You are on page 1of 10

KITA SEPERTI BATMAN

DAN SUPERMAN

Kehadapan gadis misteri Ayu Raudhah,


Jika Ayu adalah doktor perubatan, percayalah bahawa saya benar-benar berharap untuk
mengenali saudari setahun lebih awal dari sekarang.
Mengikut pengiraan secara pandang belakang, saya berstatus bujang dan tidak terlibat
dalam apa-apa hubungan istimewa dengan mana-mana gadis pada ketika itu. Ini akan
memberikan saya masa yang cukup untuk memikat hati

Ayu.

Waktu itu sekurang-

kurangnya akan meningkatkan peratusan untuk saya berjaya membawa Ayu keluar
menonton wayang terhangat tahun 2016.
Dengan penuh dominan, saya akan membuat keputusan mutlak tanpa kompromi untuk
membawa Ayu menonton dua wayang yang boleh kita kongsikan pengajarannya secara
berjemaah dan pasti meningkatkan persefahaman antara kita sebagai pasangan kekasih
doktor perubatan. Dua filem tersebut adalah Batman v Superman: Dawn of Justice dan
Captain America: Civil War. Apa kan daya, filem pertama sudah saya tonton bersama
puteri impian dan filem kedua ditonton sewaktu bertapa di dalam Hutan Kawag Danum
Rainforest Lodge. Entah siapa yang membuat dajjal memuat turun movie tersebut lantas
membuka ruang untuk saya mensabotaj industri perfileman Hollywood dengan menonton
cerita cetak rompak.
Dalam pertarungan di antara Jeneral Zod dan Superman, Bruce Wayne memerhati dari jauh
akan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa manusia yang tidak bersalah. Akal
Bruce mentafsirkan Superman sebagai satu ancaman kepada ketamadunan manusia dan
harus dihapuskan. Atas dasar kecintaan terhadap manusia dan kebencian terhadap

jenayah, Bruce gagal bertoleransi dengan tindakan Superman. Biarpun mereka berdua
mempunyai perjuangan yang sama iaitu membawa keamanan pada dunia.
Begitu jugalah peperangan dingin antara pasukan Stark dan pasukan Rogers dalam filem
Captain America: Civil War. Plot yang menarik kerana ia menggabungkan beberapa
pengalaman peribadi watak watak dalam filem tersebut yang akhirnya dikait berakar umbi
dari Perang Dingin kesan manipulasi pertubuhan rahsia Hydra.
Dalam kedua-dua filem ini, masing masing mempunyai niat baik untuk menyelamatkan
dunia. Akan tetapi, perbezaan pendapat dan pelan penyelesaian dilihat tidak
menguntungkan kedua belah pihak dan saling memusnahkan antara satu sama lain. Di
penghujung cerita, pengajaranya adalah jelas iaitu matlamat yang sama harus menyatukan
dua pihak yang bertelagah. Kesan penyatuan itu mungkin tidak mampu untuk
mengelakkan kemudharatan tetapi berjaya mencegah bencana dari berlaku.
Maka saya melihat watak fiksi awak ini bukanlah sebagai contra kepada saya dan majoriti
ahli perubatan yang pro vaksinasi bahkan kita sebenarnya adalah di pihak yang sama.
Kedua pihak kita adalah pro kepada kesihatan sejagat. Maka, saya rasa kita semua
bersetuju bahawa masing-masing ingin populasi dunia semakin sihat. Yang membezakan
adalah melalui kaedah dan teknik apa.
Walaupun awak bersembunyi di sebalik akaun palsu, tetapi ia membawa satu mesej yang
cukup jelas dan tidak mampu untuk disembunyikan lagi. Maka ada baiknya kita berterus
terang agar perbincangan kita akan berlangsung dalam keadaan penuh ilmiah dan
mengikut disiplin ilmu yang berteraskan pencarian kebenaran.
Ayu mewakili golongan ahli perubatan yang kontra kepada kaedah vaksinasi. Dalam
beberapa komen, awak bagitau kita semua yang awak ni jururawat yang bekerja di
Hospital Sungai Buluh. Dalam profil facebook terbaru awak, identiti bertukar sebagai
seorang doctor wanita yang bertugas di PPUM. Tapi saya faham juga bila awak cakap yang
ini adalah untuk keselamatan awak dan mengelak dari dikenakan tindakan atau dianiaya.

Ayu, bagi saya senang ja. Awak ni jenis yang tak berani untuk berdebat secara berdepan.
Andai tersalah membaling batu, tangan sentiasa boleh disembunyikan dan muka sentiasa
tidak kelihatan.
Di peringkat global, tidak dinafikan terdapat golongan ahli sains dan perubatan yang
menentang penggunaan vaksinasi. Penentangan ini berlandaskan kepada premis samada
vaksin tidak berkesan atau membawa kemudharatan. Saya yakin, Ayu juga pasti
termasuk dalam salah satu kategori ini.
Hujah yang mengatakan bahawa vaksin tidak berkesan termasuklah melalui eksploitasi
graf dengan menunjukkan bahawa kebanyakan wabak selesai sebelum vaksin itu
digunakan. Hujah kedua adalah melalui kenyataan bahawa tidak ada sebarang kajian
saintifik dijalankan untuk membuktikan bahawa vaksin berkesan. Dan hujah ketiga adalah
berdasarkan premis bahawa vaksinasi adalah perniagaan yang menjana untung berbillion
ringgit dan itu menjadi motif utama perlaksanaan polisi pemberian suntikan vaksin.
Saya lebih suka dengan pendapat kedua dalam golongan anti vaksinasi ini iaitu penolakan
di atas faktor vaksin membawa kemudharatan. Antara yang menjadi fokus perbincangan
rakan seperjuangan Ayu diperingkat global termasuklah isu bahan logam berat yang
digunakan dalam vaksin, proses menutup mulut tentang komplikasi vaksin dan
kecenderungan vaksin untuk menyebabkan sesetengah penyakit terutamanya Autism.
Apa-apa pun puncanya, kita semua telah melanggar satu disiplin ilmu apabila masing
masing menjadi jaguh untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang isu ini melalui
manipulasi bukti saintifik yang dicampur dengan faktor luar. Faktor luar tersebut
termasuklah kecenderungan peribadi untuk mempromosi kaedah rawatan tertentu, faktor
agama, faktor sentimen semasa dan manipulasi ketakutan rakyat.
Sedangkan, perdebatan dan perbincangan berhubung vaksinasi telah berlangsung dalam
kalangan ahli perubatan sejak sekian lama dan ditambah baik dari sehari ke sehari.
Namun, apa yang menimbulkan masalah adalah apabila masing-masing berbahas untuk
mempertahankan hipotesis masing-masing. Dalam proses sains, hipotesis adalah satu

premis yang membawa kepada siri soalan klinikal dan kajian bagi membuktikan hipotesis
tersebut.
Namun begitu, ada kalanya proses membuat hipotesis ini sendiri sudah tidak betul. Ia
seakan membuat satu premis untuk membuktikan samada ayam atau telur wujud dahulu.
Samalah hal dengan vaksin. Antaranya dengan meletak premis bahawa vaksinasi
menyebabkan autism berdasarkan siri pemerhatian kes.
Perang Team Superman Vs Batman atau Stark Vs Rogers ini harus berlangsung dari sehari
ke sehari atas faktor untuk menambah baik mutu kesihatan sejagat. Cuma, adalah tidak adil
untuk kita menarik masyarakat umum dalam kancah perdebatan kita ini dengan
memberikan satu keputusan yang masih dalam keadaan samar-samar. Ini kerana, sentimen
dan stigma yang sedia ada dalam masyarakat akan menyebabkan salah faham semakin
menjadi-jadi.
Saya harap Ayu tidak kisah andai saya mendedahkan surat saya kepada awak ini untuk
menjadi tatapan masyarakat umum. Sebab, saya ingin mengatakan bahawa pergaduhan
antara pasukan kita ini harus diselesaikan secara professional di mesyuarat saintifik dan
kajian klinikal tanpa melibatkan masyarakat awam. Ini kerana, masyarakat awam sentiasa
sahaja salah faham dengan sebarang kenyataan tidak rasmi yang kita keluarkan.
Saya suka untuk menggunakan contoh kajian kontroversi Andrew J Wakefield yang
diterbitkan oleh jurnal perubatan, The Lancet. Bagi saya, penerbitan yang bersifat kecil
mutunya dari segi bukti klinikal dan perubatan tetap mempunyai pengaruh besar dalam
menimbulkan spekulasi.
Umum mengetahui, suara minoriti yang tidak popular lebih berkesan menimbulkan impak
pada masyarakat dunia di peringkat global pada masa kini. Malah, kita dapati juga bahawa
satu kesalahan kecil seorang individu akan menghapuskan 100 kebaikan individu tersebut.
Ia bukan salah siapa tetapi terjadi secara tidak sengaja di bawah minda separa sedar kita.

Saya sedar bahawa saya juga sebenarnya sedikit terbawa-bawa dengan sentimen ini hingga
mengeluarkan kenyataan yang sedikit keras berhubung wakefield termasuklah
menggelarkan beliau sebagai pengkhianat1
Maka dalam warkah saya untuk awak, adalah elok jika saya menilai kembali kes ini dengan
penuh adil. Kes ini sememangnya menarik di atas beberapa sebab;
1. Media memaparkan bahawa ini adalah pertarungan di antara Team Stark dan Team
Rogers. Team Stark telah mengeluarkan satu kajian2 yang diterbitkan dalam The
Lancet pada tahun 1998. Menurut artikel ini, mereka mengeluarkan satu hipotesis
bahawa vaksin bagi mencegah penyakit MMR menyebabkan kemerosotan penyakit
Autism dan masalah usus dalam 12 orang pesakit yang dirujuk kepada mereka.
2. Kajian ini menjadi antara momentum saintifik yang mencetuskan lebih penentangan
terbuka terhadap vaksinasi oleh professional perubatan. Malah ia membawa kepada
penurunan kadar vaksinasi untuk penyakit MMR3.

Graf oleh Tangled Bank Studios; data from the National Health Service of the United Kingdom
1

Dr Fahd Razy, Dr Noor Hayati Yasmin & Dr Jacknaim, Diagnosis 3: Mortuari, Dubook Press Sdn Bhd, ISBN; 978967-0723-48-8
2
Wakefield, AJ, Murch SH, Anthony A, Linnell J, Casson DM, Malik M, Berelowitz M, Dhillon AP, Thomson MA,
Harvey P, Valentine A, Davies SE, Walker-Smith JA. Ileal lymphoid nodular hyperplasia, nonspecific colitis and
pervasive developmental disorder in children. The Lancet. 1998;351:637-641. [retracted]
3
Emily Willingham and Laura Helft , "The Autism-Vaccine Myth", http://www.pbs.org/wgbh/nova/body/autismvaccine-myth.html

3. Satu siri penilaian terhadap artikel ini telah dilaksanakan dan pembuktian
dilakukan oleh Team Rogers bahawa Wikefield mempunyai kepentingan peribadi
memandangkan beliau terlibat sebagai panel perundangan untuk kes yang
melibatkan kesan sampingan vaksin dalam populasi autism. Tambahan pula,
terdapat tuduhan pemalsuan data dalam artikel tersebut.
4. Ini membawa kepada penarikan artikel tersebut pada tahun 2010.
5. Sepanjang 12 tahun penerbitan artikel ini, ia membuka ruang kepada kemunculan
golongan antivaksin. Natijahnya, kes seperti measles yang pada dasarnya terkawal
mula kembali muncul. Dengan mengambil kira kes di Wales,; Antara November
2012 dan Julai 2013, terdapat 1202 kes measles dilaporkan di Wales. 88 orang
dimasukkan ke hospital dan seorang pesakit berumur 25 tahun meninggal dunia.4

Persoalannya adalah, apa kebaikan yang diperolehi oleh dunia perubatan pada hari ini
apabila Wikefield digantung lesen dalam bidang perubatan? Adakah dunia menjadi
semakin aman dan wabak penyakit dapat dihapuskan?
Yang pasti, insan seperti saya akan menganggap Wikefield sebagai pengkhianat dan
golongan anti vaksin akan menjulang beliau sebagai hero masyarakat. Soalnya, adakah
Wikifield seorang anti vaksin?
Adalah wajar untuk kita memberi peluang kepada Wikefield5 menjawab segala pertuduhan
yang dilemparkan oleh beliau.
Penerbitan artikel Wikefield pada pendapat saya bukanlah satu usaha awal untuk
menghancurkan industri vaksinasi atau membuktikan bahawa terdapat komplot jahat ala
Pertubuhan Hydra dalam penggunaan vaksin untuk memusnahkan peradaban dunia.
Sebaliknya, ia adalah satu proses pembelajaran untuk cuba mencari kebenaran. Ia
dijelaskan sendiri oleh Wikefield dalam Callous Disregard.
4

Outbreak of Measles in Wales Nov 2012 July 2013: Report of the agencies which responded to the outbreak,
October 2013
5
Wakefield, Andrew J."Callous disregard: Autism and vaccines - the truth behind a tragedy." Skyhorse Publishing,
2010

Artikel Wikefield bukanlah satu kajian tetapi sebaliknya perkongsian pemerhatian. Dalam
erti kata lain, ia bukanlah penerbitan berkualiti tinggi dari segi bahan bukti. Semua orang
boleh membuat pemerhatian tetapi pemerhatian itu tidak semestinya benar. Sebagai
contoh;
Seluruh populasi dunia bersetuju bahawa ayam betina bertelur. Walaubagaimanapun, saya
telah membuat pemerhatian bahawa terdapat kecenderungan untuk populasi ayam di
Ladang Ternakan Ayam di Lahad Datu untuk bertelur antara jam 3 dan 5 pagi. Lantas saya
mengeluarkan artikel berhubung pemerhatian saya.
Kaitan antara Waktu Awal Pagi Dan Proses Bertelur dalam Populasi Ayam di Lahad Datu!
Masyarakat yang sudah biasa dengan penerbitan saintifik pasti akan tahu disiplin ilmu
yang diperlukan untuk mentafsir satu satu penerbitan saintifik. Oleh yang demikian,
mereka pasti dapat mencapai konklusi bahawa penerbitan saya ini tidak menggambarkan
seluruh populasi ayam di dunia. Akan ada saintis lain yang menjelaskan bahawa
pemerhatian saya betul tapi hanya melibatkan spesies ayam kampung. Tidak kurang juga
akan ada saitis lain yang mencadangkan agar pemerhatian saya ini dikembangkan untuk
dibuktikan kebenaran teori ini.
Akan tetapi, masyarakat awam yang tidak mempunyai pengetahuan dalam disiplin ilmu ini
akan menyebarkkan maklumat mengatakan bahawa Dr Jacknaim telah mengesahkan
bahawa ayam bertelur antara jam 3 dan 5 pagi. Maklumat ini akan tersebar dengan begitu
pantasnya pada era dunia tanpa sempadan ini. Kesannya, seluruh dunia akan percaya
dengan berita ini dan mereka mula mengutip telur pada jam 7 pagi sahaja. Akibatnya, telur
yang dikeluarkan pada waktu lain tidak dikutip. Keesokan paginya, mereka mendapati
bahawa jumlah pengeluaran telur bertambah dan lantas membuat konklusi bahawa
pengeluaran telur ayam adalah berkualiti pada waktu pagi. Sedangkan, mereka mengutip
telur ayam pada hari terdahulu yang diabaikan.
Wikefield mendapati terdapat persamaan dalam 12 orang kanak-kanak yang beliau rawat.
Majoriti mereka mempunyai perkembangan peringkat awal yang normal atau hampir
normal. Mereka juga berkeupayaan untuk belajar skill motor dan boleh ke tandas untuk
membuang najis. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa bilangan kanak-kanak itu yang
mengalami masalah kencing tidak lawas, gelojoh dan tanda tanda ketidakstabilan saraf
pusat. Para pesakit ini juga dinilai secara lebih lanjut dan didapati bermasalah dengan
system pencernaan. Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mempunyai ciri autism yang
tipikal di mana mereka masih boleh berinteraksi dan menunjukkan perasaan kepada orang
disekeliling mereka. Wikefield mengemukakan teori bahawa tanda-tanda ini terhasil
sejurus selepas kanak-kanak ini menerima vaksinasi kesan daripada pendedahan terhadap
kuman yang dilemah atau di matikan.

Dalam masa orang awam mengambil bulat bulat kenyataan bahawa vaksinasi MMR
menyebabkan autism, Wikefield sendiri menafikan dakwaan orang ramai terhadap artikel
beliau di dalam artikel itu sendiri.
We have identified a chronic enterocolitis in children that may be related to neuropsychiatric
dysfunction. In most cases, onset of symptoms was after measles, mumps, and rubella
immunisation. Further investigations are needed to examine this syndromes and its possible
elation to this vaccine.
Dalam penerbitan ini, wikefield sendiri tidak mengatakan bahawa MMR menyebabkan
autism tetapi terdapat tanda-tanda gangguan pada fungsi neuropsikiatrik dalam 12 orang
pesakit yang beliau rawat. Dan tanda-tanda gangguan ini tidak dapat disahkan samada
benar-benar terdapat kaitan ataupun tidak.
Wikefield selaku seorang pakar perubatan yang menjalani kajian ini juga sedar bahawa
masalah yang dihadapi 12 orang pesakit ini bukanlah autism secara absolut seperti yang
diterangkan oleh tetapi juga boleh disebabkan oleh masalah lain. Antaranya adalah
dementia infantilis yang akhirnya dikenali sebagai Childhood Disintegrative Disorder
(Heller's Syndrome)
Terdapat bukti bahawa pesakit yang menghidap measles secara semulajadi ataupun
penyakit lain yang menyebabkan jangkitan otak ada menyebabkan tanda-tanda
penyusutan fungsi neuropsikiatrik dalam kalangan kanak-kanak. Walaubagaimanapun,
menyalahkan MMR adalah sekadar satu tuduhan yang tidak dibuktikan berasas.
Wikefield dalam Callous Disregard sendiri menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan
bahawa kombinasi vaksin untuk measles yang digabung dalam bentuk MMR boleh
meningkatkan risiko untuk mendapat masalah penyusutan fungsi neuropsikiatrik. Akan
tetapi, buat masa kini ia tidak dapat dibuktikan.
James Moody dalam postscript buku Callous Disregard juga menyatakan bahawa mereka
(termasuklah Wikefield) mempunyai keinginan untuk melihat dunia memiliki vaksin yang
selamat dan rawatan yang lebih baik untuk autism. Wikefield dilihat sebagai seorang yang
memperjuangkan peranan golongan intelektual untuk menambahbaikkan vaksin.
Dalam erti kata lain, mereka membuat teguran terhadap pembuat polisi bahawa mereka
harus sedar bahawa akan berlaku peratusan yang sangat kecil masalah kemerosotan
neuropsikiatrik dalam minoriti kecil kanak-kanak. Dan ini akhirnya diakui sendiri oleh US
Department of Health and Human Services ada membayar pampasan kepada pesakit yang
mengalami komplikasi akibat vaksin seperti dalam kes Hannah Poling, Hiatt dan Bailey
Banks.

Walaubagaimanapun, kita pada hari ini sudah sedia maklum bahawa satu satu keputusan
perbicaraan mahkamah adalah bergantung kepada kekuatan premis dan hujah satu satu
pihak. Dalam erti kata lain, yang menang tidak semestinya benar dan yang kalah tidak
semestinya salah. Dan ia adalah termasuk dalam kes yang terpencil sahaja menggambarkan
bahawa kesan sampingan vaksinasi adalah terlampau kecil.
Akan tetapi, untuk kes yang melibatkan kesihatan manusia sejagat, tidak ada mahkamah
yang akan berkompromi dengan golongan anti vaksin. Contoh paling popular adalah dalam
kes Jacobson v. Massachusetts pada tahun 1905 yang menolak vaksinasi smallpox atas
alasan melanggar hak kebebasan konstitusi tanpa ada pengecualian agama.Dalam kes ini,
mahkamah menjatuhkan keputusan bahawa Jacobson tidak mempunyai hak untuk
menolak vaksin Smallpox atas premis membahayakan kesihatan sejagat6. Adakah ada di
antara kita pada hari ini yang menginginkan wabak smallpox kembali berleluasa?
Dalam warkah ini, saya masih belum menjawab kesemua pertanyaan Ayu. Kerana saya
akan cuba sedaya upaya saya membuktikan cinta saya pada Ayu dengan membuat kajian
setinggi awan dan sedalam teras kerak bumi berhubung isu vaksinasi ini. Persoalan Ayu
akan saya jawab secara perlahan-lahan.
Akan tetapi, apa yang saya ingin fokuskan melalui artikel ini adalah;
Ahli dalam bidang perubatan harus mengikuti disiplin ilmu dalam memberi cadangan
rawatan kepada pesakit. Adalah tidak beretika untuk kita golongan perubatan
mengeluarkan kenyataan atau teknik rawatan tidak standard atas apa-apa sahaja alasan
termasuklah mempromosi makanan Sunnah kesukaan Nabi Muhammad S.A.W. Perbuatan
sebegini tidak menjadi kegemaran Rasulullah bahkan mendapat peringatan yang cukup
jelas dari baginda.
Idzaa wussidal amru ilaa ghoiri ahlihi fantadziris saaah. Apabila perkara diserahkan
kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat. (HR Al-Bukhari dari Abi
Hurairah).
Penularan wabak dan plak yang membunuh jutaan manusia adalah umpama kiamat kecil
yang menjadi peringatan dari Allah kepada kita semua. Tidak mustahil, kerana keangkuhan
kita, kiamat sebenar akan terjadi.
Untuk mereka yang bukan ahli, adalah dinasihatkan anda tidak menjadi seorang
Ruwaibidhah. Elakkan memetik satu atau dua kertas kajian sains dan terus meletakkan
hukum yang disukai nafsu. Perbuatan menjadi wira di alam maya seperti apa yang Ayu
lakuka adalah salah. Disebabkan rasa cinta pandang pertama saya terhadap Ayu, maka
6

Jacobson v. Massachusetts, 197 U.S. 11 (1905). https://supreme.justia.com/cases/federal/us/197/11/case.html

suka kiranya saya mengingatkan Ayu tentang satu hadis Nabi untuk menjadi renungan kita
bersama.
Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu Alahi wa Sallam
bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh kedustaan, saat itu pendusta
dipercaya, sedangkan orang benar justru didustakan, pengkhianat diberikan amanah,
orang yang amanah justru dikhianati, dan saat itu Ruwaibidhah berbicara. Ada yang
bertanya: Apakah Ruwaibidhah itu? Beliau bersabda: Seorang laki-laki yang bodoh
namun dia membicarakan urusan orang banyak. (HR. Ibnu Majah No. 4036)
Saya menyusun kemaafan kerana warkah kali ini tidak menjawab persoalan Ayu secara
spesifik. Akan tetapi, saya hanya ingin memberi gambaran secara kesuluruhan tentang apa
yang saya rasakan menjadi pangkal pokok kepada masalah gerakan anti vaksinasi moden.
Saya berjanji untuk terus menulis kepada Ayu dalam warkah-warkah seterusnya. Buat
masa sekarang, saya ingin berehat sejenak sebelum kembali masuk bertugas menjalani
kerja hakiki dengan merawat pesakit. Saya doakan Ayu sentiasa berada dalam keadaan
sihat sejahtera dan dirahmati Allah. Doakan juga saya agar terus diberi kekuatan,
kebijaksanaan dan kemantapan skill dalam merawat pesakit pesakit saya. Akhir kata, sama
sama kita berdoa ke atas kesejahteraan pesakit kita. Dan sama-sama kita berdoa agar
tindakan kita dalam melaksanakan agenda anti vaksinasi ini tidak menjadi punca
berlakunya penularan wabak yang akan membunuh jutaan umat manusia.
Sampai berjumpa lagi dalam warkah seterusnya.
Yang merindui sang kekasih yang tidak pasti,
Dr. Jacknaim
(Dr Muhamad Naim Bin Ab Razak, M.D USM)

You might also like