You are on page 1of 1

Dengar segmen ini melalui mp3 streaming

MANUSIA ialah makhluk Allah yang paling sempurna ciptaannya berbanding makhluk lain. Berlainan dengan malaikat yang
hanya mempunyai unsur akal atau haiwan yang hanya mempunyai unsur nafsu, manusia dikurniakan Allah kedua-dua
unsur itu.

Islam menuntut keseimbangan dalam setiap daya usaha manusia. Pada masa sama, ia menuntut agar kegiatan manusia
tidak memberi kesan negatif kepada kualiti kehidupannya dan masyarakat.

 
Perkara itu dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu
(kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat
baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka)
bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Etika berkaitan penjagaan alam sekitar ada digariskan dalam Islam. Contohnya, ketika peperangan, Nabi Muhammad saw
melarang umatnya memotong pokok atau membakar tanaman kecuali keadaan benar-benar memaksa supaya berbuat
demikian.

Islam memandang jauh ke hadapan dalam isu ini. Jika merosakkan alam sekitar, tentu sistem ekologi juga akan terjejas.
Ia bukan saja akan menyebabkan kehilangan spesies alam dan fauna yang amat berharga, malah haiwan liar serta unggas
turut diancam kepupusan.

Di samping kesan ke atas ekologi, pembangunan yang tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu
tempat. Ramai antara kita tidak sedar kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit, mengancam aliran sungai dan
jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Bukit bukau yang menjadi pasak kepada bumi seperti yang
dijelaskan oleh Allah dalam surah an-Naba’, ayat 7 tidak lagi berperanan untuk menstabilkan persekitarannya akibat
proses meratakan kawasan.

Punca utama masalah ini adalah sifat rakus manusia yang mementingkan keuntungan wang ringgit. Mereka mengambil
kesempatan atas platform yang didakwa sebagai pembangunan.

Hal ini seperti firman Allah bermaksud: "Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia,
supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang
benar)." (Surah ar-Rum, ayat 41)
Dalam Islam, aspek akhlak meliputi semua perkara. Kita bukan saja disuruh berakhlak kepada Allah atau manusia, malah
menjaga akhlak kepada haiwan, alam sekitar dan sebagainya.

Contohnya, setiap haiwan itu ada hak yang perlu kita tunaikan, lebih-lebih lagi haiwan peliharaan. Begitu juga dengan
alam sekitar. Kita tidak boleh rakus dalam usaha pembangunan, yang akhirnya bukan saja memusnahkan ekologi yang
menjadi habitat kepada mahkluk lain, malah memudaratkan manusia.

Oleh itu, isu pengukuhan akhlak perlu dititikberatkan dalam aspek pendidikan. Pendidikan di sini, tidak seharusnya terhad
kepada pendidikan oleh ibu bapa atau guru.

Kita perlu mencontohi apa yang disabdakan Rasulullah. Baginda tidak akan berkompromi dengan kehendak Allah, malah
akan bertindak tegas selaras dengan akhlak yang dituntut oleh al-Quran.

Artikel ini telah dipetik dari lelaman Institut Kefahaman Islam dan ditulis oleh
Muhammad Hisyam Bin Mohamad
 

You might also like