You are on page 1of 4

TUNKU Abdul Rahman sedang berucap ketika berkempen di Perak dalam Pilihan Raya Umum 1959

Pilihan raya lalu jauh berbeza: Kemiskinan menyebabkan calon ketika berkempen membawa gula, teh
dan biskut, untuk diberikan kepada tuan rumah

GENDANG sudah dipalu dan hanya menanti tari mengikut rentak. Pengumuman pembubaran Parlimen
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu, akhirnya menjawab teka-teki
mengenai pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, demam pilihan raya sebenarnya sudah melanda seluruh pelusuk negara sejak berbulan-
bulan lalu.


Apabila gendang dipalu secara rasmi, bermakna bilik gerakan parti politik yang sudah dibuka kini mula
beroperasi. Poster dan bendera pula sedia ditampal dan digantung. Di kalangan parti politik, senarai
calon yang bakal bertanding kini memasuki peringkat akhir sebelum diumumkan.

Bagaimanapun, pilihan raya bukan hanya untuk ahli politik. Inilah masa rakyat menjadi raja untuk
membuat pemilihan bijak hanya sekali dalam tempoh lima tahun.

Walaupun zaman berubah, pilihan raya tetap sama, tetapi kaedah berubah. Ketika berceramah di
khalayak ramai masih menjadi cara berkempen popular, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) menyebabkan saluran internet seperti laman web dan blog mula menjadi pilihan.

Begitu juga Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang turut dijadikan saluran berkempen. Itulah bezanya
pilihan raya dulu dan sekarang.

SUDAH terang lagi bersuluh. Ketibaan pilihan raya umum ke-12 amat dinanti-nantikan, terutama di
kalangan pengundi baru. Jika sebelum ini hanya melihat dan mendengar cerita orang lain, kali ini
berpeluang memasukkan sendiri kertas undi ke dalam peti.

Mereka yang pernah mengundi juga menantikan kehadiran pilihan raya untuk menunaikan
tanggungjawab dan hak sebagai warga negara memilih calon dan parti yang membentuk kerajaan serta
memerintah negara.

Menjelang pilihan raya umum ke-12, sebahagian besar penduduk negara tidak tahu atau ingat
permulaan pilihan raya umum di negara ini.

Pilihan raya pertama diadakan pada zaman penjajahan Inggeris, iaitu pada 27 Julai 1955, bertujuan
menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan.

Dalam pilihan raya yang membabitkan 52 kerusi, Parti Perikatan yang dianggotai Umno, MCA dan MIC
bertanding di semua kawasan. Pencabar utama, Parti Negara meletakkan 33 calon dan Pas 14 calon.

Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak dan Parti Progresif Rakyat (PPP) hanya bertanding di
Perak. Seramai 18 calon bebas turut bertanding di seluruh negara.

Dalam suasana kebangkitan rakyat untuk mendapat pemerintahan sendiri, Perikatan pimpinan Tunku
Abdul Rahman, mendapat kepercayaan pengundi dengan menang besar apabila meraih 51 kerusi. Baki
satu kerusi menjadi milik Pas.

Selepas kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pilihan raya umum mesti
diadakan sekali dalam tempoh lima tahun atau dewan dibubarkan lebih awal. Berikutan itu, pilihan raya
pertama selepas kemerdekaan diadakan pada 1959.

Sebanyak 11 pilihan raya umum diadakan dengan kali terakhir pada 2004. Sepanjang tempoh itu,
perubahan yang berlaku sejajar dengan kepesatan kemajuan negara menyebabkan pilihan raya pada
peringkat awal sukar digambarkan oleh generasi sekarang.

Bayangkan ketika negara baru mencapai kemerdekaan dengan pelbagai kekurangan dari segi
kemudahan jalan raya, bekalan elektrik hanya di kawasan bandar, manakala sebahagian rakyat
dibelenggu buta huruf.

Mengimbas suasana ketika itu, Tan Sri Aishah Ghani, 85, yang bertanding di Parlimen Setapak pada
pilihan raya umum 1959, banyak menyimpan pengalaman pahit manis ketika rakyat masih mentah dari
segi pengalaman pilihan raya.

Pada tahun itu, Aishah tewas kepada Ahmad Boestaman, tetapi menang pada pilihan raya umum 1974,
1978 dan 1982 di Parlimen Kuala Langat.

"Kalau dibandingkan zaman dulu dan sekarang, pengundi sekarang jauh lebih canggih. Dulu pengundi
perlu diajar kerana ramai yang bukan saja tidak boleh membaca dan menulis, malah tidak biasa
mengundi.

"Saya bukan saja berkempen untuk kemenangan Perikatan, tetapi mengajar pengundi cara memangkah
kertas undi," katanya.

Pada awal 1960-an, katanya berkempen di Selangor tidak sesukar menjelajah negeri Pantai Timur
seperti Kelantan dan Terengganu.

Kebanyakan kampung di pedalaman negeri itu, katanya tidak mempunyai jalan yang boleh dimasuki
kenderaan, termasuk basikal.

Bekas Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Umno itu memberitahu calon dan ahli parti terpaksa berjalan
kaki dari sebuah kampung ke kampung lain. Walaupun penat, terpaksa menggagahkan diri demi parti.

Katanya, kemiskinan menyebabkan calon ketika berkempen membawa gula, teh dan biskut, untuk
diberikan kepada tuan rumah.

"Mereka terlalu miskin hingga tidak sampai hati datang dengan tangan kosong. Walaupun miskin,
penduduk kampung sudi meluangkan masa untuk mendengar penerangan mengenai perjuangan
Perikatan," katanya.

Berbeza dengan sekarang, katanya pilihan raya umum peringkat Parlimen dan Negeri pada 1959 tidak
diadakan serentak. Pilihan raya Negeri diadakan pada Mei, manakala Parlimen berlangsung tiga bulan
kemudian.

Katanya, ini menyebabkan keputusan peringkat Negeri memberi kesan terhadap pilihan pengundi
peringkat Parlimen.

Veteran Umno Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 84, hanya bertanding pada pilihan raya umum 1978,
tetapi aktif dalam politik sejak sebelum merdeka dan mempunyai banyak pengalaman berkaitan pilihan
raya.

Antara pengalaman lucu yang masih diingat ialah seorang pengundi menggigil selepas keluar dari pusat
mengundi.

"Saya tanya mengapa menggigil. Lelaki itu beritahu saya, dia hendak mengundi kapal layar (lambang
Perikatan), tetapi pada kertas undi, dia menulis tanda betul dan bukan pangkah. Dia keliru kerana tanda
betul digunakan dalam kebanyakan urusan harian," katanya.

Faktor perubahan zaman, katanya menyebabkan kerja memasang poster dan bendera kini perlu dibayar.

Hingga akhir tahun 1970-an, katanya secawan kopi dan kuih sudah mencukupi sebagai tanda terima
kasih kerana ahli parti lebih mengutamakan perjuangan parti.

Pada 1959, Abdul Aziz memberitahu beliau hanya ahli biasa parti, tetapi bekerja keras untuk
memenangkan calon Perikatan.

"Satu perkara yang tidak berubah sejak dulu hingga sekarang, suasana pilihan raya umum meriah seperti
pesta. Poster dan bendera dipasang di mana-mana. Saya bersyukur kerana di Melaka, walaupun
persaingan antara parti hebat, pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman," katanya.

Zaman berubah, pilihan raya tetap sama, tetapi kaedah berubah. Ketika berceramah di khalayak ramai
masih menjadi cara berkempen popular, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
menyebabkan saluran internet seperti laman web dan blog mula menjadi pilihan.

Begitu juga Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang kegunaannya bukan hanya digunakan untuk mengundi
peserta Akademi Fantasia,

Jika pada zaman awal kemerdekaan, pengisian kemerdekaan seperti kemudahan asas, jalan raya,
bekalan air dan elektrik dan peluang pendidikan menjadi isu utama, isu itu masih relevan hingga hari ini,
ditambah dengan pelbagai perkembangan semasa.

You might also like