You are on page 1of 15

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah

untuk menangani gejala sosial dalam kalangan remaja dan kesan-kesan jika gejala sosial
ini tidak ditangani. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jenayah yang merupakan implikasi daripada keruntuhan akhlak akan menyebabkan
lahirnya msayarakat yang melanggar norma-norma agama dan masyarakat. Masalah jenayah
harus ditangani segera sebelum merebak menjadi masalah sosial dalam masyarakat. Menurut
Hall (1904), kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu
bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja. Mereka wajar
membantu remaja untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan kegiatan yang
negatif. Masyarakat harus sedar bahawa masalah sosial ialah masalah bersama dan
memerlukan penyelesaian yang bersepadu dan terancang. Pelbagai strategi melalui
pendekatan yang proaktif diperlukan untuk menangani masalah sosial ini. Pendekatan tersebut
termasuk pendekatan kegamaan yang merupakan tunjang kerohanian bagi setiap individu.

Kepentingan pegangan agama dan nilai kerohanian dalam kehidupan manusia
tidak dapat disangkal lagi. Agama memainkan peranan penting untuk memandu remaja agar
bertingkah laku sesuai dengan nilai, norma dan pertimbangan rasional kebanyakan ahli
masyarakat. Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya
berasaskan kepada dua faktor yang saling berhubung, iaitu faktor teladan dan pengaruh
persekitaran. Hal ini demikian kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam
proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani.

Oleh yang demikian, setiap anak memerlukan seri teladan supaya kebaikan dan
kehebatan yang berkaitan dapat menjadi contoh untuk diikuti dan dihayati dalam kehidupannya
pula. Dalam hal ini, ibu bapa ialah model awal dan utama dalam pembentukan akhlak anak.
Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta
menjadi teladan yang terbaik. Selain itu, ibu bapa perlu harus bijak menimbulkan persekitaran
kekeluargaan yang harmoni dan membahagiakan. Ibu bapa perlu mengetahui teknik
keibubapaan yang sihat dan cemerlang. Selain itu ibu bapa perlu mempraktikkan nilai-nilai
keagamaan dalam kehidupan seharian dalam membentuk keluarga harmoni.

Kita harus sedar bahawa tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan
agama lebih berkesan dan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding
dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang
sama, pendekatan kaunseling dan nasihat perlu juga bergerak seiring supaya nilai-nilai
keagamaan sentiasa subur dalam sanubari anak-anak remaja. Hakikatnya, segenap lapisan
masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam
menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan
memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala
sosial yang merosakkan masa depan mereka.

















(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Menangani Gejala Sosial Generasi Muda oleh
Hasbullah Mat Daud dalam Utusan Malaysia, 30 April 2008)

Petikan Umum
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda
sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata keruntuhan akhlak.
(2 markah)
(ii) Berdasarkan petikan, bagaimanakah ibu bapa dapat menjadi seri teladan kepada
anak-anak?
(3 markah)
(iii) Sebagai rakan, apakah yang boleh anda lakukan untuk membantu rakan yang
terlibat dengan gejala sosial?
(4 markah)








Topik 1 : Rumusan dan Pemahaman

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian, tulis satu rumusan tentang peranan remaja
dalam menghayati kemerdekaan tanah air dan sebab-sebab remaja perlu menghayatinya.
Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Generasi muda negara ini seharusnya bersyukur kerana dilahirkan dalam suasana
pascamerdeka yang aman dan makmur. Namun, di sebalik kemakmuran dan kejayaan yang
dicapai Malaysia, para remaja harus menyedari kepentingan menghayati semangat
kemerdekaan yan sebenar agar kemerdekaan negara dijaga dan dihormati. Dalam usaha kita
menyambut kemerdekaan, remaja seharusnya merenung dan menghayati hakikat
kemerdekaan itu sendiri.

Era globalisasi pada hari ini banyak memberikan pendedahan kepada golongan remaja
terhadap kepelbagaian budaya dan idealisme. Pengaruh media massa yang amat kuat
menyebabkan sesetengah daripada golongan remaja memandang tinggi terhadap segala yang
datang dari Barat. Sungguhpun dunia Barat amat maju dalam pelbagai bidang namun
kemodenan yang dicapai oleh mereka ada kepincangannya. Sebagai contoh, masyarakat di
Barat begitu ghairah mengejar kemajuan materialistik sehingga mengabaikan nilai-nilai murni
lalu menyebabkan institusi kekeluargaan mereka menuju keruntuhan. Oleh yang demikian,
para remaja mestilah arif memilih nilai-nilai yang baik dan tidak terpengaruh dengan perkara
yang negatif.

Dalam menelusuri nikmat kebebasan, para remaja seharusnya tidak lalai dalam
mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan keterampilan. Biar apa pun bangsa kita, kita
seharusnya sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk memajukan diri dan negara. Apabila
negara membangun dalam keseimbangan, negara akan lebih disegani dan dihormati oleh
negara lain. Sekiranya ini tidak menjadi asas pegangan, maka negara akan jauh ketinggalan
dari aspek pembangunan fizikal dan rohaniah. Oleh itu, negara akan mundur dan
kesejahteraan rakyat tidak mungkin tercapai.

Remaja tidak boleh dengan bebas dan sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang
menyetuh sesitiviti kaum atau agama. Dalam masyarakat majmuk, hal ini menjadi cabaran
yang besar dalam memupuk perpaduan kaum. Amat menyedihkan apabila terdapat segelintir
remaja bertindak di luar batasan dengan memperlekeh atau menghina agama dan bangsa lain,
apatah lagi disuarakan dalam bulan kemerdekaan ini. Dalam hal ini, remaja diajar supaya
berakhlak mulia sesama insan lain walaupun berlainan bangsa dan agama. Remaja mestilah
menghormati adat resam dan budaya orang lain, tidak mengira bangsa dan agama.

Sememangnya setiap sambutan ulang tahun kemerdekaan itu menyediakan peluang
untuk remaja bergembira atau bersukaria. Namun remaja harus bijak memilih agar tidak
terjebak dengan acara-acara yang mungkin membawa remaja ke arah mendekati perkara
negatif. Apa yang menyedihkan, kita sering mendengar kisah remaja yang terlibat dengan
gejala negatif pada malam sambutan kemerdekaan, seperti meminum arak, penyalahgunaan
dadah, kegiatan lumba haram dan pergaulan bebas antara berlainan jantina..

Oleh itu, adalah penting untuk remaja memastikan terdapatnya pengisian bemanfaat
serta membina terhadap sambutan kemerdekaan yang dianjurkan. Acara-acara yang
dirancang seharusnya berpontesi menyemai nilai-nilai kesedaran. Remaja tidak seharusnya
mencemari kehormatan kemerdekaan dengan unsur-unsur yang tidak berakhlak serta salah di
sisi agama dan undang-undang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Menghormati Kemerdekaan Negara oleh
Mohd Farid Md Alias dalam Utusan Malaysia
23 Ogos 2007).




Petikan Umum
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda
sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mengejar kemajuan materilistik.

(ii) Berdasarkan petikan, mengapakan remaja perlu mempertingkatkan ilmu
pengetahuan dan keterampilan?

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah remaja kini tidak menghargai
kemerdekaan tanah air?

Berikan empat sebab.















Topik 1 : Rumusan dan Pemahaman

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah
untuk menyekat remaja daripada terlibat dengan dadah dan cabaran-cabaran dalam
melaksanakannya. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan perhatian berat
kepada masalah dadah. Perdana Menteri sendiri mengetuai jawatankuasa di peringkat kabinet
untuk membanteras dadah. Banyak agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan telah
diberikan tanggungjawab unuk menangani masalah dadah. Strategi kerajaan dalam aspek
pencegahan, pemulihan dan rawatan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama
antarabangsa sudah lama dilaksanakan. Semua langkah itu nampaknya berjaya mengekang
kes dadah yang lebih besar tetapi kurang berkesan untuk menyekat anak bangsa kita daripada
terus menjadi mangsa.

Nampaknya semua mekanisme tidak mampu menyekat penawaran dadah. Kita tidak
mampu menyekat perkembangan teknologi, perubahan gaya hidup dan kreativiti manusia.
Faktor tersebut mendorong dadah dicipta dan dijual dengan mudah, menjadikan semua anak
remaja sebagai sasaran. Namun kita masih menaruh harapan untuk membanteras dadah
melalui strategi menyekat permintaan terhadap dadah. Hanya pendidikan pencegahan dadah
mampu membina modal insan yang dengan tegas menolak permintaan terhadap dadah. Pihak
polis harus diberikan kuasa secukupnya untuk melaksanakan tugas peguatkuasaan dibantu
oleh pihak Kastam. Kementerian Pelajaran harus diberikan tanggungjawab utama dalam skop
pendidikan pencegahan untuk menyekat permintaan terhadap dadah. Kementerian, agensi
kerajaan dan badan bukan kerajaan yang lain boleh membantu mengikut kepakaran masing-
masing.

Kementerian Kesihatan pula perlu memberikan fokus kepada rawatan dan pemulihan
penagih dadah sama ada menggunakan modul terapi kemasyarakatan mahupun kaedah
perubatan.

Satu bahagian khusus perlu ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan untuk
membuat kerja konsultasi dan pengawasan kepada penagih dan pusat pemulihan dadah.
Kalau perlu, pegawai kebajikan yang ada dalam Agensi Antidadah Kebangsaan sekarang perlu
diserapkan dalam Kementerian Kesihatan.

Sementara program dalam masyarakat digerakkan secara bersama oleh semua agensi
setempat. Dalam skop mendidik modal insan bebas dadah, mekanisme dan program
pencegahan seharusnya terancang dan berterusan dalam jangka masa panjang. Pendidikan
pencegahan dadah perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan diteruskan ke peringkat
sekolah menengah dan pengajian tinggi. Program pencegahan dadah di sekolah perlu
ditumpukan mengikut kumpulan sasaran yang berbeza. Paling penting setiap program
pencegahan dadah terutamanya untuk pelajar terpilih, memerlukan tindakan susulan yang
berterusan. Hal ini boleh dilakukan oleh guru yang sememangnya sentiasa berdamping dengan
pelajar.

(Dipetik dan diubahsuaikankan daripada Sistem
Pencegahan Dadah Perlu Diubah dalam Utusan
Malaysia)









Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda
sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata nampaknya berjaya mengekang.

(2 markah)

(ii) Berdasarkan petikan, bagaimanakah program pencegahan dadah di sekolah dapat
dilaksanakan dengan berkesan?
(3 markah)


(iii) Pada pendapat anda, mengapakah remaja terjebak dengan najis dadah?


Berikan empat sebab.

(4 markah)














Topik 1 :Rumusan Dan Pemahaman
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian, tulis satu rumusan tentang akibat-akibat jika
budaya membaca tidak disuburkan dan cara-cara untuk menyuburkan budaya membaca.
Panjangnya rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Amalan membaca buku tambahan dalam kalangan pelajar universiti serta pensyarah di
negara ini begitu rendah. Walhal, jumlah yang dibaca dan dimiliki mencerminkan daya intelek
seseorang warga akademik. Kebanyakan ibu bapa pula masih berat hati dan merasakan tidak
punya cukup wang untuk membelikan anak-anak bahan bacaan yang bermutu. Membeli buku
latihan, buku teks dan kertas model peperiksaan sudah dianggap mencukupi sebagai alat untuk
menjadikan anak- anak mereka berilmu. Oleh yang demikian, pengetahuan anak-anak mereka
hanya terbatas kepda isi kandungan mata pelajaran di sekolah sahaja.
Jika di negara luar, kewujudan kedai buku terpakai merupakan suatu pemandangan biasa
tetapi di sini kedai pakaian terpakai yang lebih mendapat perhatian terutama daripada anak-
anak muda. Sebagai akibat malas membaca, kebanyakan daripada kita begitu sukar berhujah
dan memberikan pandangan tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan sosiopolitik,
ekonomi dan budaya di dalam mahupun di luar negara. Sering kali juga pendapat dan
perbincangan kita cetek dan berbaur sentimen emosi bukannya secara rasional dan
menyakinkan kerana saiz cakerawala minda yang masih sempit.
Permasalahan berkaitan diri, keluarga, organisasi dan negara tidak dapat dicari jalan
penyelesaian secara tuntas. Lepasan graduan kita pula dikatakan tidak berfikiran kristis kerana
budaya berfikir yang hanya wujud secara semula jadi melalui pembacaan berkualiti itu sendiri
masih jauh panggang daripada api. Faktor rendahnya pembacaan juga menyebabkan
berlakunya kemiskinan etika dan terhakisnya sikap berbudi bahasa bangsa Malaysia sekarang
ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan, bangsa yang membaca mencorakkan pemikiran dan
perilaku yang sopan, pembersih, berakal budi dan menghormati orang lain. Hal yang demikian
dapat dilihat daripada budaya bangsa di negara Barat yang umumnya mengutamakan
kebersihan dengan sungai jernih mengalir di tengah Bandar. Pola interaksi sosial masyarakat
mereka pula ada kala jauh lebih berbudi bahasa daripada bangsa kita walaupun kita selalu
melabel mereka sebagai golongan yang rosak akhlaknya.

Budaya membaca berkait rapat dengan tradisi dan jendela pemerolehan ilmu. Namun,
amalan masyarakat kita bahawa menimba ilmu sekadar untuk lulus peperiksaan, memperoleh
ijazah serta mendapat kerja yang bergaji lumayan. Oleh itu, sikap tidak gemar membaca
menjadi hambatan untuk memperkasakan bangsa yang intelektual dan berakal budi terpuji.
Membaca membolehkan kita keluar daripada kepungan konkongan dan kejumudan pemikiran
serta tingkah laku. Bangsa Malaysia yang matang, rasional, analitis, berjiwa patriotik serta maju
fizikal dan mentalnya hanya akan menjadi kenyataan jika budaya membaca menjadi amalan
segenap lapisan masyarakat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Jadikan Membaca Gaya Hidup oleh Mohd Arif
Atan dalam Utusan Malaysia 31 Disember 2007)








Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda
sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata saiz cakerawala minda.


(ii) Pengarang menyatakan beberapa manfaat budaya membaca kepada rakyat
Malaysia. Nyatakan manfaat-manfaat tersebut.


(iii) Pada pendapat anda, apakah jenis-jenis bahan bacaan yang wajar dibaca oleh
remaja?


Berikan alasan anda.














Topik 2: Rumusan dan Pemahaman

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang peranan generasi
muda dalam mengisi kemerdekaan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha kuat mereka
dan dasar-dasar kerajaan. Bagaimanapun, generasi muda juga menghadapi pelbagai
permasalahan yang jika tidak diatasi akan memberi kesan kepada usaha membangunkan
negara setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan. Pelbagai permasalahan sosial dalam
kalangan generasi muda terutama remaja kerap diperkatakan. Perangkaan statistik kes
jenayah dan salah laku membabitkan remaja di Malaysia kian serius dan bertambah kronik.

Statistik penyalahgunaan dadah pula masih lagi memberi petunjuk mengenai kedudukan
masalah ini pada peringkat yang membimbangkan. Kesan penyalahgunaan dadah kepada
negara boleh membantut usaha menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan. Oleh itu, generasi
muda perlu menjauhi diri daripada dadah kerana mereka merupakan aset yang bernilai bagi
negara.

Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotisme kerana dikatakan tidak dapat
merasakan detik-detik perjuangan kepayahan menuntut kemerdekaan di samping hidup dalam
zaman yang selesa. Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan negara dan
sanggup bekerja keras untuk negara. Generasi muda juga perlu mementingkan
kecemerlangan dalam pendidikan. Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha
membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan,
keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara
maju 2020.

Generasi muda mestilah berusaha untuk memajukan diri mereka. Melalui Kementerian
Belia dan Sukan, kerajaan telah melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk membantu remaja dan
belia memajukan diri mereka. Majlis Penggalakan Ekonomi Belia (MPEB) telah diwujudkan
bagi membantu golongan muda yang ingin berniaga mendapatkan maklumat dan bantuan.
Konvensyen Pembangunan Belia Meneroka Generasi 2007 contohnya bertujuan menentukan
hala tuju, falsafah dan strategi pembangunan belia yang progresif, menggariskan mekanisme
pengurusan pembangunan belia, menyediakan kod etika pertubuhan belia dan membina teras
pembangunan belia yang terbilang.

Generasi muda melalui kesedaran mereka dan bantuan pihak lain diharapkan akan
terus memastikan bahawa Malaysia menjadi negara yang aman dan stabil, mengamalkan
kesederhanaan serta saling menghormati dalam adunan warga pelbagai budaya. Adalah tugas
generasi muda untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan
kesaksamaan, mengusahakan kemiskinan dihapuskan dan memastikan kemakmuran dapat
dinikmati bersama. Selain itu, adalah juga menjadi harapan agar generasi muda akan mengisi
perjuangan kemerdekaan dalam fasa 50 tahun kedua dengan memastikan prinsip demokrasi
akan terus diamalkan dan mengurus negara dengan bijak. Kejayaan negara dalam fasa kedua
50 tahun kemerdekaan negara memerlukan komitmen semua warganegara terutama sekali
generasi muda.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Peranan Generasi Muda Mengisi Kemerdekaan
Oleh Dr. Sapora Sipon, Utusan Malaysia)









Berdasarkan petikan di atas jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata jati diri yang kukuh.

(ii) Nyatakan tiga permasalahan yang dihadapi oleh generasi muda di Malaysia.

(iii) Cadangkan empat langkah untuk memperkukuh jati diri generasi muda.

You might also like