You are on page 1of 2

Aktiviti PISMP Semester 2 (2012)

1. Bina Insan Guru (BIG) Fasa 2


Refleksi (B.I.G Fasa 2)

Atas berkat dan kesyukuran Tuhan, saya telah berjaya menghabiskan
program Bina Insan Guru (BIG) fasa dua pada 22 September 2012 bertempat di
Tamu Donggongon. Sebelum memulakan perjalanan ke sana, saya berasa risau
dengan cuaca mendung dan perasaan ini hilang sebaik sahaja saya menaiki bas
IPG Kampus Gaya. Perasaan teruja juga menyelubungi saya pada pertama kalinya
saya mengunjungi tamu tersebut.

Sebaik sampai ke destinasi, saya dan rakan-rakan lain ditempatkan di ruang
luas dan mendengar taklimat daripada Encik Ladius Emor tentang aktiviti yang bakal
dijalankan. Saya berasa gembira apabila sampai ke destinasi dengan selamat.
Pegawai berkuasa tempatan, Encik Albert juga mengambil masa untuk memberi
taklimat ringkas tentang pekan Donggongon dan kawasan tamu. Seorang pegawai,
Cik Nomi juga memberikan taklimat tentang Kempen Anti Kutu Sabah (KAKS) yang
bertujuan untuk menangkap dan memerangi orang yang membuang sampah atau
mengotorkan kawasan pekan. Taklimat yang diberikan oleh mereka amat memberi
inspirasi dan rangsangan kepada saya. Usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa
tempatan amat memberangsangkan saya untuk bersungguh-sungguh dalam
membuat kerja pembersihan.

Maka, selaras dengan program BIG yang ditetapkan dalam kursus PISMP,
saya menjalankan aktiviti khidmat masyarakat yang berbentuk kerja pembersihan
kawasan tamu. Pembahagian kumpulan dijalankan mengikut opsyen kepada lima
kumpulan. Alat pembersihan juga dibekalkan, termasuklah penyapu, penyodok,
cangkul, plastik sampah dan lain-lain. Melalui kerja mencabut rumput di kawasan
jalanan, saya berasa penat tetapi seronok disebabkan dapat mencantikkan lagi
kawasan jalanan tersebut. Melihat rakan lain bertungkus-lumus untuk menyiapkan
kerja, saya juga membantu mereka atas kesungguhan mereka. Saya pernah
mengangkat cangkul dan penyodok tetapi menggunakan alat-alat tersebut turut
memenatkan saya. Namun diri saya juga dapat mencepatkan proses kerja dan
melatih otot tangan. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Saya
juga menyedari bahawa usaha yang kecil namun jika dikumpulkan akan menjadi
satu usaha yang besar dan bermakna dalam melindungi muka bumi ini.

Melalui aktiviti khidmat masyarakat ini, saya berpeluang merasai budaya dan
kehidupan masyarakat tempatan. Sikap ramah mesra yang diamalkan oleh mereka
amat menyenangkan dan memberi iktibar kepada saya. Pemerhatian yang didapati
daripada mereka menekankan kepada interaksi penduduk yang berbeza kaum amat
mengharukan saya. Kerjasama antara ahli kumpulan dan antara kumpulan juga
melancarkan kerja pembersihan. Sikap toleransi dan tolong-menolong amat penting
untuk menjayakan sesuatu program. Demikianlah dengan nilai kesabaran yang
dicerminkan melalui ketahanan guru pelatih untuk bekerja di bawah panas terik
matahari. Saya juga menikmati suasana bekerja yang ceria dan aktif dengan
seronoknya. Pengalaman dan perasaan ini amat berharga kepada saya untuk
menimba pengalaman hidup dan menambah kematangan saya untuk menguruskan
aktiviti sebegitu di masa depan.

Saya juga menghargai layanan masyarakat tempatan, terutama senyuman
yang dilemparkan dan penyediaan makanan kepada saya. Apabila melihat mereka
berasa puas hati atas kawasan tamu yang menjadi lebih bersih, ini telah menjadi
kepuasan saya. Walaupun peluh dan kepenatan menyelubungi saya, saya tetap
berasa berbaloi untuk menyumbangkan tenaga dan masa demi kebersihan dan imej
kawasan tamu serta pekan Donggongon. Saya berharap dapat terus melibatkan diri
dalam usaha khidmat masyarakat di tempat lain. Semua usaha yang dijalankan
diharapkan dapat mengurangkan sampah dan meningkatkan tahap kebersihan alam
sekitar.

You might also like