You are on page 1of 4

HUJAH YANG MENYATAKAN PERLEMBAGAAN MENJAMIN KEDUDUKAN

ISLAM DI MALAYSIA.

Islam dalam perlembagaan merupakan suatu isu yang sangat penting kerana majoriti penduduk
malaysia adalah orang melayu yang beragama islam. Malahan islam telah menjadi suatu gaya
hidup mereka. Oleh itu, perlembagaan telah menetap beberapa perkara bagi menjamin
kedudukan islam dalam perlembagaan. Antaranya ialah:
1) Perkara 3(1) menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-
agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian
Persekutuan.
Hal ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama bagi persekutuan dan
kedudukannya adalah lebih tinggi berbanding dengan agama-agama yang lain. Oleh itu,
Islam dilindungi oleh perlembagaan dan segala kemudahan serta perbelanjaan yang
digunakan untuk agama Islam tidak boleh dipertikaikan.Walaubagaimanapun agama-
agama lain tetap terjamin dan penganut bukan islam diberi kebebasan untuk
mengamalkan agama mereka. Agama Islam juga bukanlah hanya digunakan atau terbatas
untuk perkara-perkara rasmi sahaja seperti yang dinyatakan oleh pihak mahkamah dalam
kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor (1988) tetapi Islam merupakan suatu
cara hidup. .Dalam kes Meor Atiqurahman bin Ishak v Fatimah Bte Shihi (2000) ,
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kedudukan Islam adalah tinggi dan mengatasi
agama-agama lain. Walaupun keputusan ini ditolak oleh Mahkamah Rayuan, namun ia
tidak menyentuh mengenai kedudukan Islam. Kes ini jelas menunjukkan bahawa
kedudukan Islam sebagai suatu agama yang tinggi diiktiraf dan diterima.

2) Yang di Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 3(3) adalah ketua agama
Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah
Persekutuan yang tidak mempunyai raja.Raja dan sultan di negeri-negeri yang beraja
ialah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

PerananYang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dapat dilihat dalam lafaz
sumpah jawatan baginda dalam Jadual Keempat, yang memulakan sumpahnya dengan
lafaz Wallahi. Wabillahi. Watallahi dan berikrar akan memelihara agama islam setiap
masa.
Secara tidak langsung, kedudukan agama Islam akan dilindungi Yang di Pertuan Agong
yang juga merupakan ketua kepada badan perundangan,pemerintahan dan kehakiman.


3) Perkara 11 (1)
Tiap-tiap orang berhak mengamal dan menganuti agamanya-tertakluk pada Fasal (4),
dan mengembangkan agama tersebut.

Kebebasan untuk beragama adalah salah satu daripada kebebasan asasi yang diberikan
jaminan kepada semua orang. Hak untuk menganut ini merangkumi hak untuk menukar
agama dan keluar masuk sesuatu agama. Namun kebebasan beragama dan memilih
agama hanyalah tertakluk kepada orang-orang yang bukan beragama Islam sahaja dan
bukan kepada orang-orang Islam. Hal ini kerana ajaran Islam menentang gejala murtad
secara tegas. Orang Islam yang berhasrat untuk keluar daripada agama Islam mestilah
mendapat perintah atau pengisytiharan terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah yang
mempunyai bidang kuasa sepertimana yang telah diperuntukkan dalam enakman negeri
iaitu enakmen Pentadbiran Islam. Enakmen ini menetapkan sesiapa yang ingin keluar dari
agama Islam boleh dikenakan hukuman.
Misalnya kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan . Lina Joy telah
memohon untuk memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya. Permohonan
itu telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana tidak mendapat surat
pengakuan yang disahkan (refer letter) daripada Mahkamah Syariah yang mempunyai
bidang kuasa sepertimana yang telah diperuntukkan dibawah enakmen Pentadbiran
Agama Islam. Peruntukan ini sedikit sebanyak memberi penjagaan secara bertulis kepada
umat Islam di Malaysia agar agama Islam terjaga.

4) Perkara 11 (4)

Hak untuk mengembangkan agama pula hanya tertakluk untuk orang islam sahaja.
Walaubagaimanapun orang bukan islam boleh menyebarkan dakwahnya kepada penganut
agama lain selain orang Islam. Maka suatu kesalahan bagi penganut agama lain
menyebarkan fahaman mereka dalam kalangan orang Islam di tempat awam.
Perlembagaan membenarkan undang-undang negeri untuk mengawal dan menyekat apa-
apa penyebaran kepercayaan agama dalam kalangan orang beragama Islam di tempat
awam.


5) perkara 12 (2) : hak berkenaan dengan pendidikan

Perkara 12 ada menyentuh mengenai bantuan kewangan yang diberikan kepada orang
Islam di Malaysia untuk meninggikan syiar Islam. Seperti menubuhkan instistusi islam
dan membantu pengajaran Islam.
Peruntukan ini secara tidak langsung dapat membantu orang islam dan menyebarkan
dakwah islamiah. Walaupun diskriminasi atas alasan agama adalah dilarang, namun
Perlembagaan memberi pengecualian terhadap agama Islam dengan membenarkan
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah Perkara 12(2) untuk menubuhkan
dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi-institusi Islam.
Contohnya, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk membantu orang Islam
dari segi kewangan. Contohnya ialah dengan menubuhkan Bank Islam dan Tabung Haji.
Ia juga telah mengalakkan perniagaan-perniagaan berlandaskan kepada prinsip-prinsip
Islam seperti insuran dan kewangan Islam. Perlembagaan juga telah menghulurkan
bantuan kewangan untuk menyebarkan Islam dan membina masjid-masjid diseluruh
negeri-negeri dan orang bukan Islam tidak boleh mempertikaikannya.

6) Perkara 12 (4) :
Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang dibawah umur lapan belas tahun
hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Bagi orang dewasa yang ingin memeluk Islam bebas untuk memilih agamanya sendiri
tidak perlu untuk meminta izin daripada ibu bapanya dan pemelukannya dianggap
sebagai sah. Hal ini berbeza jika bagi kanak-kanak berumur di bawah umur 18 tahun
yang memerlukan keizinan daripada penjaga atau ibu bapa.


7) Perkara 121 (1A) menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh
mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah.

Ini kerana sebelum pindaan itu dibuat terdapat beberapa kes seperti wakaf, penjagaan
anak, mungkir janji untuk berkahwin dan lain-lain di mana Mahkamah Sivil telah
membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah
Syariah dan adakalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat di Mahkamah
Syariah. Peruntukan ini telah memberi kuasa autoriti yang yang tersendiri kepada
mahkamah syariah.Dengan adanya peruntukan ini secara dasarnya kita tidak akan
mengalami konflik dalam menentukan kuasa dan memutuskan kes.

8) Pewujudan Majlis Raja-Raja melalui Perkara 38, Bahagian IV

Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan tertinggi dalam hal-ehwal melibatkan
kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan
istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi dan kedaulatan
Raja-Raja Melayu. Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan
semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli
Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-
wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut
adalah prinsip asas yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan. Maka agama Islam
tidak akan dengan mudahnya dipergunakan untuk kepentingan individu mahupun politik
kerana Majlis Raja-raja adalah suatu badan yang bersifat bebas.

9) Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa
kepada Sultan dan Majlis Agama Islam Negeri untuk menubuhkan Mahkamah
Syariah di Negeri masing-masing.

Badan Perundangan Negeri yang diberikan kuasa oleh perlembagaan boleh mentadbir
undang-undang Islam dan semua hal-hal ehwal Islam di negeri masing-masing. Hal ini
memberi keistimewaan kepada orang islam untuk membicarakan kes-kes umat islam
seperti isu berkaitan harta pusaka dan isu-isu perkahwinan mengikut kaedah yang
ditetapkan syariat.


10) Peruntukan Perkara 150 (6A)

Peruntukan ini jelas memelihara hal ehwal Islam walaupun dalam keadaan darurat.
Keadaan darurat yang berlaku boleh memberi kuasa kepada pihak eksekutif untuk
membuat undang-undang walaupun bidang kuasa atau peruntukan membuat undang-
undang hanya boleh dilakukan di Parlimen dan kerajaan pusat boleh mengambil alih
pemerintahan kerajaan negeri. Ini menunjukkan bahawa walaupun kuasa darurat yang
yang diperuntukkan sangat luas tetapi kuasa ini tetap tidak boleh menganggu perkara
yang berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ini menunjukkan hal yang
berkaitan dengan agama Islam diberi status yang tinggi dalam perlembagaan.

Kesimpulannya, perlembagaan persekutuan mempunyai islamic characteristic dan bukanlah
sebuah negara sekular seperti yang terdapat dalam beberapa perlembagaan dunia. Secara
asasnya, Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang dan jaminan kepada agama Islam di
negara ini tidak diganggu tanpa mengetepikan hak-hak agama lain. Jika kita teliti, kita akan
mendapati struktur dan kerangka keislaman Malaysia sudah tersedia dalam banyak perkara
yang termaktub dalam perlembagaan.Ia hanya perlu diperkuatkan lagi dengan pelaksanaan yang
lebih menyeluruh dan pentafsiran yang lebih mesra Islam untuk membentuk sebuah negara Islam
yang lebih sempurna.

You might also like