You are on page 1of 12

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU Menurut kajian adat resam bermaksud peraturan yang sudah diamalkan sejak turun temurun dalam sesuatu masyarakat dan sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat itu. Masyarakat Melayu sememangnya amat terkenal dengan adat resam yang unik dan istimewa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Mereka begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Adat resam yang diamalkan dalam masyarakat Melayu dapat dilihat dalam perkahwinan masyarakat Melayu di mana setiap peringkat untuk menuju ke gerbang perkahwinan perlu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat lapan langkah yang boleh diletakkan kepada tiga peringkat iaitu: Peringkat pertama Merisik atau menengok Meminang atau bertunang Menghantar belanja dan akad nikah

Peringkat kedua Berandam dan berasah gigi Berinai

Peringkat ketiga Bersanding Mandi limau Sambut menyambut

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

Merisik atau menengok Merisik bertujuan untuk pihak keluarga sebelah lelaki dapat memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan. Ianya bertujuan untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap dalam mencari dan memilih isteri untuk anak lelaki mereka. Adat ini turut dikenali sebagai menilik. Sebaik sahaja ibu bapa seseorang lelaki memutuskan bahawa anaknya cukup umur untuk berkahwin, mereka akan mencari-cari pasangan yang sesuai untuk dijadikan isteri anaknya. Biasanya calon dipilih berdasarkan keturunan, pendidikan agama, kecantikan dan hubungan kekeluargaan. Tanggungjawab untuk memilih pengantin perempuan jatuh kepada ibu bapa pada keseluruhannya. Bagi pihak lelaki, ibu bapa mungkin menyenaraikan beberapa calon untuk dipilih, dengan persetujuan anak lelaki mereka atau sebaliknya. Bagaimanapun, kini bilangan orang Melayu khususnya mereka yang berpendidikan barat, membiarkan pilihan isteri hampir keseluruhannya kepada anak-anak lelaki mereka. Menurut adat resam kahwin Melayu, ibu bapa akan mengendalikan tugas memilih pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka dengan teliti. Selepas mereka memilih beberapa orang anak dara yang sesuai, mereka akan memulakan penyiasatan dengan menanya kawan-kawan dan saudara-mara mereka serta anak-anak dara yang terpilih. Dalam pemilihan mereka, ibu bapa anak lelaki memerlukan bukan sahaja sifat dan tingkah laku anak dara itu tetapi juga ibu bapanya dapat diterima kerana mereka memegang teguh kepada peribahasa, Kalau hendak meminang anak, pinang ibu bapanya dahulu. Antara sifat-sifat yang paling dikagumi oleh bakal mertua pada zaman dahulu dan masih lagi releven oleh sebilangan orang pada hari ini adalah kemahiran rumah tangga seperti memasak dan menjahit. Bagaimanapun, pencapaian yang paling disanjungi ialah keupayaan anak dara untuk membaca Al-Quran sama ada memahami apa yang dibacanya ataupun tidak dengan fasih dan merdu. Tidak terdapat sebarang pencapaian pendidikan ketika itu yang lebih penting termasuklah kenal huruf dalam bahasa Melayu.

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik. Selepas membuat keputusan tentang bakal menantu perempuan berdasarkan maklumat-maklumat yang dikumpulkan dan sebelum meminang, ibu bapa anak lelaki akan membuat penyiasatan terakhir dengan menghantar sebilangan kawan-kawan atau saudaramara perempuan ke rumah anak dara untuk mengenalnya secara lebih peribadi. Biasanya, wakil-wakil itu dihantar tanpa sebarang makluman kerana adanya makna khusus untuk kunjungan tanpa persediaan itu. Orang Melayu pada zaman dahulu dan mungkin sebilangan kecil di kawasan luar bandar pada hari ini, mempercayai bahawa pada ketibaan wakil-wakil di rumah anak dara itu ketika gadis itu sedang mandi atau mencuci, ini merupakan petanda yang bertuah untuk masa hadapan perkahwinan kedua-dua orang muda itu. Sebaliknya, jika gadis itu didapati masak di dapur, ia merupakan petanda yang kurang baik. Orang Melayu pada zaman dahulu juga mempercayai bahawa jika perjalanan ke rumah anak dara lambat atau dihalang atas sebarang sebab atau kemalangan, ia merupakan petanda bahawa masa depan perkahwinan itu tidak begitu bahagia. Bagaimanapun kepercayaan karut ini tidak lagi diambil berat oleh kebanyakan orang Melayu, termasuk juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu. Pada kajian akhir dan selepas menilai, ibu bapa anak lelaki itu akan mengadakan majlis kecil antara keluarga kedua-dua pihak serta bersama-sama saudara-mara rapat untuk memutuskan hari yang baik untuk meminang. Meminang atau bertunang Ibu bapa bakal pengantin lelaki kemudian menugaskan sebilangan orang tua yang rapat untuk bertemu dengan ibu bapa anak perempuanagar mendapat persetujuan. Ibu bapa anak perempuan akan meminta sedikit masa demi adat untuk membuat pertimbangan atas

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

alasan bahawa mereka harus berunding dengan saudara-mara mereka. Ini hanyalah sebagai pemanis mulut sahaja agar tidak dikatakan terlalu gelojoh. Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lama seminggu. Ibu bapa si gadis kemudian menugaskan beberapa saudara-mara yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan untuk menyampaikan keputusan mereka untuk menerima pinangan. Pada ketika inilah, syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin, belanja, hari upacara perkahwinan dan sebagainya dibincangkan dan diselesaikan Pada zaman silam, adat menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan belanja, khususnya jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan. Tanda itu biasanya adalah dalam bentuk cincin emas atau berlian, dengan nilainya bergantung kepada kehendak hati serta keupayaan kewangan keluarga lelaki. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah-hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya. Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah-hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan. Penerimaan cincin dan hadiahhadiah iringan secara tradisi bermaksud penerimaan syarat-syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak: Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah-hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik. Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya. Inilah adat yang telah diikuti oleh orang-orang Melayu sejak dari zaman silam. Terdapat juga dua cara pertunangan yang lain selain daripada cara yang tersebut di atas, iaitu:

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

1. Pertunangan antara dua buah keluarga yang amat rapat atau bersaudara tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis ketika anak-anak mereka masih bayi atau kanak-kanak lagi. 2. Pertunangan yang dibuat untuk memenuhi kehendak salah seorang mendiang ibu bapa. Cara ini amat dihormati oleh orang-orang Melayu. Menghantar belanja dan akad Pada zaman silam, istiadat menghantar mas kahwin dan belanja perkahwinan diadakan sehari atau dua sebelum upacara akad, tetapi kini diadakan bersama-sama, mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan. Selain daripada mas kahwin dan belanja perkahwinan tersebut, barang-barang yang berikut juga dihantar: 1. Cincin permata 2. Kain sutera yang mencukupi untuk sehelai baju perempuan 3. Dua helai sarung sutera 4. Beraneka jenis kuih 5. Beraneka jenis buah-buahan 6. Puan atau kotak sirih yangdilengkapi dengan bahan-bahan 7. Satu atau dua buah cerek air mawar yangdiperbuat daripada logam perak atau loyang Kesemua barang tersebut mengiringi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Untuk upacara akad, pengantin lelaki pada zaman silam memakai pakaian haji atau pakaian bangsa Melayu yang mudah. Upacara akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama Islam dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan. Upacara-upacara amal yang lain hanya merupakan keperluan adat resam. Pada ketibaan perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, anggotaanggota perarakan disambut masuk ke rumah. Pengantin lelaki duduk di atas sehelai tikar bersila di bahagian utama ibu rumah, berdekatan dengan imam. Barang-barang yang

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

dibawanya dibariskan di tengah ibu rumah antara dua baris tetamu yang duduk, dengan wang belanja, cincin, serta puan di hadapan baris. Imam kemudian memilih dua orang wakil daripada tetamu-tetamu untuk menerima dan menyemak hantaran, serta untuk menjadi saksi kepada upacara akad nikah. Selepas barang-barang itu disemak dan diterima oleh imam bagi pihak ibu bapa pengantin perempuan, kesemua barang itu, kecuali puan serta cerek air mawar dan dulang bunga rampai, dihantar kepada kaum perempuan. Imam kemudian mendaftarkan nama pengantin lelaki ke dalam sebuah buku, dan selepas kemasukan itu ditandatangani oleh pengantin lelaki serta kedua-dua saksi tersebut, imam akan membaca upacara perkahwinan dalam bahasa Arab. Pada akhir upacara, imam memegang tangan kanan pengantin lelaki dan mengisytiharkan kenyataan akad kepadanya, mula-mulanya dalam bahasa Arab dan kemudiannya dalam bahasa Melayu: bin , aku nikahkan dikau dengan binti yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $... Adat resam mengizinkan mas kahwin dihutang dengan tarikh pembayarannya tidak disebut. Oleh itu, imam akan menambahkan perkataan berhutang atau tunai sejurus selepas menyatakan jumlah mas kahwin dalam kenyataan akadnya. Imam kemudian berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebagai tanda untuknya menjawab tanpa teragak-agak atau kesilapan: Aku terima nikahnya binti dengan mas kahwinnya $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $... Jika jawapan pengantin lelaki disebut dengan tidak teragak-agak serta dengan jelas kepada mereka yang duduk berdekatannya, khususnya oleh kedua-dua saksi, jadi upacara akad dikira sah. Selepas upacara akad, pengantin lelaki akan berjabat tangan dengan semua tetamu, bermula dengan imam dan bapa mertuanya, jika dia menghadiri majlis itu. Pengantin lelaki diiringi balik ke rumahnya dan tetamu-tetamu, baik lelaki mahupun perempuan, dihidangkan dengan jamuan yang terdiri daripada kari dan nasi minyak.

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

Pada waktu yang sama, majlis pengantin perempuan akan menyediakan nasi pengantin dan menghantarnya kepada pengantin lelaki di rumahnya. Pengantin lelaki akan menjemput beberapa kawan yang paling rapat untuk bersarapan bersama-sama. Peringkat kedua Berandam dan berasah gigi Berandam dan berasah gigi diamalkan pada zaman silam, bersama-sama istiadat yang berkenaan, tiga hari atau lebih sebelum hari akad nikah. Rambut pengantin perempuan di dahi serta bulu keningnya dipepat. Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilap supaya menjadikannya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seseorang tukang andam yang juga merupakan emak pengantin. Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, dan hanya adat berandam diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini, manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke kedai solek yang banyak terdapat di semua bandar di Malaysia. Walaupun demikian, di kawasan-kawasan terpencil, masih terdapat orang Melayu yang mematuhi peribahasa, Biar mati anak, jangan mati adat. Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air sintuk-limau yang dianggap secara tradisi sebagai dapat menghapuskan nasib malang pada pengnatin perempuan. Selepas mandi istiadat itu dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur pada malam yang sama, sepuluh hujung jarinya dan pusat kedua-dua tapak tangan serta pinggir tapak kaki diinai dan dibiarkan kering sehingga pagi berikut. Ini adalah amalan berinai yang sebenar dan mendahului apa yang dikenali sebagai istiadat berinai. Istiadat berianai Isitiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat: 1. Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Kaedah yang dihuraikan di bahagian Berinai besar dipatuhi.

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

2. Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya sama sahaja dengan berinai curi. 3. Berinai besar Istiadat berinai besar Ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuandalam pakaian pengantin, dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di hadapan sekumpulan tetamu, saudara-mara, jiran dan sahabat handai keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin lelaki terdapat sebuah dulang berkaki yang besar yang mengandungi tiga buah pinggan bersama-sama beberapa tangkai dedaun wangi. Pinggan-pinggan besar tersebut, masing-masing mengandungi beras kunyit, bertih dan air daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak selonggok pes inai. Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin, satu demi satu untuk membuang sedikit beras kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan yang sama kemudian dilakukan dengan bertih dan ikatan kecil dedaun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar. Ini kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari longgokan di tengah dulang dan selepas meletakkan pada daun sireh yang disediakan oleh emak pengantin. Daun sireh ini bertujuan untuk mengelakkan mengotor tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat berinai ini. Acara ini biasanya dilakukan oleh para tetamu yang berminat sahaja tetapi bilangan mereka haruslah merupakan bilangan ganjil dan bukan genap. Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan pula akan turut menjalankan istiadat yang sama. Apabila semua para tetamu telah menjalankan istiadat ini, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membacakan doa selamat. Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah dan pengantin perempuanpula akan mengambil tempat dan giliran untuk istiadat berinai ini. Acara ini akan diakhiri dengan jamuan nasi dan kari atau gulai kawah.

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

Kenduri berinai besar ini adalah lebih besar dan meriah berbanding dengan kenduri berinai curi dan berinai kecil. Lagipun, pengantin lelaki tidak terlibat sama dalam istiadat berinai kecil dan berinai curi di rumah pengantin perempuan. Sesetengah pengantin lelaki Melayu pada zaman dahulu juga menjalankan istiadat berinai di rumah sendiri tetapi acara ini tidak lagi dilakukan pada masa kini.

Peringkat ketiga Bersanding Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting padazaman dahulu. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin akan menanyakan bukti konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman dahulu, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam umumnya. Penyerahan bukti sebelum istiadat mandi limau adalah wajib dan amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan perceraian serta merta. Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara mara, jiran, sahabat handai kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat akan dilakukan oleh emak pengantin dan terdiri daripada memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan. Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya. Segala adat yang dipegang teguh pada zaman dahulu kini tidaklagi diamalkan sama sekali oleh hampir semua orang Melayu. Sambut menyambut Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Semasa ini, suami dan ibu bapa mertua akan membawanya membuat kunjungan pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya, mereka akan menjalankan istiadat bersanding sekali lagi, jika ibu bapa mertuanya orang berada. Lagi sebuah kenduri yang terdiri daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kadang-kadangnya, hiburan sepanjang siang dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian tempatan akan diadakan untuk menghibur isteri yang baru ini. Istiadat yang diadakan di rumah pengantin lelaki kadang kala lebih besar daripada istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan. Tetapi kenduri kendara perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah lebih banyak dan lebih mewah daripada kenduri di rumah pengantin lelaki. Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru ini akan diiringi oleh suami dan ibu bapa mertuanya kembali ke rumah perempuan untuk mendiami sekurangkurangnya beberapa bulan. Pada kepulangnya ini,sebuah kenduri doa selamat akan diadakan. Hiburan

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

Dalam majlis perkahwinan, hiburan akan diadakan bagi menghiburkan pasangan pengantin mahupun masyarakat setempat. Hiburan ini diadakan bagi menghiburkan hati pengantin yang gemuruh menghadapi alam perkahwinan dan juga bagi menghilangkan penat lelah masyarakat setempat yang telah bergotong royong dalam melancarkan majlis perkahwinan seperti memasak makanan, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya serta memeriahkan lagi majlis tersebut. Antara hiburan yang diadakan adalah seperti zapin, ghazal, tarian kuda kepang, dikir barat, berdondang sayang dan sebagainya.

Pantang larang Dalam masyarakat Melayu terdapat pantang larang yang ditujukan kepada bakal pengantin baru. Apabila telah ditetapkan hari perkahwinan bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai. Apa yang ditetapkan harus diikuti untuk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjadi kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, ianya tidak rugi apa-apa jika pantang larang yang difikirkan sesuai masih boleh diikuti. Antara pantang larang yang sentiasa dilakukan dalam masyarakat Melayu adalah pengantin perempuan dilarang keluar bersama pasangannya selama 40 hari sebelum diijabkabulkan. Pantang larang ini dilakukan untuk mengelakkan daripada tohmahan masyarakat sekeliling dan juga untuk mengawal hawa nafsu pasangan pengantin tersebut. Selain itu, akan menimbulkan perasaan rindu dendam dalam diri masing-masing. Bagi masyarakat Melayu, rindu yang timbul akan membuat pengantin lebih berseri dari biasa. Pantang larang yang dilakukan dalam masyarakat Melayu mempunyai tujuan tertentu terutama menjaga maruah bakal pengantin dan juga ahli keluarganya. Terdapat juga pantang larang lain, iaitu jangan tidur di rumah orang kerana bimbang dikenakan ilmu dan juga santau oleh mereka yang mempunyai niat yang tidak baik dan

ZARINA ABDUL KARIM 640501065896001 T1A1

sebagainya. Begitu juga jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulansebelum naik pelamin bagi mengelak perut buncit. Pengantin juga dilarang bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelakkan diri dari terkena sihir. Pasangan juga dilarang membuang air kecil atau besar serentak di dalam air contohnya dalam sungai, kerana ia boleh melemahkan organ seks. Pasangan perlu elakkan diri daripada terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan. Mereka juga harus mengelak daripada keluar rumah tanpa tujuan kerana angan-angan yang tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada di luar. Hal sedemikian menunjukkan bahawa masyarakat Melayu kaya dengan adat dan juga pantang larang. Orang-orang tua Melayu dahulu selalu mengingatkan anak cucu mereka supaya tidak melanggar pantang larang. Pantang larang perlu dipatuhi untuk mengelakkan berlaku sesuatu kejadian yang tidak baik.

You might also like