You are on page 1of 20

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

ILMU PERKASIHAN (SEKSOLOGI) MELAYU TRADISIONAL:


SATU PEMBICARAAN AWAL
Dr. Harun Mat Piah*

Mukadimah
Ilmu Perkasihan yang dibicarakan dalam makalah ini merupakan bidang persoalan yang
cukup luas dan dibicarakan secara terbuka dalam kitab-kitab dan naskhah-naskhah lama Melayu,
sejak bermulanya tradisi penulisan manuskrip, khususnya yang tergolong dalam genre kitab tib
yang pada dasarnya merupakan ilmu perubatan Melayu tradisional. Namun, dalam masyarakat
Melayu termasuk masyarakat masa kini, ilmu atau pengetahuan ini dianggap taboo, tidak enak,
malah jijik untuk didengar terutamanya kepada golongan anak-anak dan remaja. Ironisnya
golongan tersebut dapat mengikuti persoalan ini mealui pembacaan, buku-buku lama dan baharu,
malah menelitinya dengan jelas, tanpa halangan melalui media maya, computer, cakra padat,
internet, yahoo, google, you tube dan sms melalui telefon bimbit. Makalah ini akan berbicara
secara terbuka, tetapi ilmiah, sesuai dengan kedudukan persoalan itu sebagai salah satu ilmu
yang penting dalam korpus ilmu atau epistemologi Melayu tradisional. Bahan dasar yang dirujuk
adalah dari manuskrip-manuskrip lama Melayu, khususnya MSS 218, MSS 2905 koleksi Pusat
Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan MS 119 dalam koleksi Pusat
Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain dari itu dirujuk juga naskhah-naskhah
lain dalam kategori yang sama, baik dari koleksi tanah air mahupun di luar negara.
Istilah ilmu Perkasihan yang digunakan dalam pembicaraan ini ialah dalam makna
seksologi yang sebelum ini dan yang difahami secara umum sebagai ilmu berahi (Harun Mat
Piah, dkk. 2000: 501-580), ilmu jimak, ilmu syahwat, ilmu perempuan (ilm an-nisa) dan
beberapa yang lain. Sementara istilah-istilah lain yang berhubungan dengannya, digunakan yang
dalam versi Arab yang terpakai dalam pengajaran Islam, antaranya wati (jimak, sexual
intercourse), zakar (penis), faraj (vagina), inzal (ejaculation, climax, orgasm), dan lain-lain.
Matlamat utama kertas kerja ini ialah memperkenal dan membincangkan bidang ilmu ini
sebagai suatu subgenre dalam korpus ilmu-ilmu tradisional atau yang dikenali sebagai
Kepustakaan Ilmu Tradisional (KIT), atau Sastera Sains dan Tekonologi Melayu Tradisional.
Dalam korpus ini disenaraikan sekitar 10 bidang ilmu yang dibicarakan dalam ratusan naskhah
manuskrip, tersimpan dalam pelbagai koleksi dunia. Bidang-bidang ilmu tersebut adalah :
i.
Ilmu Perubatan
ii.
Ilmu Ramalan (astrologi)
----------------------------*

Kertas Kerja Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu : Memartabatkan Manuskrip Melayu di Persada
Dunia, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur 6-7 Mei 2014. Penulis pada masa ini adalah Karyawan Tamu
Dewan Bahasa dan Pustaka dan pernah bertugas sebagai Mualim Tamu Perpustakaan Negara Malaysi, 2002. Kertas
kerja ini disediakan dengan menggunakan kemudahan dan pengalaman dalam kedua-dua institusi tersebut. Penulis
mengucapkan terima kasih serta memohon keizinan dari semua pihak berkenaan.

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

iii.
iv.
v.
vi.
vii.
viii.
ix.
x.

lmu Perkasihan (ilmu berahi)


Ilmu bahasa (nahu, surat kiriman)
Ilmu hisab / ilmu hitungan
Ilmu pertanian (tanaman, ternakan)
Ilmu bedil / peluru petunang
Ilmu pertukangan (rumah, senjata tajam)
Ilmu kesenian (lakonan, tarian, nyanyian, rekreasi)
Ilmu penulisan (warkah, manuskrip)

Beberapa jenis ilmu telah dikaji, diterbitkan, didedahkan kepada umum dan diangkat
sebagai khazanah warisan yang membanggakan; antaranya ilmu perubatan (kitab tib, mujarobat),
ilmu ramalan (ilmu nujum, ilmu bintang, raksi dan taabir mimpi); ilmu bahasa (tata bahasa, kosa
kata); ilmu bedil (peluru petunang dan ilmu menembak) dan ilmu diplomatik. Sementara ilmu
perkasihan (ilmu berahi, ilmu an-nisa, ilmu jimak) yang merupakan sebahagian daripada ilmu
perubatan di samping melibatkan ilmu-ilmu yang lain, setakat ini masih belum dikaji secara
ilmiah, sistematik dan menyeluruh. Ironisnya literature (kepustakaan) yang memfokuskan ilmu
ini terdapat cukup banyak di pasaran, dengan pelbagai judul dan ruang lingkup perbincangan,
tetapi tidak ada yang merujuk kepada sumber tertulis, naskhah atau manuskrip yang juga terdapat
cukup banyak dan telah wujud ratusan tahun dalam khazanah ilmu warisan Melayu.
Sesungguhnya taburan maklumat berhubung ilmu ini meliputi pelbagai judul, kategori,
malah dalam keseluruhan genre kepustakaan ilmu tradisional itu. Pada asasnya bahagian ilmu ini
terkandung dalam naskhah-naskhah dengan judul jimak, antaranya Kitab Jimak, Rukun Jimak,
atau lainnya. Naskhah-naskhanya tidak tebal, mengandungi sekitar 30-40 halaman dan bersaiz
kecil membicarakan tentang jimak, pendekatan dan hukum-hakamnya menurut Sunah
Rasulullah. Jumlahnya juga dalam beberapa koleksi agak terhad. Sumber kedua ialah yang
terkandung dalam naskhah-naskhah dalam kategori Kitab Tib, Kitab Ubat dan yang lain. Dari
sekitar 100 naskhah kitab-kitab tib, hampir semua memasukkan persoalan yang tergolong
sebagai ilmu perkasihan, baik dalam bab-bab tersendiri sebagai babul jimak atau bersama
dalam bab-bab yang membicarakan ilmu perubatan, penyakit, ubat dan rawatan. Sebagai contoh,
Kitab Tajul Muluk yang merupakan sebuah kitab tib Melayu yang tipikal membicarakan
bahagian ini dalam beberapa fasal, bersama ilmu perubatan, ramalan malah Terjemahan Hadith
Empat Puluh dan naskhah membicarakan asal kejadian langit dan bumi.
Konsep dan ruang lingkup Ilmu Perkasihan
Secara konseptual ilmu perkasihan (seksologi Melayu tradisional) yang dikemukakan
dalam perbincangan ini tidak sahaja memusatkan kepada makna ilmu berahi atau ilmu jimak
seperti yang difahami umum setakat ini, tetapi memasukkan semua persoalan yang berhubungan,
termasuk ilmu perubatan (penyakit, ubat dan rawatan), ilmu ramalan (astrologi, firasat dan raksi),
penjagaan kesihatan diri (riadah dan pemakanan) dan secara khusus merujuk kepada norma dan
amalan yang dibenarkan secara syariat yang dirujuk di sini sebagai Sunah Rasul (Sunah
Rasulullah s.a.w).
Sehubungan di atas, ruang pembicaraan ilmu ini baik secara keseluruhan mahupun
sebahagiannya diliputi kajian ini, dapat disenaraikan secara rambang seperti di bawah :
2

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

1. Semua yang berhubungan dengan wati, antaranya tentang cara, perlakuan, posisi,
peringkat dan waktu, menurut sunah Rasulullah.
2. Hukum-hakam: sunat, harus, makruh dan haram
3. Memperkasa keupayaan wati
4. Memperkasa anggota-anggota seks untuk kesempurnaan wati
5. Terapi untuk mempertingkat dan mengekalkan keupayaan wati
6. Penyakit, ubat dan rawatan penyakit syahwat: sakit tuan, sakit puan
7. Makanan dan pemakanan yang berhubungan dengan keupayaan wati
8. Pergerakan, senaman, urutan, terapi
9. Petua, pantang larang (perlakuan dan pemakanan)
10. Penggunaan doa, jampi, mantera, tuju, guna-guna
11. Penggunaan azimat, tangkal, cuca
12. Ilmu menggoda lelaki dan perempuan
13. Ilmu pengasih, pembenci, pakaian diri
14. Amalan ringan dalam kegiatan seharian, petua awet muda, menjaga serira dan rawatan
kecantikan
15. Ilmu-ilmu lain, ilmu perubatan (kitab tib), ramalan, raksi, firasat. laksana)
16. Pembelajaran, pewarisan dan penurunan ilmu, sastera (kitab), guru, ibu-bapa, ahli
keluarga dan rakan sebaya.
17. Media massa dan elektronik, internet, telefon bimbit
18. Lain-lain, termasuk yang tidak diliputi dalam perbincangan ini.
Sumber utama perbincangan :
1. Semua manuskrip dalam judul atau kategori ilmu jimak, kitab jimak, rukun jimak,
antaranya:
MSS 489, MSS 495 (218), MSS 2905 Perpustakaan Negara Malaysia
2. Manuskrip dengan judul atau kategori Kitab Tib, kitab ubat, mujarobat dll
yang memuatkan tentang jimak, bab al-jimak; antaranya:
MS 119 (DBP) MSS 300, MSS 2219, MSS 2999 Perpustakaan Negara Malaysia.
3. Sumber-sumber tertulis, yang khusus dalam ilmu itu atau yang umum dalam penerbitan,
buku, makalah dan penyiaran internet, you tube, edaran sulit, persendirian. Antaranya:
Permata Yang Hilang, Intan Istana Khalifah (Seni Asmara), Suami Romantik di Kamar
Yang Indah. Malam Pengantin, Lemah Syahwat dan lain-lain.
4. Sumber-sumber lisan yang khusus, umum, berwibawa atau picisan
5. Sumber-sumber lain yang tidak diliputi dalam artikel ini
Wati dan segala yang berhubung dengannya
Sebagai titik-tolak perbincangan diberikan petikan di bawah ini, persoalan tentang wati
dari sebuah sumber utama, manuskrip dalam kategori ilmu jimak, MSS 2905 Perpustakaan
Negara Malysia, hal.1-3.
Bahawa Allah Taala bermoya (?) barang siapa memelihara akan baginya, inilah
yang dinamai tertib apabila hampir kepada perempuan yang halal nikah. Pertama-tama
haram mengadap kiblat dan jangan kamu lupakan Allah. Setelah itu maka jabat tangan
3

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

kanan perempuan itu, maka memberi salam kepada perempuan itu bunyinya
Assalamualaikum ya abab al-rahman. Maka sahut perempuan itu demikian bunyinya,
Waalaikum salam ya sadiq al-amin. Maka naikkan ke atas kerusi maka jabat
pergelangannya kedua lalu turunkan kepada rusuknya maka lalukan kepada salbinya, maka
jabat hujung susunya kedua, permain-mainkan. Maka jabat pula pusatnya lalukan kepada
ari-arinya maka permain . . . . rasanya; apabila adalah alamatnya akan khayal rupanya maka
kenakanlah isyarat yang dua belas perkara cium:
Pertama-tama cium ubun-ubunnya, maka bacakan ayat ini Ya Latif Allah nur Ali alnur yahadallahu min yasya dan kedua cium telinganya, maka baca ayat ini Ya Sami fi
sami dan yang ketiga cium antara kedua keningnya maka baca ayat ini, Inna fatahna
laka fataha mubina dan yang keempat cium mata keduanya dan yang kelima cium pipinya
kedua maka baca ayat ini, Tahrim Ya Rahim Ya Allah dan yang keenam cium hidungnya
maka baca ayat ini Ya Rahman al-dunia Ya Rahim al-akhirat dan yang kedulapan cium
halkumnya maka baca ayat ini al-lazi al-niu al-samawati wal-ard dan yang kesembilan
cium tengkoknya, maka baca ayat ini Nurhaya al-imannamin azaka al-salihin dan yang
kesepuluh cium tapak tangan kedua, maka baca ayat ini Ya qadi al-hajat wa ya maftah
aftah dan yang kesebelas cium antara susunya kedua maka baca ayat ini, Ma kazab alfuad marai dan yang kedua belas cium hatinya maka baca ayat ini, Ya haiyum ya
qayyum.
Apabila sempurnalah yang dua belas perkara cium itu perlakukan kepada sifat nabi
kita; maka pertemukan dada sama dada dan hidung sama hidung dan mulut sama mulut dan
bahu samanya. Setelah sudah sempurnalah dibawanya syarat yang dua belas itu dan iman
pun itu maka galang pinggangnya barang empat jari. Apabila hendak mengenakan pintu
yang di bawah maka pertemukan pusatnya sama pusat, kenalah pintu yang di bawah.
Apabila hendak mengenakan pintu yang di kanan, lipatkan kakinya yang kanan hunjurkan
kakinya kiri. Apabila hendak mengenakan pintu kiri lipatkan kaki kiri, hunjurkan kaki
kanan. Dan setelah sudah pintu yang empat itu hendaklah lihat perempuan itu sendirinya di
dalam adanya.
Adapun makam yang tersembunyi di dalam apabila sudah kena yang empat pintu itu
dan yang di luar itu dan yang di dalam itupun keluarlah sendirinya seperti umpama bunga
kembang, apabila terhantuk menjadi sendirinya dan jangan tiada jaga dan nyata. Apabila
adalah seperti yang tersebut rasanya maka kalam kita itu tanamkan ke dalam; pancutlah
mani perempuan itu, tiada khabarkan dirinya daripada khayal. Apabila hendak undur,
lihatlah perempuan itu, barang kemuliaan Allah subhanahu wa Taala. Apabila hendak
menjagakan kenakanlah isyarat itu. Maka ambil air satu batil atau satu tempat, maka baca
doa ini:
Allahum ma ajha
Hai wadi, madi, mani
Kembali engkau kepada tempat datang
tiga kali berulang-ulang dan serta makrifat maka sapukan pada mukanya dan ubun-ubunnya,
insya Allah Taala, jinak maka bangun lalu sujud di ibu kaki suaminya. Inilah khayal nisyaan,

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

jangan syak lagi di dalamnya seperti kumbang menyeri bunga; inilah adanya, wallahu
alamu bissawab.
MSS 218 memulakannya demikian;
Bismillah ir-Rahman ir-Rahim. Ini suatu risalat pada menyatakan [jimak] dengan isterinya
yang tersebut di dalam Kitab Ibat dan lainnya. Bahawasanya sunat dahulu daripada jimak
itu memakai bau-bauan kedua laki isterinya dan bergurau-gurau dahulu dan bermain-main
dengan kelakuan yang menyukakan hati isterinya dan membangkit syahwat seperti
dipeluknya dan diciumnya akan dia dan dipermainnya hujung susunya dan digerakkannya
kepala zakarnya atas kedua bibir faraj isterinya; kerana yang demikian itu terlebih segera
mendatangkan berahi perempuan. Maka sigianya janganlah dijimak akan isterinya
melainkan hingga nyata berahinya kepada jimak seperti bergerak-gerak tubuhnya dan
singkat nafasnya, pada ketika itu masukkan zakar kita hingga kadar hasyfahnya juga; dan
kata setengah ulama adalah tempat lazat cita rasa jimak itu hasil kadar hasyfahnya juga.
Maka apabila bertambah berahinya dan bergerak-gerak tubuhnya maka dimasukkan
zakarnya kadar hajatnya sekira-kira hasil bersamaan inzal dan bertemu kedua mani itu
terlebih menambah lazat kedua pihak dan mewarisi berkasih-kasihan dan mewaisi rajin dan
berilmu pada anaknya apabila jadi anak dari maninya dengan jimak itu.
[Dan lagi] tersebut dalam Kitab Rizqi, bahawa kata setengah ulama, jimak yang
tiada mengerjakan kelakuan yang mendatangkan berahi perempuan itu mewarisi pada
anaknya bebal dan kurang akal dan penyakit.
Kata Syeikh Mazjid dalam Kitab Atan, bahawa sunat ketika jimak itu membaca
Bismillah dan membaca Allahum majannibnasyaitana wajannibnasy syaitan ma razaqtana.
Dengan nama Allah Hai Tuhanku jauhkan olehmu akan kami syaitan dan jauhkan akan
syaitan barang yang engkau rezkikan akan kami anak kerana tersebut di dalam hadis
barang siapa membaca dia tatkala itu tiada memberi madarat syaitan akan anaknya apabila
dianugerahi Allah taala akan dia anak dengan jimak itu. Dan apabila terdahulu inzal mani
suaminya sigianya hendaklah dinantikan hingga inzal isterinya supaya sampai hajat
keduanya.
Instruksi dan huraian yang sama disampaikan juga dalam bentuk syair dengan judul Bahr
an-Nisa (Laut Perempuan) dalam naskhah lain, MSS 2590 (Syair Laksana Kita). Sebahagian
daripadanya berbunyi demikian:
Bahr an-Nisa sempurna nikmat
Di dalamnya lengkap sekalian nikmat
Air zamzam yang amat lazat
Memenuhi cita rasa dan fuad.
Ombaknya besar tiadakan padam
Batangnya banyak timbul tenggelam
Riaknya sangat menggoncang alam
Banyaklah kapal di sana tenggelam.
***
5

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Laut Nisa sedia terperi


Suatu takluk tujuh negeri
Tujuh lapis kota kudrati
Alat senjata hadir menanti.
Tujuh lapis kotanya itu
Empat pintunya ada di situ
Keempatnya itu lorongnya satu
Ingat-ingat kita di situ.
Menteri ketiga disuruh menyerang
Tinggal dua bertikam seorang
Jangan terlanggar di atas karang
Kalau banyak air di ruang.
Jikalau sungguh anak bangsawan
Jadi bertikam dengan pahlawan
Cari tipu daya melawan
Supaya bangat boleh ditawan.
***
Kuala yang di atas Khatijah namanya
Itulah nikmat yang sempurnanya
Kata arif bijaksananya
Tetaplah Awang akan rencananya.
Jika Awang tuntuti di sini
Dengarkan pula pesan ku ini
Kata orang arif Rabbani
Jalannya sukar lorong di sini.
Kata mualim yang bijaksana
Lihatlah pedoman yang sempurna
Bilanglah kepada pergi ke sana
Labuhlah sauh beri terkena.
***
Di kanan Maimunah yang tertentu
Sungguhpun lindung ada di situ
Mualim wei tuju kualanya itu
Jangan terlanggar di atas batu.

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Jangan seperti mualim yang buta


Lain kuala lain dikata
Lihatlah pedoman nyata-nyata
Di sanalah konon labuhan kita.
Jikalau di sana kita berlabuh
Supaya hilang hati yang gundah
Bukalah dagangan bersungguh-sungguh
Labuhlah sauh berinya tangguh.
***
Ummi Salamah daripada kiri
Tentulah Awang jangan engkau peri
Kata mualim yang biasa ke mari
Sungguhpun tentu tiada fikiri.
Hai segala mualim yang bijaksana
Layarkan kapal jangan terkena
Tuju kuala pergi ke sana
Di sanalah dagangan yang amat sempurna.
Jika dituju pula ke bawah
Di situlah konon khairnya susah
Mualim menetap serata daerah
Kepada kuala Siti Aisyah.
Ayuh mualim yang bijaksana
Silakanlah awang pergi ke sana
Jangan bermain berinya lena
Keajaiban kita ada di sana.
Kepadamu itu kukuhkan handai
Kepada labuhan sedia sampai
Dagangannya banyak serba rampai
Di sanalah baik bernika bagai.
Jikalau sampai mualim ke sana
Ada suka dengannya sempurna
Kekayaan Allah Tuhan yang Ghana
Leka dan lalai terlalu bahna.
***
(Syair Laksana Kita, MSS. 2590 Perpustakaam Negara Malaysia, hal. 15-24)

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hukum hakam semasa wati


MSS 218 seterusnya menyatakan:
Dan sunat bahawa jangan disunyikan daripada jimak dengan isterinya di dalam tiaptiap empat malam sekali, jika tiada uzur dan sunat apabila ia datang daripada pergi-pergian
dan sunat jimak berselimut dengan satu selimut dan tidur keduanya di atas suatu hamparan
dan demikian lagi sunat mengambil wuduk antara dua jimak dan demikian lagi sunat
mengambil wuduk kemudian daripada jimak apabila hendak makan atau minum atau tidur.
Dan makruh makan atau minum atau jimak pula atau tidur orang yang junub itu dahulu
daripada membasuh zakarnya dan mengambil wuduk.
Dan makruh atas suami menilik kepada faraj isterinya tatkala jimak atau lainnya dan
menilik kepada batin faraj lebih keras makruhnya yang demikian itu [mewarisi] buta yang
menilik atau buta anak atau buta mata hatinya.
Dan makruh berkata-kata pada ketika jimak dan haram mengkhabarkan kelakuan yang hasil
antara kedua laki isterinya.
Dan lagi makruh pada malam permulaan bulan dan pada malam kesudahannya dan
pada malam pertengahan bulan kerana sekalian itu syaitan hadir ia pada sekalian malam itu
serta orang yang jimak maka jimak ia sertanya. Dan demikian lagi kata Imam al-Ghazali di
dalam Kitab Ihya Ulumuddin: dan sedianya hal junub; tetapi jika mandi ia kemudian
daripada jimak tiada mengapa.
Dan ceriterakan daripada Imam Syafie radiallahu anha, bahawa malam yang terlebih
baik jimak di dalamnya itu iaitu malam Jumaat dan malam Isnin dan malam Khamis kerana
Nabi kita Sallallahu alaihi wasallam adalah ia jimak pada malam yang tersebut itu tetapi
tempatnya itu tiada permulaan dan tiada kesudahannya dan tiada pertengahannya. Dan
makruh jimak pada siang hari melainkan di dua hari jua tiada makruh di dalamnya iaitu hari
Jumaat dan hari Khamis. Dan harus jimak dengan perempuan yang bunting dengan tiada
makruh hingga keluar anaknya maka pada ketika itu makruh. Kata setengah ulama makruh
jimak dengan perempuan yang bunting apabila ada buntingnya itu tujuh bulan. Wallahu
alam.
Posisi wati
Mengenai posisi atau kedudukan dalam melakukan wati, MSS 218 menyatakan
demikian:
Syahdan tersebut di dalam Kitab Kanz al-Ikhtisas, bahawa kelakuan jimak itu
amat banyak; setengah daripadanya memberi mudarat dan setengah memberi manfaat.
Bermula jimak berdiri amat jahat kerana mewarisi penyakit pinggang dan melemahkan lutut
dan jimak [mengiring] pada lambung itu sangat jahat kerana mewarisi penyakit pada karung
mani, menjadi keras di dalam zakar dan jimak atas kelakuan laki-laki di bawah dan
perempuan di atas, tertiarap-tiarap dan ialah seperti kelakuan laki-laki, iaitu sangat jahat
kerana mewarisi penyakit kudis, bengkak kepala zakar dan jimak sambil duduk berhadapan
itu sangat jahat kerana (..) kuat yang diam keduanya dan mendaifkan dia. Dan jimak atas
8

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

kelakuan perempuan seperti sujud sembahyang dan dating laki-laki daripada belakang
sangat jahat kerana mewarisi jahat rupa anaknya dan jadi anak dengan jimak itu.
Adapun kelakuan jimak yang terlebih baik maka iaitu bahawa perempuan bertelentang
dan dimasukkan kedua kaki laki-laki antara dua paha perempuan, di atas kedua paha lakilaki; maka kelakuan ini memberi manfaat kepada [laki-laki dan] perempuan. Dan kelakuan
jimak yang terlebih baik daripada itu bahawa bertelentang perempuan itu, di bawah
kepalanya bantal dan digalang kepada pinggangnya dan dihimpunkan kedua paha
perempuan itu kepada dadanya maka dijimak akan dia pada hal bersama laki-laki dan
perempuan menggerakkan tubuhnya. Maka kelakuan ini memberi manfaat akan kedua pihak
laki-laki dan perempuan, lagi memberi lazat cita rasa kepada kedua pihak. Demikianlah
tersebut dalam Kitab Kanz al-Ikhtisas.
MSS 2905 PNM memberikan deskripsi yang agak simbolik, walaupun menyatakan
perkara yang sama:
Sebermula tiada harus wati, baring-baring kakinya iaitu fiil ular. Bermula jika
perempuan itu berbaring pahanya atas paha suaminya, iaitu fiil gajah. Dan jika perempuan
itu berbaring, kakinya dihunjurkan keduanya iaitu dipertemukannya iaitu fiil ikan. Bermula
jika perempuan berbaring maka datang dari belakangnya iaitu fiil haiwan. Bermula jika
perempuan itu berbaring maka datang kita dari hadapan maka dikokaknya (?) iaitu fiil
Firaun, iaitu sesat. Bermula jika perempuan itu duduk dan suaminya pun duduk maka iaitu
fiil jin dan jika perempuan itu berdiri dan laki-laki pun berdiri juga maka iaitu fiil syaitan
adanya. Maka sembah Ali, Ya Rasulullah, mana tertib yang sah? Maka sabda Rasulullah,
Ya Ali, adapun tertib yang sah maka perempuan itu didudukkan ke atas kerusi dan tangan
kita yang kanan menampung arasy maka tangan kita yang kiri membukakan pintu
syurganya yang tujuh. Hatta maka bergantung tangan kita di atas bukit Jabal, kemudian
masukkan laut Masrabtul Haram diperbuat di dalam laut Sijwan, maka masuklah ke dalam
laut itu, tetapkan anggota dengan hikmat Nabi Allah. Maka pandang laut Kursangi itu laut
Sijwan dan jangan lalai daripadanya. Maka adalah seperti sifat Nabi s.a.w. adanya,
bertambah barkat guru maka sempurnalah jabat itu.
Seterusnya dinyatakan beberapa bab atau fasal pada beberapa perkara berkenaan,
antaranya;
- Pada menyatakan perkataan mengetahui peredaran mani laki-laki dan perempuan.
- Tertib mendekati isteri: Sabda Nabi, fardu atas segala mukmin mengetahui tertibnya tatkala
hendak dekat dengan perempuan kita yang halal.
Sabda Rasulullah Hendaklah kami beritahu akan peri tertib tatkala dekat dengan
isteri yang halal. Maka sembah Ali, Ya Rasulullah berapa syarat wati itu? Maka sabda
Rasulullah, Atas delapan perkara. Pertama-tama adab pada isteri yang halal; dan kedua
dengan ridanya dan ketiga adab masuk khatannya dan keempat adab tatkala ghalib dan
yang kelima adab sama duduk dan yang keenam adab tatkala terbuka pintu syurganya dan
yang ketujuh adab tatkala inzalnya dan kedulapan pada waktu malam.
Ciri-ciri kesempurnaan wati
MSS 2905 menyatakan:
9

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Adapun yang dinamai laki-laki itu hendak juga tahu akan laki-laki yang lain daripadanya;
maka sempurnalah laki-laki. Umpamanya seperti kita hendak berperang suatu negeri yang
besar pada rasa hati kita akan merampas negeri itu. Jika kita p.d.j.h. kan perang itu maka
kita belum sempurna hulubalang kita namanya yang musuh itu tiada harus dipermudahmudah, hendaklah melawan dengan tetap-tetap maka dapatlah negeri itu. Dan jika kita
serbukan diri kita ke dalam kota nescaya dikeluarinya kita tatkala ia keluar itu dapat
diperoleh negeri itu, demikianlah kehendaknya maka sempurnalah pengetahuan kita di
dalam dadanya.
-,
Terdapat beberapa doa, jampi dan mantera mengiringi perlakuan wati; antaranya
seperti yang dinyatakan dalam MSS 2905:
BAB ini doa tikam kepada perempuan juga. Inilah doanya yang dibaca
Assalamu alaikum ya syaitana zabaniah; angkat engkau, Ali akan datang Maka ada pula
isyarat ini / (baca):
Auzubillahi minasy syaitani
mal wujudi ya syaitani zabaniah
Nyah engkau daripada pintu rahmat dan pintu nikmat
dan ketujuh pintu langit terbuka kepada aku
dan pintu Khatijah dan pintu Aisyah dan pintu Maimunah
dan pintu Umi Salamah terbuka kepada aku
Ya Rahim, Ya Ghafur, Ya Allah
lemah gementar urat Fatimah
aku memakai ilmu an-Nisa
kalam ku seperti besi kursani
wadi mani manikam
aku tahu asal mulamu menjadi
dari darah segumpal asal mulamu menjadi air
asal keluar menjadi angin
asal keluar menjadi api
asal keluar menjadi bumi
asal keluar menjadi . . .
berkat Lailahaillallah Muhammad Rasulullah.
Memperkasa keupayaan wati dan anggota yang berkenaan
Seksologi Melayu tradisional tidak mengemukakan secara terinci bahagian-bahagian
anggota wati seperti yang terdapat dalam seksologi universal. Tiada juga gambar atau lakaran
untuk anggota-anggota yang dirujuk. Hanya satu lakaran stylized form untuk faraj dengan
menunjukkan bahagian-bahagian zon erotika yang disebut sebagai pintu-pintu Khadijah, Aisyah,
Maimunah, Umi Salamah dan pintu sebenar yang dianggap sebagai penyelesaian dalam
kelakuan berperang atau pendekatan wati yang sempurna. Lakaran yang cukup umum dalam
kebanyakan naskhah ilmu perkasihan, termasuk kitab tib dan kitab jimak adalah seperti di
bawah:

10

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Bahagian atau pintu-pintu yang dirujuk diberikan dalam doa ini (MSS 2905)
Hai Salamah, Maimunah, Khatijah, Aisyah
bersihkan engkau daripada pintu Fatimah
aku hendak memasukkan julu-julu (?)
hendak menemukan bunga sekuntum
di dalam kandang Rasulullah
aku hendak menemukan nikmat syurga Jannatun-Naim
berkat Lailaha ilallah Muhammad Rasulullah.
Sebahagian besar persoalan dalam kebanyakan naskhah ilmu perkasihan ialah pada memperkasa
keupayaan wati, termasuk anggota-anggota kelamin, terutamanya zakar, antaranya;

11

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Ubat kuat zakar


Fasal pada menyatakan ubat yang mustajab amalan ubat kuat zakar atau tiada melawan
inilah adanya. Adapun ubat ini keturunan daripada Tuan Syed Hamid yang di Tanah Jambi
dan turun kepada Nakhoda Jait dan turun kepada Syeikh Said Bin Awak dan turun kepada
Abdullah dan kepada hamba. Adapun beramal pagi-pagi, belum terbit mata hari dan yang
disuruh minum air kelapa barang sekuat-kuat kita meminumnya air kelapa itu. Setelah sudah
daripada itu maka ambil pula telur ayam hitam tiga biji dan sebiji sepagi maka dipecah
ambil kuningnya sahaja dan putihnya jangan masuk dan ambil air madu sekulit telur dan air
pati kunyit sekulit telur dan air bawang merah sekulit telur itu juga dan minyak sapi dan
terlebih afdal minyak bijan setengah takar kulit telur itu maka campurkan semuanya itu pada
mangkuk putih maka baca ayat ini tatkala hendak minum ubat itu, diperbuat barang tiga pagi
dan demikian juga air kelapa itu / dan demikian juga rempah-rempah itu. Adapun tatkala
minumnya bacalah ayat ini Wasysyamsi tajri limustaqarri laha zalika taqdiril azizil alim;
insya Allah Taala terbawalah oleh zakar kita dua biji kelapa; akan kata petua guru, inilah
adanya.
Fasal pada menyatakan amal pinggang daripada wujud amal di dalam air hingga pusat.
Maka sambil dibaca serta mengurut tubuh semuanya inilah isimnya kita baca:
Bismillah ir-Rahman ir-Rahim / Haiyyi Daim Qaim Baqi la yamaut. Sudah mandi
minumlah ubat ini mengadap ke matahari hidup. Adapun rempah-rempahnya telur ayam
baru bertelur sulung satu biji, ambil kuningnya; dan air pati kunyit setakar kulit telur itu dan
air madu sekulit telur dan pati santan sekulit telur dan minyak sapi sekulit telur dan cengkih
barang empat kuntum dan pala sebelah, maka giling lumat-lumat dijadikan satu semuanya.
Maka tiap-tiap kali mandi diminum ubat itu kepada pagi-pagi hari, insya Allah Taala terlalu
mujarab, afiat.
Fasal beramal daripada perajar Abdulah ibn Ahmad daripada membaiki pinggang juga
adanya dan ajar di kita yang dipakai oleh orang laki-laki atau orang tua-tua atau orang mudamuda, insya Allah Taala garang olehnya. Adapun tatkala kita bangun tidur itu kita
bersenamlah serta mencapai ibu kaki kedua maka kita lepaskan perlahan-lahan serta kita
pukul punggung kita dengan tangan kita yang kedua barang tiga kali maka kita baca doanya:
Bangun Si Lanang Jaga, bangun bangun sekam Allah
Bangun-bangun Si Lanang Jaga, bangun.
Telah sudahlah yang tiga kali itu maka kita hunjurlah tangan kita keduanya ke atas serta
terajangkan kaki keduanya itu berganti-ganti adanya. Lalu kita mandi serta urut-urutlah
semuanya lalu kita bersenam. Akan senamnya demikian juga seperti yang tersebut dahulu
juga. Adapun doanya lain sedikit daripada yang dahulu itu kerana di dalam air itu sehingga
pusat dia duduk, ini doanya:
Hai engkau, bangun
namanya daging kita adanya
hai Maharaja Lela, bangun
hai besi kursani, bangun.

12

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Adapun tatkala bangkit daripada air itu kita mengadap ke matahari hidup serta berdiri
lalu bersenam seperti yang tersebut dahulu itu adanya. Sebagai pula tatkala sudah barang itu
kecil kita picitlah ujung kalam kita, inilah doanya ujud, yang kedua maujud dan ketiga air
ujud, itulah katanya adanya.
Dari MS 119 DBP, dinyatakan, antara lain:
Bab ini hendak memberi lazat perempuan. Maka ambil halia padi maka diasah dengan
hempedu ayam jantan. Maka disapukan pada zakar kita. Maka apabila kering, bawa jimak.
Maka terlalulah lazat kesukaannya perempuan tiada dikhabar dirinya. Tamat. Bab ini hendak
memberi lazat juga perempuan. Maka diambil daun peria dan cekur, asah dengan air bubuh
kapur barus sedikit, maka sapukan pada zakar kita. Apabila sudah kering maka bawa jimak
terlalulah lazat pada perempuan itu. Tamat.
Bab ini jika hendak beri perempuan itu benci kepada [laki-laki] yang lain. Maka ambil
hempedu katak dan kapur barus, berat dua kupang. Maka mesrakan dengan hempedu katak
itu maka sapukan sedikit pada hujung zakar kita. Maka bawa jimak dengan perempuan itu,
nescaya tiadalah ia kehendak kepada laki-laki yang lain lagi [dari] kita.
Bagi perempuan diberikan cara memperbaiki prestasi faraj bukan sahaja untuk
kesihatan diri, tetapi juga untuk kesempurnaan wati, dan menambat hati suami; antaranya
MS 119 DBP menyatakan demikian:
Sebagai lagi ubat kepada perempuan terlalu mustajab dengan suaminya sebab kerana
makan ubat ini. Maka ambil hempedu kambing hitam dan air madu, asah dengan hempedu
kambing itu dengan air madu maka minum barang tiga pagi, insya Allah Taala, afiat.
Sebagai lagi ubat perempuan yang hilang daranya, ambil air cuka dan kapur barus dan
lada sulah tujuh biji dan bawang merah dan jemuju Jawa serba sedikit maka giling lumatlumat maka masukkan ke dalam farajnya; atau diminum; insya Allah afiat, pulanglah seperti
dahulu adanya.
Sebagai lagi ubat perempuan juga supaya kembali daranya seperti dahulu, maka ambil
manjakani dan jintan putih dan akar kunyit dan telur ayam hitam maka rendang dengan
minyak lenga, demikian, barang tiga pagi insya Allah kembalilah daranya seperti dahulu
adanya.
Sebagai lagi ubat perempuan juga, terlalu lazat dirasa oleh suaminya, ambil ayam hitam
selasih barang seekor maka ambil hempedunya, campur dengan air madu, maka minum
barang tiga hari, lazat dan nikmat rasanya oleh suaminya, lagi hangat olehnya, afiat.
Sebagai lagi ubat perempuan juga supaya panas farajnya maka ambil daun tanjung
sedikit dan p.m.r (?) berat dua kupang giling lumat-lumat; akan airnya air sejuk, diminum
tiga pagi, insya Allah afiat.
Sebagai lagi ubat perempuan juga supaya rasanya seperti orang lagi dara maka ambil
ibu kunyit sebuku, bubuh kapur, dimakan dengan sirih; tatkala makan serta dengan suaminya
13

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

demikian tiga pagi. Bermula membaca doa ini jangan bernafas, dibaca tujuh kali senafas.
Inilah doanya: Bismillah ir-Rahman ir-Rahim, tiba Rasul sirah suatu. Adapun isyarat ini
apabila hendak setubuh dengan isterinya maka ambil air limau, sapukan pada kalam kita,
maka tepuk pinggangnya tiga kali, insya Allah, afiat.
PENGUNCI: (1292: 163)

Fasal pada menyatakan hikmat pengunci yang amat mustajab. Adapun fiil kunci itu sekalikali tiada dapat dihampiri laki-laki yang lain. Jika laki-laki berkehendak perempuan tiada
mahu; jika perempuan berkehendak laki-laki tiada mahu. Lagipun sekali-kali tiada dapat
terbuka oleh laki-laki yang lain. Maka ambil kepala kura-kura yang mati di dalam lukah,
yakni bubu. Syaratnya bubu yang baharu dibuat serta sudah ditahan terkenalah kura-kura itu;
serta kena matilah kura-kura itu, itulah diambil akan kepalanya; maka taruh kering. Maka
kita jimaklah dengan perempuan itu. Maka ambil kapas maka sapukan dengan air pada perut
perempuan itu beri basah-basah. Setelah sudah maka kapas itu permasukkan di dalam mulut
kura-kura itu. Sudah dimasukkan, simpal ketat-ketat, taruh baik jangan hilang. Jika hilang,
seumur hiduppun tiada terbuka lagi sehingga terputuslah ajal itu maka terbuka faraj
perempuan itu. Dan apabila hendak jimak dengan perempuan itu bukakan simpai itu dan
keluarkan kapas itu maka dapat jimak dengan dia. Jikalau tiada dibuka simpai itu lalu serta
dikeluarkan kapas di dalam mulut kura-kura nescaya tiadalah dapat diwati. Setelah sudah
diwati maka dimasukkan pula kapas itu, bubuhkan simpai itu sentiasa demikian juga nescaya
dapat terkunci dan terbuka olehnya; wallhu aklam.
Terapi untuk Qahar zakar (1292: 62v):
Fasal pada menyatakan syarat qahar dan sangat ghalib. Pertama, tidur dengan
perempuan jangan jimak, sekadar bergurau bersenda juga. Apabila jagalah zakar itu dan
rasanya keluar wadi mazi, maka bawa bersuci dahulu serta dengan diperbanyak-banyakkan
air, dipersucikan sekira-kira mati zakar daripada jaganya itu, basuh jangan kurang air dan
urut-urut. Di dalam sudah mati itupun basuh juga hingga jaga pula dalam bersuci itu juga.
Apabila sudah jaga maka bawalah jimak kadar sesaat juga, jangan lama; kira-kira tetap wadi
dan mani, sebab itulah jangan diperlama, sekadar lima kali antuk, maka kita undur pula
bersucilah lagi dengan diperbanyak-banyak air dipersucikan itu hingga mati zakar itu dan
basuh jangan kurang serta urut-urut jangan beri kurang. Apabila zakar itu jaga pula di dalam
basah itu juga yang memberi jaga itu maka bawa jimak pula. Lama jimaknya itu digandakan
daripada yang dahulu tetapi jangan diberi inzal mani sekali-kali; demikianlah dikerjakan
kadar tiga malam berturut-turut juga; insya Allah Taala hasillah kehendaknya.
Dan lagi isyarat pula, tatkala hajat seni, hendaklah berkumur-kumur d.i.w.a.n.
namanya dibawa sentiasa mengurut zakar barang sejumaat lamanya, tiadalah menderita
ghalib zakarnya itu anugerahi Allah Taala dan berkat Muhammad Mustafa s.a.w.
Ubat kuat zakar (300: 136)
Bab ini suatu hikmat terlalu mustajab. Jika kita maukan zakar utu besar atau kecil ikut
kita jamah. Jika dijamah lengan, besar lengan; jika dijamah ibu tangan besar ibu tangan ikut
kita jamah itulah. Hendaklah kita cari nyiur hijau yang tinggal bermasak akan cambah, beri
14

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

tumbuh matanya lepas kulinya juga. Maka kita ikat matanya bekas tumbuh itu, jangan
dikupas kulitnya, beri dengan kulitnya. Maka kita buangkan airnya beri tinggal dua bahagi
dalamnya itu; sebahagi buangkan. Sudah itu pergi cari lintah yang tua, besar, pada lahar atau
kubang, maka kita ambil hidup, bawa mari, lepaskan dalam air yang ditebuk itu. Sudah juga,
seumbat dengan kayu besar, beri kejap-kejap. Sudah juga, gantung, taruh seperti kita
gantungnya benih itulah, hingga umbut akan buruk air itu, curi lihat pula, keringkah atau
tidak keringkah, hidupkah atau matikah; lambat kering juga belum. Air itupun habis dimakan
lintah itu; maka ambil lintah itu, gantung pula, tadah, ambil minyaknya. Minyak itulah
sapukan pada zakar kita minyak di tapak tangan itu; barang di mana jamah itulah. Ingatingat, jangan lekat lama pada tangan kita; insya Allah Taala.
Sebagai pula ubat lemah (zakar), pertama cari temasu yang tanggal y.ng.b.ny. Tatkala
pergi mengambil dia pada hari Selasa, mengadap ke mata hari naik. Ambil akarnya dan
kulitnya dan daunnya dan pucuknya, bunganya, buahnya sekalian itu, giling, ambil patinya.
Urutkan pada ari-ari hingga sampai pada qalam kita, insya Allah Taala.
Penggunaan ilmu lain
Ilmu Pengasih (MS 119: 3)
Bab ini pengasih. Dijampi pada makanan barang apapun diberikan orang yang kita
berkehendak itu makan; insya Allah taala mujarab.
Hai si tandang desa
apa buat engkau berjalan malam
hendak mengambil besi sembilan desa
apa hendak perbuat besi sembilan desa
mengambil sinar matahari
hai sinar matahari
ku pinjam suria engkau
mengambil roh si anun itu
kalau ia tidur engkau perjaga
jikalau ia jaga engkau perduduk
jikalau ia duduk engkau perdiri
engkau perjalan juga bawa kepada aku
dari kepada malam ini
jikalau engkau tiada bawa kepada aku
ku masukkan engkau neraka ketujuh
jikalau engkau bawa kepada aku
engkaulah saudaraku
dari dunia sampai ke akhirat
berkat Lailahaillallah Muhammad rasulullah
Penggunaan ilmu pengasih yang lebih khusus ditujukan kepada suami dapat dilihat
dalam Perhimpunan Gunawan Bagi Laki-laki dan Perempuan karya Khatijah Terung,
seorang penulis wanita dari zaman Kesultanan Riau sekitar akhir abad ke-19. Antara lain,
beliau menulis:

15

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Bermula inilah kerana seruan semangat ditepuk kepada bantal ada ketika hendak tidur,
maka kita serulah semangat suami kita. Nescaya teringat-ingatlah ia kepada kita, hampir
tiada dapat diperikan. Dan jika tiada kendalanya nescaya datanglah ia di ketika itu juga
mendapatkan kita. Jika ia di seberang lautan sekalipun, nescaya dan terkadang datang
semangatnya melawati kita di dalam tidur cendera kita. Maka inilah serapahnya:
Kur emangat si anu anak si anu
Dipanggil mari, dilambai datang
Teringat-ingat kepada ****ku
Pada pgi dan petang.
Bagi seribu prempuan
Aku seorang juga dipandang cantik
Dilihat boleh, ditatap manis
Tiada tara tiada tolok tiada banding.
Terbelahlah jantung hati
Si anu anak si anu
Tunduk kasih sayang kepada aku
Dan mabuk gila branta cinta berahi kepadaaku
Terasakan kepada si anu anak si anu
Akan sedap nyaman lazat
Cita rasa lubang ****ku
Tubuh nyawanya terserah kepada ku
Berkat kabul doa
Lailaha illallah, Muhammad Rasulullah.
(Ding Choo Ming, 2002:53)
Penyakit, Ubat dan Rawatan
Senggugut
BAB ini ubat senggugut. Adapun senggugut itu atas tiga perkara. Pertama senggugut
bangkai namanya dan kedua senggugut lintah namanya dan ketiga senggugut bunga. Adapun
senggugut bangkai itu bau darahnya busuk dan senggugut lintah itu baunya hanyir dan
senggugut bunga itu baunya harum. Adapun akan ubat senggugut bangkai itu, ambil umbi
pandan yang belum berbunga, panjang setelunjuk dan bunga cempaka yang belum kembang
dan daun selasih segenggam erat dan buah mengkudu yang mengkal tiga buah. Maka ambil
uumbi pandan itu, kupas buang kulitnya maka basuh cuci-cuci. Setelah sudah maka ambil
roman padi, bakar ambil abunya dibubuh air maka heningkan air itu, ambil taruh pada
mangkuk. Kemudian ambil umbi pandan dan mengkudu dan selasih dan bunga cempaka itu,
iris-iris lumat-lumat masukkan ke dalam air itu, embunkan, pagi-pagi minum. Adapun
tatkala membuat ubat itu manakala sedang datang haid bersih maka berlangir dahulu; maka
baharu makan ubat itu, afiat.

16

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Sebagai lagi ubat senggugut lintah itu, ambil daun benalu segenggam erat dan lada
sulah tujuh biji dan bawang putih tunggal sebuku, giling lumat-lumat beri cuka sedikit,
minum tiga pagi, afiat.
Sebagai lagi ubat senggugut bunga itu maka ambil bunga pekan segenggam erat dan
daun kumuk sgenggam erat dan ujung atap dan halia padi dan lada sulah tiga kali tujuh dan
beras sebujur hati tangan; giling lumat-lumat diperbuat lempeng; maka makan tatkala
hendak tidur, tiga malam, afiat.
Perempuan Mandul (1292: 114)
Fasal pada menyatakan tiap-tiap perempuan yang tiada beranak, adalah padanya dengan
tujuh sebab. Pertama terbalik peranakannya; maka tiadalah beroleh masuk mani. Kedua
sebab peranakannya penuh dengan angin, maka tiada tetap mani itu di dalam peranakannya
itu. Ketiga sebab lebih daging di dalam peranakannya itu, maka tiadalah dapat jatuh mani di
dalam peranakannya. Keempat sebab adalah di dalam peranakannya itu ulat, maka tatkala
sampai mani di dalam peranakannya itu habis dimakan oleh ulat itu. Kelima sebab adalah di
dalam peranakannya itu sangat hangat, maka mendidihlah mani itu jadi hangus. Keenam
sebab sangat sejuk di dalam peranakannya itu maka jadi tanggal dan muntahlah mani itu.
Ketujuh sebab sekatan syaitan, maka tiadalah dapat masuk mani di dalam peranakannya.
Maka hendaklah sangat diubat segala penyakit ketujuh perkara itu supaya dianugerahi Allah
Taala anak; intaha, wallahu alam.
Rujukan kepada ilmu-ilmu yang lain
Selain ilmu perubatan melalui kitab-kitab tib, ilmu perkasihan juga merujuk pelbagai
ilmu lain, antaranya astrologi, ilmu bintang, ilmu firasat, raksi (raksi jodoh) laksana dan lain-lain.
Dalam Ilmu Bintang, misalnya Kitab Bintang Dua Belas (Persama Press Pulau Pinang, 1957)
pada bahagian ramalan bintang untuk perempuan menyatakan:
Memperkatakan bintang yang kedua belas iaitu al-Huth dan al-Musytari. Kata al-hakim
iaitu bintang yang dibangsakan perempuan malam yang mempunyai dua tubuh, tabiatnya sejuk
basah; orang yang diperankkan dengannya adalah daripada perempuan yang putih warna
kulitnya, hampir kepada kuning, sederhana tingginya atau empat segi; hitam rambutnya, cantik
rupanya, pendek lututnya, gemar kepada lelaki. Kuat syahwatnya, banyak membuat kebinasaan;
gemuk tubuhnya, besar pinggangnya dan perutnya; lebar dadanya, besar mulutnya; berharta ia
dan dapat ziarah ke Baitullah il-Haram. Kebanyakan anaknya perempuan. Baginya orang yang
punya bintang ini ada tiga:
Yang pertama, jika melihat baginya al-Zahal adalah ia perempuan yang kehitam-hitaman
kulitnya, tinggi orangnya, tembun badannnya; di matanya bekas atau parut yang nyata; pada
matanya ada cacat, tahi lalat di kepalanya. Susah di masa mudanya, selamat di masa tuanya;
kebanyakan anaknya lelaki; ditakuti atasnya air sejuk atau jatuh daripada tempat yang tinggi;
wallahu alam.

17

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Yang kedua, jika melihat baginya al-Musytari adalah ia perempuan yang penyuci, banyak
rambutnya, tipis dua bibirnya, bercahaya mukanya, lebat bulu keningnya, tiap-atiap orang yang
memandangnya gemar kepadanya. Sederhana tingginya, suka kepada kebenaran dan benci
kepada yang batil. Mendapat haji dua kali atau lebih; suka bergurau senda dan pandai bersyair;
wallahu alam.
Yang ketiga jika melihat baginya al-Marikh, adalah ia perempuan yang putih kuning
kulitnya, kurus badannya dan nipis kedua bibirnya, Sedikit bulu keningnya, panas kemaluannya
waktu jimak; kecil dua teteknya, panjang dua pahanya, biru biji matanya, beruntung jika
berniaga pada hari Selasa, suaminya satu sahaja, selalu sakit kepala; wallahu alam.
(Harun Mat Piah dkk 2000:513)
Dalam ilmu firasat, khususnya firasat berhubung keadaan anggota sulit perempuan, MS.
Cod. Or.5832 University Leiden (hal. 23-24) menyebutkan, bahawa bangsa atau jenis
perempuan dalam konteks yang baik untuk dijadikan isteri. Dengan menggunakan kaedah angka
abjad dapat dibahagikan kepada empat jenis yang dinamakan pertama Quantamani, kedua
Cintarani, ketiga Sangkani dan keempat Hasnani. Seterusnya dinyatakan:
Fasal yang pertama maka ketahui olehmu, jika tinggal satu Quntamani namanya.
Adapun mengenal orang Quantamani itu matanya merah sebelah di bawahnya, bauan
peluhnya itu adalah laksana bunga melur yang baharu kembang dan tumitnya adalah seperti
telur burung dan jarinya alus di ujung. Dan jikalau ia memperbuat makanan terlalu sangat
dipermuliakannya kerana bangsa itu amat bersih tambahan suci zahir dan batin. Adapun
farajnya luas di luar kecil di dalam adalah laksana liang sempit dan kehendak nafsu wati
sekali semalam dan lakunya adalah seperti orang yang jahil tetapi hatinya tiada jahil; wallahu
alam.
Fasal yang kedua, jika tinggal dua Cintarani namanya. Adapun mengenal perempuan
itu bau peluhnya seperti bau bunga melur kembang semalam, yakni pada ketika malam. Dan
jarinya sama besar dan tumitnya demikian juga dan jika bertemu makanannya adalah kurang
sedikit darpada orang Quntamani dan kehendak nafsunya dua kali setiap malam. Dan farajnya
sama luas di luar dan di dalam. Dan perangainya betul tetapi hatinya ada jahil sedikit tetapi
tiada mengapa, hendaklah ingat tuan-tuan mengambil bangsa itu, wallahua alam.
(Haron Daud, 2009:50)
Dalam Syair Laksana Kita, MSS 2590 Perpustakaan Negara Malaysia diberikan firasat
terhadap sifat-sifat peribadi wanita dan kesesuaiannya untuk dijadikan jodoh, pasangan atau
isteri; antara lain dinyatakan:
Jika perempuan itu mukanya cerah
Fiilnya deras susunya merah
Telinganya labuh sukar dijarah
Betisnya bunting padi, itu bertuah.
Jika perempuan itu mukanya pucat
Lehernya jinjang tiada harkat
Pinggangnya renggang jarinya halus limpat
Rambutnya merah, celaka dan pelat.
18

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Jika pusaran antara kening keduanya


Itulah utama emasku nyawa
Dua tahil belanja kau bawa
Telaga Ratna laksana jiwa.
Jika antara susu ada pusaran
Di sendi bahu pula berhantaran
Minta diambil akan siliran
Ratnagiri nama gelaran.
(Perpustakaan Negara Malaysia, 2006:15)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas dapat dikemukakan beberapa kesimpulan. Pertama
wujudnya satu bidang ilmu dalam korpus Ilmu atau Epistemology Melayu tradisional yang
khusus membicarakan bidang Ilmu Perkasihan atau seksologi secara tradisional dan dari sumbersumber tradisional. Dalam konteks pembicaraan ini sumber-sumber yang dirujuk adalah berupa
sumber tertulis melalui kitab-kitab yang berkenaan termasuk dalam judul ilmu jimak, ilmu
perubatan (kitab tib), ilmu ramalan (astrologi), doa, jampi dan mantera juga yang berupa tangkal,
azimat dan lain-lain. Kertas kerja ini tidak menyentuh taburan dan penyebaran ilmu ini dalam
sumber lisan, walaupun penulis menyedari sumber tersebut adalah lebih luas dan berpengaruh
dalam masyarakat, baik dalam zaman tradisional mahupun zaman moden masa kini.
Kedua, taburan ilmu ini bukan sahaja dalam sumber khusus yang merujuk kepada
perlakuan jimak atau wati, tetapi menyeluruh dalam pelbagai aspek yang berhubungan, termasuk
antara lain mengenai kekuatan dan kelemahan tenaga batin, penyakit seksual (sakit tuan dan sakit
puan), ubat dan rawatan, petua, pakaian diri, pemakanan, riadah dan lain-lain.
Ketiga, wacana atau idiom yang digunakan dalam sarana ini tergolong dalam laras bahasa
ilmu, perubatan dan lainnya, tegasnya spesifik, tepat, walaupun sedikit janggal dalam
pembicaraan biasa. Namun dalam konteks ilmu, itulah laras bahasa yang tepat untuk menyatakan
maksud dan menyampaikan instruksi dan maklumat yang diperlukan.
Keempat, sebagai aspek paling menarik, kebanyakan ilmu disampaikan secara kreatif,
dengan puisi, khususnya mantera, syair dan pantun, menggunakan lambang dan simbol yang
segar dan berkesan. Melalui penggunaan perlambangan, misalnya melalui syair, huraian dan
persoalan yang dibicarakan dapat dibaca oleh khalayak umum, termasuk kanak-kanak, remaja
dan orang dewasa. Yang membezakannya adalah pada taraf pengalaman dan pemahaman yang
sesuai dengan peringkat sasaran berkenaan.
Sesungguhnya pembicaraan ini masih belum menyeluruh dan terinci. Masih banyak
sumber yang tidak disentuh, aspek-aspek ilmu dan amalan, makna dan huraian untuk doa, jampi
dan mantera yang cukup umum dalam ilmu ini dan kesimpulan yang lebih tepat, tidak dapat
dikemukakan. Semoga perkara-perkara ini dapat dimantapkan melalui penyelidikan yang lebih
rapi dan menyeluruh dalam kesempatan lain yang akan datang; insya Allah.

19

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Rujukan:
Ding Choo Ming, 2002. Khatijah Terung dengan karyanya Perhimpunan Gunawan
Bagi Laki-Laki dan Perempuan (bahagian 1) Jurnal Filologi Melayu Perpustakaan
Negara Malaysia, jilid 10 2002 hal. 19-54
Haron Daud, 2009. Kitab Ilmu Nujum Melayu.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Harun Mat Piah, 2006. Kitab Tib Ilmu Perubatan Melayu
Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Harun Mat Piah dkk. 2000. Kesusasteraan Melayu Tradisional
Kuala Lumpur: Dean Bahasa dan Pustaka.
Perpustakaan Negara Malaysia, 2006. Syair Laksana Kita

20

Hakcipta Terpelihara 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

You might also like