You are on page 1of 16

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 34

_______________________________________________________________________________

UNIT 3
MATLAMAT KURIKULUM SEKOLAH RENDAH
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini anda akan dapat:
1.
2.
3.

menjelaskan matlamat kurikulum sekolah rendah secara umumnya.


menganalisis matlamat kurikulum dalam pendidikan di zaman sebelum
penjajahan, semasa penjajahan dan selepas merdeka.
menghuraikan matlamat dan objektif Kurikulum Baru/Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

PETA KONSEP TAJUK

Matlamat Kurikulum Sekolah Randah

Matlamat
Kurikulum Dalam
Pendidikan
Sebelum
Penjajahan

Matlamat
Kurikulum Dalam
Pendidikan
Semasa
Penjajahan

Matlamat
KBSR

Matlamat
Kurikulum Dalam
Pendidikan
Selepas Merdeka

Matlamat
KSSR

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 35


_______________________________________________________________________________

PENGENALAN
Matlamat pendidikan akan berbeza dan berubah mengikut lokasi, keadaan dan masa.
Dalam sistem pendidikan di Malaysia, dapat disaksikan bahawa matlamat pendidikan
sentiasa mengalami perkembangan dari semasa ke semasa sehingga ke tahap yang
ada sekarang. Perkembangan yang berlaku adalah bagi menjamin keselarasannya
dengan keperluan semasa serta keperluan masa hadapan. Di zaman penjajahan
Inggeris halatuju pendidikan adalah selaras dengan dasar penjajahan iaitu pacah dan
perintah. Sehubungan itu pendidikan bukan kearah perpaduan rakyat. Namun apabila
negara telah mencapai kemerdekaan, pendidikan adalah ke arah perpaduan di samping
untuk membasmi buta huruf rakyat dan melahirkan tenaga kerja mahir untuk
pembangunan negara. Walau bagaimanapun pada asasnya pendidikan yang
berlangsung dalam negara masa kini adalah ke arah merealisasikan hasrat yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pendidikan juga adalah
untuk perkembangan dimensi intrinsik dan dimensi sosial pelajar secara harmonis,
seimbang dan menyeluruh yang berpaksikan kepada ketuhanan. Sehubungan itu
kurikulum digubal supaya sesuai dengan kehendak pendidikan yang selaras dengan
keperluan sesebuah negara, masyarakat dan ahlinya. Kurikulum yang digubal
seterusnya diperkembangkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran; dan hasil
pembelajaran akan meliputi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diingini hasil
daripada aktiviti pembelajaran.

ISI KANDUNGAN
Apakah matlamat kurikulum sekolah rendah?
Matlamat Secara Umum
Merujuk kepada The International Encyclopedia of Curriculum (1991), dikatakan bahawa
kurikulum adalah seumur atau sama tua dengan pendidikan itu sendiri. Kedua-duanya
adalah saling berkaitan. Proses pendidikan tidak dapat dijelaskan tanpa merujuk kepada
kurikulum. Sehubungan itu, matlamat kurikulum adalah selaras dengan matlamat
pendidikan. Apakah matlamat pendidikan? Matlamat pendidikan adalah tingkah laku
yang bersifat menyeluruh yang diharapkan akan diperoleh di akhir suatu proses
pendidikan. Ia bersifat umum dan berfungsi sebagai panduan dan pedoman kepada
pencapaian matlamat pendidikan sesebuah negara. Oleh itu, matlamat pendidikan di
sesebuah negara adalah berbeza dengan matlamat pendidikan di sebuah negara yang
lain.
Terdapat pelbagai pandangan tentang matlamat pendidikan. Sebagai contoh, Plato
berpendapat pendidikan adalah ke arah pembentukan manusia yang bersifat mulia.
Melalui pendidikan akan terhasil tiga golongan manusia iaitu golongan pemimpin (Lehr),
golongan pekerja (Nehr) dan golongan tentera (Wehr). Menurut Smith (2002) di United
Kingdom, National Curriculum bermatlamat memperkembangkan potensi murid-murid
untuk aspek personal, sosial dan emosi. Selain daripada itu juga untuk
memperkembangkan kemahiran komunikasi, bahasa dan literasi; matematik;
pengetahuan dan kefahaman tentang dunia; perkembangan fizikal; dan perkembangan
daya kreatif. Lain pula keadaannya di Amerika. Di Amerika, matlamat kurikulum seperti

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 36


_______________________________________________________________________________

yang dikemukakan oleh Educational Policies Commission of the National Education


Association (1938; dalam Passe; 1999) menyentuh empat aspek iaitu kesedaran diri,
hubungan manusia, kelancaran ekonomi dan tanggungjawab sivik. Bagaimana pula
dengan matlamat pendidikan di Malaysia? Di Malaysia, matlamat pendidikan dapat
dihuraikan mengikut perkembangan yang berlaku dalam sistem persekolahan sejak
zaman sebelum penjajahan, zaman penjajahan dan selepas merdeka.

Matlamat Kurikulum Dalam Pendidikan Sebelum


Penjajahan Inggeris
Pendidikan bermula sejak kelahiran manusia di dunia ini. Pendidikan zaman sebelum
penjajahan Inggeris adalah bercorak tradisional tanpa premis khusus yang dinamakan
sekolah. Pendidikan berlaku dalam kalangan keluarga dan ahli masyarakat. Matlamat
pendidikan adalah ke arah kesejahteraan dan keharmonian hidup di dunia dan di akhirat.
Untuk kehidupan dunia, anak-anak dididik oleh ibu bapa untuk melakukan kerja-kerja
sebagaimana yang dilakukan oleh ibu bapa sendiri. Sebagai contoh, jika bapa adalah
petani, anak lelaki diajar untuk bertani, jika bapa adalah nelayan, anak lelaki diajar untuk
ke laut menangkap ikan dengan tujuan memberi kemahiran anak-anak lelaki dengan
perkerjaan yang bakal mereka akan lakukan apabila dewasa kelak. Begitu juga dengan
anak-anak perempuan, diajar untuk menguruskan rumah seperti memasak, mencuci
pakaian, menjahit pakaian, menjaga adik-adik dan sebagainya sebagai latihan untuk
memperoleh kemahiran yang diperlukan apabila mereka dewasa dan menjadi suri
rumah. Untuk kehidupan akhirat, kanak-kanak mendapat pendidikan berkaitan agama
Islam melalui guru atau imam yang diadakan di surau-surau. Kanak-kanak ini diajar
tentang hal-hal yang berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Matlamat Kurikulum Dalam Pendidikan Semasa Penjajahan


Inggeris
Di zaman penjajahan Inggeris, pihak Inggeris telah memperkenalkan sistem pendidikan
formal dengan menubuhkan sekolah-sekolah vernakular. Terdapat tiga jenis sekolah
vernakular iaitu sekolah vernakular Melayu yang menggunakan bahasa pengantar
bahasa Melayu, sekolah vernakular Cina yang menggunakan bahasa pengantar bahasa
Cina dan sekolah vernakular Tamil yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Tamil.
Selain daripada itu, pihak Inggeris juga memperkenalkan sekolah Inggeris yang
menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris. Matlamat pendidikan pada ketika itu
ialah memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak di negara ini agar mereka dapat
meneruskan aktiviti atau pekerjaan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Pelaksanaan
sekolah-sekolah vernakular dan sekolah Inggeris yang menggunakan kurikulum yang
berbeza-beza ini juga sebagai memenuhi dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh
penjajah.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 37


_______________________________________________________________________________

Matlamat Kurikulum Dalam Pendidikan Selepas Merdeka


Matlamat pendidikan selepas merdeka adalah berpandukan Ordinan Pelajaran 1957
yang berasaskan Penyata Razak 1956. Dalam Penyata Razak 1956, Para 12
menyatakan,
. . . Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini
ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua
bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran
yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat
dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan
beransur-ansur.
Jelas bahawa pendidikan adalah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu
melalui kurikulum yang sama, yang berorientasikan negara ini dan menjadikan bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah.
Akta pelajaran pertama diperkenalkan pada tahun 1961. Dalam Akta Pelajaran 1961
menyatakan,
. . . Bahawasanya dasar pelajaran seperti yang diistiharkan dalam
Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran
yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan
perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya.
Pada tahun 1974, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran
kebangsaan ditubuhkan untuk mengkaji kurikulum kebangsaan yang telah dilaksanakan
sejak lepas merdeka..
Mengkaji semula matlamat dan kesannya sistem pelajaran
sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar pelajaran
kebangsaan yang wujud, dengan tujuan untuk mempastikan
keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi
jangka pendek mahupun jangka panjang dan lebih-lebih lagi untuk
mempastikan sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara
ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan
terlatih.
(Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan)

Laporan kajian oleh jawatankuasa ini siap pada 1979. Berdasarkan laporan tersebut,
kurikulum yang dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah telah mengalami
perubahan. Walau bagaimanapun, perubahan ini dilaksanakan secara berperingkat
bermula di peringkat sekolah rendah dan diikuti dengan perubahan di peringkat sekolah
menengah.
Pendidikan di peringkat rendah adalah bertujuan untuk perkembangan diri individu
secara menyeluruh. Berdasarkan Perakuan 57(a), Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.
Kurikulum sekolah rendah itu hendaklah dirancang untuk membolehkan
murid-murid mendapat kemahiran dalam tiga bidang asas iaitu bidang

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 38


_______________________________________________________________________________

komunikasi, bidang manusia dengan alam kelilingnya dan bidang


perkembangan diri individu sesuai dengan keperluan, minat, bakat dan
kemampuan mental serta kesediaan murid-murid itu.
Sehubungan itu, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diperkenalkan secara rintis pada
tahun 1982 dan pada tahun 1983, ia dilaksanakan di seluruh negara. Kurikulum Baru
Sekolah Rendah memberi penekanan kepada kemahiran asas 3M iaitu membaca,
menulis dan mengira. Secara umumnya KBSR dirancang untuk membolehkan setiap
murid memperolehi kemahiran, mengembangkan bakat, nilai, pengetahuan, sikap dan
amalan yang dikehendaki. Pelaksanaannya melibatkan tiga bidang seperti dalam Jadual
3.1.
Jadual 3.1
Mata Pelajaran Mengikut Bidang
Bidang

Mata Pelajaran

Komunikasi

Bahasa, Matematik

Manusia dengan Alam


Kelilingnya

Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral, Alam


dan Manusia

Perkembangan Diri Individu

Muzik, Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani

Kurikulum Baru Sekolah Rendah terus mengalami perkembangan dan pada tahun 1993,
ia dimurnikan dan dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
Antara perubahan yang berlaku ialah dengan memperkenalkan mata pelajaran Sains dan
Kajian Tempatan bagi menggantikan mata pelajaran Alam dan Manusia serta pemunian
mata pelajaran Pendidikan Jasmani menjadi Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Seterusnya, mulai tahun 2001, KBSR telah sekali lagi melalui proses pemurnian.
Semakan kandungan KBSR telah dilakukan agar bersesuaian dengan perkembangan
dan keperluan semasa. Ia bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan serta menyediakan murid yang mampu berhadapan dengan cabaran abad
ke-21. Sehubungan dengan itu, melalui KBSR diharapkan akan dapat melahirkan murid
yang berkeyakinan dan tabah dalam berhadapan dengan cabaran dalam kehidupan
sebenar. Murid perlu dididik bukan sahaja untuk berfikir dan berilmu pengetahuan luas,
tetapi juga beretika tinggi dan bijaksana, serta berkeupayaan menggunakan teknologi
maklumat dan komunikasi secara berkesan. Dalam pelaksanaannya, KBSR
menekankan kepada aspek penerapan nilai murni dan semangat patriotik agar muridmurid sedar akan peranan mereka sebagai rakyat Malaysia yang maju serta berilmu.

Apakah matlamat KBSR?


Matlamat KBSR dapat difahami berdasarkan tujuan pendidikan di peringkat sekolah
rendah iaitu untuk mencapai matlamat perkembangan individu yang menyeluruh. Selain
itu, matlamat KBSR juga difahami berdasarkan matlamat setiap mata pelajaran dalam
pelaksanaannya seperti berikut:

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 39


_______________________________________________________________________________

Bahasa Melayu KBSR


Untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk
memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.

Bahasa Inggeris KBSR


To equip learners with basic skills and knowledge of the English language so as to enable
them to communicate, both orally and in writing, in and out of school.

Matematik KBSR
Untuk membina pemahaman murid dalam konsep nombor dan kemahiran asas mengira.
Penguasaan kedua-dua aspek ini dapat membantu murid mengendalikan urusan harian
secara berkesan dan penuh tanggungjawab selaras dengan hasrat masyarakat dan
negara maju serta dapat membantu murid melanjutkan pelajaran.

Sains KBSR
Untuk menyemai minat dan memberikan ilmu pengetahuan sains, kemahiran saintifik,
kemahiran berfikir, nilai murni dan sikap saintifik kepada murid bagi membolehkan
mereka mempelajari tentang diri sendiri dan alam sekitar melalui pengalaman dan
penyiasatan.

Kajian Tempatan KBSR


Untuk melahirkan murid yang setia pada negara, cinta akan tanah air, prihatin dan
berbangga sebagai rakyat Malaysia serta boleh berinteraksi secara berkesan ke arah
mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmonis, bersatu padu, demokratik, progresif
dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.

Kemahiran Hidup KBSR


Membolehkan murid memperoleh kemahiran asas dan pengetahuan berasaskan
teknologi dan keusahawanan supaya mereka dapat menjalankan kerja-buat-sendiri,
mereka cipta dan cenderung berusahaniaga serta mengamalkan sikap dan budaya kerja
yang baik.

Pendidikan Islam KBSR


Untuk menghasilkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan
berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah supaya menjadi hamba dan
khalifah Allah yang bertakwa dan menyumbang ke arah mempertingkat tamadun bangsa
dan negara.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 40


_______________________________________________________________________________

Pendidikan Moral KBSR


Membentuk insan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah
keharmoniah dan kestabilan negaraserta masyarakat global.

Pendidikan Seni KBSR


Melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas
seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa
kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni
dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga,
masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat FPK.

Muzik KBSR
Melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang asas tentang
muzik, mempunyai kemahiran minimum dalam penghasilan muzik, berpotensi dalam
aspek kreativiti dan inovasi, dapat menghargai dan menikmati estetika muzik dan dapat
mengamalkan nilai murni.

Pendidikan Jasmani KBSR


Membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan
kecergasan.

Pendidikan Kesihatan KBSR


Membantu murid meningkatkan pengetahuan kesihatan, memupuk sikap positif terhadap
kesihatan, dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan KBSR


Memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka
dalam masyarakat dan negara dan melahirkan anggota masyarakat dan warganegara
yang bersatu padu, patriotik dan yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan
masyarakat, negara dan dunia.

Objektif KBSR
Secara khususnya bagi mencapai matlamat KBSR, digariskan objektif-objektifnya
seperti berikut:
Menguasai Bahasa Melayu dengan kedudukan bahasa tersebut sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 41


_______________________________________________________________________________

Menguasai kemahiran asas berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca


dan menulis.
Menguasai kemahiran asas matematik dalam kehidupan harian.
Menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Mengembangkan dan meningkatkan lagi daya intelek serta pemikiran yang
rasional, kritis dan kreatif
Menguasai kemahiran belajar dan berfikir.
Membina daya kepimpinan dan keyakinan diri.
Memperoleh dan menambah ilmu pengetahuan.
Mempunyai kepekaan terhadap manusia dan alam sekitar.
Menguasai kemahiran saintifik dan teknikal.
Memahami dan menikmati aktiviti kesenian dan rekreasi.
Menjaga kesihatan dan kecergasan diri.
Menguasai kemahiran keusahawanan dan produktiviti.
Menguasai kemahiran pengertian al-Quran
Meyakini asas-asas keimanan dan akhlak mulia serta melakukan perintah
tuhan serta menjauhi laranganNya.
Membina semangat patriotisme
Mengembangkan bakat dan kreativiti
Mengamalkan sikap dan perlakuan nilai murni

Bagi membolehkannya beroperasi di peringkat sekolah dan bilik darjah, KBSR


diterjemahkan dalam bentuk objektif bagi setiap mata pelajaran.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 42


_______________________________________________________________________________

AKTIVITI 3.1
Banding bezakan matlamat pendidikan untuk zaman berikut
Sebelum Penjajahan
Semasa Penjajahan Inggeris
Selepas Merdeka

_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
_____________________________________________
____________________________________________

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 43


_______________________________________________________________________________

Apakah matlamat KSSR?


Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi
murid secara menyeluruh, seimbang, dan bersepadu sebagai mana yang ternyata dalam
FPK. Perkembangan potensi ini meliputi aspek-aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Untuk mencapai
matlamat ini, satu bentuk pendidikan yang bersifat holistik perlu diperkasa untuk
memenuhi tuntutan pendidikan serta menangani cabaran kehidupan masa kini dan masa
depan. KBSR terus mengalami perubahan dan mulai tahun 2011 Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan ke atas semua murid Tahun 1. KBSR terus
mengalami perubahan dan mulai tahun 2011 Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) dilaksanakan ke atas semua murid Tahun 1.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk


melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis
dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan
teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan
diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah
Pendidikan
Kebangsaan
dan
Dasar
Pendidikan
Kebangsaan. Di samping itu, KSSR mengambil kira
cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori
pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat
tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk
mengetahui, belajar untuk bertindak, belajar untuk hidup
bersama dan belajar untuk membentuk peribadi.
Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas
berikut:
a. Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi, jasmani dan sosial
b. Warganegara yang bertanggungjawab
c. Global Player
d. Pekerja ilmu
. . . Petikan dari BPK, KPM (2010)

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 44


_______________________________________________________________________________

KSSR berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan
inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi; sains dan teknologi; perkembangan fizikal
dan estetika; keterampilan diri; kemanusiaan; dan kerohanian, sikap dan nilai. KSSR
adalah berasaskan FPK dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) di samping
mengambil kira cabaran dalam abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori
pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO,
iaitu belajar untuk mengetahui, belajar untuk bertindak, belajar untuk hidup bersama dan
belajar untuk membentuk peribadi. Diharapkan agar murid-murid yang mengikuti KSSR
akan mempunyai asas-asas untuk menjadi insan yang seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi, jasmani dan sosial; warganegara yang bertanggungjawab; global player;
dan pekerja berilmu. Selain itu, tujuan pendidikan di sekolah rendah adalah untuk
melatih murid-murid supaya mempunyai sikap ingin tahu, suka berfikir dan rajin untuk
terus belajar. Murid-murid perlu berusaha mencari pengetahuan sendiri daripada
pelbagai sumber seperti daripada guru, rakan, sumber-sumber di keliling mereka seperti
buku internet dan sebagainya.
Dalam setiap modul KSSR dinyatakan matlamat dan objektif yang berkaitan. Sebagai
contoh, matlamat tema Dunia Sains dan Teknologi adalah untuk menanam minat dan
mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman dan penyiasatan bagi menguasai
ilmu sains dan teknologi, kemahiran serta nilai murni. Kemahiran yang ingin
dikembangkan melalui tema ini merangkumi kemahiran proses sains, kemahiran berfikir,
kemahiran manipulatif/psikomotor dan kemahiran TMK. Untuk membolehkan anda
mengenal pasti matlamat dan objektif modul KSSR, sila teruskan dengan Aktiviti 3.2.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 45


_______________________________________________________________________________

AKTIVITI 3.2
Sila rujuk : http://www.moe.gov.my/bpk/
Kenal pasti matlamat dan objektif bagi setiap DSK mata pelajaran yang
terdapat dalam KSSR dan berikan ulasan anda.

______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
______________________________________________
____________________________________________

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 46


_______________________________________________________________________________

Dengan merujuk kepada senario yang terdapat dalam masyarakat masa


kini berkaitan alam sekitar, sosial dan ekonomi; adakah anda
berpendapat pendidikan sekolah rendah telah mencapai matlamatnya.

RUMUSAN
Unit ini telah membincangkan matlamat pendidikan dan kurikulum mengikut zaman yang
berbeza-beza iaitu sebelum penjajahan, semasa penjajahan Inggeris dan selepas
merdeka. Selepas merdeka, matlamat pendidikan dan kurikulum meliputi zaman
sebelum pelaksanaan KBSR, semasa pelaksanaan KBSR dan dalam KSSR. Selain itu
dihuraikan juga matlamat kurikulum bagi setiap mata pelajaran dalam KBSR. Secara
umumnya matlamat dalam KBSR dan KSSR adalah pada hakikatnya selari dengan
pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam FPK.

KATA KUNCI
Matlamat

- hasrat jangka panjang yang hendak dicapai.

Objektif

- hasrat yang lebih konkrit yang mampu dicapai dengan


mengikuti langkah-langkah tertentu dalam jangka masa
yang lebih pendek.

Matlamat pendidikan

suatu jangkaan tingkah laku bersifat menyeluruh yang


diharapkan akan diperoleh di akhir suatu proses
pendidikan.

Matlamat kurikulum

matlamat kurikulum adalah selaras dengan matlamat


sesuatu sistem pendidikan.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 47


_______________________________________________________________________________

PENILAIAN KENDIRI
Jawab semua soalan berikut.
1.

PPK (2003) telah menggariskan matlamat pengajaran dan pembelajaran mata


pelajaran Bahasa Melayu dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR). Apakah matlamat mata pelajaran tersebut?
A.
B.
C.
D.

2.

Di United Kingdom, kandungan National Curriculum meliputi aspek personal,


sosial dan emosi; kemahiran komunikasi, bahasa dan literasi; matematik;
pengetahuan dan kefahaman tentang dunia; perkembangan fizikal; dan
perkembangan daya kreatif. Tujuannya ialah untuk ______________
A.
B.
C.
D.

3.

Menggunakan bahasa Melayu untuk mempelajari manusia dan alam


sekeliling.
Mengguna, menghayati dan menghargai bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan.
Menggunakan bahasa Melayu untuk bercakap, membaca, menulis, dan
mengeluarkan idea.
Melengkapi murid-murid dengan keterampilan berbahasa dan
berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu,
perhubungan sosial dan urusan harian.

kesesuaian dengan prasarana pengajaran dan pembelajaran yang ada.


perkembangan potensi murid dari aspek intelek, sosial, emosi dan
fizikal.
memenuhi kehendak ibu bapa yang perlu khidmat jagaan anakanaknya.
orientasi bakal warganegara bagi keperluan politik golongan pemerintah.

Apakah matlamat akhir pendidikan anak-anak Melayu mengikut konsep


pendidikan tradisional?
A.
B.
C.
D.

Kekukuhan ekonomi.
Kesejahteraan dan keharmonian.
Pembentukan masyarakat yang demokratik.
Masyarakat yang berilmu dan menerima kemodenan.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 48


_______________________________________________________________________________

4.

Dalam KSSR, matlamat kurikulum Sains adalah untuk menanamkan minat dan
mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman dan penyiasatan bagi
menguasai ilmu sains, kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir serta sikap
saintifik dan nilai murni.
Bagaimanakah matlamat ini dapat dicapai?
I. Merancang aktiviti yang dapat meningkatkan daya kreativiti murid.
II. Pendedahan kepada murid tentang kepentingan menjaga alam
sekitar.
III. Meransang sifat ingin tahu murid dan mengembangkan minat
tentang dunia sekeliling.
IV. Memberi latih tubi bagi memastikan murid-murid cekap dalam
menjawab soalan yang dikemukakan
A.
B.
C.
D.

5.

I dan III sahaja


II dan IV sahaja
I, II dan III sahaja
I, II dan IV sahaja

Hasrat KSSR untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan
inovatif adalah mengambil kira asas __________________
I.
II.
III.
IV.
A.
B.
C.
D.

Model Baru Ekonomi


Dasar Pendidikan Kebangsaan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
empat tonggak pendidikan UNESCO

I dan III sahaja


II dan IV sahaja
I, II dan III sahaja
I, II dan IV sahaja

CADANGAN JAWAPAN:

1. D;

2. B;

3. B;

4. C; 5. D

RUJUKAN
http://www.moe.gov.my/bpk/
Bahagian Perkembangan Kurikulum (2010). KSSR: Kurikulum Standard Sekolah
Rendah. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ikhsan Othman., & Norila Md. Salleh. (2005). Kurikulum dan pengajaran sekolah rendah:
Aspek-aspek yang berkaitan. Tanjong Malim: Quantum Books.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah Kemahiran Hidup Sekolah Rendah. Kuala Lumpur : Pusat
Perkembangan Kurikulum.

KRP 3013: Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah 49


_______________________________________________________________________________

Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu


Sekolah Rendah Matematik. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah Kajian Tempatan. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah Pendidikan Moral. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah Pendidikan Seni Muzik. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah Pendidikan Seni
Passe, J. (1999). Elementary school curriculum (2nd Edition). Boston: McGraw Hill
Smith, R. (2002). The effective primary school: A guide for leaders and teachers.
London: Kogan Page.
Sufean Hussin. (2004) Sejarah, sistem & falsafah pendidikan di Malaysia (Edisi Kedua).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
The International Encyclopedia of Curriculum (1991). New York: Pergamon Press.
Wyse, D. (2002). Becoming a primary school teacher. New York: Routledge.

You might also like