You are on page 1of 7

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan

Oleh : Khairul Faezi Mohd Said


Pensyarah kanan ACIS UiTM
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan bagi Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu
bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di
Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat
negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand
Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Bahasa ini dipanggil dengan pelbagai nama, namun nama yang paling popular ialah "Bahasa
Melayu" dan "Bahasa Malaysia". Namun begitu, di Malaysia, kekeliruan telah muncul dalam
kalangan rakyat mengenai nama apakah yang patut digunakan sebagai nama rasmi.
Ada pihak yang memikirkan "Pada era kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebagai
Perdana Menteri pertamanya memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai bahasa
kebangsaan Malaysia. Istilah ini kemudiannya diguna pakai secara meluas." Sebenarnya istilah
Bahasa Malaysia itu tidak disumbangkan oleh YAB Tunku Abdul Rahman, tetapi timbul secara
spontan selepas Mei 13, 1969. Ini terbukti dalam liputan akhbar pada masa tersebut. Pada masa
itu wujud semacam persetujuan ramai terhadap istilah Bahasa Malaysia. Namun, Perlembagaan
Malaysia tidak berubah.
Pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" ditukar kepada "Bahasa Melayu". Menurut Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, "bahasa kebangsaan [Malaysia] ialah bahasa Melayu".
Namun begitu, Pada 4 Jun 2007, Kabinet membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan
"Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia". Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian,
universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk
menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya
ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang
kaum. Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia (pada masa itu), Datuk Seri
Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru "Bahasa Malaysia" adalah
muktamad.

Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih
digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India. Bahasa Rasmi
bermaksud bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan
pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi,
kehakiman dan sebagainya.
Rasional pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana Bahasa Melayu menjadi
lingua franca di Nusantara sejak berabad lamanya, lebih mudah dipelajari dan bersifat lebih tekal
dari segi istilah dan sebutan berbanding bahasa lain. Sejarah menggambarkan, sebelum Perang
Dunia Kedua, Bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi tujuan rasmi seperti mesyuarat,
surat-menyurat, perundangan dan kehakiman di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Jabatan
Polis, dan sebagainya bagi memudahkan urusan pentadbiran kerana kakitangannya terdiri
daripada pelbagai kaum. Begitu juga, pegawai-pegawai Eropah yang memegang lebih 95%
jawatan Kumpulan I perlu mempelajari Bahasa Melayu, mengambil ujian Bahasa Melayu dan
dikehendaki lulus, barulah boleh ditempatkan di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.
Keadaan ini menunjukkan Bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa perantaraan rasmi
walaupun di zaman penjajah Inggeris
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah diperuntukkan dengan
jelas di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai undang-undang utama negara
Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh
Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan. Peruntukan di bawah
Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis
Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan di bawah Perkara 159(5). Akta Bahasa
Kebangsaan 1963/1967 juga menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara manakala
Laporan Razak 1956 pula mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem
pendidikan negara.

Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah mendapat tempat yang
agak istimewa dalam Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan

penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Kedudukan
bahasa ini juga kelihatan dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan
Bahasa Melayu sebagai antara perkara-perkara yang

tidak boleh dipersoalkan atas nama

kebebasan bersuara.
Meskipun begitu Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan
secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan
apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya
membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks
kegunaan rasmi.

Keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah & Sarawak

Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak istimewa orang-orang Melayu serta bumiputera


Sabah dan Sarawak. Ia hendaklah ditafsir menurut sejarah dan falsafah yang ada di sebalik
kewujudannya. Ini kerana peruntukan itu wujud dengan nilai, sejarah dan falsafah yang tertentu.
Di peringkat awal, peruntukan mengenai keistimewaan hanya diperolehi oleh orang Melayu
sahaja tetapi selepas kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan penduduk peribumi
mereka juga memperoleh keistimewaan tersebut seperti mana orang Melayu di Semenanjung.
Kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak ini disebut dalam
Perkara 153. Keistimewaan ini diperuntukan bukan kerana sifat rendah diri atau inferiority
complex orang Melayu sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Ia bukan tongkat kepada
Melayu. Ia merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu
kerana asal negara ini adalah "Tanah Melayu". Ia tiada kaitan dengan kedudukan kaum lain yang
telah lama berada dan menyumbang kepada negara ini. Hak istimewa ini meliputi jawatan dalam
perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diberikan.
Walaubagaimanapun, perkara ini juga melindungi kaum-kaum lain iaitu menjadi tanggungjawab
Yang Di Pertuan Agong untuk melindungi hak-hak mereka yang sah menurut peruntukan lain.
Begitu juga perkara ini tidak boleh dilaksanakan jika ia mengakibatkan kehilangan sebarang

jawatan awam yang dipegang oleh sesiapa atau penarikan sebarang biasiswa atau keistimewaan
yang dinikmati oleh kaum lain atau perlucutan atau penamatan permit lesen yang dipegang
olehnya.
Perkara-perkara yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan secara
khususnya menyentuh tiga perkara iaitu:

Perkhidmatan Awam
Dalam perlembagaan dinyatakan bahawa tanggungjawab Yang Di Pertuan Agong untuk
menentukan rezab bagi orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dengan
memperuntukkan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan yang
baginda fikirkan perlu. Namun, bagi menjalankan tanggungjawabnya, baginda tidak boleh
melucutkan sesiapa juga apa-apa jawatan awam yang disandang olehnya. Hal yang sama juga
bagi semua orang tidak mengira bangsa yang menyandang jawatan dalam perkhidmatan awam,
mestilah diberi layanan yang adil baik dari segi kenaikan pangkat, gaji dan kebajikan yang lain.
Oleh itu, adalah rasional bagi merezabkan untuk orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak
suatu kadar bilangan dalam perkhidmatan persekutuan kerana pada zaman penjajah dan pada
awal kemerdekaan terlalu sedikit bilangan orang Melayu yang bekerja dengan kerajaan .

Ekonomi
Menurut Perlembagaan lagi,

orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak juga berhak

mendapat keistimewaan dari segi ekonomi antaranya

ialah memberi kemudahan lesen, permit

perniagaan dan premis perniagaan yang strategik bagi membantu orang Melayu, bumiputera Sabah

dan Sarawak. Rasional disebalik keistimewaan ini adalah untuk membantu mereka agar dapat
menceburkan diri dalam bidang ekonomi seperti perniagaan dan seumpamanya bagi
meningkatkan penguasaan dan pemilikan kekayaan yang selama ini agak terkebelakang akibat
dari peninggalan penjajah Inggeris di mana rata-rata orang Melayu di luar bandar berada dalam
kemiskinan akibat sistem dualisme ekonomi yang di amalkan pada masa tersebut yang
mengasingkan penempatan orang melayu dan bukan melayui mengikut kawasan dan seterusnya
mewujudkan penagsingan sektor pekerjaan mengikut kaum. Kemiskinan orang Melayu,
penduduk asli serta bumiputera bukanlah kerana mereka malas tetapi kerana sektor yang diceburi

tidak menjanjikan pulangan yang lumayan sebagaimana kaum-kaum lain yang menceburi sektor
yang lebih maju seperti perniagaan, perusahaan dan sebagainya.

Pendidikan
Manakala keistimewaan dari segi pendidikan meliputi pemberian biasiswa, bantuan dan lain-lain
keistimewaan pelajaran atau latihan serta termasuklah perezaban suatu kadar tertentu untuk
orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak bagi memasuki sesuatu universiti, maktab
atau yayasan pelajaran.
Rasional peruntukan ini adalah disebabkan kedudukan orang Melayu dan bumiputera yang
ketinggalan dari segi pendidikan sejak zaman dahulu. Ini kerana penjajah Inggeris telah
meninggalkan sistem pendidikan yang terus mengekalkan orang Melayu dalam keadaan tertindas. Sistem
pendidikan Inggeris pada masa itu sekadar untuk menjadikan petani Melayu yang lebih baik daripada ibu
bapa mereka. Ini ditambah lagi dengan keadaan sekolah Melayu yang begitu teruk tanpa perabot yang
cukup, kekurangan buku teks dan bahan bacaan serta ibu bapa Melayu sudah mula hilang kepercayaan
terhadap sekolah Melayu

Jika diteliti sehingga sekarang Perkara 153 masih belum mencapai matlamat yang
dikehendaki. Sebaliknya pelbagai kemudahan dan keistimewaan turut diberikan kepada etnik
bukan Melayu dalam aspek pendidikan. Walaupun kedudukan istimewa mengenai pendidikan
telah termaktub dalam perlembagaan, namun pelbagai toleransi antara Melayu dan bukan
Melayu telah diwujudkan dalam usaha ke arah memantapkan lagi hubungan etnik dan
menjayakan lagi gagasan 1 Malaysia.
Perlu diingat apabila negara mencapai kemerdekaan, kerajaan pada masa itu tidak terus
menghapuskan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sebaliknya tetap dipertahankan
kewujudan sekolah tersebut. Pengekalan ini seolah-olah bercanggah dengan Penyata Razak 1956
yang mahu mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan seperti yang terkandung dalam
perenggan 12 iaitu;
Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud untuk menyatukan
budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu
peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar, walaupun perkara ini tidak dapat
dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan
beransur-ansur.

Begitu juga, pengekalan sekolah ini tidak begitu menyumbang ke arah integrasi nasional
demi mengukuhkan lagi perpaduan kaum di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Toleransi yang
wujud dalam pendidikan bukan hanya berlaku di peringkat pendidikan rendah tetapi turut
meliputi pendidikan menengah dan tinggi. Sebagai contoh, terdapat 60 buah sekolah menengah
harian Cina yang terus menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar biarpun Penyata
Razak 1956 mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam semua
peringkat pendidikan. Kewujudan sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan
agama, MRSM dan Matrikulasi dikhususkan kepada orang Melayu, namun keistimewaan ini
turut diberikan kepada bukan Melayu apabila kerajaan membenarkan mereka memasuki MRSM
dan Matrikulasi dengan kuota 10%.

RUJUKAN
Abdul Aziz Bari. 2008. Perlembagaan Malaysia, Teori & Praktis. Shah Alam : Arah
Publications
____________ .2002. Majlis Raja-Raja : Kedudukan dan Peranan Dalam Perlembagaan.
Kuala Lumpur : DBP
____________ . 2003. Malaysian Constitution : A Critical Introduction. Kuala Lumpur : The
Other Press
____________ . 2004 . Constitution of Malaysia : Text And Commentary. Kuala Lumpur :
Pearson Prentice-Hall
Abdul Aziz Bari & Farid Sufian Shuaib. 2001. Perlembagaan Malaysia : Asas Asas dan
Masalah. Kuala Lumpur : DBP
Ruhani Ahmad. 2005. Patriotisme Malaysia : Penangkis Neoimperialisme. Kuala Lumpur :
Utusan Publications.
Salleh Buang. 1997. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur :
DBP
Mohd Noor Abdullah. 1997. Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.
Kuala Lumpur : DBP
Muhammad Kamal Awang & Mohd ashruddin Mohd Tahir. 2001. Sultan dan Perlembagaan.
Kuala Lumpur : DBP
Mohd Foad Sakdan. 1992. Pengetahuan Asas Politik Malaysia. Kuala Lumpur : DBP

Mahdi Shuid & Mohd Fauzi Yunos. 2002. Pengajian Malaysia. Petaling jaya : Pearson
Malaysia Sdn. Bhd
Mohd Salleh Abas . 1985. Unsur-Unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia . Kuala
Lumpur : DBP

Mohammed Suffian Hashim. 1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur


: DBP

You might also like