You are on page 1of 12

HADITHHADITH TENTANG QUNUT SUBUH

Tidak syak lagi bahawa ilmu hadith ialah ilmu yang mempunyai tempat yang tinggi dalam agama Islam selepas al-quran. Telah diriwayatkan daripada Sufyan Ath-thauri rahimahullah bahwa beliau berkata:

... "...

...

"

aku tidak mengetahui suatu ilmu yang lebih afdhal daripada ilmu hadith bagi sesiapa yang mahukan keredhaan Allah sesungguhnya manusia memerlukannya sehinggalah dalam aspek makan dan minuman mereka maka ia adalah lebih afdhal daripada solat dan puasa sunat kerana ia adalah fardu kifayah.. Antara cabang ilmu hadith yang terpenting ialah fiqh hadith. Dengan fiqh hadith kita akan dapat mengetahui bagaimanakah ulama memahami sesuatu hadith, bagaimanakah mereka menyelesaikan hadith-hadith yang bercanggah antara satu sama lain (ini disebut sebagai musykil al-hadith atau taarudh al-hadith). Kekacauan dan perbalahan yang berlaku pada hari ini di kalangan umat Islam adalah kerana kurangnya pengetahuan fiqh hadith. Masing-masing mendakwa dialah yang mengikut sunnah, selain daripadanya tidak mengikut sunnah. Sedangkan jika kita mendalami fiqh hadith dalam sesuatu masalah kita akan mendapati bahawa kesemua imam-imam mazhab yang empat mengikut sunnah dan mengeluarkan hukum daripada hadithhadith Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam, cuma mereka berselisih pendapat dalam memahami hadith-hadith tersebut. Selain perselisihan pendapat dalam memahami hadith, terdapat juga perselisihan pendapat dalam mensahihkan atau mendhaifkan sesuatu hadith. Kadangkala seseorang perawi itu dianggap thiqah oleh seseorang ulama, manakala ulama yang lain menganggapnya dhaif. Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa ilmu hadith ini perlu dipelajari bagi semua pelajar pengajian Islam supaya kita bersifat lebih terbuka dan memahami hakikat khilaf yang berlaku di kalangan ulama. Kajian tentang hadith-hadith qunut dalam solat subuh ini salah satu daripada ribuan contoh masalah khilaf yang terkandung dalam kitab-kitab turath Islam. Penulis sengaja memilih masalah qunut ini sebagai contoh (walaupun ia adalah masalah furu yang terlalu kecil) kerana ianya mudah difahami. Penulis juga sengaja meninggalkan perbahasan dari sudut maani mufradat dan memadai dengai takhrij yang ringkas kerana dikhuatiri jika kajian ini terlalu panjang maka tidak ada orang yang membacanya. Diharapkan kajian yang tidak seberapa ini dapat

memberikan faedah kepada seluruh ummat Islam dan diterima oleh Allah sebagai pemberat neraca timbangan kebaikan hambaNya ini di akhirat nanti. Amin..

APAKAH ITU QUNUT?:


Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah wajar kita mengetahui definisi qunut dari segi bahasa dan istilah serta pandangan ulama fiqh dan perundangan Islam mengenainya. Qunut dari segi bahasa mempunyai banyak makna. Ibn Hajar Al-asqalani berkata di dalam Fathul Bari bahawa perkataan qunut mempunyai sepuluh makna. Di sini disebutkan lima daripadanya: 1) ketaatan 2) solat 3) berdiri lama 4) senyap 5) doa Dari segi istilah pula ia membawa makna: nama bagi doa dalam solat pada tempat yang khusus ketika berdiri (1)

QUNUT SUBUH DI SISI FUQAHA:


Terdapat tiga pendapat di kalangan ulama fiqh tentang hukum qunut subuh: Pertama: Mazhab Hanafi, Hanbali dan Sufyan Ath-thauri berpendapat bahawa qunut subuh ghair masyru (sesuatu yang tidak disyariatkan). Kedua: Pendapat yang masyhur daripada Mazhab Maliki mengatakan bahawa qunut subuh adalah mustahab, boleh dibuat sama ada sebelum ruku atau selepasnya (pada rakaat kedua) tetapi yang afdhal ialah sebelum ruku, tidak perlu menadah tangan dan tidak perlu membacanya dengan kuat sama ada bagi imam mahupun makmum. Sekiranya qunut tidak dibuat maka tidak perlu untuk sujud sahwi. Ketiga: Mazhab Syafie berpendapat bahawa qunut subuh adalah sunat, jika ia ditinggalkan solatnya tidak batal tetapi perlu untuk melakukan sujud sahwi. Mazhab Syafie juga berpendapat bahawa disunatkan membacanya selepas bangun dari ruku pada rakaat kedua, menadah tangan dan membacanya dengan kuat (jahr) jika menjadi imam dan dengan perlahan (sirr) jika solat bersendirian. (2) Kesimpulan yang boleh dibuat daripada ketiga-tiga pendapat di atas ialah: - Mazhab Hanafi dan Hanbali dan Ath-thauri berpendapat bahawa qunut subuh ghair masyru

- Mazhab Maliki dan Syafie berpendapat bahawa ianya sunat atau mustahab tetapi mereka berbeza pendapat dari segi kaifiah qunut subuh tersebut dan kesan meninggalkannya.

HADITH-HADITH TENTANG QUNUT SUBUH


Hadith-hadith tentang masalah qunut ini terlalu banyak. Penulis hanya mengambil beberapa hadith yang penting sahaja untuk dijadikan contoh:

Hadith Pertama:
:
Daripada Anas r.a beliau berkata bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasallam sentiasa melakukan qunut dalam solat subuh sehingga Baginda meninggal dunia.

Takhrij Hadith: 1) Musnad Ahmad/12657 2) Sunan Daraqutni/1711 3) Musannaf Abdurrazzaq/4964

Komentar: Hadith di atas menjadi hujah bagi pendapat yang mengithbatkan qunut subuh kerana hadith tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam melakukannya sehingga baginda wafat. Namun begitu ada sebahagian ulama menolak hadith tersebut atas beberapa sebab. Pertama kerana Ibnu Jauzi rahimahullah memasukkan hadith di atas ini dalam kitabnya yang menghimpunkan hadith-hadith yang mengandungi illah (kecacatan) al-lal al-mutanahiyah. Ini menunjukkan bahawa hadith tersebut tidak sahih di sisi beliau. Sebab yang kedua pula ialah kerana pada sanad hadith tersebut terdapat seorang perawi yang bernama Abu Jafar Ar-razi atau nama sebenarnya Isa ibn Mahan dan beliau adalah seorang perawi yang didhaifkan dari sudut ingatannya (hafalannya) oleh ramai ulama jarh wa tadil seperti Imam Ahmad, Ali Ibn Al-madini, Al-fallas, Ibn Hibban, Abu Zurah dan lain-lain. Tidak dinafikan bahawa ada juga sebahagian ulama yang mentadilkan beliau (mengatakan beliau thiqah atau saduq) tetapi jarh (kritikan) yang terkena ke atas beliau ialah berbentuk mufassar (terperinci). Ulama jarh wa tadil pula mendahulukan jarh yg bersifat mufassar daripada tadil. Oleh yang demikian, mereka mendhaifkan Abu Jafar yg meriwayatkan hadith tersebut. (3)

Walaubagaimanapun, Imam Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa hadith ini telah disahihkan oleh sekumpulan ulama yang telah mencapai tahap al-hafiz di dalam ilmu hadith, antaranya ialah Al-Hafiz Abu Abdillah Muhammad Ibn Ali Al-Balkhi, Al-Hakim Abu Abdillah, AlBaihaqi dan Ad-Daraqutni rahimahumullah. Menurut Imam Nawawi juga, hadith ini telah diriwayatkan dengan jalur yang banyak yang bertaraf sahih. (4) Selain itu, apabila kita merujuk kitab-kitab rijal yang induk seperti Tahzib Al-kamal, Tahzib Attahzib dan sebagainya, kita akan dapati bahawa terdapat ulama-ulama besar dalam ilmu jarh wa tadil yang mentadilkan Abu Jafar dan menjelaskan bahawa kesilapan yang dibuat oleh Abu Jafar adalah pada hadith-hadith yang diriwayatkan daripada Mughirah (5). Hadith di atas pula tidak diriwayatkan oleh Abu Jafar daripada Mughirah (sebaliknya daripada Ar-rabi Ibn Anas), oleh yang demikian penulis merasakan inilah faktor mengapa Imam Nawawi mensahihkan hadith di atas.

Hadith Kedua:
, : : :

Daripada Anas r.a bahawa beliau ditanya, adakah Rasulullah s.a.w melakukan qunut dalam solat subuh? Anas menjawab: ya. Maka ditanyakan kepadanya, adakah Baginda melakukan qunut sebelum ruku?. Jawab Anas, (bahkan) sebentar SELEPAS ruku

Takhrij Hadith: 1) Sahih Al-Bukhari/1001 2) Sahih Muslim/1578 3) Lain-lain dengan lafaz yang berbeza.

Komentar: Hadith kedua ini juga menjadi hujah bagi pendapat yang mengithbatkan qunut subuh. Bahkan pada pendapat penulis ini ialah dalil yang paling kuat kerana hadith ini dikeluarkan oleh dua orang imam yang tidak syak lagi bahawa kitab mereka adalah kitab yang paling sahih selepas AlQuran.

Hadith Ketiga:

Daripada Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam melakukan qunut selama sebulan, Baginda mendoakan (laknat) ke atas (ahli) beberapa perkampungan badwi kemudian meninggalkannya

Takhrij Hadith: (1) Sahih Ibn Hibban/1982

Komentar: Hadith di atas menjadi hujah bagi pendapat yang menafikan qunut subuh. Hadith tersebut secara zahirnya menunjukkan bahawa Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam hanya berqunut ketika peristiwa yang berlaku di suatu tempat yang bernama Bir Maunah di mana orang-orang kafir Bani Usayyah membunuh 70 orang hafiz Al-Quran dari Kaum Ansar. Peristiwa tersebut telah menyebabkan Baginda terlalu sedih lalu Baginda melakukan qunut dan melaknat orangorang yang membunuh para huffaz tersebut di dalam qunutnya. Selepas sebulan berlalu maka Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam pun meninggalkan qunut tersebut. Jadi pada zahirnya hadith ini menyokong pendapat mereka apatah lagi ia diriwayatkan oleh syaikhan. Namun begitu ulama yang mengithbatkan qunut subuh menolak hujah di atas kerana qunut subuh yang dibuat oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasallam pada ketika itu terbahagi kepada dua bahagian: - bahagian pertama: doa qunut biasa (Allahumma ihdina fiman hadait) - bahagian kedua: doa laknat ke atas orang yang membunuh para huffaz Bahagian yang ditinggalkan oleh Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam ialah bahagian kedua sahaja, adapun bahagian pertama (doa qunut yang biasa) tidak ditinggalkan oleh Baginda sallallahu alaihi wa alihi wasallam(6). Malah Baginda sentiasa mengamalkannya sehingga ke akhir hayatnya. Ini jelas di tunjukkan oleh hadith pertama yang diriwayatkan oleh PERAWI YANG SAMA:

Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasallam sentiasa melakukan qunut dalam solat subuh sehingga Baginda meninggal dunia

Hadith Keempat:

Daripada Al-awwam ibn Hamzah katanya bahawa aku bertanya kepada Abu Uthman mengenai qunut dalam solat subuh. Beliau menjawab: (ia dilakukan) selepas ruku. Aku bertanya lagi: daripada siapa (kamu meriwayatkan)? Beliau menjawab: dari Abu Bakar, Umar dan Uthman r.a

Takhrij Hadith: 1) Sunan Kubra, Baihaqi/2930 2) Musannaf Abdurrazaq/7012

Komentar: Menurut Imam Baihaqi isnad hadith ini bertaraf hasan. Hadith ini menjadi hujah yang menyokong Mazhab Syafie yang berpendapat bahawa doa qunut subuh dibaca SELEPAS ruku. Inilah yang membezakan antara qunut subuh bagi Mazhab Syafie dan Maliki. Ya, tidak dinafikan bahawa terdapat riwayat lain yang mengatakan bahawa qunut dilakukan SEBELUM ruku. Namun begitu, Syeikhuna Al-Muhaddith Dr. Nuruddin Itr menafsirkan perkataan qunut di situ bermakna berdiri lama (rujuk makna qunut dari segi lughah). (7) Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa tiga orang sahabat Nabi sallallahu alaihi wasallam yang agung (Abu Bakar, Umar dan Uthman r.a) melakukan qunut subuh. Bahkan Imam Baihaqi meriwayatkan dalam Sunan Kubra bahawa Ali r.a juga turut melakukan qunut subuh (hadith no. 2936):

:
Kata Imam Baihaqi selepas membawakan hadith tersebut: dan ini (riwayat) daripada Ali r.a (yg bertaraf) sahih dan masyhur Dengan ini dapatlah diketahui bahawa keempat-empat khulafa rasyidin melakukan qunut pada waktu subuh.

Hadith Kelima
:

Diriwayatkan daripada Sad Ibn Toriq katanya, aku telah bertanya kepada bapaku: sesungguhnya bapa telah solat dibelakang Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasallam, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali di sini, di Kufah selama lebih kurang lima tahun, maka adakah mereka melakukan qunut dalam solat subuh? Maka jawab bapanya,wahai anakku, itu adalah perkara yang baru (bidah)

Takhrij Hadith: 1) Sunan At-Tirmizi/404 . Kata At-Tirmizi: hadith hasan sahih 2) Sunan Ibn Majah/1421 3) Musnad Ahmad/15879/27209/27210 (dengan sedikit perbezaan pada lafaznya)

Komentar: Secara zahirnya hadith ini menunjukkan bahawa qunut subuh tidak thabit kerana Rasulullah sallallahu alahihi wa alihi wasallam dan para khulafa rasyidin radhiyallahu anhum yang empat tidak melakukannya. Malah dalam hadith ini menyebut bahawa Toriq radhiyallahu anhu menamakannya sebagai muhdath (perkara yang diada-adakan). Kemudian hadith ini dinilai oleh Imam Tirmizi sebagai hasan sahih pula. Namun begitu, hadith-hadith yang mengithbatkan qunut subuh perlu didahulukan daripada hadith-hadith yang menafikannya kerana perawi yang meriwayatkan thabitnya qunut tersebut mempunyai maklumat tambahan lebih daripada perawi yang meriwayatkan perkara yang sebaliknya. Ibnu Alan di dalam kitabnya Al-futuhat Ar-Rabbaniyyah menaqalkan daripada Ibn Hajar Al-Haitami (daripada Syarah Misykah) bahawa kemungkinan Sad r.a tidak mendengar Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam membaca qunut pada solat subuh kerana beliau bersolat jauh dari Baginda atau kemungkinan Sad pernah mendengarnya tetapi beliau telah terlupa perkara tersebut. Oleh yang demikian hadith-hadith yang mengithbatkan qunut subuh perlu didahulukan (dalam beramal) daripada hadith-hadith yang menafikannya. Ini merupakan salah satu cara dalam mentarjih dua hadith yang bertentangan (taarudh) yang disebut oleh para ahli hadith dan usul fiqh:

hadith yang mengithbatkan sesuatu hukum didahulukan daripada hadith yang menafikan hukum tersebut (8)

Hadith Keenam
:

Daripada Ibn Masud r.a katanya, Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasallam tidak pernah melakukan dalam solatnya

Takhrij Hadith: 1) Sunan Al-Baihaqi/2972

Komentar: Hadith ini dinilai oleh Imam Nawawi sebagai dhaif jiddan (terlalu lemah) kerana ia diriwayatkan dari jalur Muhammad ibn Jabir As-Sahmi yang mana beliau adalah seorang yang terlalu lemah bahkan matruk. Imam Baihaqi juga mengatakan bahawa Muhammad ibn Jabir adalah matruk (9). Selain itu, hadith ini juga bertentangan dengan hadith yang mengithbatkan qunut subuh. Oleh itu hadith yang mengithbatkan qunut subuh didahulukan dalam beramal seperti yang telah diterangkan sebelum ini, apatah lagi jika hadith yang menafikan qunut ini bertaraf lemah.

Hadith Ketujuh
:

Daripada Ibn Abbas r.a katanya, qunut dalam solat subuh adalah bidah

Takhrij Hadith: 1) Sunan Al-Baihaqi/2977 2) Sunan Ad-Daraqutni/1723

Komentar: Hadith ini tidak boleh dijadikan hujah bagi pendapat yang menafikan qunut subuh kerana dua sebab. Sebab yang pertama ialah kerana hadith ini adalah sangat lemah kerana pada sanadnya terdapat perawi yang bernama Abu Laila yang mana beliau ialah seorang perawi yang matruk (10). Sebab yang kedua pula ialah kerana di dalam riwayat yang lain yang dikeluarkan oleh AlBaihaqi dan Ibn Abi Syaibah (hadith no. 7005) menyatakan bahawa Ibn Abbas r.a sendiri melakukan qunut subuh.

Hadith Kelapan

Daripada Ummu Salamah r.a beliau meriwayatkan daripada Nabi sallallahu alaihi wa alihi wasallam bahawa baginda melarang daripada melakukan qunut dalam solat subuh

Takhrij Hadith: 1) Sunan Al-Baihaqi/2978 2) Sunan Ad-Daraqutni/1707 (dengan lafaz yang berbeza sedikit)

Komentar: Hadith ini juga dhaif seperti mana yang dikatakan oleh Imam Nawawi r.a kerana ia diriwayatkan melalui jalur Muhammad ibn Yahya, daripada Anbasah ibn Abdirrahman, daripada Abdullah ibn Nafi, daripada bapanya, daripada Ummu Salamah r.a. Kata Imam Daraqutni: mereka bertiga (Muhammad ibn Yahya, Anbasah ibn Abdirrahman dan Abdullah ibn Nafi) adalah dhaif dan Nafi pula tidak mendengar daripada Ummu Salamah r.a. Ibn Jauzi juga menaqalkan kritikan beberapa ulama jarh wa tadil terhadap beliau, antaranya Yahya Al-Qattan mengatakan bahawa Anbasah laisa bisyai An-Nasaie mengatakan bahawa beliau matruk al-hadith Ibn Hibban mengatakan bahawa beliau mempunyai hadith-hadith yang maudhu, maka tidak boleh berhujah dengannya. (11)

Hadith Kesembilan
: : , :

Daripada Abu Mijlaz katanya, aku pernah bersolat di belakang Ibn Umar r.a dan beliau tidak melakukan qunut. Maka aku bertanya, mengapa engkau tidak melakukan qunut? Jawab Ibn Umar,aku tidak mengingatinya daripada salah seorang sahabat-sahabatku

Takhrij Hadith: 1) Sunan Al-Baihaqi/2975

Komentar: Hadith ini dengan jelas mengatakan bahawa Ibn Umar r.a tidak ingat atau terlupa tentang thabitnya qunut atau tidak sedangkan ada sahabat lain yang mengingati perkara tersebut seperti Anas, Bara ibn Azib dan lain-lain (r.a), justeru riwayat mereka yang mengingatinya didahulukan dalam beramal.

KHATIMAH
Begitulah sedikit sebanyak perbahasan mengenai hadith-hadith tentang masalah qunut subuh sama ada dari segi sanad dan matan. Saya bukanlah orang yang berkelayakan untuk mentarjihkan mana-mana pendapat. Apa yang cuba untuk disampaikan di sini ialah kita harus bersifat terbuka dengan pandangan-pandangan ulama lain. Di samping itu kita juga mestilah berhati-hati dalam menghukum sesuatu apatah lagi dalam membidahkan sesuatu perkara dan melabelkan orang yang tidak sependapat dengan kita. Saya di sini ingin memohon atas segala kekurangan. Semoga Allah menambahkan lagi ilmu pengetahuan kita mengenai hadith Nabi sallallau alaihi wa alihi wasallam dan menempatkan kita bersama dengan Baginda yang dicintai di akhirat nanti. Amin..

Nota kaki: (1) Al-mausuah Al-fiqhiyyah, m/s 57; Fathul Bari, jilid 2, m/s 568; Al-futuhat Ar-rabbaniyyah, juzuk 2, m/s 286. (2) Diringkaskan dari Al-mausuah Al-fiqhiyyah, m/s 57; Ilam Al-anam, jilid 1, m/s 535; Aun AlMabud, jilid 3, m/s 198-200. (3) Ilam Al-anam, jilid 1, m/s 533 (4) Al-Majmu, jilid 3, m/s 266. (5) Tahzib Al-kamal, no. 7284 (6) Ilam Al-anam, jilid 1, m/s 536 ; Aun Al-mabud, jilid 3, m/s 400; Al-majmu, jilid 3, m/s 267; Al-futuhat Ar-rabbaniyyah, juzuk 2, m/s 286 (7) Ilam Al-anam, jilid 1, m/s 535 (8) Qawaid Al-Muhaddithin Fi Dafi At-Taarudh Az-Zohiri Baina Al-Ahadith, m/s 235. (9) Al-Majmu, jilid 3, m/s 267; Sunan Kubra (Baihaqi), hadith 2972. (10) Sunan Kubra (Baihaqi), hadith 2977 (11) Al-Ilal Al-Mutanahiyah, Hadith Fi An-Nahyi An Al-Qunut Fi Al-Fajr.

You might also like