu akan diiringi dengan doa yang akan merahmati pihak pemberi.

Masyarakat imrani adalah masyarakat yang menggagaskan tamadun bangsa hanya berpandukan kepada
materialisme. Tamadun dengan teras ini memang boleh dibina dan kita boleh melihat Barat sebagai
pengalaman sekali gus sempadan. Tamadun seumpama ini memang sangat indah luarannya sehingga
mudah menarik sesiapa sahaja yang rapuh pegangan.

Bagaimanapun banyak tokoh yang mengakui bahawa Barat sedang menuju kehancuran kerana tidak
memiliki pegangan hidup yang kukuh.

Masyarakat madani memiliki kombinasi yang sempurna dari segi intelek, akhlak dan rohani. Maka sekiranya
integrasi berlaku di antara imrani dan madani dengan akhlak menjadi komponen yang penting, maka
lahirlah masyarakat hadhari yang menjadi aspirasi negara kita.

You might also like