You are on page 1of 2

'JANGAN salah sangka,.. kami bukan mengajar murid melayari Internet…," kata Dr.

Norrizan Razali ketika


ditanya wartawan, apakah sasaran pembestarian 10,000 buah sekolah, dan faedahnya kepada pelajar dan
murid.

Jadi, apakah sekolah bestari? Apakah pula pembestarian sekolah? Apa implikasinya? Apakah yang menjadikan
sekolah bestari itu bestari?

Memang abstrak dan sukar difahami, sehingga ada wartawan daripada luar negara yang bertanya, apakah
sudah ada petunjuk keberkesanan kepada pembangunan sumber manusia, khususnya melihat impak program
kepada lepasan sekolah yang melalui program sekolah bestari - program yang akan menyambut ulang tahunnya
ke-10 pada tahun depan.

Bagi Dr. Norrizan, sekolah bestari bukan sekadar jargon i-kit, papan putih interaktif, layar multimedia atau
perisian akses kendiri atau rangkaian wayar yang berselirat di sana dan sini yang menghubungi satu komputer
dengan komputer yang lain.

Sudah tentulah soalan sebegitu akan ditanya apabila Malaysia mahu mendepani dan seterusnya menjuarai
program pembangunan modal insannya.

''Faktor manusiawi yang penting untuk dibestarikan, bukan perkakasan," tambah Pengurus Kanan Perbadanan
Pembangunan Multimedia Sdn. Bhd. (MDeC) itu dalam satu pertemuan makan tengah hari dengan wartawan
tempatan dan asing di ibu negara baru-baru ini.

Ternyatalah sudah terdapat petunjuk perubahan paradigma dalam pemikiran dan menentukan arah tuju serta
matlamat pembestarian sekolah. Yang penting, satu rumus tidak akan menyelesaikan semua masalah. Pelbagai
pemikiran perlu diterima dan dicuba.

Impian besar MDeC - sebagai fasilitator dan penasihat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) - ialah mengikis
rutin sekolah sebagai institusi talk and chalk, atau pendeta (guru) berleter di depan kelas.

Pembestarian sekolah bukan lagi tentang membeli peralatan berbilion ringgit, tetapi ia perlu bermula dengan
mengurus perubahan dan sikap, budaya kerja dan akhirnya menjadikan pembestarian sekolah sebagai
pertaruhan maruah kepada pencapaian indeks prestasi sesebuah sekolah.

Sungguh berat tugas MDeC. Namun Dr. Norrizan, sebagai mantan pemikir Institut Kajian Strategik dan
Antarabangsa Malaysia (ISIS), sudah cukup lama menelusuri rimba sains pemikiran dalam perubahan
pendidikan.

Isu kecil dan besar perlu difikirkan oleh wanita besi ini. Daripada isu pedagogi, penyampaian, kurikulum, latihan
sehingga faktor logistik dan penerimaan guru, pentadbir, penyelaras teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
serta ibu bapa perlu ditangani secara serentak dan berkesan.

''Murid dan pelajar bukan isu dalam pelaksanaan pembestarian sekolah kerana yang penting ialah guru,"
tegasnya.

Memang betul kata beliau kerana kalau melihat apa yang berlaku kepada kegagalan program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), maka ketidakcekapan guru menjadi dalang
atau punca utama kepada penentangan massa terhadap program berkenaan, bukan faktor perubahan positif
(sedikit sebanyak berlaku) kepada murid.

Justeru, pembestarian sekolah dan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris
(MBMMBI) akan menerima padah yang sama kalau kesilapan yang sama diulang.

Inisiatif Sekolah Bestari dilancarkan pada Julai 1997, sebagai satu daripada tujuh mercu Koridor Raya
Multimedia (MSC) Malaysia.
Sepanjang tempoh program rintis, peranan MDeC adalah sebagai fasilitator dan penasihat projek. Pada
Persidangan IT Kebangsaan pada April 2006, MDeC diberi mandat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
sebagai pemandu dalam usaha menaik taraf 88 sekolah bestari sedia ada sebagai penanda aras atau sekolah
model kepada 10,000 buah sekolah lain dalam program pembestarian semua sekolah.

Tanggungjawab itu ditambah apabila pada 2009 dan 2010, perbadanan itu diminta mempercepatkan proses
pembestarian semua sekolah sebagai sekolah bestari, dengan fokus permulaan kepada 50 buah sekolah luar
bandar. Program pembestarian kini dikembangkan ke luar bandar di seluruh negara, meliputi 10,000 buah
sekolah.

Fokus pada 2009 sehingga 2010 adalah untuk mensaksamakan ekuiti pendidikan bestari di semua sekolah -
bandar dan luar bandar. Peranan MDeC pada 2009 sehingga 2010 itu adalah berdasarkan kepada keputusan
mesyuarat antara Menteri Pelajaran dengan pengurusan tertinggi kementerian pada 23 September 2008 lalu.

Mesyuarat bersetuju untuk MDeC memastikan pelaksanaan sekolah bestari dapat dilaksanakan dengan fokus
kepada 50 sekolah luar bandar secara berperingkat. Buat permulaan, 15 buah sekolah luar bandar dipilih untuk
menjalani program pembestarian.

Menurut Dr. Norrizan, pendekatan pelaksanaan 1 size fits all tidak boleh diguna pakai di semua sekolah
khususnya jika program itu mahu dilaksanakan di sekolah luar bandar. Sebagai maklumat latar, 45 peratus
sekolah di negara ini adalah dalam kategori luar bandar.

Ujar Dr. Norrizan lagi, pelaksanaan model yang khusus untuk jenis-jenis sekolah yang berbeza diperlukan dalam
usaha pembestarian sekolah. Program akan meliputi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan dan
Sekolah Menengah Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan meliputi sekolah pendidikan khas, sekolah agama,
sekolah Felda dan sekolah Orang Asli dan Penan.

Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan - Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama dan Sekolah Menengah Kebangsaan Harian. Sekolah Jenis Kebangsaan pula meliputi Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Kata beliau, model pelaksanaan pemantapan 88 sekolah bestari penanda aras akan mengambil kira enam
langkah iaitu model pelaksanaan, Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS), meja khidmat berpusat, modul
pembangunan profesional, alat inovatif untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta amalan terbaik
mengintegrasi bahan berasaskan ICT untuk P&P.

''Semua senarai semak atau perkara tersebut akan dipantau hasilnya sama ada berdasarkan peningkatan dari
segi prestasi dan kecekapan pembelajaran atau peningkatan dalam penggunaan dan penerimaan," katanya.

Setakat apa yang telah dilaksanakan sekarang, kata beliau, MDeC dan gabungan lapan syarikat ICT tempatan
dan syarikat ICT global membekalkan infrastruktur, perisian dan latihan tambah nilai.

Beliau optimis dengan usaha yang diusahakan sekarang akan membuahkan hasilnya melalui beberapa program
seperti sekolah showcase, sistem pasangan (buddy system), Briged Bestari dan sebagainya.

''Program bestari boleh dilaksanakan dengan jayanya untuk masyarakat luar bandar,' kata Dr. Norrizan menutup
pertemuan.

You might also like