You are on page 1of 3

Hijrah dan perubahan umat

Peranan sejarah
Sejarah Islam merupakan aset yang paling berharga bagi umat Islam. Sejarah Islam
juga merupakan sumber kekuatan umat Islam kerana ia mampu memberi motivasi
dan inspirasi untuk umat Islam. Dengan memahami sejarah Islam umat ini mampu
mengenal kekuatan dan kelemahan diri mereka sendiri. Ini kerana hakikat sejarah
itu akan sentiasa berputar seperti putaran roda. Allah berfirman : "...Dan demikian
itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau
kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi
pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang
tetap beriman dan sebaliknya..." [Ali-Imran : 140]
Dalam mendalami sejarah Islam, apa yang paling penting adalah bagaimana kita
memahami peranan sejarah itu dalam membangunkan umat ini. Bukanlah ia hanya
sekadar menjadi bahan perbincangan ilmiah semata. Sebagai contoh, saban tahun
kita akan melalui peristiwa-peristiwa bersejarah umat Islam seperti maulidur Rasul,
maal hijrah, Israk mikraj, peperangan Badar, penurunan Al-Quran dan lain-lain lagi.
Tapi, sejauh mana peristiwa-peristiwa tersebut mampu memberi kesan kepada diri,
masyarakat dan umat Islam seluruhnya?
Hijrah dan kepentingannya
Peristiwa Hijrah merupakan salah satu episod dari seerah Rasulullah s.a.w yang
mempunyai banyak pengajaran dan pedoman. Setiap orang mempunyai sudut
pandang masing-masing dalam mengambil pengajaran dan pedoman.
Kebiasaannya, orang akan kaitkan peristiwa ini dengan penghijrahan diri dari
keburukan kepada kebaikan, pengorbanan Rasulullah dan para sahabat dalam
melakukan hijrah, kasih sayang dan cinta saidina Abu Bakar kepada Rasulullah dan
kemeriahan penduduk Yathrib(Madinah Munawwarah) ketika menyambut
kedatangan Rasulullah sedangkan mereka belum pernah berjumpa dengan baginda
s.a.w.
Tetapi kita tidak boleh melupakan peranan dan kepentingan hijrah itu sendiri dalam
mengubah timeline sejarah tamadun manusia. Hijrah nabi s.a.w dan para sahabat
bukan sahaja untuk menyelamatkan aqidah dan iman semata, tetapi ia merupakan
perancangan nabi s.a.w dalam mebina sebuah kehidupan baru untuk umat Islam.
Dari kehidupan yang menyeksakan di Mekah kepada kehidupan yang aman di
Madinah. Dari berdakwah secara bersembunyi kepada dakwah yang lebih terbuka
dan praktikal. Pengarahan Al-Quran dari bentuk imaniah dan aqidi kepada bentuk
hukum-hakam dan pembentukan masyarakat dan negara. Semua perubahanperubahan yang berlaku ini telah menguatkan umat Islam dan menggerunkan
musuh. Ini dapat dibuktikan dengan peristiwa peperangan Badar Al-Kubro.

Hijrah dan peranan pemuda


Hakikatnya, hijrah nabi s.a.w bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan
kekuatan iman, jiwa pemuda dan semangat yang tinggi dalam melaksanakannya.
Antara sebab kejayaan hijrah nabi s.a.w hingga mampu mengubah landskap
dakwah islamiyah pada ketika itu adalah golongan pemuda yang beriman dan
bersungguh dalam melaksanakan perintah hijrah. Ia merupakan aset yang berharga
dalam peristiwa hijrah.
Bermula dari pengislaman enam orang dari penduduk Madinah pada musim haji
tahun ke-11 kenabian, bai'ah Aqabah pertama, penghantaran Mus'ab bin Umair ke
Madinah sebagai duta Islam di sana, kemudian dakwah terus berkembang dengan
kekuatan 12 orang meningkat kepada 72 orang sehingga peristiwa bai'ah Aqabah
kedua. Kemudian berlakulah penghijrahan sahabat beramai-ramai ke Madinah.
Antara sahabat yang terawal dalam melakukan hijrah adalah Abu Salamah bersama
isteri dan anak-anak iaitu setahun sebelum bai'ah aqabah kedua.
Pelbagai peristiwa dan pengorbanan yang dilakukan oleh golongan pemuda ini
dalam melakukan hijrah. Ada yang terpaksa meninggalkan anak isteri, ada yang
terpaksa mengorbankan kesemua hartanya, ada yang terpaksa mengorbankan
nyawanya dan lain-lain. Semua yang berlaku itu tidak akan mampu dilakukan
melainkan mereka yang memiliki jiwa pemuda yang beriman dan memiliki
semangat yang tinggi. Asas kepada kekuatan dakwah nabi s.a.w adalah pada
golongan pemuda yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawa, merasa
kemanisan berjihad dan tidak takut apa-apa melainkan Allah s.w.t. Allah berfirman :
".. sesungguhnya mereka itu golongan pemuda yang beriman kepada tuhan
mereka, kemudian kami tambah kepada mereka hidayah dan petunjuk" [Al-Kahfi :
13]
Persoalannya di sini, adakah generasi pemuda hari ini sedar akan peranannya
dalam mengubah nasib umat Islam hari ini?
Kepentingan aqidah dan agama dalam mengalahkan musuh
Berpegang teguh dengan aqidah Islam yang sebenar dan mengambil agama ini
keseluruhannya merupakan dua kekuatan untuk berhadapan dengan tekanan
musuh. Apa yang menjadikan kaum muhajirin tetap berpegang teguh dengan
agama ini selama 13 tahun di Mekah dengan pelbagai ujian dan penyeksaan adalah
keimanan yang tinggi terhadap Allah dan rasul serta hari akhirat. Pandangan
mereka jauh merentasi dunia hingga segala penyiksaan yang dihadapi terasa kecil
berbanding penyiksaan di hari akhirat.
Keyakinan terhadap Allah dan rasul serta hari akhirat ini telah menghubungkan
ikatan sesama Aus dan Khazraj dan menghapuskan permusuhan sesama mereka
sejak sekian lama. Ia juga telah menjadikan kaum Ansar sanggup memberikan apa
sahaja yang dimiliki kepada kaum muhajirin yang mereka tidak pernah

mengenalinya tanpa berasa susah hati dan berhajat kepada balasan kepada
pemberiannya itu. Allah berfirman : "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami
negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang
berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan
berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan
mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri
mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.."
[Al-Hashr : 9]
Akhirnya dengan dengan berpegang teguh kepada agama ini menjadikan umat
Islam di Madinah kuat hingga dapat menghalau orang Yahudi yang selama ini
memonopoli ekonomi di Madinah serta memecah-belahkan penduduk Madinah.
Penutup
Masalah umat Islam hari ini bukanlah pada bilangan yang sedikit kerana bilangan
umat Islam pada hari ini merupakan yang paling ramai. Tetapi kebanyakannya tidak
berpegang teguh dengan agama bahkan sanggup menjual agama demi
kepentingan peribadi. Mereka yang memiliki tampuk pemerintahan pula dayus dan
lemah kerana sentiasa mengikut telunjuk barat dan golongan kafir.
Umat Islam hari ini perlu bangkit dengan cara ketika awal ia bangkit. Umat Islam
perlu kembali berpegang teguh dengan agama dan mendalaminya dengan cara
yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w bukan dengan cara yang ditunjukkan oleh
barat.
Semoga ruh dan maksud hijrah itu dapat menyerap ke dalam jasad kita dalam
mengubah nasib umat ini. Allah berfirman : "Sesungguhnya Allah tidak mengubah
apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada
diri mereka sendiri" [Ar-Ra'd : 11]

You might also like