You are on page 1of 5

TAJUK 1 :- PENGERTIAN KONSEP PENILAIAN, PENGUJIAN DAN PENTAKSIRAN

MATYIEMARO

PENTAKSIRAN
Definisi
Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya
membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses
pendidikan. Dari konteks pendidikan, pentaksiran merupakan satu episod dalam
proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod,
memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar
bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan
gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau
aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Tujuan Pentaksiran
Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam
pembelajaran.
Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran.
Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan
pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan
sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.


PENGUJIAN
Definisi
Proses atau prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang
biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan
pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran. Pengujian dapat dianggap
sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set
instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah
laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.
Menurut Cronbach (1970)
Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah
laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau
satu sistem yang berkategori.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120
untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu
mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah
ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian
penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar
seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari
Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan
oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh
daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan.
(Raminah 1991:2).
Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut
sebagai markah akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan
tahapberapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.
Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti
pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan.
Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya
telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.
Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat
melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru
dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat
penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang
diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

PENILAIAN
Definisi
Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk
menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian
merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan
sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam
menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang
pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.

Perkaitan pengujian, pengukuran dan penilaian


Diagnosis

Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat
memberikan maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap
pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat
memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran.
Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada
tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana,lemah atau tidak ada
sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat
mengenal pasti pelajar yang cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan
pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat
keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih
bersesuaian dengan keperluan pelajar atau mengulang pelajaran dengan
menggunakan strategi yang sama dan sebagainya.

Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan
memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan
kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru
tentang masalah yang dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai masalah dalam
mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar?
Sekiranya pelajar menghadapi masalah, guru akan menyelidik punca masalah
tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan guru untuk mengubah pendekatan
pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah yang dihadapi
pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi
masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.

Pencapaian

Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat
memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap
pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu,
penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun
6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk
menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada
peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada
pelajar.

Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut
gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan
dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan
pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki untuk tindakan
selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.

Pemilihan dan Penempatan

Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula
kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai
pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya,
seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli
bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah
yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan
sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam
menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.

Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam
sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan
mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan
masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut
keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah
untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan
kemahiran mereka.

Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih
dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang
cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran
sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.

Bimbingan dan kaunseling

Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling
kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi
untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi daripada dalam
diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui
sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya
akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi
yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu
motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau
nasihat daripada guru/guru besar.
Tujuan lain Penilaian Ujian
1. Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar.
2. Membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan
rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain.
3. Membuat perbandingkan pencapaian pelajar dalam subejk tersebut dengan
pencapaian dalam subjek lain.
4. Menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya
dan lemah pencapaiannya
5. Membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang
berkenaan.
6. Membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar
terhadap pembelajaran.
7. Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran
mereka.
8. Melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan
keberkesanan pengajaran mereka.
9. Pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang
dan segera memperbaikinya.

You might also like